31.8 C
Kuala Lumpur
Monday, June 22, 2026
Home Blog Page 190

Raikan cinta suci dan ketaatan dalam ‘Zamzam’ oleh Hafiz Hamidun

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – “Zamzam” adalah sebuah karya muzik yang mendalam oleh Hafiz Hamidun yang menyelami tema keimanan, kesetiaan, dan pengabdian kepada agama.

Lagu ini mengambil inspirasi dari kepentingan sejarah dan agama dari kisah telaga Zamzam, sumber air suci dalam Islam di Mekah.

Umat Islam meyakini bahawa telaga ini dicipta secara ajaib oleh Allah untuk memberi air kepada salah seorang isteri Nabi Ibrahim A.S. iaitu Siti Hajar dan anaknya Ismail di padang pasir yang tandus, sebuah kisah yang melambangkan kepercayaan kepada rezeki Allah dan kuasa iman.

Lirik “Zamzam,” yang dicipta oleh ITO Lara secara puitis menceritakan kisah abadi Siti Hajar dan Nabi Ibrahim dalam perjalanan mereka yang penuh keimanan dan ketaatan kepada Allah.

Lagu ini membuka dengan gambaran hidup kisah jemaah, yang bermula dari Safa. Ketika kaki jemaah menyentuh tanah suci, kenangan tentang kesetiaan Siti Hajar dan cintanya kepada suaminya, Ibrahim, muncul dan mengingatkan, tentang pengabdian akhirnya kepada kehendak Allah.

Lagu ini juga menggambarkan perjalanan penuh emosi mendaki bukit-bukit Marwah, yang mencerminkan pencarian tanpa henti Hajar dalam menemui air untuk memuaskan dahaga anaknya Ismail.

Peristiwa ini berulang tujuh kali, atau dikenali sebagai sa’i, di antara Safa dan Marwah yang diungkapkan dengan indah dalam lirik, sambil melambangkan ketekunan dan harapan.

Kelegaan air Zamzam yang sejuk, yang akhirnya ditemui oleh Hajar, digambarkan sebagai penawar fizikal dan ketenangan rohani mendalam yang meresapi jiwa pendengar.

Korus “Zamzam” adalah simbol yang kuat sepanjang lagu. Ini adalah bukti kesetiaan Hajar, kesediaannya ditinggalkan sendirian di padang pasir yang luas, dan imannya yang akhirnya berserah kepada rezeki Allah.

Pengulangan “Zamzam” dalam lagu mencerminkan putaran ulangan proses sa’i antara Safa dan Marwah, yang juga melambangkan pencarian iman serta petunjuk Ilahi yang berterusan.

Lagu ini juga menyentuh sifat abadi air Zamzam, menggambarkannya sebagai sumber Ilahi yang tak berkesudahan dan terus mengalir dari syurga.

Imej ini menguatkan gagasan bahawa iman sejati dan berkat syurga adalah abadi serta tiada batasan.

Lebih dari itu, “Zamzam” juga menyentuh emosi serta melambangkan cubaan kemanusiaan abadi yang dihadapi Hajar, dalam menggambarkan kisah keberanian dan ketahanannya yang luar biasa.

Rujukan tentang rasa iri hati dan emosi di hati wanita pula menegaskan aspek-aspek yang dapat difahami dari pengalamannya, sekaligus menjadikan kisahnya bukan hanya sebuah anekdot agama tetapi juga saksi kekuatan dan iman yang dirasai semua orang.

Ulangan korus mencerminkan kepentingan simbolik Zamzam, yang menekankan kebersihannya dan kebijaksanaan mendalam.

Tema berulang tentang air Zamzam sebagai sumber yang jernih dan abadi dari syurga mengingatkan kita akan rahmat Ilahi dan sifatnya yang kekal serta tiada batasan.

Karya Hafiz Hamidun ini adalah perpaduan sebati antara lirik yang menyentuh perasaan serta melodi penuh jiwa yang mengungkap intipati perjalanan keimanan ini.

Interpretasi muziknya memberikan sentuhan kontemporari pada sebuah kisah dari masa lalu, sekaligus menjadikannya bukan hanya peristiwa bersejarah tetapi juga ilham hidup yang dapat dicapai dan dirasai pendengar masa kini.

Secara keseluruhan, “Zamzam” lebih dari sekadar sebuah lagu; ini adalah perjalanan keimanan yang mengundang pendengar untuk merenungkan iman mereka dan kebajikan abadi seperti kesetiaan, ketaatan, dan kepercayaan pada Ilahi.

Hafiz Hamidun berjaya menyulam kisah yang melampaui waktu, di samping menceritakan pengalaman mendalam dan membangkitkan semangat melalui kekuatan muzik.

Sudahpun dilancarkan sejak 5 Julai lalu, “Zamzam” boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.

Selepas 7 tahun, lagu Chentaku meletop dengan jumlah tontonan 1 billion di TikTok

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas tujuh tahun dikeluarkan, lagu Chentaku nyanyian Zizan Razak bersama SonaOne terbitan Rocketfuel Entertainment telah berjaya meraih 1 billion tontonan di TikTok.

Lagu yang turut mendapat sentuhan Joe Flizzow ini juga telah tular sehingga menjadi trending pada laman media sosial berkenaan.

Menerusi perkongsian di laman sosial instagram Rocketfuel Entertainment, Zizan menyatakan rasa syukur yang tidak terhingga kerana lagu ini berjaya menambat hati peminat tanpa mengira latar belakang dan golongan biarpun sudah beberapa tahun dilancarkan.

“Walaupun dah bertahun-tahun lamanya, lagu Chentaku masih lagi relevan dan ianya diterima tak kira umur dan golongan.

“Terima kasih kepada semua yang telah menghasilkan kandungan dengan menggunakan lagu Chentaku sehingga berjaya meraih 1 Billion tontonan.

“Ini adalah satu angka yang sangat besar,” katanya.

Disamping itu, menerusi laman Instagram, Rocketfuel Entertainment turut berkongsi potongan klip video TikTok ‘influencer’ dan selebriti yang turut menggunakan lagu Chentaku dalam video mereka.

Antara yang menggunakan lagu itu ialah Mimi Lana, Syafiq Kyle, Merqeen, Leona, Imranbard, Sherry Alhadad, Nabila Razali malah Alan Walker dan ramai lagi.

Dalam masa yang sama, video lirik lagu ini juga sudah menghampiri 10 juta tontonan pada saluran YouTube Rocketfuel Network selepas 7 tahun dilancarkan.

Chentaku dilancarkan pada tahun 2017 dan ianya mengisahkan seorang jejaka yang telah jatuh cinta pandang pertama dan berusaha untuk mendekati gadis terbabit.

Bagaimanapun, cinta itu hanya dari jauh dan rasa malu menyelubungi diri masing-masing tatkala pertama kali bertemu.

Lagu ini telah dicipta oleh SonaOne dan Joe Flizzow bertindak sebagai penerbit eksekutif. Lirik lagu ini pula telah ditulis sendiri oleh Zizan Razak bersama Joe Flizzow.

Terus strim lagu Chentaku di semua digital platform seperti Apple Music, Spotify, Deezer, KKBox, YouTube dan YouTube Music serta terus menghasilkan kandungan video pada TikTok dan Instagram Reels.

Tawar pelbagai perkhidmatan dan bantuan, FX Francis buka cawangan ketiga di Semenyih

editormaxinfo@gmail.com

KAJANG – Syarikat perunding pelbagai perkhidmatan, FX Francis Enterprise di bawah Francis Group Business (FGB) membuka cawangan pejabat ketiga mereka di Taman Pelangi 2, Semenyih, hari ini.

Menawarkan pelbagai bantuan perkhidmatan seperti kutipan bil, pengurusan acara, pengawal peribadi dan pelbagai lagi, pembukaan cawangan berkenaan di harap dapat membantu syarikat atau individu yang memerlukan di sekitar kawasan Semenyih.

Perunding Hartanah Francis Group Business, Fatin Nurshahfika berkata, pembukaan cawangan ketiga ini diharap dapat meluaskan lagi perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat mereka.

“Kami sedang giat berusaha dan membantu orang ramai dalam urusan perundingan pengurusan, perhubungan awam dan komunikasi, perundingan sumber manusia, serta apa sahaja yang berkaitan.

“Dengan adanya cawangan ketiga di Semenyih ini diharap dapat membantu lebih ramai lagi yang mengalami masalah seperti yang dinyatakan,” katanya pada majlis pelancaran pembukaan cawangan berkenaan, hari ini.

Hadir sama merasmikan pelancaran ialah Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Siasatan Jenayah D4, Bukit Aman; Dato’ S. Shanmugamoorthy Chinniah.

Terdahulu, syarikat ini sudah pun mempunyai dua cawangan yang terletak di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur dan Kajang.

Memulakan operasi sejak sembilan tahun lalu, FGB bakal membuka cawangan keempat mereka di Nilai, Negeri Sembilan.

Pada majlis sama seramai 10 orang terdiri daripada golongan asnaf dan  berpendapatan rendah (B40) menerima bantuan berupa barangan makanan.

“Kami cari sendiri 10 keluarga yang kurang berkemampuan untuk diberikan bantuan,” katanya.

Precious of Malaysia sasar 1,001 orang bertanjak sempena Hari Tanjak Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dalam usaha menjaga, mengembangkan serta melestarikan tanjak sebagai warisan budaya Melayu, FM Group menganjurkan Hari Tanjak Malaysia yang akan berlangsung pada 10 Ogos ini.

Acara yang diadakan bersempena program Precious of Malaysia itu bagi melihat budaya memakai tanjak terus dikekalkan generasi pelapis dalam masyarakat hari ini.

Penganjur program, Farel Mikhail berkata, tanjak adalah aksesori kepala tradisional Melayu yang dipakai oleh golongan lelaki dan pakaian kebesaran raja-raja Melayu sejak berkurun lamanya.

“Walaupun aksesori itu kebiasaannya dipakai dalam adat istiadat diraja dan dianggap sebagai klasik, namun dengan suntikan moden, warisan Melayu itu terus hidup dan menjadi perhatian generasi baharu pada hari ini.

“Apabila memakai tanjak, ia sekaligus mendorong mereka mengambil tahu asal usul atau sejarah  di sebalik pemakaian tanjak itu.

“Tidak salah untuk anak-anak muda ini memadankan tanjak dengan pakaian seharian mereka seperti baju kasual atau berseluar jeans. Tidak semestinya perlu pakai baju Melayu untuk mengenakan tanjak,” katanya.

Farel berkata, dia juga melihat penganjuran Hari Tanjak Malaysia ini adalah kesinambungan daripada pelbagai pihak sebelum ini yang menganjurkan kempen memakai tanjak.

“Jika dilihat sebelum ini, ada saja pihak lain yang membawa kempen memakai tanjak.

“Misalnya kempen memakai tanjak yang digerakkan oleh sekumpulan individu yang mewarnai Hari Malaysia pada 16 September beberapa tahun lalu.

“Kempen yang dinamakan ‘Hari Tanah Melayu Kembali Bertanjak’ itu sebelum ini pernah tular di media sosial. Penganjuran Hari Tanjak Malaysia yang saya bawakan ini pula diharap akan memeriahkan lagi suasana bulan kemerdekaan.

“Untuk itu, saya mensasarkan 1,001 orang dari pelbagai bangsa untuk hadir memakai tanjak pada hari berkenaan.

“Bersama-sama kita meneruskan warisan budaya kita di samping mengukuhkan tali silaturrahim dan semangat perpaduan berbilang kaum dalam negara.

“Bagi saya, pemakaian tanjak yang juga budaya Melayu itu sebenarnya budaya Malaysia juga,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, Precious of Malaysia juga turut menganjurkan pertandingan rekaan fesyen sempena International Cultural Fashion Week (ICFW) yang akan berlangsung pada 2 hingga 4 Ogos ini di Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur.

Farel akan bersama pereka fesyen, Jonathan mengemudi ICFW yang juga adalah platform untuk anak-anak muda berkarya terutamanya dalam menghasilkan busana tradisional atau kontemporari.

“Pertandingan ini lebih kepada memberi platform kepada pereka fesyen baharu atau sedang mencipta nama.

“Ini masanya untuk mereka membuktikan bakat atau kebolehan mereka. Ada sesetengah pelajar lepasan jurusan fesyen, mereka tiada tempat untuk memperlihatkan karya mereka dan terus melebarkan sayap dalam bidang fesyen,” katanya.

ICFW tahun ini akan menampilkan kelainan bagi menaikkan lagi martabat budaya kita.

“Selama dua tahun berturut-turut kami babitkan pereka fesyen tempatan sahaja. Untuk tahun ini kami menerima penyertaan dari negara-negara serantau iaitu Indonesia, Filipina, Thailand dan India.

“Menerusi pertandingan ini, kita dapat lihat pelbagai budaya yang dibawakan menerusi fesyen dari dalam dan luar negara.

“Untuk Malaysia, kami akan ketengahkan elemen Malaysia seperti songket tenun atau pun apa-apa tradisi. Dalam masa yang sama, rekaan kontemporari atau gabungan tradisional dan moden pun dibenarkan.

“Pertandingan yang berkonsepkan tradisional kali ini agak mencabar kerana membabitkan pereka fesyen dari negara serantau,” katanya.

Pertandingan ini membabitkan 10 kategori iaitu Best Collection, ASIAN Emerging Fashion Designer, Most Talented Fashion Designer, Up Coming Fashion Designer, Promising Fashion Designer, Best Showcase, Best Cultural Inspiration, Up Lifting Traditional Design, Excellent Fashion Designer dan Best Model Catwalk.

Antara penaja yang turut serta dalam Precious of Malaysia adalah Affin Bank Berhad, Pavilion Damansara Heights, Vivo, MyCar dan banyak lagi.

Bagi sesiapa yang berminat untuk menyertai pertandingan rekaan fesyen ini hubungi FM Group (0123021681).

Promosi novel ‘Silencing The Lambs’, penulis Sajeet Soudagar beri tips kepada pelajar ASWARA

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Meraikan ulang tahun (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan) ASWARA ke-30 dan sempena Festival Penilaian Tahun Akhir (PETA) penulis berpengalaman, Sajeet Soudagar dijemput sebagai salah seorang panel.

PETA adalah penilaian tahun akhir untuk pelajar, terutamanya di fakulti penulisan kreatif.

Sajeet hadir pada sesi ‘Meet & Greet’ ‘Kolam Bakat Terbuka’ yang turut mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Media Digital Kreatif (PMDK), yang diketuai oleh Presidennya, Alias Abu Bakar.

Kehadirannya bagi berkongsi pengalaman sebagai penulis meskipun baru pertama kali menghasilkan novel berjudul ‘Silencing The Lambs’.

Ini juga sebagai langkah dalam mempromosikan novel yang sudahpun dilancarkan sejak 25 Mei yang lalu.

Berkongsi mengenai sesi ‘Kolam Bakat Terbuka’, Sajeet berkata, ini adalah sesi perkongsian yang sangat baik untuk pelajar menunjukkan bakat dan industri seni juga mendambakan bakat seperti ini.

“Buat mereka yang meminati bidang ini, jangan pernah berhenti belajar tetapi teruskan menggapai impian sehingga berjaya,” katanya.

Selain menulis, Sajeet yang juga seorang pakar IT berkongsi perjalanannya yang mula terjebak menulis buku.

“Saya mula terjebak dalam penulisan buku ketika pandemik Covid-19 dan dalam tempoh dua tahun saya berjaya menyiapkan dua buku, di mana ‘Silencing The Lambs’ menjadi buku pertama yang sudah pun dilancarkan baru-baru ini.

“Buku kedua saya yang seterusnya bakal diterbitkan adalah prekuel kepada ‘Silencing The Lambs,” katanya yang berasal dari Mumbai, India.

Sudah menetap di Malaysia sejak 25 tahun yang lalu dan berkahwin dengan Kiran, wanita kelahiran Kuala Lumpur, Sajeet turut mempunyai perancangan untuk melancarkan ‘Silencing The Lambs’ di negara asalnya, Mumbai, sebelum meneruskan misi pelancaran ke tempat lain seperti Singapura dan Australia.

“Saya akan berlepas ke Mumbai tidak lama lagi untuk persiapan melancarkan buku di sana,” kata pemegang ijazah sarjana muda dalam kejuruteraan komputer dari Universiti Bangalore ini.

‘Silencing The Lambs,’ diterbitkan oleh Firdaus Press Publication Sdn Bhd, memulakan penerbitan sebanyak 5,000 naskhah dan dijual pada harga RM48 di Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan, Persidangan dan Penerbitan ASWARA, Dr. Azman Ismail berkata, PETA ialah festival tahunan yang menilai lebih 300 pelajar tahun akhir dari tujuh fakulti berbeza.

“Sesi ini adalah untuk menilai lima pelajar tahun akhir dalam bidang penulisan kreatif,” katanya.

141 anggota Maritim Malaysia terima kenaikan pangkat

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Seramai 141 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) diberi kenaikan pangkat di mana seramai 59 orang Bintara Kanan Maritim Gred T8 dan 82 orang Bintara Muda Maritim Gred T6 menerima kenaikan itu daripada Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam (LKPPA).

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, semangat, tekad, disiplin, dan kesungguhan individu dalam melaksanakan tugas merupakan kunci utama untuk mencapai sesuatu kejayaan.

Justeru, beliau berharap agar prestasi cemerlang anggota yang menerima pemangkuan pangkat ini kekal diteruskan agar ia dapat menjadi sumber inspirasi serta contoh yang baik kepada warga Agensi yang sedang berkhidmat dalam perkhidmatan Maritim Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat kepada 10 orang Pegawai Lain-Lain Pangkat bertempat di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia, Tuan Mohd Norzam Mustapa, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah, serta Pengarah – Pengarah Bahagian Ibu Pejabat Maritim Malaysia.

Dalam pada itu, Saiful Lizan memaklumkan baki pemakaian pangkat kepada 131 anggota akan disempurnakan di peringkat Maritim Negeri dan Zon Maritim di seluruh negara mengikut tempat pegawai berkenaan bertugas.

Himpunkan pelbagai bahasa, Astro Originals persembah ‘X-Change’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Astro mempersembahkan ‘X-Change’, sebuah karya terbitan Astro Shaw yang memaparkan kisah remaja yang terpaksa terbabit dalam perbuatan jenayah keluarganya. 

Siri premium Astro Originals ini bakal bersiaran pada 12 Julai, bermula 12 tengah malam menerusi platform On Demand dan Astro GO, serta jam 9 malam di Astro Premier (saluran 110) dan jam 9.30 malam di Astro AEC (saluran 306).

Menerusi tagline ‘The Bonds of Blood’, ‘X-Change’ adalah sebuah siri yang menampilkan aksi, jenayah dan romantik, serta mengetengahkan subjek ‘gaya authoritarian’ dalam sesebuah keluarga, iaitu  membabitkan peraturan ketat, jangkaan yang tinggi dan kurang komunikasi di antara ibu bapa dan anak-anak sebagai konflik utama dalam naratif. 

Penceritaan menerusi 10 episod ini adalah hasil ciptaan Lemuel Ong, juga selaku showrunner yang sebelum ini mengetuai Unit Kandungan Malaysia untuk Astro Gempak dalam memenangi filem pendek Malaysia, Kampung Malar.

Diarahkan oleh sutradara Norhanisham Muhamad atau lebih dikenali sebagai “Labu”, siri ini menyaksikan kali pertama Labu mengarahkan siri premium. 

Drama yang penuh debaran ini dibintangi oleh barisan pelakon berpengalaman serta yang meningkat naik termasuk Datuk Rosyam Nor (Yakob), Arfie Shah (Khalif), Joey Leong (Lilian), Hariz Hamdan (Qabil), Sadiq M. Jamil (Capik), Steve Yap (Jay), Marisa Yasmin (Mariam), Angeline Tan (Yi Ling), Alvin Wong (Foong), Shweta Sekhon (Divia) dan ramai lagi. 

Ini juga menyaksikan kemunculan semula Datuk Rosyam Nor dalam naskhah aksi dan lakonan watak utama pertama oleh Arfie Shah. Joey Leong juga tampil buat kali pertama dalam naskhah siri Melayu.

Penerbit Eksekutif ‘X-Change’ juga merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad,  berkata, X-Change mempersembahkan drama aksi, jenayah, romantik pertama Malaysia yang menggabungkan enam bahasa berbeza serta dialek, dengan mengetengahkan isu sosial ‘gaya autoritarian’ dalam sesebuah keluarga.

“Isu ini memang berlaku dalam kalangan masyarakat kita dan mungkin ada yang menormalkan gaya terbabit. Kami berharap, ia mampu menjadi topik perbincangan penonton sepanjang drama premium ini ditayangkan.

“X-Change turut membabitkan kisah percintaan pasangan berlainan latar yang terhalang kerana permusuhan keluarga, dan ini menampilkan himpunan pelakon Malaysia seperti Datuk Rosyam Nor, Steve Yap,  Alvin Wong, Arfie Shah dan ramai lagi.

“Kami harap penonton dapat menerima sebuah lagi drama berkualiti dari Astro Originals ini dan terus memperkukuhkan usaha mengangkat cerita-cerita menarik tempatan,” katanya.

Sementara itu, pengarah  ‘X-Change’, Norhanisham Muhammad (Labu), berkata, beliau amat bersyukur kerana mendapat kumpulan yang kuat dalam menjayakan siri X-Change ini.

“X-Change adalah sebuah naskhah yang mempunyai jalan cerita yang baik. Walaupun berlatar belakangkan aksi, tetapi saya ingin menekankan elemen kekeluargaan yang menjadi aspek utama penceritaan, yakni sesuatu yang bermakna buat semua.

“Terima kasih kepada semua yang sudah berusaha sepenuhnya untuk siri ini. Terima kasih juga kepada Astro dan Radius One kerana mempercayai saya sebagai pengarah untuk siri premium Astro Originals baharu ini.

“Saya berharap X-Change dapat menjadi antara naskhah terbaik, terutamanya naskhah yang bertemakan kekeluargaan,” katanya.

Kisah ‘X-Change’ bermula apabila Khalif yang baru tamat persekolahan, ingin mendapatkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara bersama kekasihnya, Lilian.

Namun apabila bapanya terbabit dalam kemalangan, Khalif terpaksa mengambil alih “bisnes” keluarganya iaitu merompak kedai emas bersama abangnya, Qabil dan Capik.

Tanggungjawab Khalif terhadap keluarganya telah mengheret Khalif semakin terjebak dalam dunia penjenayahan sehingga satu rahsia terbesar keluarganya terbongkar. 

Selain padat dengan babak aksi, heist dan konflik drama, siri premium Astro Originals ini turut memaparkan kisah cinta berlainan kaum atau ‘interracial relationship’ antara Khalif dan Lilian,  yang ingin membina kehidupan bersama di luar negara selepas tamat persekolahan.

Walaupun impian untuk melanjutkan pelajaran bersama-sama di luar negara terhalang oleh kehendak keluarga masing-masing, bibit-bibit romantik yang dipaparkan oleh kedua-dua watak ini memberi sentuhan unik kepada penggemar-penggemar siri romantik, terutamanya kepada generasi muda.

SPRM teliti salah laku laporan audit HRD Corp

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti keseluruhan dokumen membabitkan isu pengurusan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) untuk mencari kewujudan elemen rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa.

SPRM berkata, selain kesalahan jenayah, pihaknya juga akan meneliti isu-isu kelemahan tatakelola yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024.

Agensi itu juga mengesahkan, pihaknya sudah menerima maklumat serta beberapa dokumen yang berkaitan laporan audit terhadap HRD Corp.

“Dokumen-dokumen ini sudah diserahkan kepada SPRM oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Sri Khairul Dzaimee Daud pada jam 11.30 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam LKAN 2/2024 semalam dilaporkan berkata, KESUMA disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan susulan kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.

Wan Suraya berkata, terdapat tindakan serta keputusan yang diambil oleh pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat dan KESUMA perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti.

Susulan itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim hari ini mengarahkan Khairul Dzaimee dan Ketua Eksekutif HRD Corp supaya membuat laporan kepada SPRM.

Katanya, beliau dimaklumkan mengenai proses pengauditan ketika mengambil alih portfolio kementerian pada pertengahan Disember tahun lalu dan mengarahkan KESUMA serta HRD Corp memberikan kerjasama penuh.

Pengerusi MyCC, Mohd Hishamudin Yunus kini dilantik Pengerusi SUHAKAM yang baharu

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang baharu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata pelantikan itu bermula Rabu lalu dan berkuat kuasa sehingga tempoh tiga tahun.

“Sukacita dimaklumkan bahawa selaras subseksyen 5(2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597), Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus sebagai Pengerusi SUHAKAM,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Hishamudin sebelum ini adalah graduan undang-undang dari University of London dan beliau pernah berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia, Ketua Pendaftar Mahkamah Agung, Peguam Kanan Persekutuan dan Presiden Mahkamah Sesyen.

Beliau yang mempunyai pengalaman undang-undang selama 45 tahun itu turut memperoleh pensijilan Timbang Tara Komersial Antarabangsa daripada Chartered Institute of Arbitrators, United Kingdom.

Sepanjang perkhidmatannya di Mahkamah Tinggi, beliau sudah menulis lebih 750 penghakiman yang telah dilaporkan dalam jurnal undang-undang.

Selain itu, Mohd Hishamudin juga pernah berkhidmat sebagai Penasihat Undang-Undang kepada Kementerian Perusahaan Utama.