editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Drama siri aksi kepolisan Polis Peronda akan menemui penonton sepanjang lima episod bermula 28 Jun, setiap Jumaat jam 10 malam.
Siri Polis Peronda ini diterbitkan oleh Skop Productions Sdn. Bhd dan diarahkan oleh penerbit dan pengarah terkemuka tanahair iaitu Datuk Yusof Haslam, Syafiq Yusof dan C. Kumaresan, serta dibarisi pelakon terkenal seperti Shah Iskandar, Puteri Sarah, Ali Reza, Ramona Zamzam, Raja Afiq, Soffwany Yusoff, Kodi Rasheed dan ramai lagi.
Drama bersiri ini dijangka membawa penonton menyelami dunia kepolisan dengan lebih mendalam melalui jalan cerita yang penuh dengan aksi, misteri dan emosi.
Polis Peronda menceritakan tentang pengalaman dan tema yang berkait rapat dengan Unit Kereta Peronda (Unit MPV) PDRM dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang berdepan dengan pelbagai senario mencabar dalam tugasan harian.

Ia juga berkisar tentang kehidupan harian sekumpulan unit peronda polis yang berusaha menjaga keamanan dan ketenteraman ibu kota.
Siri ini tidak hanya menumpukan kepada aksi penyiasatan jenayah, tetapi juga memberi tumpuan kepada cabaran peribadi yang dihadapi oleh setiap anggota polis, termasuk hubungan keluarga, konflik dalaman, dan moraliti.
Yusof berkata, Polis Peronda adalah sebuah drama kepolisan yang julung kalinya memaparkan tentang kerjaya polis peronda, termasuk Petrol Car dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB).
“Keistimewaannya, sejak hampir 40 tahun saya menerbitkan drama kepolisan, belum pernah ada drama yang memaparkan kisah polis peronda secara mendalam.
“Polis peronda adalah ‘front liner’ dalam jabatan polis, yang biasanya sampai ke lokasi jenayah atau kemalangan lebih awal. Drama ini mengupas peranan dan kehidupan mereka, memperlihatkan masalah dan cabaran harian yang dihadapi, termasuk konflik keluarga dan tanggungjawab sebagai suami dan bapa.
“Dengan ini, kami ingin menonjolkan bahawa anggota polis peronda juga adalah manusia biasa yang mempunyai kehidupan dan masalah tersendiri selain daripada tugas mereka menjaga keselamatan masyarakat,” katanya.

Yusof berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada pihak Bukit Aman dan IPD Gombak, khususnya ACP Arifin, atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan projek ini.
“Pelakon seperti Puteri Sarah, Ramona Zamzam, Shah Iskandar, Raja Afiq, dan Ali Reza telah memberikan komitmen tinggi, meskipun banyak cabaran yang dihadapi ketika penggambaran di jalan raya yang sibuk.
“Dengan kerjasama yang erat antara Skop Productions, TV3, dan Polis Diraja Malaysia, kami berjaya menghasilkan drama yang memaparkan kisah kehidupan dan kerjaya anggota polis peronda dengan realistik dan mendalam,” katanya lagi.
Polis Peronda mengisahkan tentang Koperal Bani (Shah Iskandar), seorang ahli pegawai Unit MPV komited dengan tugasnya walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan halangan. Ketekunan dan sikap disiplin Koperal Bani dalam menjalankan tugasnya juga disenangi anggota dan pegawai polis yang lain.

Dalam sebuah operasi, Koperal Bani dan Lans Koperal Amar (Raja Afiq) dari unit MPV memburu sebuah kereta yang dipandu laju dalam keadaan mencurigakan.
Setelah menahan kereta terbabit, rupanya pemandu adalah seorang lelaki remaja, Aiman yang berusia 16 tahun. Ibu Aiman dipanggil ke balai untuk memberi keterangan.
Dalam pada itu juga Lans Koperal Ali (Arwan Umar) dan Husin (Kodi Rasheed) dari unit rondaan bermotosikal (URB) berhadapan dengan kes-kes ragut.
Dalam masa yang sama, Inspektor Sarah (Puteri Sarah) pula sering ditegur oleh ASP Danial (Ali Reza) supaya mengawasi tugasan anggota bawahannya.
Dapatkah pasukan Unit MPV dan URB ini membongkar sindiket jenayah jalanraya yang berleluasa dan menjaga keselamatan komuniti? Nantikan siri Polis Peronda ini setiap Jumaat, jam 10 malam hanya di TV3.