editormaxinfo@gmail.com
SEPANG – Persatuan Pengimpot Dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) menyambut baik usaha kerajaan untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera dalam bidang automotif.
Walau bagaimanapun, PEKEMA menegaskan bahawa kawalan yang ketat terhadap jumlah syarikat yang diberi permit import (AP) terbuka adalah penting untuk memastikan industri automotif kekal berdaya saing.
Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, pihaknya menekankan beberapa perkara utama bagi memastikan pelaksanaan dasar ini membawa manfaat yang diharapkan.
“Kawalan jumlah syarikat AP terbuka harus dikawal rapi untuk memastikan industri automotif kekal kompetitif. Ini penting bagi mengelakkan lambakan syarikat yang mungkin tidak berdaya saing dalam pasaran.
“Pemilihan yang teliti perlu dilakukan untuk memastikan hanya syarikat-syarikat yang mampu menyumbang positif kepada industri automotif yang diberi peluang, dengan penekanan kepada kualiti berbanding kuantiti,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menekankan bahawa keutamaan perlu diberikan kepada pemain industri yang telah menunjukkan keupayaan dan pengalaman dalam bidang automotif.
“Keutamaan harus diberikan kepada syarikat-syarikat yang benar-benar layak dari segi pengalaman dan modal,” katanya.
Nazari berkata, pihaknya turut melahirkan kebimbangan sekiranya syarikat-syarikat yang dilantik tidak mempunyai pengalaman yang mencukupi, keadaan ini boleh mengakibatkan kerugian besar kerana kenderaan terpakai (recond) mempunyai kadar susut nilai yang tinggi.
“PEKEMA bimbang sekiranya syarikat yang dilantik tiada pengalaman ini boleh mengakibatkan syarikat mengalami kerugian kerana kereta recond ada susut nilai yang ketara,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan untuk melantik lebih banyak syarikat AP terbuka dikaji semula sebelum dilaksanakan sepenuhnya.
Terdahulu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) mengumumkan mengenai pelaksanaan Dasar AP Terbuka yang lebih telus dan inklusif, berkuatkuasa 1 Julai 2024.
Dasar baru ini membolehkan mana-mana syarikat Bumiputera, termasuk yang tidak pernah terbabit dalam aktiviti automotif, untuk memohon menjadi syarikat AP Terbuka.
MITI berkata, langkah ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan keterangkuman dan ketelusan dalam proses permohonan AP Terbuka.
Dasar ini dijangka akan menarik lebih banyak syarikat Bumiputera untuk berkecimpung dalam industri automotif, menjadikan segmen ini lebih kompetitif dan berdaya saing.
Dengan pelaksanaan dasar baru ini, kerajaan berharap untuk terus memperkasa agenda sosio-ekonomi Bumiputera dengan memberi peluang kepada lebih ramai usahawan Bumiputera yang berdaya saing untuk terbabit dalam sektor automotif negara.