32.9 C
Kuala Lumpur
Monday, June 22, 2026
Home Blog Page 192

HeiTech sedia teraju transformasi digital untuk pertumbuhan kewangan yang mampan

editormaxinfo@gmail.com

SUBANG JAYA – HeiTech Padu Berhad (HeiTech atau Kumpulan) bersedia untuk menerajui transformasi digital merentasi pelbagai industri melalui penyelesaian digitalnya untuk pertumbuhan kewangan yang mampan.

Syarikat itu menyasarkan untuk menjadi rakan kongsi teknologi yang berupaya mengintegrasikan teknologi canggihnya seperti keselamatan siber, pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan, untuk membantu pelanggannya berkembang maju dalam era digital dan seterusnya merealisasi aspirasi syarikat menjadi Syarikat Teknologi Digital menjelang tahun 2030.

Bercakap pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-29 HeiTech, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Salmi Nadia Mohd Hilmey, berkata, pihaknya memberi tumpuan pada perniagaan teras dan gembira dengan keputusan positif yang dicapai walaupun berdepan persekitaran operasi yang mencabar.

“Kami akan meneruskan momentum ini dengan mengukuhkan strategi perniagaan, mempelbagaikan tawaran produk dan mempertingkatkan pendigitalan operasi kami.

“Perjalanan kami tertumpu kepada transformasi dan penambahbaikan berterusan. Aspirasi kami adalah untuk menjadi penyedia teknologi digital menyeluruh, menawarkan penyelesaian holistik yang merangkumi penyelesaian bandar pintar, perkhidmatan perusahaan, teknologi penjagaan kesihatan, sistem tenaga dan kuasa, inovasi automotif dan teknologi pertahanan.

“Kami sedang mengatur dan mempertingkatkan tawaran kami untuk memenuhi keperluan pasaran hari ini yang semakin berkembang bagi memastikan kerelevanan dan daya saing.

“Melalui kepakaran dalam penyelesaian bandar pintar, kami menyasarkan untuk terus memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara melalui Internet Benda (IoT), Kepintaran Buatan (AI) dan analisis data,” katanya.

Beliau berkata, HeiTech telah berkembang daripada penyedia perkhidmatan penyepaduan sistem dan infrastruktur terurus kepada penyedia produk dan perkhidmatan teknologi digital.

“HeiTech mengembangkan tawaran dan pasarannya melalui penciptaan produknya sendiri yang sesuai dengan pasaran berasaskan urus niaga dan massa yang merangkumi sistem tempat letak kereta pintar, e-KYC (kenali pelanggan anda melalui platform digital), gerbang pembayaran secara elektronik serta aplikasi pintar untuk pihak berkuasa tempatan, koperasi, penyelesaian pengurusan sekolah dan portal pengajaran.

“Penyelesaian tempat letak kereta pintar kami, Park Smart Plus (PS+), memanfaatkan teknologi geolokasi untuk memberikan pengalaman parkir yang lancar dan meningkatkan pengurusan trafik, kecekapan tenaga dan pengurangan jejak karbon, manakala sistem pengurusan pihak berkuasa tempatan kami, Kolleq, meningkatkan kecekapan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan.

“Hasrat kami adalah untuk membangunkan persekitaran bandar moden yang pintar dan mampan, dengan bekerjasama dengan kerajaan tempatan dan pihak berkepentingan lain,” katanya.

Baru-baru ini, HeiTech mengumumkan prestasi kewangan yang lebih kukuh pada suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (S1 2024) berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Bagi S1 2024, Kumpulan melaporkan keuntungan sebelum cukai (“PBT”) sebanyak RM501,000 dan keuntungan selepas cukai (“PAT”) sebanyak RM231,000.

Ini menandakan peningkatan ketara berbanding suku yang sama tahun sebelumnya, yang menyaksikan kerugian sebelum cukai sebanyak RM3,168,000 dan kerugian selepas cukai sebanyak RM3,344,000.

Walau bagaimanapun, Kumpulan mencatatkan hasil yang lebih rendah sebanyak RM61,633,000 bagi S1 2024, susut sebanyak RM9,913,000 daripada RM71,546,000 yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Kumpulan kekal kukuh dalam sektor awam dan swasta, memperoleh kontrak baharu dengan Jabatan Pengangkutan Jalan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Kesihatan, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, dan lanjutan kontrak dengan Jabatan Imigresen Malaysia.

Kontrak-kontrak ini menggambarkan kekuatan Kumpulan dalam menguruskan projek infrastruktur berskala besar dan kritikal serta menunjukkan keupayaannya untuk menyampaikan penyelesaian menyeluruh merentas pelbagai sektor.

“HeiTech akan meraikan ulang tahun ke-30, satu peristiwa penting yang membuktikan daya tahan, kesungguhan dan kebolehsuaian kami sepanjang tiga dekad yang lalu. HeiTech sememangnya telah melalui perjalanan yang luar biasa, mengharungi pelbagai cabaran dan kami akan muncul lebih kuat setiap kali berdepan ujian getir.

“Kekuatan yang berkekalan ini telah mengukuhkan legasi kami sebagai organisasi yang teguh dan berpandangan jauh.

“Komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan dan inovasi telah membolehkan kami merebut peluang pertumbuhan baharu sambil terus berdedikasi untuk berkhidmat kepada pelanggan dan pihak berkepentingan kami,” katanya.

Temui penonton di Malaysia 5 Julai ini, Customs Frontline gandingkan Legenda Jacky Cheung, Nicholas Tse & Karena Lam

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Menerima sambutan hangat dan pujian saat ditayangkan pada 26th Far East Film Festival di Udine, Itali, Mei lalu sebelum meledak di pawagam Hong Kong, Customs Frontline siap memukau penonton di Malaysia bermula 5 Julai ini.

Customs Frontline yang menerima sentuhan emas sutradara, Herman Yau bukan sebuah naskhah klise tentang barisan hadapan (frontline) biasa tetapi mengangkat kepayahan, semangat juang dan kecekapan anggota Kastam Hong Kong membenteras jenayah global termasuk penyeludupan senjata api yang jarang memfokus atau menonjolkan kepakaran anggota kastam.

Bagaimanapun menerusi Customs Frontline yang diproduksi Jason Siu, penonton akan didedahkan dengan kecekapan anggota kastam membenteras jenayah melalui kesan lakon layar terbaik yang diterajui Erica Li dan Eric Lee.

Tentu sahaja sesebuah filem tidak akan ‘bersinar’ tanpa bintang-bintang hebat yang memukau penonton saat ditayangkan di layar lebar.

Membariskan bintang berkaliber dengan penampilan perdana legendaris Jacky Cheung selepas lapan tahun berehat berganding mantap bersama aktor berbakat besar, Nicholas Tse, Customs Frontline yang turut dibarisi Karena Lam, Yase Liu dan Francis Ng sebagai penampilan khas dipenuhi dengan babak aski dan klimaks tanpa henti.

Nicholas Tse pertama kali jadi koreografer aksi, akan terus risikokan diri

Lebih menarik, Nicholas Tse yang menjayakan karakter Chow Ching-lai turut menjadi koreografer aksi pertama dalam filem yang digarap selama dua tahun ini.

Tse, 43, menzahirkan keterujaan dalam pembabitan filem ini bukan hanya kerana berganding dengan pesohor seperti Jacky Cheung tetapi bagaimana dia merealisasikan babak aksi yang menjadi dambaan selama ini.

“Sewaktu kecil saya selalu meniru aksi Jackie Chan dan Donnie Yen. Jika ditanya, secara jujur saya akan meneruskan tradisi merisikokan diri untuk melakonkan babak aksi dalam filem Hong Kong.

“Kerana itu saya turut menjadi koreografer aksi buat pertama kali dalam sejarah lakonan menerusi Customs Frontline,” katanya.

Pemenang Aktor Terbaik dalam Hong Kong Film Award ke- 31 itu juga mahu terus membawa semangat dan dedikasi yang pernah ditonjolkan mendiang Pengarah Benny Chan menerusi dunia sinema Hong Kong seperti dalam filem Gen-X Cops, New Police Story, Shaolin dan Raging Fire.

Penampilan dengan dua kerja yang dilakukan Tse dalam Customs Frontline juga disifatkan sebagai kesungguhan yang luar biasa dari segi aksi dan lakonan unik yang ditonjolkan.

Cheung sendiri menyifatkan gandingan bersama Tse dan Karena adalah sinergi yang hebat.

“Saya melihat Tse dan Karena membesar dan sinergi mereka sangat menonjol bersama saya di Customs Frontline,” kata pemenang pelbagai anugerah itu.

Penuh aksi tanpa henti, Customs Frontline mendapat kerjasama penuh daripada pihak Kastam Hong Kong termasuk membenarkan penggambaran dijalankan di beberapa lokasi penting seperti Ibu Pejabat Kastam Hong Kong North Point dan Ngong Shuen Chau Naval Base untuk paparan yang lebih realistik.

Untuk menyaksikan bagaimana Customs Frontline akan membuatkan anda mempunyai sudut pandang dan dimensi yang berbeza tentang pekerjaan unit beruniform pegawai kastam yang jarang ditonjolkan, jangan lupa ke pawagam berhampiran anda bermula 5 Julai ini.

Saksikan kehebatan aksi, lakonan dan plot twist yang akan membuat anda tidak senang duduk saat menonton Customs Frontline.

Penampilan perdana Jacky Cheung selepas lapan tahun berehat, kelincahan aksi Nicholas Tse dan Karena Lam bersama barisan pelakon lain akan membuatkan Customs Frontline sebagai filem dengan latar pekerja barisan hadapan terhebat Hong Kong yang anda saksikan tahun ini.

HONOR perkenal ‘AI Defocus Eye Protection’ dan ‘AI Deepfake Detection’ Di MWC Shanghai 2024

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jenama teknologi global HONOR mengumumkan dua inovasi AI pada peranti yang meneraju industri yang dicipta untuk memperkasakan individu dan memperkenalkan tahap baharu keselamatan pengguna di MWC Shahghai 2024, baru-baru ini.

Pada ucaptama HONOR di MWC Shanghai 2024 bertajuk “The Human-AI Synergy: Intelligent Devices Will Empower People Better,” jenama terbabit mempersembahkan kemajuan terkininya dalam kepintaran buatan (AI) berciri kemanusiaan iaitu AI Defocus Eye Protection dan AI Deepfake Detection.

Selain itu, HONOR juga menegaskan tumpuan ke arah AI pada peranti yang berciri kemanusiaan, serta keyakinan dalam potensi bagi perkakasan berkeupayaan AI untuk memperkasakan pengguna dengan menyediakan perkhidmatan pemperibadian sambil melindungi privasi pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif HONOR Device Co., Ltd., George Zhao berkata, AI merevolusikan kehidupan kita dan memandu industri telefon pintar ke hadapan, tetapi industri lebih bertumpu ke arah AI yang berteraskan awan, yang juga sebahagian daripada keseluruhan keupayaan AI ini.

“AI pada peranti yang beroperasi pada telefon pintar memahami kami dengan lebih baik berbanding peranti lain dan berupaya memberikan perkhidmatan yang diperibadikan kepada kami dan kemahuan kami secara unik.

“Di HONOR, kami percaya bahawa AI pada peranti mempunyai potensi untuk memperkasakan pengguna dan menjadi lebih berupaya dalam apa saja yang mereka lakukan.

“Kami mempelawa pemain industri untuk menyertai kami bagi menerokai potensi AI pada peranti yang belum diketahui,” katanya.

Teknologi perlindungan mata yang sentiasa berevolusi daripada pencegahan ke pemulihan

Merujuk kepada peningkatan kes rabun jauh global akibat penggunaan skrin pada jangka masa panjang, teknologi AI Defocus Eye Protection memanfaatkan AI bagi meniru cermin mata nyahfokus pada paparan peranti pintar.

Cermin mata nyahfokus penting kepada kesihatan mata kerana direka untuk mendorong nyahfokus terkawal dalam bidang visual persisian pengguna bagi membantu mengekalkan penglihatan berpusat yang jelas.

Efek ini akan mewujudkan persepsi visual terubah yang memperlahankan proses lekangan retina, yang mengakibatkan rabun jauh. Daripada perlindungan mata kepada pencegahan sehinggalah ke ciptaan teknologi yang boleh membawa kelegaan kepada pengguna, AI Defocus Eye Protection HONOR telah berjaya mengurangkan rabun sementara sebanyak 13 darjah selepas membaca selama 25 minit, dengan segelintir pengguna mengalami pengurangan maksimum sebanyak 75 darjah. 

Mengurangkan Penipuan dengan AI Deepfake Detection

Bagi mengelakkan penipuan dan mengesan kandungan yang dimanipulasi secara digital, AI Deepfake Detection memeriksa maklumat dari bingkai ke bingkai seperti pandangan mata, pencahayaan, kejelasan imej, dan video ulang semula untuk mengenal pasti kecacatan yang tidak dapat dikesan dengan mata kasar.

Selain itu, ciri AI Deepfake Detection telah diuji latih melalui set data besar video dan imej yang berkaitan dengan penipuan rangkaian, membolehkan AI menjalankan identifikasi, saringan, dan perbandingan dalam masa tiga saat.

Sekiranya ciri ini dapat mengesan kandungan yang sintetik atau telah diubah suai, satu amaran risiko akan dikeluarkan kepada pengguna bagi menghalang mereka daripada terlibat dengan sebarang individu atau aktiviti yang berpotensi sebagai tipuan.

‘Rockstar’ taruhan terbaharu Lisa Blackpink

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Bintang rap, penyanyi, penari dan ikon gaya terkenal dunia, Lisa (Lalisa Manobal), mengeluarkan single terbaharunya, berjudul “Rockstar,” melalui LLOUD Co./RCA Records.

“Rockstar” memperlihatkan kebolehan Lisa yang mampu menggabungkan seni rap yang lancar dan vokal pop bertenaga, terutamanya saat dia menyanyikan lirik, “Gold teeth sitting on the dash she a rockstar. Make your favorite singer wanna rap baby lala.”

Lagu baharu ini diterbitkan oleh Ryan Tedder dan Sam Homaee.

Selain lagu berkenaan, Lisa juga berkongsi video rasmi “Rockstar” arahan Henry Schofield dengan koreografi oleh Sean Bankhead.

Dirakam di Bangkok, video ini memberi peluang kepada Lisa untuk menyelami kota kelahirannya sambil memberi penghormatan kepada budaya Thailand dan kehidupan jalanan Thailand yang asli saat dia menampilkan dirinya sebagai seorang bintang rock sejati dengan selingan koreografi yang memukau.  

Lisa pertama kali memperkenalkan sedutan lagu baharu ini pada awal Jun di media sosial melalui hantaran di akaun TikToknya yang memecahkan rekod dunia Guinness dengan mendapatkan 1 juta pengikut dalam waktu 2 jam dan 18 minit.

Selepas dia mengumumkan kelahiran single berkenaan minggu lalu, ia disambut meriah dengan penuh sokongan kegembiraan dari peminat serta media antarabangsa seperti Rolling Stone, Billboard, dan lain-lain.

“Rockstar” adalah single solo pertama Lisa yang dikeluarkan di bawah kerjasama terkini antara syarikat pengurusannya, LLOUD Co., bersama RCA Records.

Dilancarkan awal tahun ini, LLOUD Co ditubuhkan oleh Lisa dalam usaha untuk mencipta platform demi menampilkan matlamat keseluruhannya dalam bidang muzik dan hiburan yang terus maju ke hadapan.

Lisa paling dikenali sebagai anggota salah satu kumpulan nyanyian wanita K-pop paling popular dunia, Blackpink. Selain kejayaannya dengan Blackpink, Lisa telah memecahkan beberapa rekod dunia sebagai seorang artis solo saat lagunya “Lalisa” dan “Money” memasuki carta top 10 Billboard Global 200 dan “Money” pula memegang rekod sebagai lagu yang paling lama bertahan di carta lagu Billboard.

Hot 100 oleh seorang artis solo perempuan K-pop di Amerika Syarikat dan di carta lagu Singles di United Kingdom.

Pada tahun 2023, Lisa memecahkan tiga rekod dunia Guinness dengan pengikut Instagram terbanyak untuk seorang artis K-pop (saat ini 103 juta pengikut di platform berkenaan), dan dia juga adalah pemenang solo K-pop pertama di MTV Video Music Awards dan MTV European Music Awards.

Di luar dunia muzik pula, Lisa akan membintangi musim terbaharu siri hit HBO Original, The White Lotus, musim ke-3. Watak ini akan menjadi pengenalan gahnya di layar TV, malah saat ini dirinya sedang menjalani penggambaran di negara asalnya Thailand.

Selain dominasinya secara global dalam dunia muzik dan seni pentas yang tiada tandingan, dia dikenali juga kerana naluri fesyennya yang unik serta gayanya yang sentiasa mencetuskan trend, ini menjadi kekuatan utamanya dalam industri fesyen dunia.

Dia memiliki beberapa kerjasama besar dan saat ini menjadi wajah Bulgari.

Meneroka sisi gelap godaan dan tahap keinginan manusia, Viu Malaysia lancar siri baharu, Nafsu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Terus ligat menghasilkan karya dan cerita yang menarik, Viu, perkhidmatan penstriman video OTT pan serantau milik PCCW melancarkan siri Viu Original terbaharu iaitu Nafsu.

Nafsu dibarisi oleh barisan pelakon hebat seperti Kamal Adli, Azira Shafinaz, Aqasha, Khayrisyah Kemal dan Nia Atasha.

Drama bersiri 8 episod terbitan Infinitus Productions ini adalah siri Viu Original yang ke-26 ditayangkan di Malaysia dan sudah pun ditayangkan sejak semalam, 27 Jun dengan episod baru pada setiap hari Khamis.

Nafsu menyingkap kisah di sebalik kawasan setinggan dan lorong gelap Kuala Lumpur dan lelaki bernama Sam yang menipu dan menyamar sebagai bomoh demi kelangsungan hidup.

Bersama-sama rakannya, Suria, mereka mengaut duit golongan atasan yang mudah terpedaya dengan ilmu hitam. Namun hakikatnya, Sam memang mempunyai deria keenam dan pernah diajar ilmu Ruqyah semasa kecil, tetapi Sam menolak keupayaan itu kerana suatu tragedi.

Apabila Dina, bekas kekasih Sam datang meminta pertolongan mencari Alia, adik perempuannya yang hilang selepas mendengar suara-suara aneh, Sam cuba menerima anugerahnya bagi membantu Dina.

Kehilangan Alia cumalah satu permulaan kepada suatu ancaman yang lebih besar, membabitkan kumpulan ajaran sesat daripada golongan elit yang diketuai seorang lelaki misteri penuh karisma bernama Gusti.

Disertai Dina dan Suria, Sam bakal diduga dengan perkara-perkara di luar jangkaan akal sementara bandar Kuala Lumpur menyaksikan rancangan besar Gusti berjalan.

Pengurus Negara Viu Malaysia, Kingsley Warner berkata, setelah kejayaan menghasilkan naskhah berbentuk thriller seperti Hilang dan Nenek Bongkok Tiga, mereka sangat teruja untuk membawakan sebuah lagi naskhah buat peminat yang gemarkan siri bergenre ini.

“Dengan jalan cerita yang memukau, elemen mendebarkan serta watak-watak yang ditonjolkan menjadikan Nafsu adalah pilihan tepat untuk ditambahkan dalam senarai siri Viu Original kami.

“Pelakon kami, Kamal Adli, Azira Shafinaz dan Aqasha adalah nama yang sinonim dengan siri Viu Original. Sebelum ini mereka pernah membintangi Viu Original Black S1 & S2, Ijab Kabut dan Hilang.

“Nafsu adalah gandingan pertama mereka bertiga di dalam siri yang berbentuk supernatural dan thriller. Pengalaman dan variasi kemahiran lakonan tersendiri mereka pastinya akan memberikan penonton pengalaman menonton yang lebih tulen dan menarik,” katanya.

Nafsu menjanjikan sebuah pengalaman menonton yang tidak akan dilupakan, berlatarbelakangkan lokasi menarik dan bersejarah di Malaysia, hiruk-pikuk jalan di kota metropolitan Kuala Lumpur, Janda Baik dan Batu Caves.

Garapan sinematografi yang banyak bermain dengan cahaya di dalam siri ini akan membangkitkan mood seram dan mendebarkan serta memberi pengalaman menonton yang berbeza.

Bukan itu sahaja, tenaga produksi berusaha keras bagi mengekalkan keaslian lokasi dan menggambarkan hakikat kawasan kejiranan dalam siri ini.

Diarahkan oleh Sein Qudsi, ini adalah naskhah ketiga arahannya bagi Viu Original.

Bersama Ghaz Abu Bakar, Sein telah mengarah musim kedua Viu Original Black (2021), sebuah adaptasi drama Korea dengan tajuk yang sama.

Karya mereka telah menobatkan mereka anugerah kebangsaan untuk Pengarah Terbaik (Fiksyen) di Asian Academy Creative Awards 2021.

Sein turut menggubah lagu tema Viu Original Nafsu ini berjudul “Kala Tiba” yang dinyanyikan oleh penyanyi terkenal, Marsha Milan.

Insomniacks dan Nabila Taqiyyah, ‘Belum Mulai’ tetapi sudah tular

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sejak kemunculan awal mereka dahulu, kumpulan ini terus mengukuhkan nama mereka dalam industri muzik tempatan.

Tidak mengenal erti putus asa, Insomniacks melebarkan sayap lagi ke negara jiran selepas bekerjasama dengan bintang dari seberang yang semakin meningkat naik iaitu Nabila Taqiyyah menerusi gandingan dalam lagu Belum Mulai.

Nabila Taqiyyah adalah bekas naib juara rancangan realiti tersohor Indonesia iaitu Indonesian Idol musim ke-12 yang ditayangkan di stesen TV RCTI pada tahun 2022 -2023.

Belum Mulai ditulis dan dikompos oleh beberapa entiti berbakat iaitu Clara Riva dan S/EEK. Lagu ini mempunyai nuansa muzik kumpulan kugiran era 2000-an.

Lagu dan video muziknya mengisahkan seseorang yang terpaksa melepaskan seseorang yang sebenarnya belum sempat menjalin hubungan cinta dengannya.

Apa yang menarik adalah sedutan lagu ini yang dikeluarkan pada 12 Jun telah mendapat lebih 850, 000 tontonan di laman sosial Instagram dengan 1,700 komen.

Ini diikuti dengan 730, 000 tontonan bersama 1,700 lebih komen lagi saat pendedahan rekaan muka depan lagu disiar di laman Instagram pada 20 Jun.

Pra-pelancaran lagu ini telah dibuat pada 20 Jun manakala pelancaran penuh akan diadakan pada 28 Jun, hari ini jam 12 tengah malam, bersama video muziknya yang akan ditayangkan di saluran YouTube Insomniacks pada tarikh sama jam 10 malam.

Lagu ini telah dirakam di Jakarta pada bulan Mac dan penggambaran video muzik telah diadakan pada bulan Mei. Dengarkan audio pra-dengar Belum Mulai sekarang.

Selepas 18 tahun, FAMT 2024 kembali ke Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas 18 tahun, acara kemuncak industri penjahitan Asia, iaitu Persidangan Perikatan Industri penjahitan Asia ke-28 (FAMT 2024), kembali ke Malaysia dan akan diadakan dengan meriah di hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur dari 1 hingga 6 Ogos depan.

Persidangan ini akan dianjurkan oleh Persekutuan Persatuan Persatuan Tukang Jahit Malaysia, ia akan memberi peluang kepada pereka Malaysia dan Tukang Jahit antarabangsa, bertukar fikiran berkaitan kreativiti dan teknik penjahitan.

Tujuan persidangan ini termasuklah mempromosikan teknik jahitan khas dan galakkan wujud kerjasama diantara penggiat industri, dan memberi peluang kepada penggiat industri, khasnya penjahit berbakat yang baharu Malaysia, menonjol bakat mereka di pentas antarabangsa.

Tiga pertunjukan fesyen akan diadakan semasa persidangan itu berlangsung, iaitu “Fashion Flux” pada 3 Ogos, di mana 10 graduan dari Raffles, INTI dan kolej Vokasional akan mempamerkan 40 karya mereka.

Pada 4 Ogos, pertunjukan fesyen antarabangsa “Mosaik Fesyen” akan diadakan di Pusat Konvensyen HGH. Lebih 30 Asia Master Tailors dan Persatuan Pereka Fesyen Malaysia (MODA) akan mempamerkan sebanyak 162 karya fesyen jahitan yang cemerlang.

Salah satu acara kemuncak persidangan ini adalah ‘Kuala Lumpur International Suit Walk’ yang akan diadakan pada 5 Ogos. Acara ini akan bermula dari Grand Hyatt Kuala Lumpur ke Pavilion Kuala Lumpur.

Seramai 500 tetamu khas dan 20 selebriti akan mengambil bahagian, supaya acara ini dapat direkodkan dalam Malaysian Book of Records.

Presiden Persekutuan Persatuan Persatuan Tukang Jahit Malaysia (PPPPTJM), Sam Ng Teck Yau berkata persidangan FAMT 2024 kembali ke Malaysia selepas 18 tahun, menunjukkan komitmen negara kita untuk mempromosikan penjahitan tempatan, menggalakkan kerjasama diantara penggiat industri dan memberi peluang kepada penjahit berbakat yang baharu Malaysia mempamerkan bakat mereka di pentas global.

Katanya, seramai 300 wakil dari enam negara Eropah dan 10 negara Asia dijangka menyertai persidangan ini.

“Persidangan ini turut bekerjasama dengan kerajaan Malaysia untuk mempromosikan kebaya, batik dan songket. Oleh itu, pakaian-pakaian tradisional ini juga akan dipamerkan di peragaan fesyen antarabangsa “Fashion Mosaic”, bagi mempromosikan pakaian-pakaian tradisional negara kita kepada tetamu asing.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Penggalakan Pelancongan Malaysia, Dato’ Yeoh Soon Hin berkata, pihaknya mencadangkan Persekutuan Persatuan Persatuan Tukang Jahit Malaysia membangkitkan cadangan bagi menubuhkan  “Hab Fesyen dan Reka Bentuk” di Malaysia di persidangan FAMT 2024 itu nanti.

“Jika hab ini berjaya diwujudkan, bermakna Persekutuan telah mewujudkan satu platform perniagaan yang besar untuk industri Fesyen dan Reka Bentuk Malaysia bagi membesarkan pasaran dan meningkatkan keterlihatan industri reka bentuk dan fesyen negara kita.

“Jika hab ini dapat disepadukan dengan sektor pelancongan, budaya dan bidang pendidikan, ia juga akan menjadi tarikan dan produk budaya Pelancongan yang baharu. Langkah ini akan membantu negara menarik lebih ramai pelancong, terutamanya peminat fesyen datang ke Malaysia melancong dan berbelanja,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Eyo Leng Yan berkata, Adalah memberangsangkan keunikan Kebaya, Batik dan Songket dapat dipertunjukan di acara fesyen antarabangsa “Fashion Mosaic” .

“Pada tahun 2021, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah menyenaraikan ketiga-tiga pakaian tradisional ini sebagai warisan budaya negara. Kemudian pada tahun 2021, UNESCO juga memasukkan tiga jenis pakaian tradisional ini dalam Senarai Wakil Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO.

“Kebaya sekali lagi akan dimasukkan dalam Senarai Wakil Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO didalam Jawatankuasa Antara Kerajaan bagi Perlindungan Warisan Budaya Tidak Ketara ke-19, yang akan diadakan di Paraguay pada akhir tahun ini.

“Oleh itu, kami berharap PPPPTJM dapat menonjol pakaian tradisional Malaysia melalui ahlinya yang lebih 2,000, supaya lebih ramai orang, terutamanya generasi muda, dapat lebih memahami pakaian tradisional Malaysia dan menjadikannya produk pelancongan,” katanya.

Turut hadir pada majlis sidang media acara berkenaan ialah Pengerusi Penganjur, Gen Ng;Penasihat PPPPTJM, Datuk Dickson Phang dan ahli-ahli jawatankuasa PPPPTJM;Presiden Persatuan Pereka Fesyen Malaysia,Jay Ishak serta penaja.

Lantang perjuang Palestin, Rafidah Ibrahim lancar lagu zikir berjudul La Ila Ha Ilallah

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Lantang memperjuangkan isu Palestin membuatkan nama Rafidah Ibrahim sering menjadi perhatian pengikut sejak dahulu.

Baginya, apa yang berlaku terhadap umat Islam di sana adalah satu bentuk penindasan yang tidak boleh diterima sama sekali.

Sebagai manusia biasa, hatinya bagai direnggut setiap kali melihatkan penindasan yang berlaku kepada penduduk di Gaza dan Rafah yang saban hari hidup dalam ketakutan.

“Sebab itu saya lantang memberikan pandangan dan menyebarkan kefahaman kepada mereka yang mengikuti saya melalui media sosial.

“Saya ambil ini sebagai tanggungjawab bukan untuk diri sendiri semata-mata tetapi juga untuk seluruh umat Islam bagi menyokong Palestin.

“Saya mahu kita bersatu hati bukan sebagai rakyat Malaysia sahaja, sebaliknya sebagai komuniti sejagat bagi menghantar isyarat kepada dunia yang kita peduli kepada mereka yang menjadi mangsa kekejaman ini,” kata ibu kepada seorang cahaya mata ini.

Mesra disapa dengan panggilan Fida, dia memahami ada segelintir rakyat Malaysia yang masih kurang memahami apa yang berlaku dan sudah menjadi tanggungjawabnya untuk memberikan kefahaman agar mereka memahami dengan lebih jelas situasi di sana.

Atas sebab itu, Fida sentiasa memberikan kefahaman melalui video yang dimuat naik melalui akaun media sosial miliknya agar timbul kesedaran tentang Palestin berterusan dan bukan sekadar ‘hangat-hangat’ semata-mata.

“Apa yang menggembirakan saya apabila melihat ramai bukan Islam mula faham situasi di sana dan memberikan sokongan kepada Palestin. Ini membuktikan kita berjaya bersatu hati hasil daripada usaha semua pihak,” katanya lagi.

Mengulas mengenai perkembangan terbaru pula, Fida baru sahaja melancarkan lagu zikir berjudul La Illah Ha Ilallah yang juga lagu ciptaan sepenuhnya oleh Hazmi Fahim.

Mengakui teruja dan dalam masa yang sama berdebar menantikan reaksi peminat disebabkan sudah lama tidak merakamkan lagu baharu, dia gembira dapat merakamkan lagu zikir yang pastinya memberikan seribu satu ketenangan kepada mereka yang mendengarnya.

“Saya mahu kita semua membasahkan lidah dengan alunan zikir bila kali diberikan peluang merakamkan lagu ini. Ini peluang yang baik untuk kita sama-sama berselawat dan berzikir memuji Tuhan yang satu.

“Sebenarnya apabila saya dikurniakan cahaya mata, saya mahu memperdengarkan lagu zikir ini kepada anak. Saya berharap mana-mana ibu bapa yang lain memperdengarkan kepada anak-anak mereka.

“Selain memenangkan hati lagu ini juga memberikan pahala kepada mereka yang sama-sama berselawat,” katanya.

Pun begitu, Fida tidak dapat melupakan kenangan saat merakamkan La Illah Ha Ilallah memandangkan dia sedang sarat mengandung lapan bulan. Walaupun sedikit mengah ketika proses rakaman, semuanya dapat dilakukan dengan baik.

“Sebenarnya lagu ini dirakamkan sebanyak dua kali selepas saya melahirkan anak. Ada beberapa penambahbaikan perlu dilakukan memandangkan ada masalah sebutan beberapa perkataan Arab yang terapat dalam lagu ini.

“Saya sudah melakukan ulang kaji tentang sebutan Arab ini melalui kelas mengaji secara online melalui platform TikTok. Ramai yang membantu memperbetulkan sebutan dan saya amat hargai peranan mereka ketika itu selain bimbingan daripada Ustaz Aidil (NAQO) yang banyak membantu,” kata duta kepada Bidadari Bootcamp ini.

Untuk rekod, La Illah Ha Ilallah adalah terbitan Sheikh Qalam Records dengan kerjasama Sony Music Entertainment Malaysia sudah pun dilancarkan secara rasmi sejak 7 Jun lalu disemua pelantar digital.

Manakala, lirik video lagu ini boleh ditonton melalui YouTube Sony Music Malaysia.

Empat waran tangkap dikeluarkan terhadap Norjuma

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Empat Mahkamah Majistret di sini hari ini mengarahkan waran tangkap dikeluarkan terhadap bekas personaliti televisyen, Norjuma Habib Mohamed kerana gagal hadir pada prosiding sebutan kes.

Sebutan kes itu berkaitan lima pertuduhan mencederakan tiga individu dan melakukan khianat, tujuh tahun lalu.

Waran tangkap itu masing-masing dikeluarkan oleh Majistret Illi Marisqa Khalizan, Nurul Izzah Shaharuddin, Fatin Dayana Jalil dan Noor Elynna Hanim Abd Halim selepas Norjuma dan penjamin iaitu adiknya tidak muncul dalam kamar mahkamah walaupun nama dan kesnya disebut beberapa kali.

Ketika kesnya disebut di hadapan Illi Marisqan, Timbalan Pendakwa Raya Hamizah Hisan memohon waran tangkap selepas Norjuma tidak muncul selepas kesnya disebut sebanyak tiga kali.

“Sekarang sudah jam 11.21 pagi namun tertuduh, penjamin mahupun peguamnya tidak muncul dan saya memohon waran tangkap dikeluarkan,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 26, 29, 30 Julai serta 2 Ogos ini untuk sebutan waran tangkap.

Terdahulu, kelibat usahawan tudung berusia 44 tahun itu sempat dirakam oleh lensa kamera petugas media yang menunggunya seawal jam 8.30 pagi.

Norjuma dilihat hadir bersendirian memandu kereta berwarna hitam kira-kira jam 10.30 pagi, namun tidak memasuki petak parkir berhampiran kompleks mahkamah yang digunakan oleh orang awam.

Sebaliknya, usahawan selebriti itu terus meletakkan kenderaannya di tangga pintu utama kompleks menyebabkan pihak keselamatan mahkamah memintanya mengalihkan kenderaan ke tempat yang disediakan.

Norjuma kemudian berpatah balik ke keretanya sambil melambai tangan kepada petugas media sebelum dilihat beredar dari kompleks mahkamah.

Pada 25 April lalu, usahawan tudung itu mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan mencederakan tiga individu dan melakukan khianat.

Mengikut pertuduhan pertama, bekas personaliti televisyen itu didakwa menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Afiq Ismail, 34, di premis perniagaan di Menara Atlan, Jalan Ampang di sini pada jam 8.43 malam, 21 Februari 2017.

Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa menyebabkan kecederaan dengan menendang betis kaki kiri seorang pengawal keselamatan lelaki warga Nepal, Neupane Tika Ram di sebuah pusat tuisyen di Bukit Damansara di sini pada jam 3 petang, 29 Mac 2018 lalu.

Bagi pertuduhan ketiga, dia dituduh menyebabkan kecederaan dengan cara menampar pipi dan mencakar tangan Nur Solehah Rosli, 31, di sebuah kondominium di Wangsa Maju pada jam 10.30 pagi, 18 Oktober 2021.

Tiga pertuduhan ini dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda mencecah RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi dua lagi kes mengkhianat, wanita itu didakwa merosakkan palang keluar masuk kenderaan dan CCTV milik sebuah kondominium, dengan anggaran kerugian berjumlah RM4,700 di Taman U-Thant di sini, pada jam 7.44 dan 7.45 malam, 28 Julai 2023.

Kes dibuat Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua duanya, jika sabit kesalahan. -Berita Harian