editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Meraikan ulang tahun (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan) ASWARA ke-30 dan sempena Festival Penilaian Tahun Akhir (PETA) penulis berpengalaman, Sajeet Soudagar dijemput sebagai salah seorang panel.
PETA adalah penilaian tahun akhir untuk pelajar, terutamanya di fakulti penulisan kreatif.
Sajeet hadir pada sesi ‘Meet & Greet’ ‘Kolam Bakat Terbuka’ yang turut mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Media Digital Kreatif (PMDK), yang diketuai oleh Presidennya, Alias Abu Bakar.
Kehadirannya bagi berkongsi pengalaman sebagai penulis meskipun baru pertama kali menghasilkan novel berjudul ‘Silencing The Lambs’.

Ini juga sebagai langkah dalam mempromosikan novel yang sudahpun dilancarkan sejak 25 Mei yang lalu.
Berkongsi mengenai sesi ‘Kolam Bakat Terbuka’, Sajeet berkata, ini adalah sesi perkongsian yang sangat baik untuk pelajar menunjukkan bakat dan industri seni juga mendambakan bakat seperti ini.
“Buat mereka yang meminati bidang ini, jangan pernah berhenti belajar tetapi teruskan menggapai impian sehingga berjaya,” katanya.
Selain menulis, Sajeet yang juga seorang pakar IT berkongsi perjalanannya yang mula terjebak menulis buku.
“Saya mula terjebak dalam penulisan buku ketika pandemik Covid-19 dan dalam tempoh dua tahun saya berjaya menyiapkan dua buku, di mana ‘Silencing The Lambs’ menjadi buku pertama yang sudah pun dilancarkan baru-baru ini.

“Buku kedua saya yang seterusnya bakal diterbitkan adalah prekuel kepada ‘Silencing The Lambs,” katanya yang berasal dari Mumbai, India.
Sudah menetap di Malaysia sejak 25 tahun yang lalu dan berkahwin dengan Kiran, wanita kelahiran Kuala Lumpur, Sajeet turut mempunyai perancangan untuk melancarkan ‘Silencing The Lambs’ di negara asalnya, Mumbai, sebelum meneruskan misi pelancaran ke tempat lain seperti Singapura dan Australia.
“Saya akan berlepas ke Mumbai tidak lama lagi untuk persiapan melancarkan buku di sana,” kata pemegang ijazah sarjana muda dalam kejuruteraan komputer dari Universiti Bangalore ini.

‘Silencing The Lambs,’ diterbitkan oleh Firdaus Press Publication Sdn Bhd, memulakan penerbitan sebanyak 5,000 naskhah dan dijual pada harga RM48 di Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan, Persidangan dan Penerbitan ASWARA, Dr. Azman Ismail berkata, PETA ialah festival tahunan yang menilai lebih 300 pelajar tahun akhir dari tujuh fakulti berbeza.
“Sesi ini adalah untuk menilai lima pelajar tahun akhir dalam bidang penulisan kreatif,” katanya.