32.9 C
Kuala Lumpur
Monday, June 22, 2026
Home Blog Page 191

Kontinjen Malaysia sarung rekaan Rizman Ruzaini pada pembukaan Olimpik Paris

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kontinjen negara akan menyarung pakaian berinspirasikan baju Melayu yang dihasilkan pereka fesyen terkenal tanah air, Rizman Ruzaini pada perarakan majlis Perasmian Olimpik Paris yang dijadual berlangsung 26 Julai ini.

Memetik laporan The Star, perkara itu disahkan oleh Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin hari ini.

Beliau berkata, pakaian berkenaan akan diumumkan tidak lama lagi.

“Pakaian itu akan bertemakan baju Melayu dan menjadi konsep tradisional. Kami telah memuktamadkan reka bentuk dan akan menunjukkannya kepada umum tidak lama lagi,” katanya pada sidang media di Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Rizman Ruzaini baru-baru ini menempa sejarah dalam industri fesyen tanah air apabila busana rekaan mereka digayakan penyanyi terkenal Lady Gaga ketika mengadakan persembahan residensi di Las Vegas.

Sebelum ini, pakaian rasmi Kontinjen Malaysia yang dirancang akan dipakai pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 menerima kritikan daripada banyak pihak.

Susulan kritikan itu, MOM tampil memperkenalkan rekaan baharu, dengan corak belang harimau yang lebih garang dipaparkan pada pakaian rasmi.

 

U Mobile tawar kelajuan dua kali ganda menerusi pelan prabayar tanpa had

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – U Mobile kini menawarkan kelajuan dua kali ganda untuk semua pelan prabayar tanpa hadnya, termasuk U25, U35, U40, dan U50.

Umobile berkata, dengan peningkatan ini, pelan prabayar U tidak hanya menawarkan kelajuan tertinggi di pasaran untuk semua pelan data tanpa had, tetapi juga mempunyai had Polisi Penggunaan Saksama (FUP) yang lebih tinggi untuk pelanggan dapat menikmati pengalaman sambungan yang lebih baik.

“Peningkatan ini signifikan untuk semua pelan di mana pelan U25 kini menawarkan kelajuan enam megabait sesaat (Mbps), daripada sebelumnya tiga Mbps, dan had FUP dinaikkan dari 30 gigabait (GB) kepada 40 GB.

“Kelajuan pelan U35 dan U40 dipertingkat daripada enam Mbps kepada 12 Mbps, manakala pelan U50 kini menawarkan kelajuan 24 Mbps, sebelum ini 12 Mbps,” katanya dalam satu kenyataan.

Ia berkata, untuk pelan U35, U40, dan U50, had FUP dipertahankan pada 200 GB, yang merupakan yang tertinggi di pasaran untuk kategorinya.

Pelan prabayar U yang dinaik taraf ini menunjukkan komitmen berterusan U Mobile untuk menyediakan sambungan berkualiti dan nilai yang tidak dapat ditandingi kepada semua rakyat Malaysia, sejajar dengan visi syarikat telekomunikasi itu untuk menjadi rakan perkhidmatan digital kegemaran Malaysia.

PRK Sungai Bakap: polis buka dua kertas siasatan

editormaxinfo@gmail.com

NIBONG TEBAL – Polis Pulau Pinang membuka dua kertas siasatan setakat 12 hari tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad, berkata ia membabitkan kesalahan merosakkan bahan kempen dan mengedarkan risalah menyalahi undang-undang.

Menurutnya kedua-kedua kesalahan itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Berbaki tiga hari menjelang hari mengundi Sabtu ini, polis menasihatkan semua pihak tidak menimbulkan provokasi ketika berkempen, termasuk khianat atau merosakkan bahan kempen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hamzah berkata, semua pihak perlu mengelak isu Raja, Agama dan Kaum (3R) sepanjang tempoh berkempen.

Tegasnya, polis sentiasa memantau aktiviti di media sosial bagi mengesan penyebaran berita palsu, fitnah atau hasutan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana parti politik atau individu yang melanggar undang-undang dan peraturan,” katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata, polis meluluskan 135 permit sepanjang tempoh kempen bermula 22 Jun lalu.

“Semua permit diluluskan oleh Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Chong Boo Khim dan tiada permohonan ditolak,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff, pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Filipina, China setuju redakan ketegangan di Laut China Selatan

editormaxinfo@gmail.com

MANILA – Filipina dan China semalam bersetuju `meredakan ketegangan’ berhubung isu Laut China Selatan, susulan pertempuran ganas di perairan itu yang menjadi pertikaian bulan lalu.

Manila dan Beijing mempunyai sejarah panjang pertikaian wilayah maritim di laluan berkenaan tetapi kejadian bulan lalu adalah paling serius dalam beberapa pertembungan yang semakin meningkat.

Pada 17 Jun lalu, anggota pengawal pantai China memegang pisau, kayu dan kapak sambil membuat kepungan sebelum menaiki tiga bot tentera laut Filipina ketika misi penghantaran semula bekalan ke Second Thomas Shoal.

Seorang askar Filipina kehilangan jari dalam pertempuran itu manakala Manila turut menuduh pengawal pantai China merompak senjata api selain merosakkan tiga bot serta peralatan navigasi dan komunikasi.

Beijing menegaskan pengawal pantainya berkelakuan dengan cara `profesional dan terkawal’ serta menyalahkan Manila atas pertembungan itu.

Sejumlah kecil tentera Filipina ditempatkan di atas kapal perang sudah reput yang diletakkan dengan sengaja di Second Thomas Shoal pada tahun 1999 bagi menegaskan tuntutan Manila terhadap kawasan berkenaan.

Timbalan Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Theresa Lazaro dan Naib Menteri Luar China, Chen Xiaodong sudah melakukan `perbincangan yang jujur dan membina’ semalam, menurut Kementerian Luar Filipina dalam satu kenyataan selepas rundingan berkenaan.

“Kedua-dua pihak membincangkan kedudukan masing-masing di Ayungin Shoal dan mengesahkan komitmen mereka untuk meredakan ketegangan tanpa prejudis terhadap kedudukan masing-masing,” kata kenyataan itu yang menggunakan nama negara masing-masing untuk Second Thomas Shoal di Kepulauan Spratly.

“Meneliti insiden baru-baru ini di Laut China Selatan, kedua-dua pihak menyedari terdapat keperluan untuk memulihkan kepercayaan serta membina semula keyakinan dengan mewujudkan keadaan kondusif untuk dialog dan interaksi yang produktif,” katanya sambil menambah `perbezaan ketara kekal’.

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan tatkala mengetepikan tuntutan daripada beberapa negara Asia Tenggara termasuk Filipina dan keputusan antarabangsa bahawa pendiriannya tidak mempunyai asas undang-undang.

Tentera China menggunakan meriam air dan laser tentera serta bertembung dengan kapal penghantar bekalan Filipina dan pengiring mereka berhampiran perairan yang dipertikaikan.

Laksamana Muda Tentera Laut Filipina, Roy Vincent Trinidad memberitahu pemberita semalam bahawa insiden 17 Jun adalah `paling agresif dalam sejarah’.

“Sebab mengapa kami mengadakan usaha ini adalah kerana kami tidak mahu sebarang tindakan yang tidak diingini,” kata Trinidad kepada pemberita.

“Pada asasnya tindakan mereka meningkatkan risiko kesilapan penilaian,” katanya. -Agensi

Ditangkap khalwat, Aliff dan Ruhainies mengaku tidak bersalah

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR: Pelakon kontroversi, Aliff Aziz dan Ruhainies mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan berhubung kes khalwat pada 9 Mac lalu ketika pertuduhan dibacakan di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, pagi tadi.

Aliff dan Ruhainies yang diwakili peguam Hadi Salleh dan Amirul Ashraf Ghani membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Abu Suffian Abu Yaziz.

Pendakwaan dibuat oleh Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Nahar Mohamad dan Masroha Duki.

“Kedua-dua hadir hari ini bersama peguam Hadi Salleh dan Amirul Ashraf Ghani. Kes ini disebut pada 20 Jun lalu di Mahkamah Rendah Syariah, tiada sebarang pengakuan dan tangguhan juga sudah dibuat serta dilepaskan dengan bon jaminan RM1,500 dan seorang penjamin,” kata Masroha ketika dalam dewan bicara.

Aliff selepas pertuduhan dibaca turut mengaku tidak bersalah.

“Saya mengaku tidak bersalah,” katanya.

Ruhainies turut membuat pengakuan sama.

“Saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” katanya.

Prosiding diteruskan dengan perbicaraan dengan kehadiran saksi daripada pihak tertuduh.

Mahkamah menetapkan 12 Oktober ini sebagai tarikh seterusnya dan bon jaminan dilanjutkan sehingga tarikh berkenaan.

Pertuduhan terhadap mereka didakwa mengikut Seksyen 27(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan Seksyen 27 (b) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 20 Jun lalu, Aliff dan Ruhainies hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi proses lanjutan bon jamin terhadap kes khalwat yang dilaporkan berlaku di sebuah kondominium mewah, di sini, di ibu negara pada 9 Mac lalu.

Selepas dibawa ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk disoal siasat, Aliff dan Ruhainies masing-masing dibebaskan dengan jaminan kira-kira jam 2 petang, pada hari sama.

Sebelum ini, media melaporkan artis berstatus suami orang dan pasangannya, seorang pelakon wanita, dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah, di sini.

Tangkapan dibuat JAWI adalah berdasarkan maklumat awam. Pasangan selebriti yang sibuk menjalani penggambaran drama itu, dilapor ditahan di kediaman milik pelakon wanita berkenaan.

Rentetan insiden itu, Aliff dan Ruhainies masing-masing tampil memberi penjelasan menerusi hantaran Instagram (IG) berhubung kontroversi tercetus.

Aliff dan bekas isterinya, Bella yang mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016, bercerai talak satu pada 13 Jun lalu.

Mereka dikurniakan dua anak iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4. -Berita Harian

Lima negeri kekal penyumbang terbesar ekonomi di Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Sarawak dan Pulau Pinang kekal sebagai penyumbang utama ekonomi Malaysia dengan sumbangan sebanyak 67.7 peratus pada 2023. 

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam satu kenyataan berkata, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.6 peratus pada tahun lalu dengan nilai ditambah berjumlah RM1.6 trilion.

Empat negeri mengatasi pertumbuhan di peringkat nasional tahun lalu iaitu Selangor yang berkembang 5.4 peratus, Pahang (5.2 peratus), Johor (4.1 peratus) dan Kuala Lumpur (3.7 peratus).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, berkata prestasi ekonomi Selangor, Pahang dan Johor dipacu oleh sektor perkhidmatan dan sektor pembuatan.

Beliau berkata, bagi Selangor dan Johor, sektor perkhidmatan masing-masing berkembang sebanyak 6.1 peratus dan 5.4 peratus didorong pertumbuhan subsektor utiliti, pengangkutan & penyimpanan dan maklumat & komunikasi.

Manakala bagi Pahang, katanya pengembangan sektor ini sebanyak 6.0 peratus disokong oleh perdagangan borong & runcit, makanan & minuman dan penginapan.

“Pengembangan sektor pembuatan sebanyak 2.0 peratus di Selangor pula disebabkan pertumbuhan subsektor peralatan pengangkutan, pembuatan lain dan pembaikan (6.2 peratus) serta produk minyak & lemak daripada sayuran & haiwan dan pemprosesan makanan (10.3 peratus).

“Bagi Johor, sektor pembuatannya meningkat 2.8 peratus didorong pertumbuhan produk elektrik, elektronik dan optikal (2.9 peratus) manakala di Pahang, pertumbuhan 6.7 peratus bagi produk petroleum, kimia, getah dan plastik telah menyumbang kenaikan 2.1 peratus bagi sektor pembuatan negeri ini.

“Sementara itu, pengembangan ekonomi Kuala Lumpur sebanyak 3.7 peratus dipacu oleh sektor perkhidmatan yang merupakan tonggak utama ekonomi negeri ini.

“Sektor ini bertumbuh 4.9 peratus, disokong perdagangan borong & runcit, makanan & minuman dan penginapan,” katanya.

Mohd Uzir berkata, Sarawak mengekalkan kedudukannya sebagai penyumbang keempat tertinggi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, bertumbuh 1.2 peratus pada tahun 2023.

Beliau berkata, sektor perkhidmatan negeri ini meningkat kukuh 5.4 peratus, mengatasi pertumbuhan sektor perkhidmatan nasional.

Sementara itu, sektor pembuatan juga menjadi penyumbang kedua tertinggi ekonomi Sarawak merosot 3.9 peratus disebabkan penyusutan produk petroleum, kimia, getah dan plastik sebanyak4.6 peratus terutama membabitkan produk petroleum bertapis.

“Ini selari dengan kemerosotan pengeluaran minyak mentah & kondensat serta gas asli masing-masing 2.3 peratus dan 1.1 peratus menyebabkan kejatuhan keseluruhan sektor perlombongan & pengkuarian Sarawak kepada 1.0 peratus, sekali gus memperlahankan KDNK Sarawak pada tahun 2023,” katanya.

Beralih ke KDNK perkapita, Mohd Uzir berkata bahawa nilai KDNK perkapita nasional pada tahun 2023 adalah RM54,612.

Katanya, bagi prestasi mengikut negeri, lima negeri merekodkan nilai KDNK perkapita melebihi paras nasional iaitu Kuala Lumpur (RM131,038), Labuan (RM83,596), Pulau Pinang (RM72,586), Sarawak (RM72,411) dan Selangor (RM62,492).

Sajeet Soudagar temui peminat buku “Silencing the Lambs” di Perpustakaan Perkhidmatan Kewangan BNM

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pengarang novel thriller “Silencing the Lambs”, Sajeet Soudagar baru-baru ini telah bertemu dengan peminat buku dalam satu sesi ‘Meet & Greet’ bagi berkongsi mengenai buku terbaharu terbitannya itu.

Acara diadakan di Perpustakaan Perkhidmatan Kewangan (FSL) Bank Negara Malaysia yang terletak di tingkat bawah bangunan AICB Centre of Excellence (ACE), Jalan Dato Onn, Kuala Lumpur.

Novel “Silencing the Lambs,” telah terjual lebih 400 naskhah pada hari pelancarannya, 25 Mei lalu dan telah memikat pembaca dengan naratifnya yang mendebarkan.

Acara itu adalah sebahagian daripada FSL Fest, dengan kerjasama antara Perpustakaan Perkhidmatan Kewangan dan MPH, yang diadakan dari 24 hingga 29 Jun yang lalu.

Selain ulasan buku Sajeet Soudagar, FSL Fest menampilkan pelbagai aktiviti yang menarik, termasuk bengkel sulaman oleh Sulam Global, demonstrasi membuat pasu tanah liat oleh Julia Design, dan aktiviti kanak-kanak yang dihoskan oleh MAG dan MPH.

Sajeet Soudagar melahirkan rasa terima kasih yang mendalam atas peluang diberikan dalam menganjurkan acara ulasan bukunya di Perpustakaan Perkhidmatan Kewangan.

“Adalah satu penghormatan untuk dijemput ke tempat yang berprestij ini dan saya sangat gembira dengan sambutan dan penglibatan positif daripada hadirin.

“Sokongan dan profesionalisme pengurusan kanan dan kakitangan perpustakaan adalah luar biasa, dan saya amat menghargai usaha yang dilakukan.  

“Dalam pada menganjurkan dan mempromosikan acara Persekitaran di Perpustakaan Perkhidmatan Kewangan memberi inspirasi dan kondusif untuk perbincangan yang bermakna, serta menyumbang dengan ketara kepada kejayaan acara ulasan buku ini sekali lagi.

“Saya mengharapkan dapat menjalinkan kerjasama lagi pada masa hadapan dengan Perpustakaan Perkhidmatan Kewangan dan Bank Negara Malaysia,” katanya dalam ucapan penutupnya.

Untuk mendapatkan salinan “Silencing the Lambs”, boleh datang pada 13 Julai ini di MPH Bookstores, The Exchange TRX jam 11 pagi.

Untuk info, Perpustakaan Perkhidmatan Kewangan, dibuka kepada orang ramai pada hari bekerja, berdiri sebagai mercu tanda ilmu di Bank Negara Malaysia.

Ditubuhkan untuk menyediakan maklumat dan sumber penyelidikan yang komprehensif, FSL berfungsi sebagai hab untuk pengetahuan kewangan, memupuk pendidikan dan pembangunan profesional dalam industri perbankan dan kewangan.

Misi perpustakaan adalah untuk menyokong maklumat dan keperluan penyelidikan kakitangan BNM, pengamal industri, ahli akademik dan orang ramai.

Pemain badminton remaja China meninggal akibat serangan jantung

editormaxinfo@gmail.com

YOGYAKARTA – Pemain badminton remaja China, Zhang Zhi Jie disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung ketika perlawanan di Kejohanan Badminton Remaja Asia di sini, kelmarin.

Insiden malang itu berlaku ketika pertemuan antara China menentang Jepun dalam aksi Kumpulan D di GOR Among Raga.

Zhi Jie yang berusia 17 tahun sedang berdepan Kazuma Kawano, rebah dalam keadaan tertiarap dalam perlawanan yang berlangsung petang kelmarin.

Pasukan perubatan kejohanan kemudiannya memberikan bantuan kecemasan sebelum pemain itu dikejarkan ke hospital.

Bagaimanapun, Zhi Jie disahkan meninggal dunia pada jam 11.20 malam kelmarin waktu tempatan.

“Laporan perubatan menunjukkan pemain itu mengalami serangan jantung,” kata jurucakap Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI), Broto Happy ketika sidang media di Yogyakarta.

Jurucakap itu turut mempertahankan tindakan pasukan perubatan dan penganjur selepas rakaman video menunjukkan mereka teragak-agak untuk memberikan bantuan kecemasan sejurus pemain itu rebah di dalam gelanggang.

Katanya, pasukan perubatan perlu menunggu kebenaran daripada pengadil sebelum boleh memasuki gelanggang.

Zhi Jie mula bermain badminton sejak tadika dan menyertai skuad remaja China, tahun lalu.

Awal tahun ini, dia berjaya menjuarai Kejohanan Remaja Antarabangsa Belanda, kejohanan berprestij bagi peringkat remaja.

Persatuan Badminton China (CBA) dalam kenyataan, berkata badan induk itu sangat berdukacita di atas kehilangan pemain berbakat seperti Zhi Jie.

“Zhang Zhi Jie sangat meminati badminton dan adalah pemain terbaik dalam skuad remaja kebangsaan (China),” kata CBA dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) turut menzahirkan rasa sedih di atas kehilangan bakat badminton yang semakin meningkat naik, Zhi Jie.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga, rakan sepasukannya, Persatuan Badminton China, dan seluruh komuniti badminton China,” katanya dalam satu kenyataan. -Agensi

Sisi ‘rock jiwang’ Yonnyboii dalam Nadi

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Seringkali tampil dengan lagu yang membawa mesej berat, penyanyi Yonnyboii tampil lagi dengan karya cukup mendalam berjudul Nadi.

Istimewanya, dia turut bergandingan dengan pemain gitar tersohor, Jobranko untuk projek ini.

Yonnyboii mengakui lagu ini cukup istimewa kerana terilham dari perasaan peribadi. Dicipta bersama komposer Amy Bong, dia percaya ia mampu menyentuh hati ramai orang.

Bagi Yonnyboii, dapat menyalurkan pengalaman peribadi dalam Nadi juga memberikannya satu kelegaan. Ini kerana, dia pasti ramai orang lain di luar sana turut pernah merasai perasaan sama.

“Saya mahu Nadi ini dirasa secara peribadi dalam hati pendengar. Kerana lagu ini saya tulis mengenai bagaimana saya berdepan keresahan dan ketakutan apabila berjumpa dengan orang baharu.

“Saya bimbang dan segan mahu meminta pertolongan daripada sesiapa. Saya mahu mereka yang berdepan situasi serupa dapat bangkitkan kekuatan dalam diri untuk menanganinya,” katanya.

Yonnyboii berkata, mesej utama dalam lagu itu tidak lain untuk menyuntik semangat hidup kepada pendengar.

Katanya, sesiapa juga pasti inginkan kebebasan daripada suatu perasaan yang gelap.

“Ia menggambarkan bagaimana saya dihantui sebuah perasaan tertentu dan mahu bebaskan diri daripadanya. Kesimpulannya, saya cuba mengejar kebebasan,” katanya.

Paling mengujakan Yonnyboii juga semestinya peluang bergandingan dengan Jobranko. Siapa tidak kenal dengan legenda dari kumpulan Wings itu? Baginya ia adalah satu penghormatan besar buatnya apabila mendapat sentuhan orang lama.

“Jobranko jugalah sebenarnya yang menjadi kekuatan terpenting dalam Nadi. Mainan gitarnya menghidupkan lagi lagu ini dan membawanya ke tahap tersendiri. Saya bangga apabila gabungan ini tercipta daripada dua generasi berbeza,” katanya.

Katanya, Jobranko juga memberi pendapatnya bagi kolaborasi ini.

“Sebenarnya kolaborasi ini memang sesuatu yang tidak dijangkakan. Secara jujurnya, saya bersyukur kerana diberi peluang untuk beraksi dalam lagu Nadi dengan Yonnyboii.

“Saya sangat menghargai kerana artis muda dan sedang meningkat naik, masih lagi mengenali Jobranko untuk membuat satu kolaborasi bersama-sama.

“Saya mahu berterima kasih kepada producer Amy Bong, semua warga Universal Music Malaysia termasuk team Yonnyboii untuk kolaborasi ini” kata bekas anggota kumpulan Wings ini.

Sudah melancarkan muzik video (MV) baru-baru ini, Yonnyboii sangat gembira dengan hasil sentuhan pengarah kreatifnya, Andrew Lim.

Menurutnya, dia cuma memberikan panduan kepada Andrew bagaimana konsep diinginkan dalam kepala secara asas saja. Kepercayaan itu jelas digalas begitu cemerlang oleh pengarah terbabit.

“MV pun dilunaskan dengan begitu baik oleh Andrew dan sejujurnya saya serahkan kepercayaan itu kepadanya. Dia berjaya beri hasil yang sangat baik untuk menggambarkan isi hati saya.

“Hakikatnya, Andrew yang mencipta keseluruhan jalan ceritanya. Misalnya adegan saya melarikan diri dari kontena, kenapa saya berbuat demikian, dan sebagainya.

“Disebabkan lagu ini adalah sebuah karya bergenre rock jiwang, saya beritahu mereka konsep diinginkan iaitu sesuatu yang ‘grunge’ dan rock,” katanya.

Yonnyboii turut berharap Nadi mampu mengulang kejayaan lagu-lagu terdahulunya. Dia inginkan mesej dalam lagu ini akan berjaya membekas di hati sesiapa juga.

“Saya memang meletakkan harapan yang cukup besar terhadap Nadi. Semoga lagu ini akan digemari ramai dan mesej yang cuba saya sampaikan dapat menusuk hati ramai pendengar,” katanya.

Nadi kini boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music, muzik video juga telahpun ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Yonnyboii.