28.5 C
Kuala Lumpur
Monday, June 22, 2026
Home Blog Page 194

Aedy Ashraf, Sky Iskandar dan 90 individu dipilih pegang watak dalam filem ‘Kahar Kapla High Council’

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Astro Shaw mengumumkan pemilihan aktor Aedy Ashraf untuk membawakan watak Beja, serta model dan bakat baru Sky Iskandar untuk watak Megat yang akan digandingkan dengan Amir Ahnaf sebagai Kahar, untuk filem prekuel kepada siri fenomena, High Council iaitu Kahar Kapla High Council.

Selain itu, dua watak lain turut dipilih menerusi sesi uji bakat adalah Thompson Goh sebagai Li dan Khenobu sebagai Jojo.

Pada bulan Mac lalu, sesi uji bakat pencarian watak Beja, Megat dan watak-watak lain telah diadakan untuk filem ini. Lebih 1,000 calon hadir dan atas sambutan menggalakkan, Astro Shaw membuat keputusan untuk memilih 90 individu daripada sesi berkenaan bagi menjayakan watak-watak sokongan.

Sesi penggambaran bakal dijalankan pada penghujung Jun ini.

Penerbit Eksekutif Filem Kahar Kapla High Council merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, selepas Astro Shaw mengumumkan penghasilan filem Kahar Kapla High Council pada awal tahun ini, mereka telah merangka strategi pemasaran dan publisiti khusus untuk memberi keterujaan kepada penonton dan peminat.

“Rentetan daripada fenomena luar biasa siri premium ‘High Council’, kami mahu peminat turut terbabit dan menjadi sebahagian filem ini.

“Inisiatif pertama adalah buat julung kali kami membuka peluang kepada peminat menerusi sesi uji bakat, dan inisiatif kedua adalah memperkenalkan ‘Lesen High Council’.

“Alhamdulillah lebih 1,000 calon telah menghadiri sesi itu, termasuklah Aedy Ashraf, Sky Iskandar, Thompson Goh serta Khenobu.

“Pemilihan mereka berdasarkan ciri-ciri dan keserasian yang menepati dengan apa yang kami mahukan. Kami berani mempertaruhkan gandingan muka-muka baru dan amat yakin dengan kemampuan serta bakat mereka yang boleh digilap,” katanya.

Peminat High Council pasti sinonim dengan terma popular yang menjadi simbolik kepada drama premium itu iaitu ‘lesen’ keahlian High Council.

Sejajar itu, Astro Shaw memperkenalkan ‘Lesen High Council’ iaitu pas eksklusif untuk menjadi ahli ‘High Council Universe’.

Menerusi pas ini, peminat berpeluang untuk turut serta dalam aktiviti-aktiviti akan datang. Untuk fasa pertama, peminat perlu layari portal hiburan popular Malaysia, Gempak dan jawab 100 soalan.

Seramai 100 pemenang terawal akan memperoleh pas, lalu berpeluang untuk menyertai aktiviti yang dihadiri barisan pelakon.

Filem Kahar Kapla High Council dijangka menemui penonton pada hujung tahun ini dan diarahkan oleh pengarah drama premium Anchor SPM iaitu Razaisyam Rashid.

Manakala skrip ditulis oleh pasukan Astro Shaw yang diketuai oleh pengarah High Council, Anwari Ashraf bersama salah seorang penulis High Council, Luqman Alhakim Sheikh Ghazali.

Filem Kahar Kapla High Council adalah prekuel kepada drama premium High Council dan masih mengekalkan pelakon utamanya iaitu Amir Ahnaf sebagai Kahar.

Ikuti info dan pengumuman lanjut tentang filem ini menerusi akaun media sosial Astro Shaw dan Astro Gempak. Gunakan #KaharKaplaHighCouncil untuk berkongsi tentang filem ini di media sosial anda. 

Studio fotografi telefon pintar pertama Malaysia bakal dibuka di Pavilion Bukit Jalil

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Susulan pelancaran Siri HONOR 200, HONOR akan membuka studio fotografi telefon pintar yang pertama di negara ini di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 26 hingga 30 Jun 2024.

Penggambaran ini adalah sebahagian daripada acara HONOR 200 Series Studio yang akan diadakan di beberapa lokasi terpilih, yang mana HONOR bakal memperlihatkan kuasa versi Pro daripada barisan Flagship Estetik AI ini untuk menangkap fotografi bertaraf studio profesional.

Acara bertemakan ‘Let Your Beauty Speak for Itself’ ini mengetengahkan idea bahawa percaya kepada diri sendiri adalah satu kecantikan dan setiap individu layak untuk memperolehinya.

Acara ini mempelawa pengunjung untuk menerokai kecantikan diri mereka dan merakamkannya dengan HONOR 200 Pro.

Daftar untuk menyertai Siri HONOR 200 Studio

Mereka yang berminat untuk mendapatkan penggambaran studio fotografi percuma boleh mendaftar untuk acara HONOR 200 Series Studio di Aras 2 Centre Court (Oval), Pavilion Bukit Jalil, mulai 10 pagi hingga 10 malam, dari 26 hingga 30 Jun 2024.

Slot adalah terhad dan mereka yang berminat boleh membuat pendaftaran terlebih dahulu melalui pautan ini bit.ly/HONOR200SeriesStudio

Selain Pavilion Bukit Jalil, penggambaran studio fotografi itu turut diadakan di HONOR 200 Series Studio yang akan dianjurkan di Pulau Pinang, Selangor dan Putrajaya dalam beberapa minggu akan datang.

Berikut senarai lokasi dan pautan untuk pendaftaran studio fotografi acara:

  1. Sunway Carnival Mall Main Atrium, G Floor (New Wing), Pulau Pinang (10 – 14 Julai)

Pendaftaran: https://bit.ly/HONOR200SeriesStudio_SunwayCarnivalMall 

  • Sunway Pyramid, LG2 Orange Concourse, Selangor (17-21 Julai)

Pendaftaran: https://bit.ly/HONOR200SeriesStudio_SunwayPyramid  

  • IOI City Mall LG East Court, Putrajaya (31 Julai – 4 Ogos)

Pendaftaran: https://bit.ly/HONOR200SeriesStudio_IOICityMall 

Siri HONOR 200, Flagship Estetik AI Yang Memberi Nafas Baharu Fotografi Potret Mudah Alih

Siri HONOR 200 memiliki AI Portrait Engine yang kolaborasi secara bersama dengan Studio Harcourt yang tersohor yang berpangkalan di Paris, bagi menangkap gambar potret berkualiti studio. Kedua-dua versi HONOR 200 Pro dan Standard dilengkapi Kamera Utama 50MP serta Kamera Telefoto 50MP.

Selain itu, kedua-dua peranti ini turut hadir dengan sensor Sony IMX856 terbaharu, sekaligus menjadikannya telefon pintar pertama di Malaysia yang mempunyai sensor berkuasa ini.

Versi Pro didatangkan dengan Sensor Kamera Utama H9000 1/1.3 inci yang juga digunakan dalam flagship HONOR Magic6 Pro. Manakala varian Standard menggunakan Kamera Utama 50MP yang dipadankan dengan sensor Sony IMX906. Untuk tangkapan gambar yang lebih jelas dan teliti, peranti ini dilengkapi dengan sistem anti-goyang Dual OIS (OIS+EIS).

Telefon pintar HONOR 200 Pro didatangkan dengan penstoran 12GB+ 512GB serta tersedia dalam warna Ocean Cyan dan Moonlight White, pada harga RM2,699.

Bagi versi Standard HONOR 200 pula, ianya tersedia dengan penstoran 12GB + 512GB (RM2,199) dan 12GB+256GB (RM1,899). Kedua-dua model ini menawarkan tiga pilihan warna yang menarik iaitu Coral Pink, Moonlight White dan Black.

Rai 30 tahun perjalanan seni, konsert solo Awie berlangsung 3 Ogos ini di WTC Kuala Lumpur

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Konsert Solo Datuk Awie yang diberi nama “Journey” akan menawarkan pengalaman unik dengan gabungan monolog dan persembahan teatrikal, menjadi tanda dagang Datuk Awie.

Bakal berlangsung di Dewan Merdeka, WTC Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2024, konsert ini meraikan perjalanan 30 tahun Awie dalam dunia seni sejak 1985 sebagai artis solo.

Penonton bakal disajikan dengan lagu-lagu popular yang mengimbau kenangan dari album-album kompilasi beliau yang memegang rekod Album Solo Artis Lelaki Paling Laris di Malaysia. Konsert ini juga adalah konsert solo terakhir daripada Awie.

Ketua Pegawai Eksekutif TruePixel Sdn. Bhd., Samsul Kamal berkata, ramai yang menantikan konsert solo Awie sehinggakan tiket bagi beberapa kategori telah pun habis dijual dalam beberapa jam sahaja selepas dilancarkan.

“Laman web kami juga mencipta rekod menerima jumlah kunjungan yang paling tinggi pada jam pertama. Kami mula menjual tiket seminggu lebih awal bagi mereka yang membuat pra-pendaftaran dan pada masa yang sama dapat menikmati diskaun bagi setiap pembelian,” katanya.

Bagi konsert solo kali ini, beberapa kategori tiket telah diperkenalkan iaitu ROYAL BOX: RM1500 (beserta meet and greet) VIP+: RM1500 (beserta meet and greet) VIP: RM1000, DIAMOND: RM700, PLATINUM: RM418, GOLD: RM288 dan SILVER: RM218.

Walaubagaimanapun, tiket bagi kategori SILVER, GOLD, dan PLATINUM telah pun habis dijual.

Untuk memenuhi permintaan ramai, mereka turut memperkenalkan kategori tiket terbaharu iaitu RUBY yang berharga RM518 yang kini boleh dibeli melalui laman web rasmi iaitu www.pixeltix.com.my.

Istimewanya konsert ini akan menampilkan barisan pemuzik handalan seperti Rozario Rasul yang akan bertanggungjawab sebagai Pengarah Muzik yang juga bertindak sebagai pemain keyboard.

Manakala pemain gitar pula ialah Ritz MetalAsia (Guitar 1), Addy Cradle (Guitar 2), Fly Halizor (Bass), Ujang Exist (Drum), dan Pa’ang Zaman (Percussion).

Awie akan mempersembahkan lebih daripada 20 buah lagu-lagu popular beliau terutama dari album solo dan album Wings, termasuk dari album Awie (1994), O-Tak (1996), Satu (1998), Rentap (2000), dan Santai (2005).

Sementara itu, Awie berkata, beliau terharu dan tidak menyangka sambutan terhadap konsert solo akan sehebat ini.

“Saya terperanjat apabila dimaklumkan 3 kategori utama tiket habis dijual dalam beberapa jam.

“Oleh kerana permintaan yang tinggi daripada peminat, saya telah berbincang dengan pihak penganjur dan mereka bersetuju untuk membuka kategori tiket yang baru agar semua peminat yang tidak sempat membuat pembelian tempoh hari, boleh berbuat demikian sekarang,” katanya.

Awie berkata, konsert ini bakal meninggalkan satu kenangan yang paling manis buat semua peminat.

“Tema dan konsep unik yang tidak pernah dipersembahkan sebelum ini adalah bingkisan yang begitu peribadi dari saya untuk semua.

“Hanya yang terbaik untuk semua peminat yang hadir pada 3 Ogos nanti,” katanya.

Menariknya lagi, Konsert “Journey” Awie juga turut berkolaborasi dengan sebuah institusi kewangan terkemuka yang tersenarai dalam Fortune 500 Asia Tenggara iaitu Maybank.

Awie adalah artis tempatan pertama yang dipilih sebagai rakan Maybank bagi konsert ini. Pemegang kad Maybank akan menikmati potongan harga 10 peratus untuk semua pembelian tiket menggunakan kad Maybank.

Selain itu, pembeli tiket juga boleh membuat pembayaran sebanyak 50 peratus terlebih dahulu dan melunaskan baki selebihnya seminggu sebelum konsert bermula.

Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, layari laman web rasmi www.pixeltix.com.my Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan konsert ini.

Semua peminat bukan sahaja akan pulang dengan memori yang tidak dapat dilupakan, malahan setiap peminat akan diberikan cenderahati istimewa.

Serah memorandum, pengusaha trak tunda minta kerajaan kekalkan bantuan subsidi diesel

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional dan Gabungan Trak Tunda Semenanjung Malaysia memohon kerajaan mempertimbangkan semula pemberian subsidi diesel dikekalkan kepada pengusaha trak tunda.

Wakilnya, Joseph Prakash berkata, pengusaha trak tunda tidak mempunyai gaji tetap dan bergantung sepenuhnya bayaran daripada pelanggan yang menggunakan perkhidmatan mereka.

“Mereka ini bergantung sepenuhnya terhadap bayaran daripada pelanggan dan sering merentas perjalanan yang jauh bagi memberi perkhidmatan kepada pelanggan.

“Dengan kesukaran ekonomi sekarang ini menyukarkan kami mengenakan caj baharu kepada pelanggan berikutan kenaikan harga diesel ini.

“Kami berharap dengan subsidi diesel yang diberikan kepada kami akan membantu syarikat trak tunda menguruskan perbelanjaan dengan lebih baik sekali gus membolehkan mereka menyediakan perkhidmatan yang berpatutan kepada pelanggan,” katanya selepas menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, hari ini.

Terdahulu, hampir 200 pengusaha trak tunda berhimpun secara aman untuk menyerahkan memorandum meminta kerajaan menyenaraikan kenderaan itu di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi membolehkan mereka mendapat kad fleet.

Menerusi kad berkenaan mereka boleh membeli bahan bakar pada harga RM2.15 seliter, lebih murah berbanding kadar runcit RM3.35 seliter yang ditetapkan sejak 10 Jun lalu.

Joseph berkata, selepas bertemu barulah timbalan menteri faham situasi sebenar yang dihadapi oleh mereka.

“Kami merayu berilah peluang kami membeli diesel pada harga subsidi, jika tidak harga insurans kenderaan mungkin lebih mahal kerana kos tunda kereta akan meningkat tinggi,” katanya.

Maritim Malaysia ikrar bantu naikkan indeks Malaysia sebagai negara aman di dunia

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan mempertingkatkan keselamatan di Zon Maritim Malaysia sebagai langkah proaktif untuk memastikan perairan negara terus selamat dan terjamin.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, langkah ini bukan sahaja bertujuan untuk menjaga keselamatan negara, tetapi juga untuk memberikan sumbangan positif kepada Indeks Keamanan Global (GPI).

“Malaysia telah melonjak sembilan anak tangga dari tempat ke-19 kepada tempat ke-10 negara paling aman di dunia untuk tahun 2024.

“Peningkatan yang dilaksanakan ini adalah sejajar dengan komitmen kerajaan untuk memastikan keselamatan maritim negara terus berada pada tahap optimum dan kepentingan menjaga perairan negara serta laluan perdagangan antarabangsa seperti Laut China Selatan dan Selat Melaka.

“Tindakan rondaan dan pengawasan yang lebih ketat serta berterusan amat perlu bagi memastikan kedaulatan, hak dan kepentingan negara di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) sentiasa dilindungi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan Maritim Malaysia bagi mengulas ucapan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya, pagi tadi.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Dato Abdul Halim Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN, Datuk Mohd Zamri Mat Zain serta ketua agensi / jabatan di bawah KDN.

Dalam pada itu, Saiful turut menegaskan keselamatan maritim bukan sahaja penting untuk kestabilan negara, tetapi juga untuk ekonomi.

“Dengan mempertingkatkan rondaan dan operasi penguatkuasaan Maritim Malaysia dapat mencegah serta mengurangkan risiko ancaman jenayah di perairan negara.

“Keselamatan yang dipertingkatkan ini juga diharap dapat menarik lebih ramai pelabur asing untuk masuk ke dalam negara memandangkan Malaysia telah diiktiraf sebagai salah sebuah negara selamat di dunia.

“Malah usaha yang dilaksanakan oleh Maritim Malaysia diharapkan dapat terus menyokong peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Keamanan Global, sekaligus memajukan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

‘Paku Tanah Jawa’ kisah misteri wanita amal ilmu hitam

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Mengambil Gunung Tidar sebagai latar cerita, filem seram Paku Tanah Jawa bakal menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula 27 Jun ini.

Terletak di bahagian selatan Kota Magelang, Jawa Tengah,  secara umumnya Gunung Tidar cukup terkenal dengan ‘paku’ Tanah Jawa.

Biarpun ketinggiannya sekadar 503 meter dan tidak setinggi gunung-gunung lain di kepulauan Jawa, namun ia mempunyai keunikan tersendiri serta beberapa kisah misteri.

Hal itu telah memberi ilham kepada Armani Entertainment Sdn Bhd untuk menghasilkan sebuah filem yang diberi nama Paku Tanah Jawa.

Penerbit Eksekutifnya, Dato KK Chua berkata, idea untuk menerbitkan filem berkenaan timbul selepas mengetahui kisah-kisah misteri dalam kalangan masyarakat yang menghuni di kawasan Gunung Tidar.

“Saya tertarik dengan kisah urban legend yang diceritakan sehingga ia memberi inspirasi buat saya untuk menerbitkan sebuah naskhah seram.

“Apa yang menariknya, ia bukan sekadar filem mistik semata-mata, malah turut mengangkat budaya Sinden dan Sugihan,” katanya.

Paku Tanah Jawa diangkat daripada salah satu kisah mengenai seorang gadis yang dipandang serong masyarakat setempat.

Ia berpunca daripada ibu gadis berkenaan yang dikatakan telah mengorbankan ramai lelaki demi memenuhi syarat ritual sebuah ajaran sesat yang dilakukannya.

Filem arahan Bambang Drias dan Dato KK Chua itu dibintangi oleh barisan pelakon seperti Masayu Anastasia, Gisellma Firmansyah, MK K-Clique, Hasif Upin dan Wafda Saifan Lubis. 

Dalam pada itu, Dato KK Chua berkata, filem berkenaan juga cukup istimewa apabila membabitkan gandingan kerjasama dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia.

“Untuk barisan pelakon, kami telah memilih pelakon kedua-dua negara yang cukup popular dan ia adalah antara tarikan dalam filem ini,” katanya.

Berkongsi tentang proses pembikinan filem ini, beliau berkata, penggambaran bermula pada Mei 2023 dan berlangsung selama 14 hari di kawasan hutan yang terletak di Kota Jogjakarta.

“Kalau ditanya tentang gangguan pula, sudah tentu ada unsur-unsur mistik yang berlaku. Namun, penggambaran tetap berjalan seperti biasa.

“Lagipun, ada babak-babak ritual yang dilakonkan, tambahan pula kebanyakan penggambaran dilakukan di dalam hutan,” katanya.

Dalam pada itu, Dato KK Chua cukup optimis filem Paku Tanah Jawa akan mendapat sambutan baik penonton di Malaysia.

Katanya, di Indonesia, tayangang filem Paku Tanah Jawa sudah mencecah 430 ribu penonton atau sebanyak RM6.45 juta kutipan box office.

“Selain genre seram antara yang sering menjadi kegemaran penonton, saya percaya mereka akan tertarik dengan jalan cerita yang dipaparkan,” katanya.

Filem Paku Tanah Jawa akan mula menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 27 Jun 2024.

Sinopsis

Paku Tanah Jawa mengisahkan tentang seorang gadis, Ningrum yang selalu dipandang negatif oleh masyarakat di kampungnya.

Semuanya berpunca daripada ibunya sendiri iaitu Handini, seorang penyanyi dan primadona kampung yang dikatakan melakukan amalan ritual sehingga mengorbankan ramai lelaki.

Korban berkenaan dilakukan Handini sebagai syarat utama yang ditetapkan oleh ketua ajaran sesat, Kanjeng Semanu untuk dia terus kelihatan cantik dan digilai ramai.

Bagaimanapun, kehidupan Ningrum mula tidak tenteram apabila jejaka yang dicintainya dalam diam, Jalu bakal menjadi korban terbaharu ibunya.

Dahlia Rizal duta terbaharu K-Colly

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jenama makanan kesihatan tambahan popular K-Colly melantik pempengaruh terkenal, Dahlia Rizal sebagai duta terbaharu produknya.

Pengurus Besar K-Colly, Mohd Zulkifli Hussain berkata, pihaknya memilih Dahlia sebagai duta terbaharu mereka kerana imejnya yang bersesuaian dengan jenama K-Colly.

“Sebelum memilih Dahlia pihak kami menapis ramai selebriti dan pempengaruh yang lain. Namun, kami memilih Dahlia kerana pengaruh, kredibiliti dan kesesuaiannya bersama produk kami.

“Selain itu, Dahlia juga memilik ramai pengikut di media sosial yang berada pada had umur kumpulan sasaran pelanggan K-Colly. Pemilihannya sebagai duta terbaharu kami adalah tepat,” katanya.

Sementara itu, Dahlia mengakui teruja apabila dapat peluang berkolaborasi dengan K-Colly. Sebagai seorang pempengaruh Dahlia sedar akan tanggungjawab besar yang perlu digalasnya.

Justeru, setiap tawaran kerjasama diteliti terlebih dahulu sebelum memberikan persetujuan.

“Saya bersyukur atas rezeki dan jalinan kerjasama ini. Sejujurnya saya akan pastikan saya mencuba sesuatu produk sebelum bersetuju untuk bekerjasama.

“Sama seperti K-Colly saya juga telah menggunakannya dan melihat sendiri kesan yang positif.

“Sebab itu saya yakin dengan produk ini dan berharap dapat membantu lebih ramai orang untuk memiliki kulit yang lebih sihat,” katanya.

Dalam pada itu, berita gembira buat pelanggan K-Colly kerana berpeluang untuk memegangi sebuah kereta Perodua Axia dan tajaan menunaikan ibadah umrah hanya dengan memuat naik review penggunaan produk K-Colly di aplikasi TikTok. Review terbaik akan dipilih sebagai pemenang.

Bantuan tabung Palestin bersama Yayasan Nurjiwa

Meraikan sambutan Aidiladha tahun ini, K-Colly terpanggil untuk menunaikan tanggungjawab sesama insan bagi membantu saudara Islam di Palestin.

K-Colly memberikan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Yayasan Nurjiwa yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Zaizalnizam Zainun.

“Pihak K-Colly memilih menyalurkan bantuan kepada Yayasan Nurjiwa yang berkredibiliti dan dipercayai. Saya yakin menerusi Yayasan Nurjiwa bantuan yang berikan akan disalur terus kepada rakyat Palestin.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada pengguna K-Colly kerana pembelian mereka pihak kami dapat memberi sumbangan ini. Sumbangan ini secara tidak lanngsung adalah daripada pengguna K-Colly juga,” kata Mohd Zulkifli.

Bukan itu sahaja, pihak K-Colly turut mengagihkan sebanyak 5,000 kilogram beras di persekitaran Masjid Al-Bukhary, Bukit Bintang, Kuala Lumpur selepas selesai solat Jumaat, minggu lalu.

Pakat mai Karnival Gen-AI: tawar aktiviti, hiburan & peluang pekerjaan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Buat julung kalinya, Persatuan Kebajikan dan Pembangunan Sahsiah (SAHSIAH), Persatuan Kebajikan Muafakat Bersaudara, dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Harmoni Bukit Mertajam dan Pertubuhan Penggerak Nadi Muda Pulau Pinang (PPNM) akan menganjurkan sebuah program Karnival Gen-AI di Pulau Pinang. 

Penganjur Bersama, Muhammad Fadzli Roslan berkata, Karnival Gen-AI akan berlangsung selama dua hari iaitu pada Jumaat, 21 Jun 2024 dan Sabtu, 22 Jun 2024 bertempat di C-Mart, Simpang Ampat, Pulau Pinang. 

“Karnival ini terbuka kepada orang ramai khususnya anak muda di sekitar Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak.

“Pelbagai program menarik disediakan di mana pengunjung karnival akan disajikan dengan pelbagai aktiviti seperti pertandingan Muay Thai Kuda Merah pada Jumaat malam. 

“Selain itu, turut diadakan ialah Karnival Kerjaya, Pameran Agensi dan pertandingan e-sports yang pastinya dapat menarik kehadiran peminat ke Pakat Mai Karnival Gen-AI,” katanya. 

Fadzli berkata, mereka menjanjikan penganjuran kali pertama ini berlangsung meriah buat pengunjung untuk program selama dua hari ini. 

“Selain program menarik yang disusun, kami turut membariskan persembahan artis buat pengunjung. Mereka akan dapat menyaksikan persembahan selebriti terkemuka tanah air seperti Apak & Chombi, kumpulan Khalifah, Senario, Floor 88 dan Sufian Suhaimi.

“Selain itu, Karnival Gen-AI ini juga akan diserikan lagi dengan vendor lokal utara iaitu Jalan Pasola dan gerai-gerai menarik untuk dikunjungi pengunjung dan berbelanja. 

“Kami percaya barisan artis merangkumi pelbagai golongan dan peringkat umur yang ditampilkan berupaya menarik kehadiran pengunjung untuk ‘menyerbu’ karnival ini. 

“Jangan lepaskan peluang keemasan untuk hadir beramai-ramai ke Karnival Gen-AI di C-Mart, Simpang Ampat, Pulau Pinang,” katanya. 

Sementara itu, Sufian Suhaimi mengakui bertuah diundang untuk terbabit dalam Karnival Gen-AI dan tidak sabar untuk bertemu peminatnya. 

“Saya sememangnya seronok menyertai program sebegini kerana dapat mendekatkan saya dengan peminat. Tiada jurang antara saya dengan mereka. 

“Suasananya amat berbeza dengan persembahan di tempat tertutup kerana di lokasi begitu penonton yang hadir hanyalah golongan tertentu sahaja dan terhad.  

“Tapi di karnival begini, semua orang boleh hadir untuk menonton persembahan saya dan artis-artis lain.  Lebih dari itu, mereka juga dapat membeli belah dan terbabit dengan program bermanfaat lain yang disediakan,” katanya. 

Pendapat sama turut diluahkan oleh kumpulan Floor 88 yang popular menerusi lagu Hutang. Mereka berjanji akan memberikan persembahan maksimum kepada pengunjung yang datang nanti. 

“Datang sendiri dan saksikan persembahan kami serta artis lain yang dibawakan. Lagipun bukan senang barisan artis terkenal nak turun padang seperti dalam karnival ini. 

“Kami menyeru kepada semua agar datang beramai-ramai menyokong usaha yang digerakkan oleh empat persatuan ini. Kami percaya ia pasti akan menjadi kenangan manis buat anda nanti. 

“Siapa tahu mungkin ada diantara anda pengunjung bertuah yang akan membawa pulang hadiah-hadiah menarik menerusi Cabutan Bertuah yang diadakan,” kata mereka.

Kisah cinta terlarang dalam Terjerat temui penonton di iQIYI esok

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dalam bayangan krisis hutang yang dahsyat, Nadia (lakonan Ruhainies) dan Faliq (lakonan Aliff Aziz) mendapati diri mereka terperangkap dalam sebuah episod penculikan selama seminggu akibat hutang pasangan masing-masing.

Inilah mesej yang diketengahkan oleh drama Terjerat arahan terkini pengarah berkaliber, Azmi Hatta.

Bakal menemui penonton esok, 21 Jun 2024 di platform iQIYI, Terjerat terlebih dahulu sudah menjadi bualan hangat sehingga ramai peminat drama tempatan tidak sabar untuk menontonnya.

Kini, siri original iQIYI, Terjerat Cinta segera ditayangkan, empat hari selepas Aidiladha atau sambutan Raya Haji.

Apakah yang penonton akan peroleh daripada siri yang bukan hanya dibintangi oleh Alif Aziz dan Ruhainies tetapi juga Fendy Bakry yang sempat mencetuskan kontroversi ini?

Menurut iQIYI, siri ini menjanjikan pengalaman menonton yang penuh emosi dan ketegangan dengan gabungan genre melodrama percintaan dan suspense thriller.

Menariknya, Terjerat turut memaparkan ‘red flags’ yang perlu diketahui oleh wanita apabila berhadapan dengan lelaki.

Azmi Hatta selaku pengarah menyifatkan bahawa lakonan Alif Aziz, Ruhainies dan Fendy Bakry  melalui drama ini sangat menepati kehendaknya.

“Mengikut pengalaman, saya pernah bekerjasama dengan ketiga tiga pelakon yang hebat ini. Saya tahu kemampuan mereka dan saya juga yakin dengan bakat lakonan yang mereka miliki.

“Untuk Terjerat, saya bentuk kemampuan mereka untuk menzahirkan watak mengikut keperluan skrip dan akhirnya tidak sia-sia kerana kami berjaya,” katanya.

Azmi turut menyifatkan Ruhainies sebagai pelakon wanita yang sangat fleksibel apabila digandingkan bersama dua pelakon lelaki iaitu Alif Aziz dan Fendy Bakry.

“Ruhainies sangat fleksibel apabila digandingkan dengan Alif dan Fendy Bakry . Selain itu, Alif dan Fendy Bakry juga banyak membantu antara satu sama lain bagi menepati kehendak dan keperluan yang saya inginkan untuk setiap babak bagi drama ini ,” katanya.

Azmi berkata, drama ini mempunyai pelbagai konflik yang matang selain berlatarbelakangkan kisah percintaan yang terlarang.

Selaku pengarah, Azmi juga mahu penonton tidak skeptikal atau menjatuhkan hukuman tentang Terjerat hanya kerana kontroversi yang tercipta di antara Ruhainies dan Alif Aziz.

Hal itu lantaran Terjerat Cinta bukan hanya berkisar tentang percintaan yang terlarang tetapi juga mempunyai pelbagai konflik yang matang.

“Drama ini juga mencungkil kelemahan dan khilaf individu yang bergelar manusia yang tak terlepas daripada berbuat kesalahan.

“Drama ini juga menuntut rasional penonton untuk menonton setiap episod bagi mengetahui kisah yang sebenar kerana perjalanan cerita atau plotnya tidak semudah yang disangkakan. 

Penonton juga perlu melihat hasil kerja yang saya dan barisan pelakon drama Terjerat hidangkan bagi menilai selera dalam konteks genre yang berbeza,” katanya lagi.

Sebagai tunggak utama Terjerat, Alif Aziz yang mencetuskan kontroversi sewaktu naskhah ini dalam pembikinan bersikap profesional terutama membabitkan kerja yang perlu dilunaskan.

Membawakan watak Faliq, Alif Aziz bersyukur kerana kepercayaan yang telah diberikan pihak iQIYI dan produksi Terjerat dan sentiasa bersedia untuk mempromosikan naskhah ini buat penonton.

“Terdapat banyak mesej yang terkandung sepanjang naskhah ini yang saya rasa dapat semua penonton ambil juga sebagai peringatan.

“Sebagai Faliq, kehidupan susah dan senang yang pernah dilaluinya sebelum ini telah membentu karakternya pada hari ini sehingga Faliq antaranya menjadi keras hati.

“Secara peribadi, saya merasakan terjerat adalah satu naskhah yang menarik kerana ia mempunyai banyak plot twist yang will keep the ride exciting for the viewers, Insya-Allah,” katanya.

Membawakan watak Izham, Fendy Bakry memegang tanggungjawab besar untuk menyampaikan mesej tentang kaki judi yang dijadikan alternatif mendapatkan duit dengan cara cepat dan terjadi dalam kalangan masyarakat di dalam drama ini.

“Besar harapan saya agar mesej yang disampaikan dalam drama ini dapat membantu atau menjadi teladan dalam kehidupan harian masyarakat kita.

“Sebagai Izham yang memainkan watak kaki judi, ia boleh menjerumus ke dalam segala jenis kejahatan yang serius seperti pembunuhan misalnya boleh bermula daripada sikap buruk berjudi.

“Walau sukar atau payahpun kehidupan dengan desakan ekonomi dan taraf hidup, jauhilah judi.

“Jika kita berfikir boleh mendapatkan wang mudah dengan berjudi tapi impak buruk menanti anda di kemudian hari.

“Jangan berjudi dan elakkan berjudi. Carilah sumber rezeki yang halal kerana kita mahukan keberkatan dalam institusi kekeluargaan.

“Usah hanya pandai menanam tebu di bibir sana tapi perlakuan kita kurang. Utamakan apa yang perlu diutamakan iaitu Allah dan Insya-Allah, Allah akan menjaga yang lainnya,” katanya.

Bagi iQIYI pula tidak ada yang lebih besar daripada mengharapkan 12 episod drama ini dapat mencuri hati penonton menerusi lakonan hebat Alif Aziz, Ruhainies, Fendy Bakry bersama pelakon lainnya kerana mesej besar yang dipaparkan di dalam naskhah Azmi Hatta ini.

Drama Terjerat akan disiarkan pada jam 9 malam setiap Jumaat dan Sabtu di iQIYI.