27.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 10, 2025

Han Byul bertemu jodoh di Malaysia?

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Han Byul, penyanyi Korea yang menempa nama dalam bidang nyanyian di Malaysia selepas satu pertandingan nyanyian, kini muncul dengan lagu terbaharunya, Jodoh.

Jodoh adalah lagu runut bunyi bagi drama Helo Jodoh yang sedang bersiaran di slot Lestary setiap hari Khamis hingga Sabtu, jam 9 malam.

Jodoh mengisahkan tentang seseorang individu yang terserempak kembali dengan cinta pertamanya dan terus merasakan ikatan cinta itu masih kukuh lalu berhasrat untuk meneruskan perhubungan dan  menjadikan pasangan hidup.

Lagu ini adalah single ke tujuh Han Byul sepanjang kariernya di Malaysia.

Berbeza dengan lagu sebelum ini, lagu yang bergenre pop ini sangat manis untuk didengar dan boleh membuatkan pendengar dilamun cinta.

Melodinya yang ‘catchy’ dan membuai rasa dengan gabungan lirik yang santai, sangat sesuai untuk didengar oleh semua golongan.

Han Byul berkata, ketika pertama kali mendengar lagu ini, ia terus menangkap hati dan menarik perhatiannya. 

“Pada mulanya saya tidak tahu siapa komposer atau penulis liriknya. Habis sahaja rakaman, saya terkejut apabila mengetahui lagu ini adalah hasil karya mereka yang pernah  bekerjasama dengan saya sebelum ini.

“Cabaran yang paling sukar dalam menyanyikan lagu ini adalah nadanya yang agak tinggi.

“Namun, untuk tidak kedengaran terlalu menjerit, saya sesuaikan lontaran suara dengan nada yang lebih lembut dan manis serta kedengaran lebih santai agar yang mendengarnya dapat membayangkan hubungan yang sangat comel, penuh kasih sayang, tidak kira sama ada yang sudah berkahwin, bujang atau bakal berkeluarga.

“Saya berharap semua orang bergembira dan bersama-sama menyanyikan lagu ini dengan orang yang tersayang,” katanya.

Lagu ini hasil perkongsian idea daripada tiga komposer ternama, Hazama, Omar K dan Firdaus Rahmat.

Idea untuk menghasilkan lagu ini tercetus apabila Omar K menerima hantaran suara daripada Hazama yang menyanyikan beberapa rangkap sambil memetik gitar.

Bermula dari situlah Omar K mengajak Hazama dan Firdaus Rahmat untuk sama sama menjayakan lagu ini. Idea korus mula diolah oleh Omar K dan seterusnya diselesaikan sepenuhnya oleh Firdaus Rahmat.

Berkongsi tentang Han, Omar K berkata, Han seorang yang sangat komited, profesional, berdedikasi dalam bekerja dan bersungguh untuk menghabiskan rakaman. 

“Beliau datang dalam keadaan bersedia dan tahu apa yang perlu dibuat. Beliau setia mendengar dan sentiasa menerima teguran dan idea-idea daripada penerbit dan komposer.

“Erti kata lain, Han Byul juga gemar berkongsi, bertukar-tukar pendapat dan sangat mesra. Keselesaan ini membuatkan kami senang bekerjasama dan kurang dari dua jam Han Byul berjaya menghabiskan rakaman penuh lagu Jodoh ini.

“Keunikan yang ada pada Han Byul adalah beliau melontarkan suara menggunakan nada suara yang tersendiri dalam apa jua genre lagu yang diberi.

“Lagu menjadi lebih lunak apabila beliau menggunakan  nada suara “korean vibe” yang lembut seakan berbisik apabila menyanyikan lagu berbahasa melayu. 

“Ini memberikan satu suntikkan baharu dalam sesebuah lagu khususnya lagu Jodoh.  Kami berharap agar lagu Jodoh mendapat ruang di hati setiap pendengar di Malaysia.  Hayati  mesej, pengisian dan intipati yang ingin disampaikan. 

“Jodoh tidak semestinya dicari, kadang-kadang jodoh itu yang datang menyapa,” katanya.

Jangan lepaskan peluang untuk mendengar lagu Jodoh nyanyian Han Byul yang telah mula bergema di platform iTunes atau melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Spotify dan YouTube Music.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular