29.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 23, 2026
Home Blog Page 196

Kembali dengan lagu OST, Puteri Khareeza tunjuk bakat ‘Sebenar’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan juga pelakon berbakat besar Puteri Khareeza teruja dengan buah tangan terbaharunya ‘Sebenar’ yang juga single kelima beliau bersama Alternate Records.

Lagu ini juga menjadi lagu runut bunyi (OST) bagi drama Khilaf Yang Tertulis, yang sedang hangat ditayangkan di slot Akasia TV3.

Lagu ‘Sebenar’ yang dinyanyikan oleh Puteri Khareeza membawa genre pop balada dengan sentuhan elemen rock bersesuaian dengan suara serak basahnya.

Hasil ciptaan komposer dan penulis lirik Omar K dan Firdaus Rahmat, yang juga kawan bagi Puteri Khareeza, membawa kelainan dari segi ‘feel’ apabila didengar oleh penonton sebagai lagu runut bunyi drama Khilaf Yang Tertulis ini.

Puteri Khareeza turut berkongsi bahawa rakaman hanya mengambil masa tiga jam sahaja.

“Lagu ini menceritakan tentang penderitaan hidup seorang individu yang sengsara atas kebahagiaan orang lain.

“Walaubagaimanapun individu ini tetap teguh berdiri pada paksi cinta yang sebenar. Saya rasa mencabar kerana lagu ini menguji julat vokal yang mana nadanya agak tinggi berbanding lagu-lagu saya sebelum ini.

“Walaupun bergenre pop ballad, namun penyampaiannya ada sedikit rock yang memberi kelainan dari segi penyampaian, ‘feel’ dan tempo.

“Saya terpukau dalam sekelip mata apabila saya mendengar sahaja demo yang dinyanyikan oleh komposer dan juga penulis lirik Firdaus Rahmat.

“Kami pernah merancang untuk merakamkan lagu bersama ataupun menyanyikan lagunya dan akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.

Apa yang menarik, tempoh pembikinan Lagu ‘Sebenar’ ini mengambil masa begitu cepat iaitu dua hari, menjadikan proses pembikinan lagu yang terpantas yang pernah dilakukan oleh komposer Omar K.

“Tercetusnya idea karya ini apabila saya tertarik untuk menjadikan lagu ini sebagai suara untuk orang yang cintanya bertepuk sebelah tangan dari sudut perspektif yang mungkin masyarakat terlepas pandang,’’ kata Omar K.

Omar K berpendapat Puteri Khareeza mempunyai ton suara yang sangat istimewa dan sesuai untuk membawakan lagu ini.

“Beliau cekap dalam melontarkan perasaan dalam lagu dan sentiasa dalam keadaan bersedia ketika proses rakaman. Pada pandangan saya Puteri mampu pergi lebih jauh.

“Ada keunikkan karakter rock dalam suaranya dan jika diasah dan dipegang dengan baik, genre ini mampu menjadikan beliau seperti ratu rock Malaysia, Ella.

“Saya berharap agar ‘Sebenarnya’ dapat menyerlahkan lagi siapa Puteri Khareeza.

“Selain dari handal berlakon, beliau juga handal menyampaikan rasa dalam lagu bersesuaian dengan jalan cerita drama.

“Saya juga yakin nyanyiannya ini akan menambat hati pendengar dan juga penonton drama Khilaf Yang Tertulis,” katanya.

Sebelum ini, Puteri Khareeza juga pernah membawakan lagu OST bagi drama slot Akasia ‘Melur Untuk Firdaus’ yang melonjakkan namanya sekali gus lebih dikenali di dalam industri musik tanah air.

Lagu berkenaan yang juga single pertamanya ‘Duka Sebalik Tawa’ berjaya mendapat sambutan luar biasa dan memperoleh 475 juta tontonan di platform Tik Tok, 5.4 juta di Youtube dan 2.4 juta di setiap aplikasi penstriman dalam talian antaranya Spotify.

Jangan lepaskan peluang untuk mendengar lagu ‘Sebenar’ nyanyian Puteri Khareeza yang telah mula bergema di pelbagai aplikasi dan platform penstriman dalam talian.

Saksikan Khilaf Yang Tertulis menerusi slot Samarinda yang sudahpun ditayangkan sejak 27 Mei, setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di TV3.

Karya seni mural QuickBites terima pengiktirafan The Malaysia Book of Records

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Gardenia QuickBites berjaya mencipta sejarah apabila menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records untuk ‘Most Wall Murals In A Branding Campaign’.

Pengiktirafan itu diterima ketika Penyampaian Anugerah QuickBites 2024 ‘Minda Sihat, Cergas Fizikal’ yang telah berlangsung semalam.

Ini adalah pengiktirafan yang julung kalinya diterima oleh Gardenia daripada The Malaysia Book of Records dan berharap pencapaian ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak penciptaan impak yang positif untuk masyarakat.

Program ‘Minda Sihat Cergas Fizikal’ Bersama QuickBites 2024 telah berjaya memberi manfaat kepada lebih kurang 130,000 orang murid dan guru daripada lebih 120 buah sekolah menengah di seluruh Semenanjung Malaysia sejak mula dijalankan.

Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 24 (2) Shah Alam telah dinobatkan sebagai Pemenang Hadiah Utama dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000.

Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah, Sektor Perancangan dan Pengurusan Sekolah 2, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Azman Mashuri dan Pengurus Pemasaran Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd; Lavinia Anthony.

“Pertandingan mural yang bertemakan ‘Minda Sihat, Cergas Fizikal’ ini dapat mendorong murid dan guru sekolah untuk menyerlahkan kreativiti dan bakat mereka di samping memfokuskan kepada gaya hidup sihat mental dan fizikal.

“Ini selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 untuk melahirkan generasi holistik dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani.

“KPM mengucapkan setinggi penghargaan kepada Gardenia QuickBites, kerana telah mewujudkan peluang untuk murid sekolah menonjolkan bakat dan minat mereka di luar persekitaran bilik darjah yang formal,” kata Azman.

Sementara itu, Lavinia berkata, matlamat program ini adalah untuk memperkasakan bakal pemimpin menerusi aktiviti pembudayaan gaya hidup sihat yang merangkumi aspek kesihatan mental dan fizikal secara holistik.

“Melalui program ini, QuickBites berharap agar dapat meningkatkan kesedaran di kalangan murid sekolah tentang kepentingan menjaga kesihatan mental dalam kehidupan seharian mereka.

“Komponen utama program ini merangkumi pertandingan mural antara lebih daripada 120 buah sekolah yang boleh digunakan sebagai satu saluran untuk ‘release stress’ kerana pada zaman ini, ramai murid yang begitu tertekan untuk meraih keputusan yang cemerlang.

“Pada masa yang sama, usaha ini telah menobatkan kami sebagai pemegang rekod The Malaysia Book Of Records untuk ‘Most Wall Murals In A Branding Campaign’.

“Gardenia QuickBites turut berbesar hati kerana dapat menyediakan platform dengan kolaborasi bersama Kementerian Pendidikan Malaysia untuk murid-murid

bekerjasama dan bersatu-padu dalam menghasilkan karya mural paling kreatif dan cantik serta dapat mewujudkan suasana yang lebih ceria apabila berada di sekolah,” katanya.

Katanya lagi, selain daripada dapat mewujudkan semangat daya saing yang sihat dalam diri murid, mereka yakin bahawa aktiviti sebegini dapat menzahirkan rasa ceria dan membina kenangan yang menyeronokkan dalam diri murid dan guru itu sendiri untuk seumur hidup, selaras dengan teras utama QuickBites; Serlahkan Keceriaan.

Dalam pada itu, pertandingan mural berkenaan telah berlangsung dalam tempoh tiga bulan bermula sejak Februari hingga Mei yang lalu dan sekolah yang mengambil bahagian perlu memilih kawasan yang sesuai dan melaksanakan secara berkumpulan membabitkan antara murid dan pemantauan guru.

Mural bertemakan ‘Minda Sihat, Cergas Fizikal’ perlu dihantar kepada pihak QuickBites pada 24 Mei yang lalu untuk sesi penilaian, dan keputusan pemenang telah diumumkan dalam Majlis Penyampaian Anugerah QuickBites 2024 berkenaan.

“QuickBites akan sedaya upaya terus komited menganjurkan program-program seumpama ini di peringkat komuniti untuk menyampaikan mesej positif tentang kepentingan kesihatan mental dan kecergasan fizikal khususnya dalam kalangan bakal pemimpin masa depan,” kata Lavinia lagi.

QuickBites terdapat dalam sepuluh variasi perisa kegemaran termasuk Roti Krim Vanila, Roti Krim Jagung, Roti Krim Coklat, Roti Krim Butter Sugar, Roti Krim Black Forest, Roti Krim Karamel Masin, Roti Krim Coklat Kacang Hazel, Roti Krim Pandan Gula Melaka, Ban Butter Toffee dan Ban Kacang Merah yang boleh didapati di kedai-kedai di seluruh Semenanjung Malaysia.

Illy Caffè lancar cawangan baharu, perkenal minuman Strawberry Kiss

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jenama kopi dan kafe yang terkenal di seluruh dunia, illy, terus mengorak langkah penting di Malaysia dengan kehadiran cawangan terkini mereka di Pusat Beli-Belah Hartamas, Kuala Lumpur.

Ini menandakan pengembangan yang berterusan merentasi Asia Tenggara, yang bermula di Korea Selatan, dengan banyak kedai yang sangat digemari oleh orang Korea Selatan.

Dikenali dengan kopi berkualiti tinggi mereka, pasukan di belakang jenama antarabangsa ini bertekad untuk mengukuhkan pengalaman illy di Malaysia.

Oleh itu, illy terus berkembang dalam talian dan ke pejabat-pejabat, memastikan kopi premium dapat dinikmati dengan sempurna di tempat kerja dan setiap pagi sebelum meninggalkan rumah.

Pengarah illy Caffè Malaysia, Filippo Migliuolo berkata, pihaknya memberi penekanan pada integrasi budaya tempatan dengan pelancaran produk antarabangsa terbaharu seperti ‘Strawberry Kiss’ dan banyak produk unggulan lain yang akan datang.

“Kami sangat percaya untuk menyesuaikan citarasa tempatan seiring dengan pertumbuhan kami di Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran cawangan berkenaan, baru-baru ini.

Turut hadir pada pelancaran itu adalah chef selebriti terkenal, Anis Nabilah.

Anis berkata, pelancaran kedai illy Caffè terbaharu ini membuatkan dia tidak sabar untuk menantikan pengalaman kopi yang tidak mungkin dapat dilupakan.

“Dikenali dengan campuran kopi berkualiti premium, saya bersemangat ingin menikmati rasa dan aroma lazat yang hanya illy dapat tawarkan.

“Saya pasti ramai tidak sabar untuk merasai minuman Strawberry Kiss. Campuran unik ini menggabungkan strawberi tempatan dari Cameron Highlands dengan biji kopi yang diimport dari luar negara, mencipta gabungan rasa menyeronokkan dengan sentuhan tempatan dan global.

“Ia adalah hidangan yang terbaik dari kedua-dua dunia,” katanya.

Dalam pada itu, illy juga telah menubuhkan Università del Caffè (UDC – Universiti Kopi) yang kini tersedia di Malaysia.

Pusat ini menawarkan kursus untuk semua pecinta kopi, dari perkara asas hingga ke butiran rumit yang perlu ada untuk menjadi seorang barista sepenuhnya.

UDC di seluruh dunia juga membantu illy untuk menyampaikan pengetahuan dan teknologi kepada petani kopi, memastikan kopi hijau berkualiti tinggi, dan menawarkan ganjaran yang melebihi harga pasaran.

illy kemudian bekerjasama dengan petani secara langsung, membeli kopi dari petani terpilih yang terbaik, dari seluruh dunia termasuk dari Brazil, Amerika Tengah, India, dan Afrika.

illy terkenal dengan tumpuannya pada kualiti dalam setiap cawan kopi.

Jenama ini percaya pada konsistensi dalam kopi dan ini datang dari barista mereka serta pemeriksaan dan penyelenggaraan harian yang dijalankan ke atas semua mesin mereka.

Ini juga meliputi kualiti makanan mereka yang terdiri daripada Croissant sourdough, sarapan Big Breakfast dengan lada hitam Sarawak, dan banyak lagi.

Pengalaman-pengalaman ini datang dari ibu pejabat mereka di Itali, termasuk penyelidikan dalam pengeluaran dan sokongan, serta resipi baharu yang akan mereka perkenalkan.

illy Caffè telah ditubuhkan pada tahun 1933 dan berpusat di Trieste, sebuah bandar pelabuhan di Timur Laut Itali, yang mempunyai pengalaman lebih dari 90 tahun.

Menggunakan hanya 1 peratus teratas kopi Arabika, jenama ini menggunakan Kopi Arabika Tulen 100 peratus.

Sehingga kini, lebih dari 7 juta cawan illy dinikmati setiap hari di seluruh dunia, di lebih daripada 140 negara.

Suria FM terjah pejabat, menerusi program NgopiSuria

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Suria FM kembali turun padang temui pendengar menerusi program NgopiSuria, sebuah inisiatif bertujuan untuk menghargai pendengar sekaligus mempromosikan jenama Suria FM.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid (DJ Lin) berkata, inisiatif NgopiSuria dirancang dengan tujuan utama untuk memberikan penghargaan kepada pendengar Suria, disamping mempromosikan jenama Suria FM kepada mereka yang berpotensi untuk mengiklankan produk mereka di platform ini.

“NgopiSuria yang telah bermula pada 10 Jun lalu, telah menerjah ke dua lokasi sekitar lembah klang dengan membawa kopi dan sarapan percuma buat pendengar.

“Mereka berpeluang beramah mesra serta memenangi barangan eksklusif Suria menerusi aktiviti Kutu Karoks, Super Seller Suria, Pentas Cik Piah dan Salam Cinta bersama barisan penyampai Suria FM seperti Datuk Fizz Fairuz, Ajak, Suraya, Rara, Chiwan, Kai dan DJ Lin juga krew Suria Wheels, Afiq dan Awien,” katanya.

Apa lagi? Jom ngopi bersama penyampai Suria dan Suria Wheels di pejabat anda.

Daftarkan maklumat perniagaan anda di laman web Suria atau WhatsApp di 012-319 1053, dan team Suria akan belanja ngopi di ofis anda sambil berbincang mengenai peluang kerjasama menarik di Suria.

Maritim Malaysia tidak kompromi terhadap anggota yang terbabit isu integriti

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggotanya yang terbabit dengan isu integriti.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, Maritim Malaysia memandang serius setiap laporan dan aduan yang diterima serta akan menjalankan siasatan terperinci seterusnya mengambil tindakan tegas kepada warganya yang didapati bersalah.

Beliau berkata, usaha berterusan akan dilakukan pihaknya melalui Unit Integriti Maritim Malaysia bagi memperkukuh nilai integriti dalam kalangan warga kerja Agensi ini melalui program latihan dan kesedaran yang berterusan.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Maritim Malaysia berikutan laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) melalui media tempatan yang melaporkan tentang aduan yang diterima membabitkan Maritim Malaysia.

Berdasarkan laporan berita yang dikeluarkan semalam, sebanyak 16 kes berkaitan Agensi ini telah direkodkan.

Hasil semakan, antara kes aduan yang dilaporkan membabitkan beberapa isu seperti salah guna kuasa, pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) serta tidak terkecuali isu-isu peribadi.

Saiful berkata, Maritim Malaysia kini giat melaksanakan inisiatif di bawah Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) dan Agensi juga turut dalam pelaksanaan ke arah pensijilan MS ISO 37001 Anti Bribery Management System (ABMS).

Selain itu, Maritim Malaysia juga turut melaksanakan tindakan preventive dengan mengadakan program pengukuhan integriti kepada warga seperti Kursus Pengukuhan Integriti, Program Kesedaran Keberhutangan Serius, Program Jelajah dan Bicara Integriti di Peringkat Ibu Pejabat, Maritim Negeri dan Zon Maritim serta melaksanakan Kempen Kesedaran Integriti melalui penerbitan poster, risalah dan jurnal.

Antara penambahbaikan yang akan dibuat dalam memastikan tiada pelanggaran SOP ketika melaksanakan tugas adalah pemakaian body worn camera kepada semua anggota yang bertugas di lapangan.

Ini memerlukan sedikit masa selepas proses perolehan peralatan terbabit berjaya dilaksanakan Agensi ini.

Katanya lagi, mekanisme penyaluran aduan bakal diperkemaskan lagi melalui Polisi Perlindungan Pemberi Maklumat (Whistleblowing) bagi memudahkan penyaluran maklumat berkaitan salah laku integriti dapat dilakukan dengan identiti pengadu dijaga sebaiknya.

Dalam pada itu, Saiful turut menyeru kepada semua warga Maritim Malaysia untuk terus berpegang teguh kepada prinsip integriti dan profesionalisme dalam melaksanakan tugas harian kerana integriti merupakan teras kepada keberkesanan perkhidmatan awam dan keselamatan negara khususnya di Zon Maritim Malaysia.

Orang awam juga boleh melaporkan sebarang maklumat berkaitan salah laku di kalangan anggota Maritim Malaysia menerusi Saluran Aduan Integriti Maritim Malaysia iaitu 03-89957053 waktu pejabat atau boleh menggunakan saluran whatsapp Unit Integriti Maritim Malaysia di talian 011-35577285.

Aliff, Bella sah bercerai sekali lagi

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Rumah tangga pasangan selebriti Aliff Aziz dan Bella Astillah sekali lagi menemui jalan perpisahan selepas Aliff melafazkan cerai talak satu pada jam 1.11 tengah hari di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, hari ini.

Memetik laporan Harian Metro, Hakim Syarie Wan Mohd Najib merekodkan perpisahan pasangan ini selepas penyanyi kelahiran Singapura itu melafazkan talak berkenaan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Mahkamah kemudian mensabitkan berlaku perceraian dan memerintahkan Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabella Awang Astillah menjalani tempoh idah selama tiga kali suci selain mendaftarkan perceraian.

Bella sebelum ini memfailkan cerai ekspres daripada suaminya itu kerana tiada persefahaman dan ‘mawaddah’ (cinta dan kasih sayang), mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 pada 11 Mac lalu.

Bagaimanapun Aliff yang sepatutnya hadir pada sebutan kali pertama kes perceraian mereka pada 13 Mac lalu, tidak hadir kerana urusan kerja selain terbabit dengan penggambaran.

Pada sebutan kedua perceraian mereka, Aliff enggan melafazkan cerai dan mahkamah Hakim Syarie Wan Mohd Najib bersetuju untuk kedua-duanya melantik wakil untuk proses JKP.

Terdahulu, Aliff mendirikan rumah tangga dengan Bella pada 9 September 2016, namun pernah bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dalam tempoh idah.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna.

Pada 9 Mac lalu, dunia hiburan kecoh apabila Aliff dan pelakon Ruhainies ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara.

Peguam sahkan ibu bapa Zayn Rayyan sedang jalani rawatan psikologi

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Ibu bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin yang mati dibunuh di Damansara Damai pada 6 Disember lalu, disahkan sedang menjalani rawatan psikologi.

Peguam Mahmud Jumaat yang mewakili ibu kepada kanak-kanak itu, berkata anak guamnya dan suaminya sedang menjalani rawatan akibat tekanan perasaan yang mereka alami selepas tragedi menimpa anak sulong pasangan itu. 

“Saya percaya depresi ini sudah berlaku sebelum mereka ditahan reman lagi. Mana-mana keluarga apabila kehilangan orang tersayang sudah tentu akan mengalami depresi.

“Saya percaya juga dari awal kes mereka sudah dapatkan rawatan terutama ibu bapa kepada Zayn Rayyan.

“Apatah lagi mempunyai anak autisme seorang lagi iaitu Mateen,” katanya yang ditemui media di perkarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, hari ini.

Turut sama pada sidang media itu ialah peguam mewakili bapa Zayn Rayyan, Fahmi Abd Moin.

Terdahulu, ibu bapa Zayn Rayyan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme berusia enam tahun itu, Disember tahun lalu.

Zaim Ikhwan yang memakai baju T berwarna hitam dan Ismanira berbaju merah membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.

Ketika ditanya mengenai keadaan anak guamnya, Mahmud berkata kedua-dua mereka gembira sebaik prosiding hari ini berakhir.

“Alhamdulillah, mereka gembira dan puas hati dengan siasatan PDRM. Harapan mereka sama seperti orang ramai mahukan keadilan buat Zayn Rayyan,” katanya.

Beliau berkata, pasangan suami isteri itu ditetapkan oleh pihak mahkamah untuk membayar wang jamin RM10,000 setiap seorang sebelum dibebaskan.

Mahkamah menetapkan 26 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

 

Sempena Aidiladha, PLUS aktifkan 18 laluan Smart Lane

 

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Bagi melancarkan pergerakan trafik di lebuh raya menjelang cuti perayaan Aidiladha yang bakal tiba, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mengaktifkan 18 laluan Smart Lane di beberapa lokasi tumpuan.

Syarikat konsesi itu dalam satu kenyataan berkata, lorong kecemasan sedia ada akan dibuka sebagai laluan tambahan bagi mengoptimumkan penggunaan semua lorong dan meningkatkan kapasiti di laluan kritikal lebuh raya.

“Orang ramai boleh mengenal pasti laluan Smart Lane melalui pemasangan lampu hijau berkelip untuk menunjukkan laluan berkenaan diaktifkan dan boleh digunakan.

“Selain itu PLUS turut meletakkan papan tanda pemberitahuan dan peringatan di lokasi-lokasi Smart Lane yang terbabit,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu PLUS menjelaskan, Smart Lane boleh digunakan oleh kenderaan ringan, persendirian atau penumpang dengan memasuki lorong kecemasan untuk sementara waktu sebelum diarah masuk semula ke laluan utama lebuh raya bagi meneruskan perjalanan.

Walau bagaimanapun, pengguna dilarang memandu di lorong kecemasan lain yang tiada laluan Smart Lane diaktifkan.

“PLUS akan memastikan tiada penutupan lorong untuk kerja-kerja penyelenggaraan pada 12 Jun hingga 19 Jun ini, namun pengecualian diberikan untuk kerja-kerja kecemasan, pengalihan kemalangan serta pembaikan kritikal.

“Untuk mengagihkan trafik, PLUS turut menyediakan jadual perjalanan digital menerusi aplikasi MyPLUS-TTA,” katanya.

Syarikat konsesi itu berkata, sebanyak 32 lokasi tandas awam telah ditambah baik di kawasan rehat dan rawat (R&R) termasuk hentian sebelah serta plaza tol antaranya Restoran Jejantas Sungai Buloh, R&R Machap (arah Utara), Hentian Sebelah Pedas Linggi serta beberapa lokasi lain.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik dengan mengikuti aplikasi X @PLUSTrafik, aplikasi PLUS, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik di lebuh raya dan saluran stesen radio utama negara.

Han Byul bertemu jodoh di Malaysia?

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Han Byul, penyanyi Korea yang menempa nama dalam bidang nyanyian di Malaysia selepas satu pertandingan nyanyian, kini muncul dengan lagu terbaharunya, Jodoh.

Jodoh adalah lagu runut bunyi bagi drama Helo Jodoh yang sedang bersiaran di slot Lestary setiap hari Khamis hingga Sabtu, jam 9 malam.

Jodoh mengisahkan tentang seseorang individu yang terserempak kembali dengan cinta pertamanya dan terus merasakan ikatan cinta itu masih kukuh lalu berhasrat untuk meneruskan perhubungan dan  menjadikan pasangan hidup.

Lagu ini adalah single ke tujuh Han Byul sepanjang kariernya di Malaysia.

Berbeza dengan lagu sebelum ini, lagu yang bergenre pop ini sangat manis untuk didengar dan boleh membuatkan pendengar dilamun cinta.

Melodinya yang ‘catchy’ dan membuai rasa dengan gabungan lirik yang santai, sangat sesuai untuk didengar oleh semua golongan.

Han Byul berkata, ketika pertama kali mendengar lagu ini, ia terus menangkap hati dan menarik perhatiannya. 

“Pada mulanya saya tidak tahu siapa komposer atau penulis liriknya. Habis sahaja rakaman, saya terkejut apabila mengetahui lagu ini adalah hasil karya mereka yang pernah  bekerjasama dengan saya sebelum ini.

“Cabaran yang paling sukar dalam menyanyikan lagu ini adalah nadanya yang agak tinggi.

“Namun, untuk tidak kedengaran terlalu menjerit, saya sesuaikan lontaran suara dengan nada yang lebih lembut dan manis serta kedengaran lebih santai agar yang mendengarnya dapat membayangkan hubungan yang sangat comel, penuh kasih sayang, tidak kira sama ada yang sudah berkahwin, bujang atau bakal berkeluarga.

“Saya berharap semua orang bergembira dan bersama-sama menyanyikan lagu ini dengan orang yang tersayang,” katanya.

Lagu ini hasil perkongsian idea daripada tiga komposer ternama, Hazama, Omar K dan Firdaus Rahmat.

Idea untuk menghasilkan lagu ini tercetus apabila Omar K menerima hantaran suara daripada Hazama yang menyanyikan beberapa rangkap sambil memetik gitar.

Bermula dari situlah Omar K mengajak Hazama dan Firdaus Rahmat untuk sama sama menjayakan lagu ini. Idea korus mula diolah oleh Omar K dan seterusnya diselesaikan sepenuhnya oleh Firdaus Rahmat.

Berkongsi tentang Han, Omar K berkata, Han seorang yang sangat komited, profesional, berdedikasi dalam bekerja dan bersungguh untuk menghabiskan rakaman. 

“Beliau datang dalam keadaan bersedia dan tahu apa yang perlu dibuat. Beliau setia mendengar dan sentiasa menerima teguran dan idea-idea daripada penerbit dan komposer.

“Erti kata lain, Han Byul juga gemar berkongsi, bertukar-tukar pendapat dan sangat mesra. Keselesaan ini membuatkan kami senang bekerjasama dan kurang dari dua jam Han Byul berjaya menghabiskan rakaman penuh lagu Jodoh ini.

“Keunikan yang ada pada Han Byul adalah beliau melontarkan suara menggunakan nada suara yang tersendiri dalam apa jua genre lagu yang diberi.

“Lagu menjadi lebih lunak apabila beliau menggunakan  nada suara “korean vibe” yang lembut seakan berbisik apabila menyanyikan lagu berbahasa melayu. 

“Ini memberikan satu suntikkan baharu dalam sesebuah lagu khususnya lagu Jodoh.  Kami berharap agar lagu Jodoh mendapat ruang di hati setiap pendengar di Malaysia.  Hayati  mesej, pengisian dan intipati yang ingin disampaikan. 

“Jodoh tidak semestinya dicari, kadang-kadang jodoh itu yang datang menyapa,” katanya.

Jangan lepaskan peluang untuk mendengar lagu Jodoh nyanyian Han Byul yang telah mula bergema di platform iTunes atau melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Spotify dan YouTube Music.