29.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 12, 2025

‘Siapa Buka Lampu?’ filem seram komedi gabungan tiga negara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Menggunakan khidmat sutradara dari Indonesia, Reka Wijaya sebagai pengarah filem Siapa Buka Lampu?, SG Entertainment & Advertising mahu tampil kelainan dalam filem Melayu sulung mereka.

Penerbitnya, Punnagai Poo Gheetha berkata, bukan menidakkan kemampuan pengarah tempatan, tetapi wanita yang mesra disapa Gheetha itu telah mengatur strategi pemasaran agar filem Siapa Buka Lampu? dapat dipasarkan bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga negara serantau.

“Saya mahukan sesuatu yang mudah diterima penonton tetapi dalam masa sama ada sentuhan yang menggabungkan elemen tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan juga Thailand.

“Selain memaparkan tentang parodi hantu-hantu popular, filem ini juga menampilkan pengarah, kru dan pelakon gabungan daripada tiga buah negara.

“Saya berharap penonton dapat merasai ‘rasa’ Malaysia, Indonesia dan Thailand dalam sebuah karya. Pemilihan Reka Wijaya untuk filem ini adalah tepat,” katanya yang sudah menerbitkan 11 buah filem Tamil di India.

Berkongsi tentang cabaran pembikinan filem yang menelan kos sebanyak RM1.3 juta itu, Gheetha berkata, bukan mudah untuknya memegang dua posisi serentak iaitu selaku penerbit dan juga pelakon.

“Tekanan yang dihadapi sebagai seorang penerbit cukup tinggi, begitu juga dengan pelakon.

“Saya memikul kedua-dua tugas serentak sememangnya cukup mencabar. Saya perlu memastikan tekanan tidak terlihat pada wajah sewaktu penggambaran berlangsung,” kata Gheetha yang juga seorang pengacara dan penyampai radio tempatan di stesen radio Raaga.

Selain Gheetha, pelakon dan pelawak Ammar Titan turut membintangi filem bergenre komedi seram ini selepas membintangi filem Siapa Tutup Lampu? yang diterbitkan pada 2021.

“Filem Siapa Buka Lampu?  boleh dikira seperti sebuah filem francais yang menggunakan judul dan konsep yang sama tetapi barisan pelakon yang berbeza.

“Dalam filem ini saya bergandingan dengan Qasrina dan pelawak yang faham bagaimana untuk mempersembahkan sebuah karya komedi,” katanya.

Ammar berkata, cabaran terbesar yang dihadapi ketika penggambaran adalah masalah komunikasi kerana pengarah dan kru berasal dari Indonesia.

“Filem ini bergenre seram komedi dan cara orang Malaysia berlawak dengan Indonesia agak berbeza. Kelakar bagi kami, tidak bagi pengarah (ketawa).

“Jadi, kami harus mencari titik temu agar semua pihak berpuas hati menerusi perbincangan dan juga latihan. Bekerja dengan pengarah Indonesia, bagi saya sangat berbeza kerana pemikirannya tidak sama dengan pengarah di Malaysia.

“Satu pengalaman yang bagus untuk saya dan diharap penonton akan memberikan sokongan kerana filem ini sangat kelakar dan mampu menghilangkan tekanan anda,” katanya.

Selain Gheetha dan Ammar Titan, filem Siapa Buka Lampu? yang sudah pun menemui penonton di pawagam sejak 4 Julai lalu turut dibintangi oleh  Qasrina Karim, Azhar Jalil, Angie Ang, Gesya Shandy, Issey Fazlisham, Bell Ngasri, Tia Tavee, Mamak Puteh dan Geoff Feyaerts.

Sementara itu, penulis skrip, Abu Mamu berkata, sebagai peminat filem seram dia menjadikan elemen yang ada dalam filem yang ditonton sebagai pengisi untuk filem Siapa Buka Lampu? ini.

“Saya tulis skrip ini sebenarnya dalam masa singkat. Idea asal adalah untuk cuba memparodikan filem seram yang saya sendiri pernah tonton.

“Penonton dapat lihat beberapa babak yang menampilkan elemen seperti dari filem Conjuring, Insidous, Nangnak, Sundal Bolong dan banyak lagi diterapkan.

“Saya adalah peminat filem seram sejak kecil. Kebanyakan filem-filem itu pernah menjadi tontonan saya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular