32 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 1, 2026
Home Blog Page 172

Sesi foto HONOR 200 studio dapat sambutan hangat, segera daftar untuk slot akan datang

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sesi foto studio percuma HONOR 200 Studio di Sunway Pyramid yang akan bermula pada 17 hingga 21 Julai ini menerima maklum balas yang amat memberangsangkan daripada orang ramai dan kesemua slot telah dipenuhi sebelum acara ini berlangsung.

Keupayaan fotografi yang dikuasakan AI pada Siri HONOR 200 yang termasuk model Pro dan Standard berjaya menarik minat rakyat Malaysia. Hasil tangkapan gambar menggunakan model Pro daripada sesi foto HONOR 200 Studio baru-baru ini telah menambat hati pengikut di media sosial HONOR Malaysia.

Walaupun sesi foto di Sunway Pyramid sudah penuh, pengunjung masih boleh mengunjungi lokasi acara untuk mendapatkan penggambaran percuma dengan kamera potret berkuasa HONOR 200 Pro.

Pengunjung juga boleh alami sendiri prestasi penuh kuasa dan rekaan menawan HONOR 200 Pro di ruang pameran. Mereka yang berminat boleh membeli terus peranti tersebut serta membawa pulang hadiah percuma menarik.

HONOR 200 Studio Berikutnya di IOI City Mall mulai 31 Julai hingga 4 Ogos

Selepas Sunway Pyramid, HONOR akan menganjurkan HONOR 200 Studio yang seterusnya di IOI City Mall, Putrajaya mulai 31 Julai hingga 4 Ogos ini.

Orang ramai yang ingin menyertai sesi foto studio percuma boleh mendaftar di pautan di bawah. Slot adalah terhad dan pendaftaran awal adalah digalakkan untuk mengelakkan kekecewaan.

Lokasi: IOI City Mall, Putrajaya, LG East Court

Pautan Pendaftaran: https://bit.ly/HONOR200SeriesStudio_IOICityMall   

Rakyat Malaysia memuji Siri HONOR 200 – Apa kata mereka?

Acara HONOR 200 Studio di Pavilion Bukit Jalil dan Sunway Carnival Mall, Pulau Pinang baru-baru ini telah menerima pujian hebat daripada orang ramai terhadap keupayaan Siri HONOR 200. Berikut pandangan daripada beberapa pengunjung tentang Siri HONOR 200.

Selepas selesai sesi foto HONOR 200 Studio, Srewart Ong memuji keupayaan kamera HONOR 200 Pro yang dapat menghasilkan gambar jelas dan tajam.

“Kualiti kamera telefon ini amat mengagumkan, bagaikan menggunakan kamera profesional!” katanya.

Ong memberitahu terdapat penambahbaikan ketara pada HONOR 200 Pro berbanding HONOR 90 yang dimilikinya sekarang.

Seorang lagi peserta, Nurussaadah berkata, kualiti gambar HONOR 200 Pro yang bagaikan diambil dengan kamera professional mendorongnya untuk menukar telefon kepada peranti tersebut.

“Sudah tentu saya akan mencadangkan HONOR 200 Pro kepada rakan-rakan dan ahli keluarga,” katanya yang kali pertama mengikuti sesi foto studio.

Heah Hooi Xuan turut mengaui terkejut dengan hasil tangkapan HONOR 200 Pro pada wajahnya yang telah disolek.

“Mekap dan sesi foto menunjukkan sisi berbeza diri saya. Saya tidak pernah menjangka kamera telefon pintar boleh menangkap gambar yang bertaraf profesional,” katanya.

HONOR 200 Pro dan Standard membawakan AI Portrait Engine berkuasa yang direka bersama Studio Harcourt yang berpangkalan di Paris bagi menangkap gambar berkualiti studio dengan tiga mod potret.

Mod ini mencipta semula pencahayaan dan bayang Studio Harcourt bagi menghasilkan gambar yang mengagumkan. Kedua-dua model Pro dan Standard mengetengahkan Kamera Utama 50MP dan tetapan Kamera Telefoto 50MP dengan menampilkan Sensor Sony IMX856 baharu.

Bagi memastikan gambar lebih jelas dalam mana-mana situasi, kedua-dua peranti ini dilengkapi dengan sistem anti-goyang Dual OIS (OIS+EIS).

MBI Selangor rai usahawan PLATS pada Malam Anugerah Selangor (MAPS) 2024

editormaxinfo@gmail.com

SUBANG JAYA – Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor meraikan peserta-peserta Usahawan Platform Selangor (U-PLATS) siri  pertama pada majlis Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) 2024, semalam.

Majlis yang julung kali diadakan itu turut diserikan lagi dengan kehadiran Menteri Besar Selangor; Dato’ Seri Amirudin Shari, EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor; Mohd Najwan Halimi, EXCO Agama Islam & Pembudayaan Inovasi; Tuan Dr. Mohammad Fahmi Ngah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor; Ts. Saipolyazan M Yusop.

Seramai 12 peserta telah dipilih untuk menjadi peserta terbaik berdasarkan pencapaian mereka sepanjang menjalani Program Latihan Pembangunan Usahawan PLATS (U-PLATS Digital) mewakili 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Amirudin dalam ucapannya berkata, MAPS 2024 bukan setakat pemberian ataupun penyampaian anugerah, tetapi beliau berharap malam itu menjadi penyuntik dorongan kepada mereka yang lain yang mempunyai hasrat untuk menjadi peniaga tetapi belum membuat keputusan.

“Jangan menunggu lagi. Jika ada hasrat ataupun keinginan, tidak perlu gusar atau risau. Kita sudah ada lebih 37,000 pengusaha yang telah mengambil langkah ini, mereka telah melangkah arus dan membuat keputusan berani untuk menjadi pengusaha yang berjaya.

“Kerajaan Negeri menerusi agensi negeri dan MBI bersedia menawarkan khidmat dan nasihat serta akses kepada pengetahuan dan teknologi digital bagi manfaat anda.

“Buat penerima anugerah, saya mengucapkan tahniah kepada anda semua dan berharap bahawa malam ini dapat memberi semangat kepada anda semua untuk meneruskan usaha dan prestasi untuk lebih berjaya di masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Saipolyazan berkata, majlis ini amat bermakna untuk peserta PLATS kerana ia menunjukkan komitmen MBI Selangor dalam membangunkan serta memupuk bakat keusahawanan dalam kalangan rakyat Selangor.

“MAPS 2024 bukan sahaja menjadi platform untuk mengiktiraf pencapaian peserta PLATS tetapi juga sebagai sumber inspirasi kepada mereka untuk terus maju dan berjaya dalam bidang keusahawanan terutamanya usahawan mikro Selangor pada masa hadapan,” katanya.

Seramai 37,018 orang peniaga telah berdaftar dengan PLATS setakat 31 Jun 2024.

Ini adalah satu pencapaian yang memberangsangkan hasil daripada program dan kempen yang dianjurkan oleh PLATS dengan kerjasama 12 PBT di Selangor dan Selangor Youth Community (SAY) seperti PLATS Masuk Pasar (PMP), PLATS Masuk Bazar pada bulan Ramadan dan Program U-PLATS Digital.

Enam anugerah khas disampaikan kepada penerima yang terpilih. Anugerah khas itu ialah Anugerah Usahawan Mikro Komuniti, Anugerah Usahawan Mikro Inovasi, Anugerah Usahawan Mikro Digital, Anugerah Usahawan Mikro Muda, Anugerah Usahawan Mikro Wanita dan Anugerah Usahawan Mikro Negeri Selangor yang juga anugerah utama untuk MAPS 2024.

MBI Selangor yakin inisiatif PLATS ini adalah usaha progresif dan pemangkin kepada ekonomi digital di Selangor sekali gus menjadi penyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Kembali jadi pilihan David, Pierre sekali lagi arah filem seram menerusi Dajal (Satu Malam Di peDajal)

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Metrowealth International Group (MIG) sekali lagi menggunakan khidmat pengarah berbakat, Pierre Andre menerusi filem berjudul Dajal (Satu Malam Di peDajal).

Bakal memulakan penggambarannya 16 Julai ini, filem yang mempertaruhkan genre seram thriller itu adalah arahan kedua Pierre selepas hampir 10 tahun tidak mengarah.

Berkongsi mengenai filem ini, Pierre berkata, dia berharap dapat mempersembahkan cerita fiksyen seram dan ganas.

Walaupun tajuknya adalah Dajal, filem ini bukanlah memberi fokus kepada ‘makhluk’ yang mahu menyesatkan manusia seperti dinyatakan dalam al-Quran.

“Filem ini mengisahkan kegiatan segelintir kelompok pemuja syaitan berkepala kambing yang melakukan ritual untuk mempercepatkan proses kemunculan Dajal.

“Jika kita cuba memahami erti perkataan Dajal itu sendiri di dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, ia memang bermaksud individu, tetapi ia juga mempunyai makna lain, iaitu sifat seseorang.

“Apa yang cuba saya gambarkan adalah sifat Dajal pada kumpulan pemuja syaitan ini yang mahu menghidupkan kekuasaan Dajal.

“Saya tidak berani menghasilkan filem yang benar mengenai Dajal kerana ia sangat berat bagi saya kerana ia memerlukan kajian lebih khusus berdasarkan al-Quran dan Hadis,” katanya ketika ditemui pada majlis doa selamat filem berkenaan, baru-baru ini.

Pierre berkata, filem seram kali ini agak berlainan kerana paling banyak menggunakan efek darah serta cara pembunuhan paling kejam.

“Saya cuba gambarkan suasana tempat pembunuhan itu sendiri yang cukup menyeramkan seperti mana kita tonton filem Seven.

“Saya mengambil pengaruh filem Evil Dead untuk hasilkan fileM ini dan disebabkan itu, ia tidak sesuai diletakkan dalam klasifikasi tayangan umum,” katanya.

Pierre berkata, dalam filem Dajal dia boleh berkreativiti dengan lebih lagi melalui konten dan visual sebagai pengarah.

“Melalui filem ini juga, saya ingin beritahu orang ramai supaya kita jangan alpa, memandangkan memang ada kelompok yang teruja dengan perkara seperti pemujaan syaitan dan mahu Dajal muncul secepatnya,” katanya lagi.

Sementara itu, Penerbit filem Dajal, David Teo berkata, keputusan untuk menerbitkan filem bergenre seram thriller ini adalah selepas beliau meneliti keunikan konsep yang mahu disajikan kepada penonton, seterusnya memecahkan stereotaip genre yang pernah diterbitkan oleh MIG.

“Saya meneliti sendiri skrip filem ini dan merasakan ia adalah filem seram thriller yang berkonsepkan “out of the box” dan dapat merasakan filem ini bakal mencetuskan fenomena baru.

“Selain yakin dengan konsep cerita, pengarah, barisan pelakon, saya juga yakin dengan pemilihan tajuk Dajal yang memiliki tarikan dan maksud yang tersendiri,” katanya.

Filem Dajal ( Satu Malam Di peDajal ) dibarisi oleh pelakon Amir Nafis, Bidin Alzaifa, Khatijah Tan, Da’i Syed, Jaja Iliyes, Hanna Halim, Faa Zaini, Jay Iswazir dan ramai lagi.

Filem ini bakal memulakan penggambaran bermula 16 Julai dan sepenuhnya dilakukan di Fraser Hill, Pahang.

Dua ‘label’ inovatif jadi rakan strategik, Alternate Records bergabung dengan Universal Music Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Dua ‘label’ berkolaborasi menjadi rakan strategik pemasaran muzik tempatan.

Gabungan antara syarikat rakaman muzik tempatan Alternate Records dan syarikat rakaman bertaraf antarabangsa, Universal Music Malaysia dijangka membawa revolusi dalam landskap muzik tempatan dan bakal membuka peluang baharu untuk artis-artis tempatan untuk meluaskan pengaruh muzik mereka di peringkat domestik, serantau dan global.

Kerjasama antara Alternate Records yang terkenal dengan pendekatan inovatif dan kreatif dalam penerbitan muzik, bergabung tenaga dengan syarikat rakaman antarabangsa Universal Music Malaysia yang tidak asing lagi dengan rangkaian artis ternama, meletakkan satu anjakan paradigma bagi memperkenalkan perubahan yang baharu dalam industri muzik tempatan bagi memenuhi cita rasa penggemar muzik melalui gabungan kepakaran dari dua syarikat rakaman yang berbeza.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia Kim Lim berkata, pihaknya perlu bekerjasama dengan syarikat rakaman tempatan yang berjaya untuk membina sebuah ‘rumah’ kepada bakat baharu.

“Sebagai syarikat rakaman antarabangsa, kami sentiasa percaya bahawa kerjasama dengan syarikat rakaman tempatan yang berjaya seperti Alternate Records adalah penting bagi mencungkil bakat baharu agar kepelbagaian genre muzik dapat dihasilkan.

“Ia juga adalah satu langkah yang penting dalam mengembangkan lagi industri muzik tanah air. Dengan menggabungkan kepakaran kedua-dua belah pihak, kami percaya yang kerjasama ini bakal meningkatkan lagi keupayaan kami dalam memahami selera tempatan dan mengukuhkan lagi komitmen kami dalam menggalakkan inovasi dan kepelbagaian dalam industri muzik,” katanya.

Kim Lim berkata, tidak semestinya mengenai dari mana asal artis terbabit, apa lebih penting adalah jika muzik benar-benar berhubung dengan pendengar dan sesuai dengan visi yang cuba dibina bersama.

“Kerjasama kedua pihak adalah tepat selain menyifatkan kejayaan Alternate Records & Talents dalam pasaran muzik masa kini.

“Alternate Records & Talents telah berjaya mencungkil bakat dan menghasilkan beberapa artis, lagu dan runut bunyi yang menonjol dalam pasaran masa kini.

“Pengumuman kerjasama dengan Alternate Records & Talents hanyalah langkah pertama kedua-dua syarikat rakaman muzik untuk berganding bahu mengembangkan lebih ramai bakat hebat untuk industri muzik Malaysia,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada usaha ini, antara artis yang telah dan bakal memulakan projek kerjasama itu adalah Marsha Milan, Rahmad Mega, Puteri Khareeza, Sonaone, Ernie Zakri, Bella Astillah dan Ezra Kairo.

“Ini adalah antara beberapa senarai artis yang telah dan akan bekerja rapat bersama dengan Alternate Records. Kami sangat teruja untuk terus bekerjasama dengan mereka dalam lebih banyak projek yang akan datang,” kata Kim Lim lagi.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan, Penerbitan Filem, Muzik dan Kandungan Rancangan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad Shahila Shah Harun berkata, pihaknya begitu teruja ketika mengumumkan kerjasama bersama Universal Music Malaysia.

“Kerjasama antara Alternate Records dan Universal Music ini adalah satu langkah strategik untuk meluaskan pengaruh artis tempatan.

“Dengan sokongan Universal Music, kami yakin dapat menghasilkan karya yang bukan sahaja berkualiti tinggi tetapi juga mampu menembusi pasaran muzik.

“Alternate Records dan Universal Music mempunyai barisan artis yang berbakat dan seharusnya kami akan memberi sokongan penuh dari segi promosi, produksi, dan pengedaran.

“Ini adalah permulaan era baharu dalam industri muzik Malaysia. Kolaborasi ini bukan sahaja memberi peluang kepada artis sedia ada tetapi juga membuka pintu kepada bakat-bakat baru yang mencari platform untuk menonjolkan potensi mereka.

“Selain itu, usaha sama ini akan memfokuskan kepada pengeluaran muzik yang lebih berani, segar, dan relevan dengan kehendak pasaran semasa,” katanya.

Dengan pengumuman ini, industri muzik Malaysia akan membuka lebih banyak peluang kepada pemain industri untuk membawa muzik Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

Semangat kolaborasi dan pertukaran idea ini memberikan sinergi yang unik, menjana keharmonian yang membolehkan kepelbagaian budaya dalam muzik Malaysia terus berkembang dan menjadi terkenal di peringkat domestik, serantau dan global.

Dalam erti kata lain, industri muzik Malaysia semakin diminati dan dihormati di persada serantau dan antarabangsa, membuka lembaran baru untuk insan kreatif Malaysia melalui platform yang lebih berdaya maju serta lebih berprestij.

Bangkit dari kesedihan selepas keguguran, Hannah Delisha tampil lagu baharu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kali terakhir penyanyi dan pelakon Hannah Delisha muncul dengan single adalah pada 2021 menerusi lagu Terlalu Mudah.

Selepas tiga tahun, Hannah, 26, kembali menjadi penyanyi syarikat rakaman di bawah label Faithful Music.

Sebagai buah tangan pertamanya, Hannah mempertaruhkan lagu Akan Tiba hasil ciptaan sepenuhnya oleh Faizal Tahir, Ja’a, Romeo dan Eugene Lai.

Hannah berkata, Akan Tiba adalah sebuah lagu motivasi yang memaparkan mesej harapan dan daya tahan yang kuat. 

Apatah lagi selepas mengalami keguguran baru-baru ini, Hannah menyalurkan emosi hatinya ke dalam lirik, menggalakkan pendengar untuk bergerak ke hadapan, meninggalkan kesedihan lalu di belakang, dan percaya bahawa hari yang lebih cerah akan datang.

“Lagu Akan Tiba bukan hanya sekadar sebuah lagu biasa, tetapi lebih dari itu. Lagu motivasi ini menyampaikan pesan-pesan inspiratif mengenai harapan dan kekuatan untuk menghadapi cabaran dengan penuh semangat.

“Dengan ritma yang membangkitkan semangat dan lirik yang memancarkan positif, lagu ini mampu membangun keyakinan dalam diri pendengarnya. 

“Melalui melodi yang penuh semangat, Akan Tiba mampu merangsang perasaan positif dan memperkuat tekad untuk tidak menyerah di tengah cubaan hidup.

“Pesan motivasional dalam lagu ini sangat relevan dengan situasi keseharian ramai orang yang mungkin sedang berjuang melewati masa sukar. 

“Mendengarkan melodi yang menggerakkan jiwa dan lirik yang menghidupkan semangat, pendengar dapat merasakan kehangatan harapan yang mampu menyinari kegelapan.

“Dengan kata lain, lagu ini adalah sebuah sumber inspirasi yang mampu mempertajam fokus dan membangkitkan semangat juang untuk tetap melangkah maju dalam meraih impian,” katanya.

Hannah berkata, lagu Akan Tiba juga ditujukan khas kepada peminat-peminatnya yang setia sejak dari awal karier. 

“Akan Tiba bukan sekadar lagu, melainkan mewakili dari semangat pantang menyerah dan keyakinan atas datangnya waktu yang lebih baik dalam hidup setiap individu.

“Diharapkan lagu terbaharu ini mampu diterima baik peminat serta membawa sentuhan yang segar dan berbeza dalam landskap muzik Malaysia,” katanya.

Elemen kreatif yang digabungkan dalam lagu Akan Tiba, pastinya membuktikan bahawa Hannah adalah seorang artis serba boleh yang mampu mencipta impak dalam industri muzik tempatan. 

Lagu Akan Tiba sudahpun dilancarkan secara rasmi bermula semalam, 12 Julai menerusi sesi siaran langsung yang dikendalikan oleh Hannah di akaun TikTok miliknya.

Sesi siaran langsung itu dibuat selepas kali terakhirnya pada 2023 yang sebelumnya bersiaran tiga ke empat kali seminggu.

Serentak dengan itu, lagu Akan Tiba juga boleh distrim di semua platform muzik digital dan video muzik boleh ditonton di saluran YouTube Faithful Music.

Tiada paksaan, Nurul Shuhada tarik kes pukul secara sukarela

editormaxinfo@gmail.com

KUALA KUBU BHARU – Bekas isteri kepada pelakon Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri menarik semula laporan kes pukul yang difailkan terhadap bekas suaminya pada 6 Julai lalu.

Susulan itu, Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini menetapkan 2 Ogos depan untuk mendengar semula laporan berhubung penarikan laporan kes selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan merujuk Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor.

Hakim Siti Fatimah Talib bertindak sebagai Majistret menetapkan tarikh baharu itu selepas mempertimbangkan permintaan pihak pendakwaan untuk mendapatkan tempoh lanjutan selama dua minggu bagi mendapatkan kenyataan tambahan daripada Nurul Shuhada berhubung penarikan kes.

Bagaimanapun, Nurul Shuhada tidak hadir ke mahkamah hari ini untuk perbicaraan dan hanya diwakili peguamnya.

Peguam mewakili Hafidz, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, Nurul Shuhada menarik semula kes dan pihaknya sudah meneliti laporan penarikan yang menyatakan bahawa ia dilakukan secara sukarela tanpa sebarang paksaan.

“Oleh kerana prosedur pendakwaan perlu pastikan kandungan laporan, mereka akan ambil kenyataan tambahan daripada pengadu. Disebabkan itu perlukan sedikit masa.

“Hakim bersetuju dan bagi tempoh dua minggu. Ini peringkat daerah, jadi akan rujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, mereka akan teliti laporan dan arahkan pegawai penyiasat ambil percakapan untuk lihat ada tak apa-apa bentuk ugutan.

“Jika sudah berpuas hati mereka akan tarik balik,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas perbicaraan kes.

Akberdin turut memaklumkan, Hafidz dan Nurul Shuhada juga sudah menyelesaikan kes berkenaan secara baik.

“Mereka sudah menyelesaikan secara baik, jadi disebabkan itulah, kedua pihak bersetuju untuk selesai masalah mereka secara baik dan Nurul Shuhada juga tarik balik laporan.

“Tiada provokasi atau ugutan, mereka sudah selesai semua isu rumah tangga secara baik. Semuanya sudah selesai.

“Tiada elemen paksaan atau ugutan. Laporan dibuat Nurul Shuhada adalah ekoran penyelesaian dicapai. Jadi, dia tarik balik kes tanpa paksaan dan dibuat dengan sukarela.

“Kami juga sudah dapat laporan daripada peguamnya. Pada 2 Ogos depan, pihak pendakwaan akan maklumkan kepada mahkamah,” katanya.

Pada masa sama, Akberdin menjelaskan, selepas 2 Ogos depan akan diterangkan semua perkara yang berkait dengan Hafidz.

“Saya rasa tunggu 2 Ogos barulah boleh terangkan semua sekali, biarkan pihak pendakwaan berpuas hati dengan laporan. Apabila sudah diselesaikan dengan baik, barulah kita terangkan sebab kes sekarang masih berjalan,” katanya.

Ditanya sama ada pihaknya mendapat makluman mengenai ketidakhadiran Nurul Shuhada pada prosiding hari ini, Akberdin berkata, ia berikutan sapina tidak keluar dan difahamkan wanita itu juga kurang sihat.

“Sapina tak keluar sebab hari ini sebutan dan saya dengar dia juga kurang sihat. Kalau datang pun pendakwaan kena buat pengesahan secara bebas dan ada prosedur,” katanya.

Terdahulu, pada 13 Mac lalu, Hafidz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nurul Shuhada dengan menumbuk pipi kiri sebanyak tiga kali sehingga luka, lebam dan bengkak.

Hafidz dituduh melakukan perbuatan berkenaan berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya di sini, jam 3.22 pagi pada 2 Mac lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016. Namun, mereka bercerai pada 27 Julai tahun lalu selepas melalui proses mahkamah yang mendapat liputan meluas media.

Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan sepasang cahaya mata, Humairah, 7, dan Umar, 4.

Hafidz yang juga finalis program pencarian bakat, Hero Remaja Edisi 2011/2012 berkahwin dengan cinta pertamanya, Athira Yuhada di Glenmarie, Shah Alam pada 15 Disember lalu. -Berita Harian

‘Siapa Buka Lampu?’ filem seram komedi gabungan tiga negara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Menggunakan khidmat sutradara dari Indonesia, Reka Wijaya sebagai pengarah filem Siapa Buka Lampu?, SG Entertainment & Advertising mahu tampil kelainan dalam filem Melayu sulung mereka.

Penerbitnya, Punnagai Poo Gheetha berkata, bukan menidakkan kemampuan pengarah tempatan, tetapi wanita yang mesra disapa Gheetha itu telah mengatur strategi pemasaran agar filem Siapa Buka Lampu? dapat dipasarkan bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga negara serantau.

“Saya mahukan sesuatu yang mudah diterima penonton tetapi dalam masa sama ada sentuhan yang menggabungkan elemen tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan juga Thailand.

“Selain memaparkan tentang parodi hantu-hantu popular, filem ini juga menampilkan pengarah, kru dan pelakon gabungan daripada tiga buah negara.

“Saya berharap penonton dapat merasai ‘rasa’ Malaysia, Indonesia dan Thailand dalam sebuah karya. Pemilihan Reka Wijaya untuk filem ini adalah tepat,” katanya yang sudah menerbitkan 11 buah filem Tamil di India.

Berkongsi tentang cabaran pembikinan filem yang menelan kos sebanyak RM1.3 juta itu, Gheetha berkata, bukan mudah untuknya memegang dua posisi serentak iaitu selaku penerbit dan juga pelakon.

“Tekanan yang dihadapi sebagai seorang penerbit cukup tinggi, begitu juga dengan pelakon.

“Saya memikul kedua-dua tugas serentak sememangnya cukup mencabar. Saya perlu memastikan tekanan tidak terlihat pada wajah sewaktu penggambaran berlangsung,” kata Gheetha yang juga seorang pengacara dan penyampai radio tempatan di stesen radio Raaga.

Selain Gheetha, pelakon dan pelawak Ammar Titan turut membintangi filem bergenre komedi seram ini selepas membintangi filem Siapa Tutup Lampu? yang diterbitkan pada 2021.

“Filem Siapa Buka Lampu?  boleh dikira seperti sebuah filem francais yang menggunakan judul dan konsep yang sama tetapi barisan pelakon yang berbeza.

“Dalam filem ini saya bergandingan dengan Qasrina dan pelawak yang faham bagaimana untuk mempersembahkan sebuah karya komedi,” katanya.

Ammar berkata, cabaran terbesar yang dihadapi ketika penggambaran adalah masalah komunikasi kerana pengarah dan kru berasal dari Indonesia.

“Filem ini bergenre seram komedi dan cara orang Malaysia berlawak dengan Indonesia agak berbeza. Kelakar bagi kami, tidak bagi pengarah (ketawa).

“Jadi, kami harus mencari titik temu agar semua pihak berpuas hati menerusi perbincangan dan juga latihan. Bekerja dengan pengarah Indonesia, bagi saya sangat berbeza kerana pemikirannya tidak sama dengan pengarah di Malaysia.

“Satu pengalaman yang bagus untuk saya dan diharap penonton akan memberikan sokongan kerana filem ini sangat kelakar dan mampu menghilangkan tekanan anda,” katanya.

Selain Gheetha dan Ammar Titan, filem Siapa Buka Lampu? yang sudah pun menemui penonton di pawagam sejak 4 Julai lalu turut dibintangi oleh  Qasrina Karim, Azhar Jalil, Angie Ang, Gesya Shandy, Issey Fazlisham, Bell Ngasri, Tia Tavee, Mamak Puteh dan Geoff Feyaerts.

Sementara itu, penulis skrip, Abu Mamu berkata, sebagai peminat filem seram dia menjadikan elemen yang ada dalam filem yang ditonton sebagai pengisi untuk filem Siapa Buka Lampu? ini.

“Saya tulis skrip ini sebenarnya dalam masa singkat. Idea asal adalah untuk cuba memparodikan filem seram yang saya sendiri pernah tonton.

“Penonton dapat lihat beberapa babak yang menampilkan elemen seperti dari filem Conjuring, Insidous, Nangnak, Sundal Bolong dan banyak lagi diterapkan.

“Saya adalah peminat filem seram sejak kecil. Kebanyakan filem-filem itu pernah menjadi tontonan saya,” katanya.

Joe Flizzow sempurnakan konsert Divas & Diamonds 2024

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas mengumumkan penganjuran konsert Divas & Diamonds 2024 dengan pembabitan tiga artis popular iaitu Dato’ Sri Rossa, Dato’ Jamal Abdillah dan Dayang Nurfaizah, Mega Eve Sdn Bhd, memperkenalkan seorang lagi artis yang bakal membuat persembahan iaitu legenda hip hop, Joe Flizzow.

Berkongsi mengenai pengumuman itu, Joe mengakui teruja dan tidak akan melepaskan peluang untuk kembali berduet dengan Rossa pada konsert itu nanti.

Katanya, dia dan Rossa mempunyai dua lagu duet berjudul ‘Katakan’ dan ‘One Night Lover’ dan kali terakhir mereka berduet kira-kira sembilan tahun lalu pada Konsert Pesona Cinta Rossa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada tahun 2015.

“Kedua-dua lagu duet ini adalah ciptaan saya dan saya bertuah dapat berkolaborasi dengan Rossa kerana untuk melihat artis Indonesia yang menyanyikan lagu ciptaan dari luar terutama Malaysia agak susah.

“Untuk konsert kali ini, saya rancang berduet dengan Rossa dan akan berbincang lebih lanjut mengenai perkara ini.

“Walaupun sudah lama tidak mengadakan persembahan bersama, kami tetap berhubung,” katanya pada sidang media pengumuman dirinya dalam konsert berkenaan, baru-baru ini.

Konsert yang bakal berlangsung selama dua jam itu, akan menampilkan Joe dan Rossa masing-masing diiringi oleh band mereka sendiri manakala Jamal dan Dayang pula akan diiringi oleh komposer terulung, Genervie Kam.

Joe berkata, terbabit pada konsert berkenaan adalah satu penghormatan baginya apabila berada sebaris dengan penyanyi ternama lain dan berharap dapat ‘memberikan’ persembahan yang terbaik kepada peminat.

“Saya anggap ini adalah peluang untuk melihat muzik genre hip-hop dalam negara semakin diterima baik dan berada pada tahap yang matang berbanding dahulu selepas melalui pelbagai cabaran.

“Saya akan cuba persembahkan ’level of music’ yang mungkin sebelum ini orang kurang melihat,” katanya.

Konsert Divas & Diamonds 2024 bakal diadakan di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru, Johor pada 7 September depan.

Sebanyak 5 peratus daripada hasil jualan tiket akan disalurkan bagi menyokong bantuan di Gaza, Palestin.

Sumbangan ini akan diserahkan terus kepada pegawai Kedutaan Palestin untuk membantu saudara di Gaza.

Untuk pembelian tiket konsert layari ticket2u.com.

Merchantrade Money Biz, kad prabayar korporat pertama Malaysia bantu syarikat dan IKS urus kewangan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Merchantrade Asia Sdn Bhd (Merchantrade), peneraju inovasi dalam perkhidmatan kewangan digital, melancarkan Kad Korporat mereka, Merchantrade Money Biz.

Merchantrade Money Biz adalah Kad Prabayar Perniagaan Visa yang pertama di Malaysia.

Produk inovatif ini direka bagi memudahkan pengurusan perbelanjaan untuk syarikat-syarikat dari pelbagai industri dan saiz, dari Korporat hingga Perusahaan Kecil dan Sederhana (IKS).

Merchantrade Money Biz menggabungkan tiga kaedah inovatif Kad Prabayar Perniagaan Visa yang dipautkan dengan eDompet pelbagai mata wang, dan portal pengurusan perbelanjaan dengan fungsi yang direka untuk perniagaan moden.

Pengasas dan Pengarah Urusan Merchantrade Ramasamy K Veeran berkata, Merchantrade Money Biz memberi kelebihan kepada pekerja di semua peringkat dengan kad prabayar korporat sambil menyediakan kemudahan untuk majikan mengawal dan mengurus kewangan dengan tepat dan betul.

“Kami percaya bahawa kad prabayar korporat ini adalah satu inovasi yang telah mengubah cara syarikat dalam mengurus perbelanjaan mereka dan menjadi satu alternatif yang terbaik bagi mereka yang tidak dapat memperoleh kad kredit korporat dengan bebas risiko pembelanjaan berlebihan dan bebas faedah.

“Terdapat lebih satu juta syarikat perusahaan kecil dan sederhana di Malaysia dan kami menetapkan sasaran lima peratus yang akan menggunakan perkhidmatan Merchantrade Money Biz.

“Secara tidak langsung ia dapat membantu mereka mengurangkan kos pengurusan dan menjalankan perniagaan dengan lebih sistematik tanpa berlakunya ketirisan kewangan.

“Kami juga sedang meneroka industri lain yang memerlukan sistem pengurusan kewangan yang mudah dan selamat.

“Setakat ini lebih 80 syarikat telah mendaftar dan kami yakin mampu menyediakan penyelesaian kewangan digital yang inklusif dan efektik dalam memenuhi keperluan syarikat yang berkembang pesat,” katanya pada majlis pelancaran kad prabayar berkenaan, semalam.

Dikuasakan oleh Visa, kad prabayar perniagaan ini boleh digunakan oleh pekerja untuk membuat pembayaran di seluruh dunia, sama ada dalam talian atau runcit untuk perbelanjaan syarikat.

Dipadankan dengan eDompet pelbagai mata wang yang membolehkan pengguna menukar mata wang sehingga 20 mata wang asing dengan kadar tetap untuk pembayaran antarabangsa.

Portal pengurusan perbelanjaan pula bukan sahaja secara automatik dan mendigitalkan proses perniagaan, tetapi juga memberikan 100 peratus ketelusan pada semua transaksi dan termasuk kawalan yang mantap.