33.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, November 8, 2025

Lembaga Tabung Haji minta jemaah haji terkandas segera buat laporan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menasihatkan jemaah haji yang dikatakan terkandas di Makkah akibat terpedaya dengan pakej haji visa pelancong perlu membuat aduan atau laporan rasmi kepada mereka dan Kedutaan Malaysia di Jeddah, Arab Saudi dengan segera bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman, berkata TH akan bekerjasama dengan pihak Kedutaan Malaysia di Arab Saudi untuk membuat siasatan sewajarnya berdasarkan maklumat terperinci daripada jemaah berkenaan.

“Pihak kami menasihati semua jemaah umrah yang masih berada di Tanah Suci untuk akur dan mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi kerana ibadah umrah akan ditutup pada 15 Mei 2024 bagi persediaan musim haji.

“Peraturan yang dikeluarkan kerajaan Arab Saudi dan TH adalah untuk menjaga kebajikan serta keselamatan jemaah haji ketika musim haji,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan, kira-kira 300 bakal jemaah haji yang sudah berada di Makkah, kini dalam kebingungan apabila agensi umrah yang menguruskan perjalanan mereka, gagal menunaikan janji untuk mendapatkan kebenaran mengerjakan haji pada musim ini.

Bakal haji terbabit menyedari diperdaya selepas mendapati pakej haji yang murah ditawarkan agensi terbabit, menggunakan visa pelancong bagi menunaikan ibadah itu.

Menerusi hantaran di Facebook Forum Umrah DIY, seorang pengguna dikenali Zhyema Zhyedee, mendakwa dihubungi rakannya yang berada dalam kelompok terbabit dan kini berada di Makkah, bagi mendapatkan bantuan selepas menyedari diperdaya agensi berkenaan.

Susulan laporan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar mengarahkan TH untuk menyiasat kejadian itu.

Difahamkan, setakat ini, TH masih belum menerima sebarang laporan berhubung insiden itu dan sedang giat mendapatkan maklumat mengenainya.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular