32.9 C
Kuala Lumpur
Monday, June 22, 2026
Home Blog Page 193

Lebih 300 peserta PKS tempatan, ASEAN, Hong Kong dan China terima manfaat program amalan terbaik ESG

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Lebih 300 peserta daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan, negara anggota ASEAN dan Hong Kong, China menyertai ASEAN Hong Kong, China (AHKC) SMEs Going ESG Policy Dialogue and Workshop 2024 bermula hari ini dan esok.

Acara anjuran SME Corp. Malaysia itu adalah platform untuk pertukaran ilmu pengetahuan, memupuk kesedaran tentang amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta berkongsi amalan terbaik mengenai kelestarian dalam kalangan negara ASEAN.

Majlis perasmian yang turut diadakan sempena sambutan Hari PMKS Sedunia 2024 itu telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Dengan tema ‘Memperkasa Kelestarian PKS’, acara ini dihadiri oleh pegawai kerajaan, pakar ESG, pemilik PKS, wakil daripada institusi kewangan dan ahli akademik, bermatlamat mendidik peserta mengenai kepentingan amalan ESG, pembangunan strategi serta pengukuran dan pemantauan prestasi ESG.

Sesi dialog yang diadakan memberikan tumpuan kepada pembangunan dasar untuk menggalakkan penerapan amalan ESG dalam kalangan PKS, berkongsi kisah PKS yang merintis perjalanan ESG serta mengetengahkan usaha Kerajaan dan agensi di rantau ini dalam aspek ESG.

Sesi perkongsian memberi pendedahan kepada peserta khususnya terhadap amalan terbaik, cabaran dan cadangan yang disampaikan oleh penceramah terkemuka.

Dalam ucaptamanya Ewon Benedick berkata, ASEAN komited untuk menggalakkan kelestarian di rantau ini melalui pelbagai inisiatif.

“Bagi Malaysia, menggalakkan PKS untuk menerapkan amalan ESG adalah satu usaha ke arah mengukuhkan komitmen Kerajaan terhadap Agenda Pembangunan Mampan 2030 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Perjanjian Paris di bawah Persidangan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (United Nations Framework Convention on Climate Change, UNFCCC).

“Mempercepat penerapan ESG juga adalah antara inisiatif yang dirancang di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) 2021 – 2025,” katanya.

Turut hadir pada majlis perasmian berkenaan adalah Ketua Setiausaha KUSKOP; Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Pengerusi SME Corp. Malaysia; Tan Sri Panglima Bernard Giluk Dompok, Ketua Pengarah Pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong, Jakarta; Libera Cheng Ching-mon dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia; Rizal Dato’ Nainy.

Sementara itu, Bernard Giluk Dompok berkata, SME Corp. Malaysia sangat komited terhadap pertumbuhan dan pembangunan PKS yang berdaya tahan.

“Kami telah mengenalpasti bidang tumpuan utama sebagai pemangkin untuk mempercepatkan kapasiti dan keupayaan PKS dengan ESG sebagai komponen utama,” katanya.

Dalam pada itu, Rizal Dato’ Nainy berkata, menjadi sebuah firma yang bersedia dalam menerapkan ESG (ESG-ready) adalah satu kelebihan besar bagi PKS untuk mengakses pasaran tempatan dan global.

“SME Corp. Malaysia telah melancarkan Panduan Pantas ESG untuk PMKS bagi memudahkan penerapan amalan ESG dalam kalangan PMKS, yang boleh dimuat turun secara percuma setelah melaksanakan penilaian ESG di laman sesawang kami.

“Mengambilkira kepentingan amalan ini, SME Corp. Malaysia juga telah mengambil inisiatif untuk mengiktiraf PMKS yang secara aktif mengintegrasikan amalan ESG ke dalam perniagaan dan strategi syarikat melalui anugerah khas baharu yang diperkenalkan di bawah Program Anugerah Enterprise 50 (E50) tahun ini, iaitu Anugerah Amalan ESG Terbaik E50,” katanya.

Selain sesi dialog dan perkongsian, peserta juga berpeluang mengambil bahagian dalam sesi bengkel yang memberikan pengetahuan praktikal dan boleh diguna pakai dalam membangunkan pelan kelestarian perniagaan firma dan membimbing mereka dalam menyediakan pelaporan ESG.

Bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan pemahaman dan pengetahuan peserta tentang amalan ESG dan menggalakkan mereka untuk mengambil langkah pertama dalam perjalanan ESG.

Acara ini disokong oleh ASEAN Hong Kong, China Free Trade Agreement Economic and Technical Cooperation (AHKCFTA ECOTECH) Work Programme.

Martabat kehidupan bandar: TMOG jalin kerjasama dengan PKNS, DatumCorp International untuk Datum Jelatek Residence

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pengubahsuai rumah moden terkemuka di Malaysia, The Makeover Guys (TMOG) teruja mengumumkan kerjasamanya dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan DatumCorp International (DCI), menandakan satu hal penting dalam kehidupan mewah di Datum Jelatek Residence.

TMOG telah dilantik sebagai pengubahsuai rumah rasmi untuk tawaran promosi unit terhad dan masa terhad secara eksklusif di Datum Jelatek Residence.

Pembeli rumah Datum Jelatek Residence akan berpeluang eksklusif untuk menikmati pakej percuma TMOG, yang menampilkan unit yang disusun rapi dan dilengkapi perabot berjenama.

Tawaran ini tersedia semata-mata kepada pembeli rumah baharu Datum Jelatek Residence, memastikan pengalaman mereka menjalani kehidupan yang sempurna tanpa kerumitan perbelanjaan pengubahsuaian yang mahal.

Pakej reka bentuk sedia bergerak yang ditawarkan oleh TMOG juga menyediakan tahap fleksibiliti seterusnya untuk pembeli rumah Datum Jelatek, kerana ia akan disesuaikan dengan keperluan dan keinginan individu pembeli.

Selain itu, setiap pembelian unit akan menerima baucar peralatan rumah percuma bernilai sehingga RM5,000, menambah nilai lagi kepada pelaburan keseluruhan.

Dengan kos pengubahsuaian yang diserap oleh pemaju, pembeli rumah boleh berseronok dengan kemudahan unit yang lengkap dari saat mereka menerima kunci, menjimatkan masa, usaha dan perbelanjaan yang berkaitan dengan pengubahsuaian tradisional.

“Kami gembira bekerjasama dengan PKNS dan DCI dalam membangunkan taraf hidup mewah yang boleh diakses untuk pemilik rumah tempatan.

“Melalui pakej lengkap kami yang disusun rapi, kami berhasrat untuk menyediakan pemilik rumah yang arif bukan sahaja kemudahan, tetapi juga pintu masuk ke dunia baharu kehidupan mewah.

Adalah penting bagi kami bahawa rumah baharu ini benar-benar menjadi cerminan citarasa dan pilihan unik pembeli kami,” kata Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif The Makeover Guys, Gavin Liew.

Datum Jelatek Residence berdiri sebagai bukti komitmen PKNS dan DCI yang tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan dan inovasi.

Dengan sejumlah 712 unit yang direka dengan teliti tersebar di seluruh tanah pegangan pajak utama seluas 5.6 ekar, Datum Jelatek Residence menawarkan pelbagai saiz unit antara 550 kaki persegi hingga 1645 kaki persegi, memenuhi pelbagai keperluan penduduk bandar moden.

Disiapkan pada 2022, projek berorientasikan transit ini disepadukan dengan lancar dengan persekitarannya, memberikan kemudahan dan ketersambungan kepada penduduk ke mercu tanda rekreasi dan hab runcit ikonik Kuala Lumpur.

Ini telah memperoleh pengiktirafan berprestij, termasuk penarafan Indeks Bangunan Hijau Perak (GBI) yang diidamkan.

Kerjasama penting antara TMOG, PKNS dan DCI ini melambangkan visi kecemerlangan dan kemampanan bersama dengan pengalaman pelanggan sebagai teras.

Bersama-sama, perkongsian ini bersedia untuk menetapkan penanda aras baharu kehidupan mewah, mentakrifkan semula landskap industri hartanah di Malaysia.

Shah Iskandar, Puteri Sarah wajah baharu Polis Peronda di jalan raya

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Drama siri aksi kepolisan Polis Peronda akan menemui penonton sepanjang lima episod bermula 28 Jun, setiap Jumaat jam 10 malam.

Siri Polis Peronda ini diterbitkan oleh Skop Productions Sdn. Bhd dan diarahkan oleh penerbit dan pengarah terkemuka tanahair iaitu Datuk Yusof Haslam, Syafiq Yusof dan C. Kumaresan, serta dibarisi pelakon terkenal seperti Shah Iskandar, Puteri Sarah, Ali Reza, Ramona Zamzam, Raja Afiq, Soffwany Yusoff, Kodi Rasheed dan ramai lagi.

Drama bersiri ini dijangka membawa penonton menyelami dunia kepolisan dengan lebih mendalam melalui jalan cerita yang penuh dengan aksi, misteri dan emosi. 

Polis Peronda menceritakan tentang pengalaman dan tema yang berkait rapat dengan Unit Kereta Peronda (Unit MPV) PDRM dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang berdepan dengan pelbagai senario mencabar dalam tugasan harian.

Ia juga berkisar tentang kehidupan harian sekumpulan unit peronda polis yang berusaha menjaga keamanan dan ketenteraman ibu kota. 

Siri ini tidak hanya menumpukan kepada aksi penyiasatan jenayah, tetapi juga memberi tumpuan kepada cabaran peribadi yang dihadapi oleh setiap anggota polis, termasuk hubungan keluarga, konflik dalaman, dan moraliti.

Yusof berkata, Polis Peronda adalah sebuah drama kepolisan yang julung kalinya memaparkan tentang kerjaya polis peronda, termasuk Petrol Car dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

“Keistimewaannya, sejak hampir 40 tahun saya menerbitkan drama kepolisan, belum pernah ada drama yang memaparkan kisah polis peronda secara mendalam.

“Polis peronda adalah ‘front liner’ dalam jabatan polis, yang biasanya sampai ke lokasi jenayah atau kemalangan lebih awal. Drama ini mengupas peranan dan kehidupan mereka, memperlihatkan masalah dan cabaran harian yang dihadapi, termasuk konflik keluarga dan tanggungjawab sebagai suami dan bapa.

“Dengan ini, kami ingin menonjolkan bahawa anggota polis peronda juga adalah manusia biasa yang mempunyai kehidupan dan masalah tersendiri selain daripada tugas mereka menjaga keselamatan masyarakat,” katanya.

Yusof berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada pihak Bukit Aman dan IPD Gombak, khususnya ACP Arifin, atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan projek ini.

“Pelakon seperti Puteri Sarah, Ramona Zamzam, Shah Iskandar, Raja Afiq, dan Ali Reza telah memberikan komitmen tinggi, meskipun banyak cabaran yang dihadapi ketika penggambaran di jalan raya yang sibuk.

“Dengan kerjasama yang erat antara Skop Productions, TV3, dan Polis Diraja Malaysia, kami berjaya menghasilkan drama yang memaparkan kisah kehidupan dan kerjaya anggota polis peronda dengan realistik dan mendalam,” katanya lagi.

Polis Peronda mengisahkan tentang Koperal Bani (Shah Iskandar), seorang ahli pegawai Unit MPV komited dengan tugasnya walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan halangan. Ketekunan dan sikap disiplin Koperal Bani dalam menjalankan tugasnya juga disenangi anggota dan pegawai polis yang lain.

Dalam sebuah operasi, Koperal Bani dan Lans Koperal Amar (Raja Afiq) dari unit MPV memburu sebuah kereta yang dipandu laju dalam keadaan mencurigakan.

Setelah menahan kereta terbabit, rupanya pemandu adalah seorang lelaki remaja, Aiman yang berusia 16 tahun.  Ibu Aiman dipanggil ke balai untuk memberi keterangan.

Dalam pada itu juga Lans Koperal Ali (Arwan Umar) dan Husin (Kodi Rasheed) dari unit rondaan bermotosikal (URB) berhadapan dengan kes-kes ragut.

Dalam masa yang sama, Inspektor Sarah (Puteri Sarah) pula sering ditegur oleh ASP Danial (Ali Reza) supaya mengawasi tugasan anggota bawahannya.

Dapatkah pasukan Unit MPV dan URB ini membongkar sindiket jenayah jalanraya yang berleluasa dan menjaga keselamatan komuniti? Nantikan siri Polis Peronda ini setiap Jumaat, jam 10 malam hanya di TV3.

Meterai MoU, CADB dan NMSB teroka kerjasama teknikal untuk kenderaan elektrik

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Persatuan Pengimpot Dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) melalui anak syarikatnya, Central Auto Distributors Bhd (CADB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan NexV Manufacturing Sdn Bhd (NMSB) untuk kolaborasi menjadikan Malaysia pusat serantau untuk pengeluaran dan pemasangan kenderaan elektrik (EV), Dongfeng Box.

Disaksikan oleh Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Industri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Faisal Mohd Yusof, majlis MoU itu berlangsung di Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).

MoU itu bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua syarikat dalam aktiviti pemasangan kenderaan, dengan NMSB menyediakan fasiliti dan CADB bertanggungjawab terhadap pemasaran serta pengedaran kenderaan elektrik.

Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, CADB sedang meneroka program CKD untuk pengeluaran kenderaan elektrik dari China iaitu Dongfeng Motor (DFM).

Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin.

Katanya, usaha itu sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang untuk menyokong visi kerajaan dan selaras dengan misi PEKEMA untuk meningkatkan penyertaan ahli-ahli dalam perniagaan dan ekosistem kenderaan elektrik.

“Melalui CADB, PEKEMA berhasrat untuk membangunkan program pembangunan bakat tempatan dan vendor untuk kenderaan elektrik.

“Kami juga berharap untuk mencapai pemindahan teknologi yang berjaya dengan Dongfeng Motor yang membuat pelaburan besar dalam teknologi automotif di China,” katanya.

Beliau berkata, ini termasuklah peluang untuk ahli PEKEMA terbabit dalam perniagaan pengedaran dan perkhidmatan selepas jualan untuk model Dongfeng Box di bawah Syarikat Dongfeng Motor.

“Ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada industri tempatan tetapi juga bakal membuka peluang kepada ahli-ahli kami untuk mengambil bahagian dalam pengedaran dan perkhidmatan selepas jualan,” katanya lagi.

Perjanjian MoU antara Central Auto Distributors Bhd (CADB) dan NexV Manufacturing Sdn Bhd (NMSB) dijangka akan membuka lembaran baharu dalam industri automotif Malaysia, khususnya dalam era peralihan kepada kenderaan elektrik yang mesra alam.

Dengan termeterainya MoU ini, kedua-dua pihak akan meneruskan perbincangan untuk memuktamadkan perjanjian definitif yang akan memperincikan aktiviti-aktiviti kerjasama yang bakal dijalankan.

Meraikan 18 tahun Bandaraya Petaling Jaya, MBPJ jayakan ‘Petaling Jaya International Folklore Festival 2025’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Tarikh 20 Jun adalah tarikh yang amat bermakna kepada seluruh warga bandaraya Petaling Jaya kerana pada 18 tahun yang lalu pada 20 Jun 2006, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah dinaik taraf statusnya daripada Majlis Perbandaran kepada Majlis Bandaraya.

Menelusuri garis masa selama 18 tahun ini, Petaling Jaya telah mengalami pembangunan dan perubahan pesat seiring dengan perkembangan teknologi.

“Tahun ini, “Petaling Jaya Bandar Paling Bahagia” diangkat menjadi tema untuk Sambutan Ulang Bandaraya Petaling Jaya Ke-18.

“Untuk makluman, Majlis Bandaraya Petaling Jaya telah menerima Anugerah Bandar Paling Bahagia 2024 sempena Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia (Happiness Index) Peringkat Kebangsaan yang bertemakan “Bahagia Bersama Malaysia MADANI.

“MBPJ komited dalam mempertingkatkan usaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan berusaha mencetuskan dan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk kesejahteraan warga bandar raya Petaling Jaya,” katanya dalam satu kenyataan.

MBPJ berkata, bagi menghargai warga Petaling Jaya dan sempena sambutan ulang tahun bandaraya, sebanyak 37 aktiviti dan program dilaksanakan sepanjang bulan Jun ini bagi mengeratkan hubungan di antara MBPJ dengan warga Petaling Jaya.

Selain itu, objektif perlaksanan aktiviti ini adalah untuk menggalakkan penyertaan dari semua peringkat komuniti.

“Kemuncak sambutan Ulang Tahun Ke-18 Bandaraya Petaling akan diadakan pada Sabtu ini, 29 Jun jam 8 malam dengan Majlis Perasmian Ulang Tahun Petaling Jaya 2024 dan Promosi “Petaling Jaya International Folklore Festival 2025” di Laman MBPJ, Jalan Yong Shook Lin, Petaling Jaya.

“Pertandingan perarakan adalah salah satu pengisian acara kemuncak Sambutan Hari Ulang Tahun Bandaraya Petaling Jaya Ke-18.

“Dalam perarakan itu, sebanyak dua kategori akan dipertandingkan iaitu kategori Majlis Perwakilan Peduduk dan kategori terbuka yang membabitkan agensi-agensi kerajaan, badan korporat dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

“Hampir 400 orang peserta dijangka akan menyertai perarakan dengan jumlah keseluruhan 13 penyertaan untuk merebut tempat pertama yang menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 berserta sijil dan plak.

“Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000 dan RM1,000 beserta sijil dan plak,” katanya.

Kenyataan itu berkata lagi, acara kemuncak ini akan diserikan lagi dengan persembahan kebudayaan dan nyanyian oleh artis tanah air seperti Fahimi, Victoria Ng, Santesh, Black Mentor, Aisha Retno dan pertunjukan bunga api.

“MBPJ mensasarkan untuk menjadikan Petaling Jaya sebagai sebuah bandaraya berdaya tahan yang berkebolehan menguruskan kemampanannya bagi mendepani gangguan dan kejutan terhadap alam sekitar, komuniti dan ekonomi.

“Selaras dengan matlamat berkenaan, pembangunan mampan untuk satu tempoh jangka masa panjang disediakan MBPJ iaitu “Petaling Jaya Pintar, Mampan dan Berdaya tahan 2030 (Petaling Jaya Smart, Sustainable & Resilient 2030 – PJSSR)”.

“Petaling Jaya dirancang menjadi sebuah bandaraya “a next generation city” yang inklusif, terhubung, kolaboratif, berekologi, sihat, dinamik, berteknologi digital dan menjadi bandar raya berdaya tahan yang berkebolehan menguruskan kemampanannya bagi mendepani gangguan dan kejutan terhadap alam sekitar, komuniti dan ekonomi,” katanya.

Katanya, pada 20 Jun, MBPJ telah menawarkan perkhidmatan percuma kepada orang awam khususnya warga Petaling Jaya seperti tempat letak parking (on street parking), penggunaan kemudahan kolam renang, padang dan gelanggang sukan, 500 keahlian Perpustakaan Komuniti, 1000 anak pokok dan abate (ubat jentik-jentik).

“Selain itu, MBPJ juga telah membuka kaunter bayaran, kaunter semakan dan juga pameran kepada orang ramai.

“Antara pengisian lain sepanjang bulan ini termasuk PJ Berselawat (27 Jun), Sukan Komuniti (29 Jun), Sumbangan PJ Prihatin (29 Jun), dan PJ Tower Run (30 Jun).

“Larian Menara MBPJ setinggi 25 tingkat dengan 552 anak tangga ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM 10,000 serta penampilan khas Soh Wai Ching, pelari menara nombor satu negara,” katanya.

Selari dengan visi MBPJ untuk menjadikan Petaling Jaya sebagai sebuah bandaraya pintar, mampan, berdaya tahan dan dinamik menjelang tahun 2025, diharapkan sambutan ulang tahun ini dapat memperkukuhkan lagi usaha terbabit dan menggalakkan penglibatan seluruh komuniti dalam merealisasikan visi ini.

Orang ramai dijemput hadir untuk bersama-sama memeriahkan acara-acara yang telah disusun sepanjang bulan ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai program dan aktiviti sambutan ulang tahun, layari laman sesawang rasmi MBPJ di www.mbpj.gov.my atau kunjungi laman sosial rasmi Majlis (Facebook: @petalingjayacitycouncil, Twitter; Instagram: @pjcitycouncil).

Jangan taasub, universiti perlu fokus kemenjadian pelajar, bukan kriteria penarafan universiti dunia

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Universiti tempatan tidak boleh taasub dan terlalu sibuk memenuhi kriteria ditetapkan badan penarafan dunia sehingga mengetepikan fungsi utama universiti iaitu melahirkan pelajar yang cemerlang selaras dengan keperluan masyarakat, industri dan negara.  

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, pihaknya tidak menolak kewajaran bersaing dalam penarafan universiti atau ranking di peringkat global kerana perkara itu memberi persepsi umum mengenai kualiti pendidikan tinggi sesebuah institusi dan negara.

Katanya, apa yang lebih penting untuk pembangunan masyarakat dan negara ialah kualiti graduan yang dihasilkan universiti, sama ada memenuhi lonjakan pertama yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 iaitu graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang atau sebaliknya.

“Tidak guna sekiranya kedudukan universiti Malaysia baik dalam penarafan dunia, namun ketidakpadanan graduan dan pekerjaan berterusan dengan kekurangan kemahiran insaniah kerana keadaan ini tidak mencerminkan situasi sebenar mengenai kualiti graduan.

“Apabila ketidakpadanan ini berlaku, pastinya ada sesuatu yang kurang tepat dalam sistem penilaian penarafan universiti dunia yang digunakan.

“Kita mahukan pelajar dan graduan dihasilkan universiti tempatan cemerlang dengan jiwa seperti yang diungkapkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, keutamaan dalam usaha menetapkan penarafan atau rating sesebuah universiti ialah memberikan perhatian serius kepada kualiti pelajar serta graduan yang menjadi pemegang taruh terbesar atau teras utamanya.

Beliau berkata, selain memberi penekanan terhadap kriteria penarafan universiti seperti penulisan ilmiah dan penyelidikan, universiti perlu memberi fokus kepada kualiti pelajarnya terutama dalam konteks meningkatkan nilai, norma, sikap dan kemahiran insaniah.

Katanya, usaha ini tidak mudah dan memerlukan komitmen di setiap peringkat sesebuah universiti daripada pengurusan tertinggi hingga ke tenaga pengajar, staf sokongan serta alumni.

“Sekiranya kita dapat menyeimbangkan antara kecemerlangan dalam kriteria dinilai penarafan universiti dunia itu dengan kualiti pelajar, pastinya akan menjadi kejayaan besar yang seterusnya secara langsung memberi impak kepada penarafan universiti.

“Dengan itu, saya yakin masyarakat dunia akan berpusu-pusu datang ke Malaysia untuk menyambung pengajian di universiti kita yang bukan sahaja mempunyai ranking baik, malah sebagai institusi yang melahirkan graduan holistik dambaan majikan serta industri di dalam dan luar negara, seterusnya menjadikan negara ini sebagai hab pendidikan tinggi global.

“Di peringkat MQA, kita sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada IPT untuk berusaha ke arah ini, selain sering mengingatkan mereka kualiti itu bukan sekadar berbentuk penyelidikan dan penghasilan jurnal berimpak sahaja, tetapi graduan yang dikeluarkan,” katanya.  

Beri kaedah alternatif rawat pesakit buah pinggang, Prof Dr Ab Aziz terima anugerah Asia Book of Records

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Selama 13 tahun berjuang dalam membantu pesakit buah pinggang, Pengasas, Pengerusi dan Pengarah Neo Medicare, Prof Dr Ab Aziz Al Safi berbangga apabila usahanya itu diiktiraf oleh Asia Book of Records.

Menerusi anugerah yang diterima, Prof Ab Aziz berjaya merawat seramai 5,000 pesakit buah pinggang dalam pelbagai peringkat sehingga berjaya dan bebas daripada sakit yang diderita.

Menurutnya, tanpa dialisis dengan kaedah rawatan alternatif yang dijalankan diharap dapat membantu lebih ramai lagi pesakit buah pinggang pada masa akan datang.

“Menerusi rawatan yang disediakan untuk pesakit buah pinggang kronik (CKD) kami menggabungkan rawatan perubatan alopatik konvensional bersama teknik perubatan integratif seperti pengubahsuaian diet, rendaman air panas, rawatan 360 darjah yang diperkenalkan oleh Dr Binwaroop Roy Chowdhury, dan terapi bekam.

“Pesakit hanya perlu menjalani rawatan sekali seminggu sehingga mereka benar-benar pulih disamping nasihat dan penjagaan makanan seimbang yang disarankan. Semua rawatan ini kami jalankan di klinik Neo Medicare di Kota Bharu, Kelantan,” katanya.

Selain daripada sumbangannya yang luar biasa dalam rawatan CKD, Prof Ab Aziz juga adalah mantan Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM) dan Pakar Perunding Kanan di Pusat Diabetes Hospital USM, Kubang Kerian, Kelantan.

Beliau turut mengetuai Kumpulan Penyelidik Bekam Klinikal USM Kubang Kerian dan juga Pengasas serta Penyelaras Kursus Diploma Eksekutif Jurubekam Klinikal di USM.

Pencapaian beliau tidak hanya terbatas dalam bidang klinikal tetapi juga diiktiraf dalam pelbagai bidang akademik dan penyelidikan.

Pasukan Kumpulan Neo Medicare adalah pakar dalam menggunakan penjagaan perubatan integratif untuk menyelesaikan penyakit kronik seperti penyakit CKD, diabetes mellitus dan sindrom metabolik serta penyakit kronik yang lain.

Kumpulan perubatan itu turut menyediakan kelengkapan dengan pelbagai mesin dan peralatan canggih serta termaju seperti hipertermia, ECP, CTU dan i-tera bagi mempercepatkan proses pemulihan.

Bagi orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai rawatan penyakit buah pinggang ini layari www.Neomedicaregroup.com dan www.elakdialisis.com.

Terus ligat atur langkah, Dolla tampil dengan ‘Here4U’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Terus mencipta jejak baharu dengan begitu cepat, Dolla sentiasa ada sesuatu yang baru di tangan mereka.

Baru sahaja mengumumkan konsert mereka yang akan datang beberapa minggu lalu, kini mereka muncul pula dengan sebuah karya hebat berjudul ‘Here4U’ yang mengukuhkan sokongan mereka terhadap peminat mereka yang bergelar iDOLLAs.

Lebih istimewa, lagu ini dicipta dan ditulis bersama oleh salah seorang ahli kumpulan ini sendiri iaitu Tabby.

“Semuanya bermula dari petikan muzik instrumental indah yang anda dengar dalam lagu itu. Salah seorang komposer lagu ini, Hyuk Shin memberi saya peluang untuk bersama-sama menulis lagu dan menghasilkan melodi.

“Dia dan seorang lagi komposer Chris Young, membimbing saya dengan baik sepanjang proses itu. Memikirkan konsert Dolla yang akan datang, kami rasa ia adalah waktu yang tepat untuk menghasilkan lagu khusus buat peminat kami.

“Selepas mencipta melodi di studio, saya pulang ke rumah untuk memikirkan lirik yang sesuai dan inilah hasilnya. Inspirasi besar di sebalik Here4U adalah iDollas.

“Mereka mengejutkan kami setiap kali dengan menyokong dan sentiasa bersama kami dalam setiap situasi sukar yang pernah kami lalui.

“Mereka benar-benar tulang belakang dalam kehidupan Dolla. Saya juga mendapat inspirasi daripada Dolla. Ini adalah ucapan terima kasih yang tulus kerana bertahan melalui semua Halangan,” kata Tabby.

Seperti beberapa lagu hit mereka sebelum ini, lagu ini didatangkan dalam dua versi iaitu satu dalam bahasa Malaysia yang ditulis oleh Putri Dahlia, Tabby dan Hyuk Shin, manakala versi Inggeris pula ditulis oleh Tabby dan Hyuk Shin.

Sementara itu, Sabronzo berkata pengalaman bekerja menyiapkan lagu ini sangat menyenangkan.

“Ia sesuatu yang sangat bagus kerana penulis lagu adalah ahli kami sendiri. Visi untuk lagu ini telah diterjemahkan dengan baik di dalam dan kami berasa gembira menjadi sebahagian daripada projek yang menghubungkan semua orang secara peribadi,” katanya.

Untuk melengkapkan lagu ini, sebuah lirik video yang menceritakan perjalanan mereka dari awal turut dihasilkan. Ia adalah gambaran visual tentang apa yang telah mereka lalui untuk berada di tahap sekarang.

Video berkenaan dihasilkan dengan gabungan aneka klip video yang telah mereka rakam menggunakan telefon bimbit masing-masing.

Sudahpun berada di laman YouTube, babak-babak indah itu kini dikongsi untuk tatapan seluruh dunia.

Biarpun sibuk mengeluarkan single baru dan sedang membuat persiapan demi konsert mereka yang akan datang, gadis-gadis itu nampaknya bakal mengumumkan lebih banyak kejutan dalam masa terdekat.

“Dolla pastinya sedang mengusahakan pelbagai rancangan untuk aneka festival yang besar sepanjang tahun ini. Selain itu, kami juga sedang menghasilkan muzik baharu dan juga menyusun hala tuju kami sebagai sebuah kumpulan yang ingin bergerak ke hadapan.

“Kami berharap peminat menyukai lagu ini kerana kami banyak berfikir untuk menyiapkannya, semoga peminat dapat menghayati dan memahami pesanan dalam lagu ini,” kata Angel pula.

Kumpulan itu juga berharap peminat mereka akan sedar bahawa lagu ini ditujukan khas buat mereka.

“Kami ingin mereka mengetahui bahawa lagu itu adalah satu penghormatan terhadap sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi sepanjang tahun ini.

“‘Here4U’ adalah surat terbuka untuk IDOLLA kami dalam bentuk lagu,” akhiri Sabronzo.

Here4U kini boleh didengar di semua platform digital.

Eskayvie sasar lahirkan 75 ribu pelajar cemerlang melalui kempen Booster Minda

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Syarikat pengeluar produk kesihatan halal nombor satu di Malaysia, Eskayvie berbangga dengan pencapaian ribuan pelajar yang meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023/2024.

Sebagai tanda penghargaan, Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SPM Eskayvie Mindtropic diadakan semalam, 22 Jun di Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam untuk bersama-sama meraikan kejayaan pelajar, selain menyanjung tinggi usaha dan komitmen ibu bapa dalam memastikan anak-anak mereka berjaya dengan pengambilan vitamin booster minda Eskayvie Mindtropic.

Majlis anugerah diserikan dengan kehadiran CEO Eskayvie, Dr. Syid Ayob Syid Mustafa Al Qudri, Pengarah Urusan Eskayvie, Kartika Wati Mohamed dan Duta Eskayvie, Datuk Aznil Nawawi.

Kriteria pelajar cemerlang Eskayvie Mindtropic yang dipilih adalah berdasarkan dua kategori di mana kategori pertama, pelajar yang mencapai semua subjek A dalam peperiksaan SPM, kategori kedua adalah pelajar yang mencapai peningkatan gred di dalam Peperiksaan SPM berbanding Peperiksaan Percubaan SPM yang lalu.

Pemilihan ini sejajar dengan usaha Eskayvie yang sentiasa komited dalam membantu meningkatkan tahap keupayaan minda pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam pembelajaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Eskayvie, Dr Syid Ayob Syid Mustafa Al-Qudri berkata, silibus pembelajaran zaman sekarang yang semakin susah dan mencabar membuatkan anak-anak terpaksa bergelut dan memerlukan usaha 200 peratus untuk memastikan mereka dapat  skor dalam exam.

“Bayangkan jika anak anda berjaya meningkatkan keupayaan otak berkali ganda dengan pengambilan nutrisi yang berkesan seperti Phosphatidylserine.

“Ia adalah nutrisi utama yang diperlukan untuk meningkatkan prestasi otak serta melindungi sel-sel otak akibat stres yang berlebihan.

“Eskayvie menghasilkan vitamin booster minda iaitu Eskayvie Mindtropic, diformulasikan menggunakan Phosphatidylserine yang dapat membantu menaikkan empat paras hormon utama iaitu Serotonin (mengawal mood dan emosi), Dopamine (meningkatkan motivasi dan positiviti), Norepinephrine (meningkatkan fokus dan kewaspadaan) dan Acetylcholine

(memperbaiki kognitif dan memori), seterusnya menjadikan pelajar dan murid lebih bersemangat untuk belajar, lebih fokus dan Insya-Allah boleh perform dan mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan,” katanya.

Beliau berkata, Anugerah Pelajar Cemerlang Eskayvie Mindtropic yang disampaikan ini bukan sekadar kepada pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang tetapi turut menghargai setiap usaha keras yang dilakukan oleh setiap daripada mereka.

“Eskayvie menilai kejayaan bukan sekadar di atas kertas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi juga menerusi sokongan yang diberikan oleh ibu bapa.

“Booster Minda, kempen terbaharu yang dilancarkan oleh Eskayvie adalah satu inisiatif hebat bagi membantu pelajar mencapai kecemerlangan dalam pelajaran menerusi Eskayvie Mindtropic dan Eskayvie Mindtropic Junior.

“Kempen ini menawarkan sokongan komprehensif menerusi tiga inisiatif utama iaitu yang pertama, pengambilan nutrisi yang seimbang bagi menyokong fungsi kognitif, yang kedua menyediakan sokongan pembelajaran dan yang ketiga menggalakkan penglibatan ibu bapa dalam menyokong pembelajaran anak-anak yang lebih positif,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Eskayvie, Kartika Wati Mohamed berkata, sebagai ibu bapa, ramai tidak sampai hati melihat anak-anak struggle.

“Melalui inisiatif yang telah disusun oleh Eskayvie, kita akan membantu pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

“Alhamdulillah Eskayvie Mindtropic dan Eskayvie Mindtropic Junior adalah solusi kepada kegusaran ibu bapa dan bantuan kepada murid dan pelajar untuk perkembangan minda mereka.

“Dengan wujudnya kempen Booster Minda ini, kami mensasarkan untuk melahirkan 75 ribu pelajar cemerlang.

“Insya-Allah lebih ramai masyarakat akan didedahkan tentang kepentingan pengambilan nutrisi melalui program kesedaran, pendidikan dan seminar-seminar yang akan diadakan dari semasa ke semasa.

“Saya berbangga dengan ibu bapa yang berikhtiar dengan Eskayvie Mindtropic dan Eskayvie Mindtropic Junior untuk menyokong pembelajaran anakanak mereka,” katanya.

Semua pelajar yang dijemput hadir untuk menerima penghargaan ini datang dari seluruh Malaysia dan mempunyai latar belakang hidup yang berbeza-beza.

Tiada diskriminasi dalam pendidikan, Eskayvie optimis bahawa tahap kecerdasan minda pelajar sentiasa dapat ditingkatkan dengan pengambilan Eskayvie Mindtropic yang mengandungi bahan nootropik (penggalak minda) dan bahan adaptogen (mengawal stres) seperti Phosphatidylserine, Ashwagandha KSM-66®, Bacopa monnieri, Selenium dan Magnesium.

Nutrisi hebat ini membantu dalam menguatkan memori yang tajam serta meningkatkan kapasiti minda yang lebih besar dan hebat.