28.8 C
Kuala Lumpur
Sunday, November 16, 2025

Kembali dengan lagu OST, Puteri Khareeza tunjuk bakat ‘Sebenar’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan juga pelakon berbakat besar Puteri Khareeza teruja dengan buah tangan terbaharunya ‘Sebenar’ yang juga single kelima beliau bersama Alternate Records.

Lagu ini juga menjadi lagu runut bunyi (OST) bagi drama Khilaf Yang Tertulis, yang sedang hangat ditayangkan di slot Akasia TV3.

Lagu ‘Sebenar’ yang dinyanyikan oleh Puteri Khareeza membawa genre pop balada dengan sentuhan elemen rock bersesuaian dengan suara serak basahnya.

Hasil ciptaan komposer dan penulis lirik Omar K dan Firdaus Rahmat, yang juga kawan bagi Puteri Khareeza, membawa kelainan dari segi ‘feel’ apabila didengar oleh penonton sebagai lagu runut bunyi drama Khilaf Yang Tertulis ini.

Puteri Khareeza turut berkongsi bahawa rakaman hanya mengambil masa tiga jam sahaja.

“Lagu ini menceritakan tentang penderitaan hidup seorang individu yang sengsara atas kebahagiaan orang lain.

“Walaubagaimanapun individu ini tetap teguh berdiri pada paksi cinta yang sebenar. Saya rasa mencabar kerana lagu ini menguji julat vokal yang mana nadanya agak tinggi berbanding lagu-lagu saya sebelum ini.

“Walaupun bergenre pop ballad, namun penyampaiannya ada sedikit rock yang memberi kelainan dari segi penyampaian, ‘feel’ dan tempo.

“Saya terpukau dalam sekelip mata apabila saya mendengar sahaja demo yang dinyanyikan oleh komposer dan juga penulis lirik Firdaus Rahmat.

“Kami pernah merancang untuk merakamkan lagu bersama ataupun menyanyikan lagunya dan akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.

Apa yang menarik, tempoh pembikinan Lagu ‘Sebenar’ ini mengambil masa begitu cepat iaitu dua hari, menjadikan proses pembikinan lagu yang terpantas yang pernah dilakukan oleh komposer Omar K.

“Tercetusnya idea karya ini apabila saya tertarik untuk menjadikan lagu ini sebagai suara untuk orang yang cintanya bertepuk sebelah tangan dari sudut perspektif yang mungkin masyarakat terlepas pandang,’’ kata Omar K.

Omar K berpendapat Puteri Khareeza mempunyai ton suara yang sangat istimewa dan sesuai untuk membawakan lagu ini.

“Beliau cekap dalam melontarkan perasaan dalam lagu dan sentiasa dalam keadaan bersedia ketika proses rakaman. Pada pandangan saya Puteri mampu pergi lebih jauh.

“Ada keunikkan karakter rock dalam suaranya dan jika diasah dan dipegang dengan baik, genre ini mampu menjadikan beliau seperti ratu rock Malaysia, Ella.

“Saya berharap agar ‘Sebenarnya’ dapat menyerlahkan lagi siapa Puteri Khareeza.

“Selain dari handal berlakon, beliau juga handal menyampaikan rasa dalam lagu bersesuaian dengan jalan cerita drama.

“Saya juga yakin nyanyiannya ini akan menambat hati pendengar dan juga penonton drama Khilaf Yang Tertulis,” katanya.

Sebelum ini, Puteri Khareeza juga pernah membawakan lagu OST bagi drama slot Akasia ‘Melur Untuk Firdaus’ yang melonjakkan namanya sekali gus lebih dikenali di dalam industri musik tanah air.

Lagu berkenaan yang juga single pertamanya ‘Duka Sebalik Tawa’ berjaya mendapat sambutan luar biasa dan memperoleh 475 juta tontonan di platform Tik Tok, 5.4 juta di Youtube dan 2.4 juta di setiap aplikasi penstriman dalam talian antaranya Spotify.

Jangan lepaskan peluang untuk mendengar lagu ‘Sebenar’ nyanyian Puteri Khareeza yang telah mula bergema di pelbagai aplikasi dan platform penstriman dalam talian.

Saksikan Khilaf Yang Tertulis menerusi slot Samarinda yang sudahpun ditayangkan sejak 27 Mei, setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di TV3.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular