28.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 10, 2025

Filipina, China setuju redakan ketegangan di Laut China Selatan

editormaxinfo@gmail.com

MANILA – Filipina dan China semalam bersetuju `meredakan ketegangan’ berhubung isu Laut China Selatan, susulan pertempuran ganas di perairan itu yang menjadi pertikaian bulan lalu.

Manila dan Beijing mempunyai sejarah panjang pertikaian wilayah maritim di laluan berkenaan tetapi kejadian bulan lalu adalah paling serius dalam beberapa pertembungan yang semakin meningkat.

Pada 17 Jun lalu, anggota pengawal pantai China memegang pisau, kayu dan kapak sambil membuat kepungan sebelum menaiki tiga bot tentera laut Filipina ketika misi penghantaran semula bekalan ke Second Thomas Shoal.

Seorang askar Filipina kehilangan jari dalam pertempuran itu manakala Manila turut menuduh pengawal pantai China merompak senjata api selain merosakkan tiga bot serta peralatan navigasi dan komunikasi.

Beijing menegaskan pengawal pantainya berkelakuan dengan cara `profesional dan terkawal’ serta menyalahkan Manila atas pertembungan itu.

Sejumlah kecil tentera Filipina ditempatkan di atas kapal perang sudah reput yang diletakkan dengan sengaja di Second Thomas Shoal pada tahun 1999 bagi menegaskan tuntutan Manila terhadap kawasan berkenaan.

Timbalan Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Theresa Lazaro dan Naib Menteri Luar China, Chen Xiaodong sudah melakukan `perbincangan yang jujur dan membina’ semalam, menurut Kementerian Luar Filipina dalam satu kenyataan selepas rundingan berkenaan.

“Kedua-dua pihak membincangkan kedudukan masing-masing di Ayungin Shoal dan mengesahkan komitmen mereka untuk meredakan ketegangan tanpa prejudis terhadap kedudukan masing-masing,” kata kenyataan itu yang menggunakan nama negara masing-masing untuk Second Thomas Shoal di Kepulauan Spratly.

“Meneliti insiden baru-baru ini di Laut China Selatan, kedua-dua pihak menyedari terdapat keperluan untuk memulihkan kepercayaan serta membina semula keyakinan dengan mewujudkan keadaan kondusif untuk dialog dan interaksi yang produktif,” katanya sambil menambah `perbezaan ketara kekal’.

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan tatkala mengetepikan tuntutan daripada beberapa negara Asia Tenggara termasuk Filipina dan keputusan antarabangsa bahawa pendiriannya tidak mempunyai asas undang-undang.

Tentera China menggunakan meriam air dan laser tentera serta bertembung dengan kapal penghantar bekalan Filipina dan pengiring mereka berhampiran perairan yang dipertikaikan.

Laksamana Muda Tentera Laut Filipina, Roy Vincent Trinidad memberitahu pemberita semalam bahawa insiden 17 Jun adalah `paling agresif dalam sejarah’.

“Sebab mengapa kami mengadakan usaha ini adalah kerana kami tidak mahu sebarang tindakan yang tidak diingini,” kata Trinidad kepada pemberita.

“Pada asasnya tindakan mereka meningkatkan risiko kesilapan penilaian,” katanya. -Agensi

ARTIKEL BERKAITAN

Popular