editormaxinfo@gmail.com
AMPANG – Lazimnya bagi menarik penonton menyaksikan sesebuah filem di pawagam runut bunyi atau OST akan diperkenalkan.
Pastinya pemilihan penyanyi daripada kalangan yang sudah terkenal dan lagu yang dipersembahkan bersesuaian dengan suara si penyanyi.
Namun begitu, filem Syahadan 2 tidak goyah apabila yakin mempertaruhkan bakat baharu iaitu Amy Zakri menerusi OST berjudul Pejuang Abata.
Pengarah filem ini, Datuk Fairus Hussain berkata, pada awal dia mahu mempelawa Datuk Awie kerana yakin suara penyanyi rock itu sesuai dengan lagu yang dihasilkan.
“Tidak saya nafikan filem ini kurang dikenali dan pastinya orang akan menggunakan penyanyi popular untuk menyanyikan OST. Saya sudah mempelawa Awie namun atas sebab kesibukan kami tidak dapat menggunakan khidmatnya.
“Selepas mendengar suara Amy, saya yakin ia juga sangat sesuai dan kena. Suara Amy juga ada iras-iras Awie. Malah genre rock tradisional yang ditampilkan juga sangat bersesuaian,” katanya pada majlis pelancaran single dan muzik video lagu berkenaan, baru-baru ini.

Mengulas tentang tajuk Pejuang Abata, Fairus berkata ia bermaksud Abata (agama, bangsa dan tanah air).
“Saya percaya setiap manusia dilahirkan sebagai seorang pejuang dan dalam konsep lagu ini ada rohani dan ia juga mempertahankan bangsa,” katanya.
Lagu Pejuang Abata diterbitkan oleh syarikat Trilion Marketing Sdn Bhd.
Lirik dan lagu dicipta oleh Panglima manakala struktur muzik dan penyusunan lagu oleh Alan Monosterio Sepenuhnya. Lagu ini telah dirakamkan di studio rakaman Asia Empire Production, dimiliki sepenuhnya oleh Haniff Khan Mohd Khan (Anep Monosterio).
Proses adunan dan mastering dilakukan oleh Anep Monosterio. Asia Empire Records Malaysia turut bertindak sebagai syarikat rakaman serta pengedar rasmi di seluruh platform digital.

Muzik Video Pejuang Abata telah ditayangkan di platfom digital rasmi sejak 11 Mei lalu.
Filem Syahadan 2 adalah kesinambungan dari Filem Syahadan 1. Filem Syahadan 2 akan membabitkan kerjasama dari selebriti persilatan Indonesia yang mana mereka pernah terbabit dengan koreografi lagak ngeri untuk Marvel Shang-Chi.
FIlem berkenaan masih lagi dalam peringkat PrePro dan dijangka akan memulakan pengambaran pada tahun 2025. Tayangan juga akan dilancarkan pada tahun berikutnya.
Filem ini mengisahkan Omar yang menjejaki penceroboh yang cuba membunuh bapanya dengan senjata yang tercicir sehingga membawanya ke sebuah Kampung Alor Pulai.
Ketika Omar sedang menjalankan siasatannya, secara tidak langsung Omar telah terjebak dengan satu sindiket modus operandi kanak-kanak hilang dan penjualan organ yang didalangi oleh satu kumpulan kongsi gelap antarabangsa.
Barisan pelakon untuk filem ini adalah Al-Jufferi Jamari sebagai pelakon utama, Chintya Chandranaya, Master Agus Setiawan Jaya, Anuar Rahman dan Beto Khusairy (dalam cadangan).

