29.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, March 7, 2026

MBI Selangor rai usahawan PLATS pada Malam Anugerah Selangor (MAPS) 2024

editormaxinfo@gmail.com

SUBANG JAYA – Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor meraikan peserta-peserta Usahawan Platform Selangor (U-PLATS) siri  pertama pada majlis Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) 2024, semalam.

Majlis yang julung kali diadakan itu turut diserikan lagi dengan kehadiran Menteri Besar Selangor; Dato’ Seri Amirudin Shari, EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor; Mohd Najwan Halimi, EXCO Agama Islam & Pembudayaan Inovasi; Tuan Dr. Mohammad Fahmi Ngah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor; Ts. Saipolyazan M Yusop.

Seramai 12 peserta telah dipilih untuk menjadi peserta terbaik berdasarkan pencapaian mereka sepanjang menjalani Program Latihan Pembangunan Usahawan PLATS (U-PLATS Digital) mewakili 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Amirudin dalam ucapannya berkata, MAPS 2024 bukan setakat pemberian ataupun penyampaian anugerah, tetapi beliau berharap malam itu menjadi penyuntik dorongan kepada mereka yang lain yang mempunyai hasrat untuk menjadi peniaga tetapi belum membuat keputusan.

“Jangan menunggu lagi. Jika ada hasrat ataupun keinginan, tidak perlu gusar atau risau. Kita sudah ada lebih 37,000 pengusaha yang telah mengambil langkah ini, mereka telah melangkah arus dan membuat keputusan berani untuk menjadi pengusaha yang berjaya.

“Kerajaan Negeri menerusi agensi negeri dan MBI bersedia menawarkan khidmat dan nasihat serta akses kepada pengetahuan dan teknologi digital bagi manfaat anda.

“Buat penerima anugerah, saya mengucapkan tahniah kepada anda semua dan berharap bahawa malam ini dapat memberi semangat kepada anda semua untuk meneruskan usaha dan prestasi untuk lebih berjaya di masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Saipolyazan berkata, majlis ini amat bermakna untuk peserta PLATS kerana ia menunjukkan komitmen MBI Selangor dalam membangunkan serta memupuk bakat keusahawanan dalam kalangan rakyat Selangor.

“MAPS 2024 bukan sahaja menjadi platform untuk mengiktiraf pencapaian peserta PLATS tetapi juga sebagai sumber inspirasi kepada mereka untuk terus maju dan berjaya dalam bidang keusahawanan terutamanya usahawan mikro Selangor pada masa hadapan,” katanya.

Seramai 37,018 orang peniaga telah berdaftar dengan PLATS setakat 31 Jun 2024.

Ini adalah satu pencapaian yang memberangsangkan hasil daripada program dan kempen yang dianjurkan oleh PLATS dengan kerjasama 12 PBT di Selangor dan Selangor Youth Community (SAY) seperti PLATS Masuk Pasar (PMP), PLATS Masuk Bazar pada bulan Ramadan dan Program U-PLATS Digital.

Enam anugerah khas disampaikan kepada penerima yang terpilih. Anugerah khas itu ialah Anugerah Usahawan Mikro Komuniti, Anugerah Usahawan Mikro Inovasi, Anugerah Usahawan Mikro Digital, Anugerah Usahawan Mikro Muda, Anugerah Usahawan Mikro Wanita dan Anugerah Usahawan Mikro Negeri Selangor yang juga anugerah utama untuk MAPS 2024.

MBI Selangor yakin inisiatif PLATS ini adalah usaha progresif dan pemangkin kepada ekonomi digital di Selangor sekali gus menjadi penyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular