editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Dalam usaha menjaga, mengembangkan serta melestarikan tanjak sebagai warisan budaya Melayu, FM Group menganjurkan Hari Tanjak Malaysia yang akan berlangsung pada 10 Ogos ini.
Acara yang diadakan bersempena program Precious of Malaysia itu bagi melihat budaya memakai tanjak terus dikekalkan generasi pelapis dalam masyarakat hari ini.
Penganjur program, Farel Mikhail berkata, tanjak adalah aksesori kepala tradisional Melayu yang dipakai oleh golongan lelaki dan pakaian kebesaran raja-raja Melayu sejak berkurun lamanya.
“Walaupun aksesori itu kebiasaannya dipakai dalam adat istiadat diraja dan dianggap sebagai klasik, namun dengan suntikan moden, warisan Melayu itu terus hidup dan menjadi perhatian generasi baharu pada hari ini.
“Apabila memakai tanjak, ia sekaligus mendorong mereka mengambil tahu asal usul atau sejarah di sebalik pemakaian tanjak itu.
“Tidak salah untuk anak-anak muda ini memadankan tanjak dengan pakaian seharian mereka seperti baju kasual atau berseluar jeans. Tidak semestinya perlu pakai baju Melayu untuk mengenakan tanjak,” katanya.

Farel berkata, dia juga melihat penganjuran Hari Tanjak Malaysia ini adalah kesinambungan daripada pelbagai pihak sebelum ini yang menganjurkan kempen memakai tanjak.
“Jika dilihat sebelum ini, ada saja pihak lain yang membawa kempen memakai tanjak.
“Misalnya kempen memakai tanjak yang digerakkan oleh sekumpulan individu yang mewarnai Hari Malaysia pada 16 September beberapa tahun lalu.
“Kempen yang dinamakan ‘Hari Tanah Melayu Kembali Bertanjak’ itu sebelum ini pernah tular di media sosial. Penganjuran Hari Tanjak Malaysia yang saya bawakan ini pula diharap akan memeriahkan lagi suasana bulan kemerdekaan.
“Untuk itu, saya mensasarkan 1,001 orang dari pelbagai bangsa untuk hadir memakai tanjak pada hari berkenaan.
“Bersama-sama kita meneruskan warisan budaya kita di samping mengukuhkan tali silaturrahim dan semangat perpaduan berbilang kaum dalam negara.
“Bagi saya, pemakaian tanjak yang juga budaya Melayu itu sebenarnya budaya Malaysia juga,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, Precious of Malaysia juga turut menganjurkan pertandingan rekaan fesyen sempena International Cultural Fashion Week (ICFW) yang akan berlangsung pada 2 hingga 4 Ogos ini di Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur.
Farel akan bersama pereka fesyen, Jonathan mengemudi ICFW yang juga adalah platform untuk anak-anak muda berkarya terutamanya dalam menghasilkan busana tradisional atau kontemporari.
“Pertandingan ini lebih kepada memberi platform kepada pereka fesyen baharu atau sedang mencipta nama.
“Ini masanya untuk mereka membuktikan bakat atau kebolehan mereka. Ada sesetengah pelajar lepasan jurusan fesyen, mereka tiada tempat untuk memperlihatkan karya mereka dan terus melebarkan sayap dalam bidang fesyen,” katanya.

ICFW tahun ini akan menampilkan kelainan bagi menaikkan lagi martabat budaya kita.
“Selama dua tahun berturut-turut kami babitkan pereka fesyen tempatan sahaja. Untuk tahun ini kami menerima penyertaan dari negara-negara serantau iaitu Indonesia, Filipina, Thailand dan India.
“Menerusi pertandingan ini, kita dapat lihat pelbagai budaya yang dibawakan menerusi fesyen dari dalam dan luar negara.
“Untuk Malaysia, kami akan ketengahkan elemen Malaysia seperti songket tenun atau pun apa-apa tradisi. Dalam masa yang sama, rekaan kontemporari atau gabungan tradisional dan moden pun dibenarkan.

“Pertandingan yang berkonsepkan tradisional kali ini agak mencabar kerana membabitkan pereka fesyen dari negara serantau,” katanya.
Pertandingan ini membabitkan 10 kategori iaitu Best Collection, ASIAN Emerging Fashion Designer, Most Talented Fashion Designer, Up Coming Fashion Designer, Promising Fashion Designer, Best Showcase, Best Cultural Inspiration, Up Lifting Traditional Design, Excellent Fashion Designer dan Best Model Catwalk.
Antara penaja yang turut serta dalam Precious of Malaysia adalah Affin Bank Berhad, Pavilion Damansara Heights, Vivo, MyCar dan banyak lagi.
Bagi sesiapa yang berminat untuk menyertai pertandingan rekaan fesyen ini hubungi FM Group (0123021681).

