25.3 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 29, 2026
Home Blog Page 166

Kriteria kenaikan pangkat perlu selari dengan kualiti pelajar – MQA

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Kriteria kenaikan pangkat di institusi Pendidikan tinggi (IPT) tempatan perlu selari dengan agenda utama penubuhan universiti iaitu melahirkan pelajar dan graduan cemerlang.  

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, perkata itu selari dengan lonjakan pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT) 2015-2025 iaitu melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang.

Beliau berkata, saranan itu dibuat supaya tenaga pengajar atau pensyarah lebih memberi penekanan terhadap kualiti pelajar yang dilahirkan di institusi masing-masing.

“Tiada guna sekiranya seorang pensyarah cemerlang dalam penyelidikan, penulisan jurnal berimpak tinggi dan pelbagai pencapaian peribadi tetapi kualiti pelajarnya tidak mencapai tahap sepatutnya.

“Hal ini penting kerana masa depan negara bergantung kepada generasi muda kita pada hari ini, sekiranya pelajar dan graduan dihasilkan tidak berkualiti, negara akan menerima padahnya,” katanya.

Mohammad Shatar berkata, disebabkan perkara itu sangat penting, buat julung kalinya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menganjurkan program International Young Future Leaders Summit 2024 (iFUTURE 2024) yang mengumpulkan pemimpin pelajar dari dalam dan luar negara, baru-baru ini.

Katanya, program selama tiga hari itu, dihadiri 1,000 pemimpin pelajar dari 47 buah negara yang menyediakan wahana dan peluang kepada mahasiswa untuk penyerlahan bakat kepimpinan, meningkatkan kualiti keilmuan, mengukuhkan keterampilan dan kemahiran pengucapan awam.

Beliau berkata, pendekatan fokus kepada kualiti graduan itu juga selari dengan lima Fokus Utama KPT bagi Tahun 2024 iaitu Penyediaan Bakat Terbaik Negara yang dikongsikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Menurutnya, sudah tiba masa IPT tempatan melihat semula kriteria kenaikan pangkat supaya diberikan keutamaan kepada agenda melahirkan pelajar dan graduan berkualiti sebagai satu daripada ciri-ciri utama.

“Diharap pensyarah menyambut baik hasrat ini bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dengan jiwa dan bukan sekadar mahu menghabiskan silibus yang diajar.

“Kecemerlangan ini tidak akan dapat dicapai tanpa komitmen dan kesungguhan daripada tenaga pengajar,” katanya.

Dihukum penjara 10 tahun, 3 sebatan kerana rogol, Da’i Syed menangis teresak-esak

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Pendakwah selebriti, Da’i Syed dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu.

Hakim Norazlin Othman memutuskan demikian selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pembelaan.

Hukuman penjara itu berkuat kuasa hari ini.

Sebaik mendengar keputusan itu, bapa anak satu itu dilihat menangis teresak-esak dalam kandang tertuduh.

Tertuduh kemudian memeluk isterinya, Hana Ismail, 38, yang turut hadir ke mahkamah meskipun baru melahirkan anak 16 hari lalu.

Pada 10 April 2023, Hakim Rihaida Rafie melepas dan membebaskan pendakwah itu atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 29, daripada tuduhan berkenaan tanpa memanggilnya membela diri.

Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 23 tahun dalam bilik di sebuah kondominium di I-City di Seksyen 7 di sini, pada jam 1.35 malam pada 11 September 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Seramai 18 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan bermula April 2022.

Pada 31 Mei 2022, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya turut melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada dua pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta. -Berita Harian

Festival Muzik Vit’s persembah Konsert Telan Kaset 90’an

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Buat pertama kalinya, jenama mi segera popular tanah air, Vit’s dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia membawakan Festival Muzik Vits – ‘Konsert Telan Kaset 90’an’ bersempena dengan Festival Mi Malaysia yang pertama pada 12 dan 13 Oktober ini bertempat di lokasi terbuka Padang Timur, Petaling Jaya bermula jam 10 pagi sehingga 11.30 malam.

Antara artis yang terbabit ialah Rahmad Mega, Kool, Ady Wow, Aris Ariwatan, Dinamik Kasawari, Roy, Amir Ukay’s, Shidi Data, Isa Gravity, Wann, Febians, Hasnol, Shades, A To Z, Tom, Fuad, Zamani, bersama DJ Fasha Anderson dengan Don’t Panic Buskers, dan ramai lagi.

Selaku penganjur bagi pihak Vit’s, Baizura Tazri berkata, ini adalah kali pertama jenama mi segera Vit’s mengadakan festival muzik sebegini dengan menggabungkan elemen muzik dan makanan bersempena Vit’s Music Festival buat pengunjung agar dapat menikmati makanan berasaskan mi dengan sajian muzik 90’an.

“Tujuan konsert ini diadakan adalah bagi mengubati kerinduan peminat-peminat muzik 90’an dengan membawakan lagu-lagu ‘hits’ era berkenaan dan menggabungkan pesta makanan berasaskan mi seperti laksa, mi kari, mi bandung, pasta, dan bermacam lagi.

“Selain mengubati kerinduan peminat, konsert ini juga bertujuan mengumpul dana bagi Persatuan Karyawan Malaysia melalui hasil jualan tiket konsert, dan dana yang diperolehi akan digunakan untuk membantu artis-artis senior dan karyawan yang sedang sakit ataupun uzur yang memerlukan bantuan, selari dengan tujuan penubuhan persatuan ini,” katanya.

Dijangkakan seramai 17 orang penyanyi 90’a yang terbabit sepanjang dua hari berlangsungnya Festival Muzik Vits ini bermula dari jam 8 sehingga 11.30 malam dengan membawakan pelbagai genre muzik seperti rock, balada, R&B, hip hop dan irama Malaysia.

Pengunjung Festival Muzik Vits berpeluang mengunjungi lebih 80 ‘booth’ peniaga dan penjual dengan pelbagai jenis makanan yang kesemuanya berasaskan mi disamping dapat beriadah melalui permainan berkonsepkan karnival yang disediakan sesuai untuk aktiviti seisi keluarga.

Baizura berkata, setiap pengunjung yang hadir pada Vit’s Music Festival dengan berpakaian konsep 90’an seperti rock, hip hop mahupun dangdut bakal menerima hadiah daripada pihak penganjur, dan atas permintaan ramai di media sosial yang mahukan pertandingan karaoke diadakan, pihak Vit’s mengalu-alukan pengunjung untuk mengambil bahagian pada kedua-dua harinya dengan pelbagai hadiah menarik yang menanti untuk dimenangi.

Selain Vit’s dan Persatuan Karyawan Malaysia, festival ini turut ditaja bersama oleh MBPJ, Storm Truperz Campers, Ticket2u, Suria FM, Media Panas, Hotel Seri Pacific, Nester, dan juga Irama Maju Productions.

“Kami berharap agar festival makanan dan muzik yang berkonsepkan karnival ini dapat diteruskan pada tahun-tahun mendatang dalam memperjuangkan penyanyi-penyanyi era 90’an yang mengimbau kenangan masa lalu dengan lagu-lagu hits mereka yang malar segar.

“Mewakili pihak Dato’ Freddie Fernandez, selaku presiden Persatuan Karyawan Malaysia, beliau berharap agar penonton yang hadir dapat berhibur sambil beramal melalui festival ini dengan dana yang dikumpulkan untuk badan persatuan.

“Datanglah ke Vit’s Music Festival beramai-ramai dan jumpa anda di sana,” katanya.

Tiket-tiket ke Konsert Telan Kaset 90’an dan karnival kini boleh didapati secara atas talian di laman web Ticket2u.com.my dengan harga RM45 seorang.

Manakala, tiada pembayaran yang dikenakan ke Festival Mi Malaysia.

Nabila Razali teruja galas tanggungjawab Duta Salam Taiwan 2024

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali menyifatkan pelantikannya sebagai Duta Salam Taiwan 2024 memahat satu lagi pencapaian bermakna dałam perjalanan kerjaya seninya yang kini mencecah lebih sedekad.

Bersyukur dengan penghormatan dan kepercayaan yang diberikan, Nabila atau mesra disapa Bella, 31, berkata dia kini menggalas satu lagi tanggungjawab besar bagi memastikan amanah itu dilunaskan dengan sebaik mungkin.

Nabila berkata, Taiwan sememangnya antara destinasi yang berada dalam senarai lokasi pelancongan ingin dikunjunginya dan tawaran diterimanya itu umpama pucuk dicita ulam mendatang kerana sudah lama menyimpan impian untuk ke pulau berkenaan.

“Pelantikan sebagai Duta Salam Taiwan 2024 banyak membuka mata Bella mengenai komitmen jitu Taiwan sebagai destinasi pelancongan yang mesra Muslim. 

“Banyak perkara baharu yang Bella terokai sepanjang berada di sana. Lebih istimewa, Taiwan sangat sesuai untuk dijadikan destinasi pilihan percutian seisi keluarga kerana ia menawarkan pelbagai tarikan yang tersendiri.

“Bella sangat berbesar hati dapat berkongsi pelbagai informasi menarik mengenai Taiwan. Bahkan, Bella sangat teruja apabila berpeluang memberi pendedahan kepada rakyat Malaysia, terutama masyarakat Islam untuk meneroka sebuah lagi destinasi pelancongan mesra Muslim,” katanya.

Sudah tiga kali menjejakkan kaki ke Taiwan, Nabila berkata, dia tidak pernah puas kerana masih banyak lagi ingin diterokainya di pulau yang menawarkan pelbagai tarikan dengan panorama memukau pandangan itu.

“Taiwan membuatkan Bella sentiasa teruja kerana mempunyai banyak lokasi menarik untuk dikunjungi, sama ada dari segi hiburan, pesona alam semula jadi, pemandangan yang tidak pernah menjemukan pancaindera dan keindahan budaya.

“Seperkara yang membuat Bella begitu selesa adalah penduduk Taiwan sangat peramah dan mesra membuatkan Bella berasa selamat, meskipun ketika bersiar-siar bersendirian.

“Jaringan sistem pengangkutan awam yang sangat efisien juga memudahkan kita untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain,” katanya. 

Penyanyi lagu Tangis itu berkata, antara pengalaman yang tidak mungkin dilupakannya adalah peluang mendaki Bitoujiao Trail yang menawarkan pemandangan yang begitu mempesonakan.

Mengakui dirinya bukan penggemar aktiviti mendaki, namun peluang keemasan itu tidak dilepaskan Nabila kerana mahu menikmati keindahan alam semula jadi yang ditawarkan di lokasi aktiviti santai pilihan penduduk Taiwan itu.

“Bella juga sangat seronok apabila dapat berbasikal di sepanjang Tanyashen Greenway di Taichung, malah turut larut dalam nostalgia di Stesen Jingtong ketika menaiki kereta api laluan Pingxi yang begitu mempesonakan.

“Bella turut berpeluang melihat kehidupan masyarakat di pedalaman Taiwan dan ia memberikan pengalaman yang sangat berharga buat Bella ” kata Nabila yang turut teruja mencuba pelbagai permainan di beberapa taman tema yang sempat dikunjunginya.

Nabila juga tidak melepaskan peluang menikmati masakan Muslim Taiwan antaranya potongan ayam goreng yang baginya begitu membuka selera, selain mencuba sendiri menyediakan sajian tradisional, Hakka Lei Cha (teh yang dikisar).

“Ayam goreng itu antara sajian enak yang pasti Bella cari apabila berkunjung ke Taiwan. Insya-Allah, jika ada kesempatan lagi, sudah tentu Bella akan bawa suami bersama untuk menikmati pelbagai tarikan yang ada di Taiwan.

“Bella yakin pelantikan sebagai Duta Salam Taiwan 2024 memberi impak besar kepada perjalanan karier seni Bella, terutama apabila pengaruh dan populariti Bella dapat dimanfaatkan untuk mempromosikan perkara yang positif kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Pentadbiran Pelancongan Taiwan, baru-baru ini melancarkan video promosi kembara terbaharu, Jom Taiwan yang menampilkan Nabila, selain risalah terkini sebagai usaha strategik untuk mempromosikan Taiwan sebagai destinasi pilihan utama Muslim Malaysia.

Timbalan Ketua Pengarah Pentadbiran Pelancongan Taiwan, MOTC, Chou Ting-chang menekankan, keutuhan hubungan antara Taiwan dan Malaysia meletakkan negara ini sebagai pasaran utama dalam mempromosikan pelancongan Muslim.

Katanya, sejak 2018, Pentadbiran Pelancongan Taiwan telah membina jenama Salam Taiwan dalam pasaran Muslim Malaysia, seterusnya memahat imej Taiwan sebagai destinasi pelancongan terbuka yang kini semakin bertapak kukuh di hati pelancong Muslim.

“Peningkatan ketara dengan lebih 200,000 pelancong Malaysia berkunjung ke Taiwan dapat dilihat antara Januari dan Mei 2024 – menyaksikan pertumbuhan hampir 20 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Peningkatan itu mendorong Taiwan untuk terus komited dalam usaha menampung keperluan pengembara Muslim, selain menyediakan pengalaman perjalanan yang mesra pelancong Islam.

“Bersama slogan “Jom Taiwan”, pelantikan Nabila yang mempunyai 3.5 juta pengikut di media sosial sebagai duta kempen dapat memanfaatkan popularitinya dengan lebih meluas untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia melawat Taiwan,” katanya.

Turut dilancarkan serentak, risalah baharu panduan perjalanan Muslim dan kempen undian 72 Jam Di Taiwan dengan mempelawa rakyat Malaysia mengundi jadual perjalanan yang mereka gemari di Taiwan menerusi laman web (https://72jamditaiwan.my).


Peserta berpeluang memenangi pakej pelancongan Taiwan tiga hari dua malam untuk dua orang, termasuk tiket penerbangan pergi balik.  

Untuk menarik lebih ramai pengunjung Muslim dari Malaysia meneroka keindahan bumi Taiwan, Pentadbiran Pelancongan Taiwan turut mengambil bahagian dalam Pameran Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair 2024) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur dari 6 hingga 8 September ini. 

Peminat berpeluang bertemu Nabila ketika sesi ‘meet-and-greet’ yang akan diadakan di Pentas Utama, Tingkat 3, MITEC, pada 7 September ini, jam 3 petang.

Meriahkan sambutan kemerdekaan bersama TV AlHIjrah

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – TV AlHijrah akan menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-67 dengan pelbagai program istimewa bertemakan “Malaysia Madani Jiwa Merdeka”.

Barisan rancangan terbaik ini telah dijadualkan siarannya demi menyemarakkan semangat patriotisme dan rasa cinta kepada negara dalam kalangan warga penonton.

Antara barisan rancangan yang harus ditonton adalah Podcast Suara Ulama Merdeka, Gema Haflah, Assalamualaikum Khas Merdeka, Malaysia Quran Hour, Kapsul Jiwa Merdeka dan Malaysia Megah Di Puncak Dunia.

Podcast Suara Ulama Merdeka adalah sebuah rancangan yang membawa penonton secara santai namun penuh ilmiah untuk mendalami kisah sejarah dan erti kemerdekaan yang sebenar.

Berbeza dengan mana-mana program yang pernah ditayangkan sebelum ini, Podcast Suara Ulama Merdeka memberikan kelainan apabila penonton berpeluang menelusuri sejarah perjuangan ulama dalam mengecapi kebebasan serta peranan mereka dalam memelihara masa depan Islam dan Malaysia yang lebih cemerlang.

Rancangan ini akan disiarkan pada 26 Ogos hingga 3 September, Isnin dan Selasa, jam 9 malam, bersama pengacara jemputan Khir Rahman.

Seterusnya, Gema Haflah musim keempat akan disiarkan pada Khamis, 29 Ogos, jam 9 malam.

Istimewa kali ini, Gema Haflah memaparkan persembahan alunan  ayat-ayat suci al-Quran dengan variasi alunan seni tarannum oleh barisan qari daripada anggota keselamatan negara iaitu PDRM, JBPM, ATM dan APMM menerusi tema ‘PERWIRA’ sempena sambutan hari kemerdekaan negara tahun ini.

Rancangan Assalamualaikum Khas Merdeka  pula akan ditayangkan pada 30 ogos ini jam 7 pagi. Penonton berpeluang untuk bersama-sama hos rancangan seperti Amie Sofea Ahmad, Naufal Hatta, Ustaz Nabil Ahmad dan Ardi Herman Mohd Mardzi bagi memperingati detik-detik istimewa Hari merdeka dan Hari Malaysia.  

Barisan tetamu jemputan pelbagai latar belakang termasuk asatizah, tokoh-tokoh korporat dan negarawan turut berkongsi kisah keharmonian masyarakat majmuk sambil menghayati istilah jiwa merdeka menurut Islam.

Pada hari yang sama, tepat jam 10 pagi, TV AlHijrah akan menyiarkan Malaysia Quran Hour yang akan bersiaran langsung dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Penganjuran kali ini memberi penekanan kepada nilai spiritual kemerdekaan penonton sambil menghayati ajaran al-Quran menerusi mesej yang dibawa oleh surah-surahnya.

Seterusnya, jangan ketinggalan untuk menyaksikan Jiwa Merdeka pada 31 Ogos ini di kaca televisyen anda. Jiwa Merdeka adalah rancangan bergenre kapsul doa yang membawa penonton menghayati detik-detik pengisytiharan Kemerdekaan Negara di Stadium Merdeka oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1957.

Istimewanya, penonton turut berpeluang menghayati doa pertama yang dibacakan oleh Almarhum Syeikh Haji Ahmad Muhammad Said sejurus pengisytiharan kemerdekaan terbabit. 

Imbasan ini juga akan diselang selikan dengan hadis-hadis pilihan serta saranan ulama untuk memupuk semangat kemerdekaan dalam diri penonton.

TV AlHijrah juga akan menyiarkan rancangan Malaysia Megah Di Puncak Dunia pada 16 September, Isnin, jam 6 petang.

Malaysia Megah di Puncak Dunia akan membawa penonton mengikuti pengembaraan rakyat Malaysia, Khafiz Al Khicok yang mencabar ketahanan mental dan fizikalnya dalam menawan puncak Gunung K2 di Pakistan, gunung kedua tertinggi di dunia selepas Everest.

Ketabahan dan keazamannya dalam menghabiskan misi ini pastinya dapat menjadi pembakar semangat kepada rakyat Malaysia untuk terus maju menggapai impian.

Teruskan menyokong TV AlHijrah dengan mengikuti perkembangan isu semasa di platform media sosial stesen ini terutamanya di platform TikTok Berita AlHijrah yang kini telah mencapai 1.1 juta pengikut.

Selain itu, kesemua program-program menarik juga boleh ditonton menerusi aplikasi AlHijrah Plus di telefon pintar masing-masing.

Lagu Masing Masing terima Anugerah Platinum, Ernie Zakri kekal di kelas tersendiri

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Industri muzik tempatan terus menyaksikan kejayaan luar biasa apabila lagu popular Masing Masing nyanyian penyanyi terkenal Ernie Zakri dianugerahkan 1X Platinum Award atau Anugerah Platinum.

Anugerah ini mengiktiraf kejayaan besar lagu hasil ciptaan Ade Govinda itu dalam meraih jualan dan penstriman yang tinggi, serta sambutan hangat daripada peminat muzik dalam dan luar negara.

Anugerah ini juga diberikan kepada Ernie Zakri sebagai pengiktirafan Pencapaian Jualan Digital Seluruh Dunia.

Sejak dilancarkan, lagu Masing Masing menjadi antara lagu paling popular dalam carta muzik tempatan. Tambahan lagi, lagu Masing Masing juga kini berada 17 weeks nombor 1 di Carta RIM.

Menerusi lirik yang mendalam dan melodi yang penuh emosi, lagu ini menyampaikan mesej mengenai kejujuran dalam hubungan dan penerimaan diri, sekali gus diterima baik oleh pendengar dari pelbagai lapisan masyarakat.

Ernie Zakri, seorang penyanyi yang terkenal dengan vokalnya yang mantap, berjaya membawakan lagu ini dengan penuh penghayatan.

Kombinasi antara lirik yang menyentuh hati dan kehebatan vokal Ernie menjadikan lagu Masing Masing sebuah karya yang diingati.

Penganugerahan ini adalah satu pencapaian penting dalam kerjaya Ernie Zakri, menunjukkan penerimaan yang luar biasa daripada peminat muzik.

Apatah lagi, lagu Masing Masing sudah mencapai tahap penstriman dan jualan yang tinggi di pelbagai platform digital.

“Alhamdulillah, sudah semestinya saya sangat gembira sebab lagu ini mencipta kejayaan yang sangat besar dalam karier saya. Lagu ini juga mendapat sambutan yang sangat besar sekali di Malaysia.

“Ia memberikan satu impak yang sangat positif dan juga memberikan satu memori yang banyak dengan lagu Masing Masing.

“Lagu ini tidak hanya telah berjaya menjana perhatian yang meluas daripada peminat muzik, tetapi juga berjaya menarik minat ramai melalui platform digital.

“Prestasi lagu ini mencapai tahap penstriman dan jualan yang tinggi membuktikan kualiti serta daya tarikan yang dimiliki oleh karya ini.

“Bagi saya, lagu Masing Masing juga menonjolkan dimensi emosi yang mendalam, yang berjaya mengetuk jiwa dan perasaan peminat muzik,” katanya.

Kesungguhan Ernie dalam membawa muziknya ke peringkat global semakin terbukti melalui pencapaian luar biasanya ini, yang mencerminkan komitmen serta dedikasi tinggi beliau terhadap industri muzik negara.

Dengan adanya pengiktirafan yang diberikan, Ernie semakin termotivasi untuk terus mencipta karya-karya unik serta menggerakkan industri muzik tanah air ke mercu kegemilangan yang lebih tinggi.

Ernie juga merakamkan jutaan terima kasih kepada peminat yang sudah memberi sokongan padu kepada lagu ini.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang menyokong dan menjadikan lagu Masing Masing sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka.

“Anugerah Platinum ini adalah bukti kekuatan sokongan peminat, dan saya dedikasikan kejayaan ini kepada anda semua.

“Terima kasih sekali lagi kepada semua peminat dan pendengar yang sentiasa menyokong lagu Masing Masing dan disebabkan lagu ini juga album Aura mendapat sambutan yang sangat baik, Alhamdulillah.

“Teristimewa juga buat Ernienators, terima kasih kerana selalu menyokong, mendoakan dan sentiasa ada dengan saya. Saya juga berharap selepas ini, semoga lagu-lagu yang lain juga mendapat sambutan yang baik juga, Insya-Allah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ernie berkata, dia sedang merancang untuk mengadakan konsert solo.

“Insya-Allah, saya akan mengadakan konsert solo. Pengumuman akan dibuat tidak lama lagi. Kalau boleh memang nak umumkan secepat mungkin,” katanya.

Selain itu, lagu Masing Masing turut tercalon dalam Top 20 bagi kategori Lagu Paling Boom Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH 36).

Tinggalkan FMC, Noktah Rindu lagu terakhir Wany Hasrita untuk peminat

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Memulakan kerjaya nyanyian secara serius sejak 2016,  penyanyi Wany Hasrita mula diperkenalkan melalui lagu duet Memori Berkasih (versi baru) duet bersama penyanyi berasal dari Korea Selatan – Kim Dong Gyun.

Nama Wany mula terukir di hati peminat apabila lagu Menahan Rindu meledak di semua radio dan viral di laman-laman sosial sehingga melayakkan lagu ini ke Anugerah Juara Lagu 32.

Memenangi Bintang Paling Popular di ABPBH 31 – 2018 adalah pencapaian tertinggi Wany Hasrita  bersama FMC Music.

Sepanjang hampir 8 tahun bersama FMC Music Wany Hasrita telah menghasilkan 10 buah lagu solo (termasuk Noktah Rindu), 10 buah lagu duet, 6 lagu Raya Aidilfitri dan 3 buah lagu duet cover termasuk Bakawali duet bersama Dato’ Jamal Abdillah.

Kejayaan melangkah ke Anugerah Juara Lagu untuk beberapa kali adalah penanda aras bahawa Wany Hasrita bukanlah artis yang datang dan pergi.

Memiliki wajah yang cantik dan keperibadian yang menarik adalah satu anugerah melengkapkan lagi pakej pemilik nama Wany Hasrita.

Namun perjuangan harus diteruskan. Sebagai penutup Kerjasama FMC Music bersama Wany Hasrita, pihak syarikat telah melancarkan single terakhirnya berjudul Noktah Rindu.

Lagu dan lirik ciptaan sepenuhnya Goufran dan Ibnu ini adalah lagu balada cinta yang pastinya akan menjadi siulan penggemar muzik lagu-lagu cinta.

 CF.HO Pengarah Urusan FMC Music, CF HO berkata, Wany bermula di FMC dengan lagu cinta dan mereka melepaskannya dengan lagu cinta juga.

“Sebenarnya lagu ini sudah dirakamkan sewaktu musim Covid-19 yang lalu, tetapi kita simpan dulu kerana kita nak cuba release single genre yang berbeza.

“Kalau diikutkan tiada langsung perancangan melancarkan single terakhir bersama Wany kerana saya fikir Wany akan sambung kontrak bersama FMC Music.

“Sepanjang bersama kami tiada langsung masalah antara pihak FMC dan Wany. Semuanya berjalan dengan baik dan kami juga berharap Wany terus bersama kami.

“Namun begitu apa pun keputusan ditentukan oleh Wany sendiri dan kebetulan judul lagu Noktah Rindu seakan membayangkan hubungan rasmi kami terhenti di sini. Namun begitu pintu FMC Music sentiasa terbuka untuk Wany Kembali,” katanya.

Lagu Noktah Rindu kini telahpun dilancarkan secara rasmi di YouTube FMC Music dan seluruh laman sosial digital dan radio.

CF. HO berkata, FMC sangat yakin Noktah Rindu pasti meletop seperti lagu Menahan Rindu kerana lagu balada begini adalah genre yang paling tepat untuk Wany Hasrita.

‘Kita Kan Sama’ kisah realiti pengasas Choco Albab

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Meraikan sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini, Saudagaar Asia turut mengambil peluang menghasilkan filem pendek bagi berkongsi semangat perpaduan dengan rakyat Malaysia.

Filem pendek berjudul “Kita Kan Sama: Inspirasi Dari Kisah Sebenar” itu adalah kisah yang dilalui sendiri oleh Pengasas Choco Albab, Said Saiful Fazli Said Aluwi.

Said berkata, idea itu terhasil selepas melihat isu perkauman sering menjadi sentimen dalam sesuatu perkara sekarang ini.

“Saya bimbang melihat situasi itu, ketika kecil saya hidup dalam suasana yang banyak orang Melayu dan tiada perbezaan kaum antara kami.

“Semakin menginjak dewasa sudah ada mula perbezaan itu dan saya sendiri yang pernah mengalaminya berharap ia tidak berterusan berlaku.

“Kerana itulah tercetusnya idea menghasilkan video pendek ini bagi memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa kita hidup di Malaysia berbilang kaum dan tidak ada apa yang membezakan kerana kita semua adalah sama,” katanya pada majlis pelancaran video berkenaan, semalam.

Kita Kan Sama menyoroti pengalaman peribadi Said yang dibesarkan dalam suasana kampung yang harmoni.  

Sama seperti majoriti kanak-kanak lain di kampungnya, Joe (nama layar) membesar dengan gaya hidup sebagai anak Melayu dan mengamalkan cara hidup sebagai masyarakat Melayu.   

Namun, ketika Joe mengetahui asal-usulnya yang sebenar, beliau  berhadapan dengan cabaran untuk menerima identiti barunya.  

Realiti bahawa Joe berketurunan India telah memberi satu kejutan pada dirinya dan perkara itu turut mempengaruhi hubungannya dengan rakan-rakan dari pelbagai kaum.

“Kita Kan Sama” membawa mesej yang kuat tentang pentingnya perpaduan dan kesamaan, serta bagaimana perbezaan budaya dan kaum sepatutnya menjadi kekuatan, bukannya halangan.

Sementara itu, pengarah filem ini, Shafieq Hashim turut menekankan bahawa filem ini adalah usaha untuk memperlihatkan realiti kehidupan masyarakat Malaysia yang penuh warna-warni.  

Melalui ‘Kita Kan Sama’,  filem pendek ini diharap dapat menyampaikan bahawa persahabatan dan kasih sayang adalah unsur yang paling penting dalam membina semangat perpaduan dan membentuk negara yang bersatu padu.   

Filem pendek ini juga bertujuan untuk mengajak semua rakyat Malaysia merenung kembali nilai-nilai yang telah menyatukan kita semua selama ini.

Selaku penerbit utama, Choco Albab percaya bahawa filem ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu usaha untuk mengukuhkan lagi perpaduan dan persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia.  

Memeriahkan lagi sambutan Hari Merdeka, Choco Albab turut merasmikan choco tub Duriyan dan ini akan menjadi pilihan bermusim sepanjang bulan Ogos setiap tahun.

Bagi yang ingin menyaksikan video pendek ini boleh layari laman YouTube rasmi Choco Albab.

GPR dibawa masuk ke lokasi pencarian mangsa tanah jerlus

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Alat pengesan Ground Penetrating Radar (GPR) yang digunakan untuk menjejak mangsa tertimbus dengan cara ‘menembusi tanah’ dilihat mula dibawa masuk ke kawasan pencarian bagi mencari mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Alat terbabit dipercayai akan digunakan untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga India, Vijayaletchumy, 48, yang hilang selepas terjatuh ke dalam lubang benam sedalam kira-kira lapan meter, Jumaat lalu.

Petugas daripada pasukan teknikal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Agensi Nuklear Malaysia dilihat membawa alat GPR itu sekitar jam 11 pagi tadi.

Peranti serupa juga digunakan untuk mengesan mangsa yang tertimbus semasa kejadian tanah runtuh yang berlaku di Batang Kali, Selangor pada Disember 2022.

Dalam pada itu, media difahamkan kerja-kerja pembilasan di lokasi utama di hadapan Wisma Yakin telah dijalankan pada awal pagi Selasa oleh Indah Water Konsortium (IWK).

Selain itu, peralatan kamera juga digunakan di dalam pembetung berikutan operasi pembilasan.

Kerja baik pulih juga telah dilakukan di loji IWK Pantai Dalam oleh anggota IWK bersama anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dalam satu kenyataan ringkas berkata, tiada perkembangan diperoleh dalam operasi dijalankan pada awal pagi ini. – Sinar Harian