25.3 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 29, 2026
Home Blog Page 165

ALKA, UCMB meterai MoA, laksana audit dan teroka usaha penambahbaikan dan kelestarian tenaga

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Syarikat Alka System Sdn. Bhd. (ALKA) telah mengambil langkah penting dalam mempromosikan inisiatif tenaga boleh diperbaharui dengan menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Universal Cable (M) Berhad (UCMB).

Kerjasama itu bertujuan untuk melaksanakan audit tenaga dan meneroka pelbagai cara untuk meningkatkan keupayaan syarikat dalam usaha penambahbaikan dan kelestarian tenaga.

Majlis menandatangani itu telah disempurnakan oleh Pengarah ALKA, Ts Ir Mohd Ferdus Abdul Kadir dan Pengarah UCMB, Fadzil Ahmad serta disaksikan oleh Pengawal Kewangan ALKA, Md Fauzi Bahari serta Pengurus Akaun dan Kewangan UCMB, Teoh Maylin yang diadakan di Holiday Villa, Johor Bahru, baru-baru ini.

Secara umum, pengurusan tenaga boleh disimpulkan sebagai semua aktiviti untuk memastikan penggunaan tenaga yang efisien dalam syarikat dan ia diperlukan kerana pengaruhnya terhadap operasi dan aktiviti.

Audit tenaga adalah proses menganalisis penggunaan tenaga dalam syarikat untuk memastikan bahawa tenaga digunakan dengan efisien melalui penerapan sistem pengurusan tenaga bagi mencapai hasil yang diinginkan dan untuk penambahbaikan berterusan dalam prestasi penggunaan tenaga.

Ini merangkumi semua aspek tenaga, termasuk penglibatan manusia dan peralatan dalam operasi harian kemudahan berkenaan.

Audit tenaga di UCMB dijangka akan merealisasikan objektif-objektif di atas.

ALKA juga menghargai usaha UCMB dalam menjalankan audit tenaga dan audit alam sekitar yang bertujuan untuk meningkatkan kelestarian tenaga.

Dengan melaksanakan langkah-langkah penambahbaikan ini, kedua-dua syarikat berkomitmen untuk mencapai hasil yang lebih baik dalam pengurusan tenaga dan mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar.

Perjanjian ini adalah langkah pertama ALKA untuk memasuki sektor tenaga boleh diperbaharui.

Langkah seterusnya bagi ALKA adalah projek solar di Terengganu, yang akan dimulakan pada bulan September ini sebagai fasa pertama daripada tiga fasa projek.

Selepas itu, ALKA juga merancang untuk melaksanakan projek solar besar-besaran di beberapa provinsi di Indonesia.

Andi Bernadee sertai keluarga Universal Music Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sejak memasuki dunia muzik tempatan, bintang dari Sabah, Andi Bernadee, telah berjaya meninggalkan kesan dan mencipta impaknya yang tersendiri.

Menjadi pelopor dalam genre muzik ‘Reggaeton’ tempatan, Andi telah menghasilkan beberapa hit dalam genre ini, sehingga namanya menjadi terkenal di Malaysia.

Kini, bintang ini dengan bangganya mengumumkan bahawa dirinya baru sahaja menandatangani kontrak secara rasmi dengan label muzik terkenal dunia, Universal Music Malaysia, dalam usaha untuk meluaskan jangkauan muzik dan kerjayanya.

Seperti semua penghibur yang bercita-cita tinggi, Andi mempunyai impian sendiri setelah menyertai label antarabangsa yang lebih besar.

“Sebagai seorang artis, saya semestinya ingin berkembang dan sebagai penyanyi, saya merancang untuk menghasilkan album serta beberapa pertunjukan khas yang akan menyusul,” kata Andi tentang langkah seterusnya setelah menandatangani kontrak dengan Universal Music Malaysia.

Ditanya tentang harapannya untuk waktu yang akan datang, Andi tidak segan menyatakan niatnya dalam bidang muzik.

“Saya harap akan tetap kekal dalam zon saya, dan lebih banyak lagu reggaeton akan dihasilkan sesuai dengan gaya muzik dan genre saya,” katanya.

Andi yang juga seorang pelakon itu berbangga menjadi sebahagian daripada keluarga Universal Music Malaysia dan akan mengumumkan lebih banyak berita menarik dalam masa terdekat.

Kembali dengan konsep baharu, Jelajah Suria Kuasa 2 dibawakan oleh Suria FM dan Yaya Empire

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Suria FM bakal memulakan kembali Jelajah Suria mereka dengan konsep baharu yang lebih bertenaga menerusi ‘Jelajah Suria Kuasa 2’, hasil gabungan kerjasama bersama Yaya Empire.

Jelajah kali ini menjanjikan pengalaman yang lebih mengujakan dan bakal menjelajah ke empat lokasi utama di seluruh negara seperti di Penang, Johor, Nilai, dan Kelantan.

Acara ini akan berlangsung selama dua hari di setiap lokasi, bermula dari jam 10 pagi sehingga 10 malam.

Lokasi dan Tarikh Jelajah Suria Kuasa 2 akan bermula di Mydin Bukit Mertajam, Penang pada 7 & 8 September 2024 (Sabtu & Ahad) diikuti dengan Plaza Angsana, Johor Bahru: 21 & 22 September 2024 (Sabtu & Ahad), AEON Mall Nilai, Negeri Sembilan: 28 & 29 September 2024 (Sabtu & Ahad) dan terakhir di AEON Kota Bharu, Kelantan: 11 & 12 Oktober 2024 (Jumaat & Sabtu).

Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan sepanjang jelajah antaranya pertandingan KiraOke Suria, hadiah cabutan bertuah bernilai hampir RM36,000, dan Konsert Jelajah Suria Kuasa 2 yang bakal menampilkan barisan artis popular tanah air seperti Kristal X, Zamani Slam, Haqiem Rusly, Ara Johari dan Ernie Zakri.

Tidak ketinggalan bakal memeriahkan acara ialah Amir Masdi & The Band, Aina Abdul, Nabila Razali, Black Hanifah, Ameng Spring, Masdo, Aisha Retno, Ruffedge, Ezad Lazim, Floor 88, Afieq Shazwan, Baggio Damasutra, Poey Stings dan ramai lagi.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid (DJ Lin) berkata, Suria FM sangat teruja untuk kembali turun padang temui peminat setia menerusi Jelajah Suria Kuasa 2. 

“Kami sangat teruja untuk kembali turun padang bertemu peminat setia dengan memberikan sentuhan segar yang menarik menerusi gabungan kerjasama Suria FM bersama Yaya Empire di Jelajah Suria Kuasa 2.

“Selain berhibur bersama barisan artis popular tanah air dan pelbagai aktiviti pentas yang boleh dimenangi, pengunjung juga berpeluang beramah mesra bersama barisan penyampai Suria FM seperti Ajak, Dato Fizz Fairuz, Suraya, Cik Piah, Rara, Chiwan, Kai Hassan dan saya sendiri,” katanya. 

Lebih menarik, pengunjung berpeluang menangi sebahagian RM24,000 menerusi KiraOke Suria di Jelajah dengan hanya rakamkan video nyanyian berdurasi 1 minit daripada senarai lagu yang diberikan.

Muat naik video anda di media sosial berserta hashtag #KiraOkeSuriaPenang, #KiraOkeSuriaJB, atau #KiraOkeSuriaNilai.

Pilih satu lokasi sahaja untuk penyertaan dan jangan lupa tag Suria di Instagram (@suriamalaysia), Facebook (@SuriaFM), dan TikTok (@suriamalaysia).

Pastikan akaun media sosial anda perlu berada dalam mod ‘public’ dan penyertaan yang terpilih akan dihubungi oleh Suria.

 “Jadi tunggu apa lagi? Jom datang beramai-ramai dan rasai kemeriahkan Jelajah Suria Kuasa 2,” kata DJ Lin lagi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yaya Empire Nadia Mat Isa berkata, pihaknya sangat teruja untuk berkolaborasi bersama Suria FM buat pertama kali dalam Jelajah Suria Kuasa 2 ini.

“Jangan lupa untuk datang beramai-ramai dan meriahkan Jelajah di setiap lokasi kerana kami akan membawa 580 jenis bauan, termasuk edisi terbaharu kami, ‘Bear Edition’. Jom datang berhibur dan singgah ke booth Yaya Empire,” katanya.

Udit Narayan bakal temui peminat Bollywood di Pulau Pinang November ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Udit Narayan penyanyi Bollywood yang terkenal dengan suara latarnya kepada industri muzik Bollywood dan termasuk juga beberapa bahasa lain seperti

Tamil, Bengali, Telugu, dan Kannada, bakal membuat kemunculan istimewa di Setia Spice Arena,Pulau Pinang pada 28 November depan.

Udit adalah penyanyi suara latar lagu bagi ramai ikon Bollywood dan diantaranya adalah Shah Rukh Khan, Amir Khan, Amitabh Bachchan dan banyak lagi.

Sepanjang tiga dekad kariernya, Udit telah menyanyikan lebih 25, 000 buah lagu dalam lebih 36 bahasa sehingga membuatkan dirinya berjaya mendapat 22.3 juta pendengar di Spotify dan juga memenangi pelbagai anugerah.

Udit mula dikenali pada tahun 80’an dengan lagunya “Papa Kehte Hain,” yang telah berjaya membuatnya memenangi anugerah ‘Filmfare’ yang pertama.

Persembahan Udit bagi soundtrack “Qayamat Se Qayamat Tak” juga telah mengukuhkan lagi kemasyhuran namanya di Bollywood yang membawa kepada peningkatan jualan dan pujian ramai peminat Bollywood.

Beliau juga sering bergandingan dengan penyanyi lain seperti Alka Yagnik, Lata Mangeshkar dan Kumar Sanu.

Antara filem-filem popular yang mengambil mereka sebagai penyanyi latar adalah Kuch Kuch Hota Hai, Dil To Pagal Hai, Mohabbatein, Kaho Naa Pyar Hai dan Kabhi Khushi Kabhie Gham.

Suara Udit juga menjadi pilihan pengarah muzik sehingga beliau berpeluang bekerjasama dengan ahli muzik terkemuka seperti Anu Malik, Jatin Lalit, A. R. Rahman, Rajesh Roshan, dan Shankar Mahadevan.

Suaranya juga berjaya menghiasi filem-filem pengarah hebat seperti Yash Chopra, Sanjay Leela Bhansali dan Karan Johar.

Udit juga diraikan sebagai Raja Melodi dengan 21 lagunya dipaparkan dalam 40 Lagu Terbaik Bollywood Sepanjang Zaman di BBC.

Peminat-peminat Bollywood di Asia Tenggara pasti tidak akan melepaskan peluang untuk bertemu dan menyaksikan persembahan Udit secara langsung di konsert yang dianjurkan oleh Filloz International dan LR Asia pada November ini.

Tiket-tiket telah mula dijual di ubertickets dengan adanya harga jualan awal istimewa beserta diskaun sebanyak 10 peratus dari 28 Ogos hingga 16 September 2024.

Harga tiket RM899 Kokkorakko (Merchandise) – duduk, RM599 Dil To Pagal Hai (Poster) – duduk, RM399 Boleh Chudiyan (Poster) – berdiri, RM199 Papa Kehte Hain – duduk, RM109 Kadhal Pesase – duduk.

Harga tiket akan kembali normal pada 17 September. Dapatkan tiket anda sekarang di https://uditnarayan.ubertickets.asia.

PRK DUN Mahkota : Pengusaha hotel dan rumah penginapan tak menang tangan

editormaxinfo@gmail.com

KLUANG – Menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota pada 28 September ini, pengusaha hotel dan rumah penginapan di sekitar daerah ini tidak menang tangan menerima tempahan orang ramai.

Ketua Jualan, Prime City Hotel, Ruhaiza Ruslan berkata, semua 105 bilik di hotel yang terletak di No. 20, Jalan Bakawali, Kampung Masjid Lama itu habis terjual bermula 13 hingga 28 September ini.

“Dari segi harga, masih sama sahaja, tiada perubahan dan dalam tempoh PRK Mahkota.

“Kami mempunyai tiga pakej harga iaitu untuk biasa, korporat dan kerajaan.

“Sebelum ini tempahan banyak berlaku ketika musim cuti persekolahan dan jika ada seminar dan acara.

“Namun, PRK Mahkota yang tiba tiba diadakan ini sebenarnya juga memberi limpahan rezeki kepada kami pengusaha hotel,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berjanji akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan di hotel berkenaan pada setiap masa.

Bagi seorang pengusaha rumah penginapan, Homestay Hajah Sal di Taman Desa, Zainudin Rentah, 56, berkata, dia menerima tempahan penuh bermula 18 hingga 28 September ini dari pelanggan di Putrajaya.

“Harga penginapan dicaj adalah RM200 satu malam dan pelanggan berkenaan sudah tempah selama 11 hari 10 malam.

“Harganya masih sama dan tak berubah dari sebelum ini kerana saya tak mahu menjadi apa-apa masalah dan sudah tentu PRK Mahkota ini juga memberi limpahan rezeki buat kami pengusaha rumah penginapan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini.

Ramlan berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 27 September. -Berita Harian

Alami sinestesia sensasi Efek Rumah Kaca live di Zepp KL 25 Oktober depan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Menjadi antara band senior yang berjaya menyentuh hati peminat lewat cerita kehidupan yang dibalut sempurna dalam beragam melodi yang mengasyikkan adalah jawapan mengapa Efek Rumah Kaca masih wujud dalam belantika muzik.

Seperti nama band ini, Efek, ia benar-benar memberi efek buat pendengar saat Cholil Mahmud (vokal utama, gitar), Poppie Airil (vokal latar belakang, dan Akbar Bagus Sudibyo (drum, vokal latar belakang) memulakan perjuangan seni sejak dulu hingga kini.

Meski sempat kurang melakukan persembahan panggung lantaran memberi keutamaan terhadap hal lain sekaligus tumbuh banyaknya band generasi baharu, Efek Rumah Kaca tidak mudah dilupakan.

Pernah berkongsi panggung dengan rakan seperjuangan pada 2022 di Malaysia, band asal Jakarta ini hadir kembali ke tanah air.

Kali ini Efek Rumah Kaca hadir ke Malaysia secara solo. Kembalinya band yang juga sinonim dengan akronim ERK ini ke Malaysia adalah kerana memenuhi permintaan peminat yang tidak puas menikmati efek-efek muzik mereka yang hanya bertebaran sedikit saat persembahan dua tahun lalu.

Oleh itu, penganjur Shezco Sdn Bhd dengan senang hati membawa Efek Rumah Kaca ke ibu kota menerusi konsert solo yang diberi nama Di Udara Kuala Lumpur Live At Zepp KL.

Konsert ini dijadualkan akan berlangsung pada 25 Oktober depan di Zepp Kuala Lumpur.

Menurut Shezco Sdn Bhd, nama konsert sengaja dinamakan Di Udara sempena mengambil nama salah satu tembang popular yang dilahirkan pada 2007 menerusi album sulung mereka, Efek Rumah Kaca.

“Secara simboliknya kami menamakan persembahan panggung ini sebagai Di Udara Kuala Lumpur Live At Zepp KL sempena pertama kali setelah sekian lama ERK tidak beramah mesra dengan peminat mereka di Malaysia.

“Muzik dan kasih sayang di antara ERK bersama peminat akan bertebaran di udara sepanjang malam 25 Oktober di ruang Zepp KL nanti,” kata Kamarul Hafizad @ IJAD dari Shezco Sdn Bhd.

Buat Cholil tidak ada yang lebih bahagia saat dia dan rakan ERK diberi penghormatan menemui peminat dan akan mendendangkan banyak hit mereka dengan senang hati.

“Kami berasa senang untuk kembali ke Malaysia dan pada konsert kali ini, ERK akan lebih intim berpesta dengan peminat kami.

Untuk menikmati indahnya karya ERK dari Kamar Gelap, Jatuh Cinta Itu Biasa Saja, Balerina dan Cinta Melulu, jangan terlepas dapatkan tiket anda di ILASSOTICKETS.COM atau hubungi talian 03-4816 8029.

Tiket-tiket berharga RM188 (CAT 1 / FREE STANDING), RM218 (NORMAL STANDING), RM268 (CAT 2 / PREMIUM SEATING), RM448 (ROYAL BOX) dan RM3,500 (PACKAGE 8 PAX / MEET & GREET).

MY Classic Cars santuni anak yatim sempena sambutan Hari Merdeka ke-67

editormaxinfo@gmail.com

SUBANG JAYA – Tidak hanya menunggu sempena perayaan, syarikat korporat MY Classic Cars sentiasa giat melakukan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan berkongsi rezeki bersama anak yatim dan rumah kebajikan.

Meraikan sambutan Hari Merdeka ke-67, acara tahunan ini diteruskan lagi dengan membawa lebih 100 anak-anak yatim dari tujuh rumah kebajikan dan pertubuhan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Lebih 30 kereta antik daripada pelbagai bentuk dan tahun keluaran dibawa dan dinaiki oleh anak-anak ini.

Bertempat di Restoran Kampungku yang terletak di The Lakeview Club, program yang diberi nama ‘11th Malaysia Classic Cars Merdeka Charity Drive 2024’ itu turut memberikan sumbangan berupaya wang tunai dan barangan bernilai lebih RM3,000 untuk setiap rumah kebajikan yang terbabit.

Pengarah MY Classic Cars, Rukshan Munesinghe berkata, program ini tidak sekadar berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan malah mereka memberi peluang kepada anak-anak yatim menaiki kereka klasik atau antik yang disediakan.

“Kami tidak hanya berkongsi rezeki yang diperoleh tetapi turut berkongsi kegembiraan dengan membawa anak-anak yatim menaiki kereta antik yang ada.

“Meraikan mereka tidak hanya menunggu waktu perayaan sebaliknya bila-bila masa sahaja. Tetapi kami memilih sempena Hari Merdeka kerana ia simbolik kita meraikan kemerdekaan dan kemenangan bersama-sama,” katanya.

Rukshan berkata, sokongan daripada pemilik kereta antik juga menyebabkan program ini menjadi acara tahunan malah dia tidak menyangka sasaran sumbangan yang diterima lebih daripada jangkaan.

“Kami sangat mengalu-alukan sumbangan daripada ramai pihak untuk program ini dan rasa sangat teruja apabila sasaran kutipan melebihi jangkaan dan kami berharap program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Antara rumah kebajikan yang terbabit kali ini ialah Pusat Jagaan Anbe Sivam dari Klang, Praise Emmanuel Children’s Home dari Petaling Jaya, Pertubuhan Rumah Amal Siraman Kasih dari Rawang, Persatuan Kebajikan Michael Selangor dari petaling Jaya, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Mary KL dari Setapak, Yayasan Hiichikok dari Jalan Ipoh dan Rumah Charis dari Taman Yarl.

MY Classic Cars telah ditubuhkan pada tahun 2011 dan telah berkembang pesat menjadi pengimport kereta klasik terulung dan sering menganjurkan pelbagai pameran kereta klasik di seluruh negara.

Rai ulang tahun ke-10, In Saff Travel tawar cabutan bertuah bernilai RM100,000

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Sempena meraikan ulang tahun ke-10, In Saff Travel & Tour Sdn Bhd menawarkan hadiah cabutan bertuah bernilai sehingga RM100,000.

Agensi pelancongan umrah itu juga menawarkan pakej umrah mampu milik bagi membolehkan lebih ramai masyarakat menunaikan ibadah dengan harga mampu milik yang selesa.

Agensi ini diasaskan oleh empat pelajar lepasan Ummul Qura Universiti di Makkah Al Mukarramah iaitu Ustaz Aswadi Ali, Ustaz Nik Fairul Irwan Nik Harun Aminarrashed, Ustaz Mohd Fahmi Mohd Nawi dan Ustaz Falaahuddin Ahmad Jasni.

Mohd Fahmi Mohd Nawi berkata, cabutan bertuah bernilai sehingga RM100,000 ini akan diadakan menerusi tiga sesi yang berbeza.

“Meraikan ulang tahun ke-10 penubuhan agensi ini, buat pertama kalinya kami berbesar hati menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada pelanggan yang mendaftar dan terbang bersama kami.

“Antara hadiah yang ditawarkan ialah tiga buah kereta Proton Saga, Motosikal, jongkong emas dan pakej menunaikan umrah.

“Insya-Allah, cabutan pertama akan dilakukan pada Januari 2025 nanti,” katanya.

Mohd Fahmi berkata, mereka juga sentiasa menawarkan promosi Istimewa pakej pelancongan dan umrah pada harga ‘super jimat’.

“Kami menyediakan pelbagai pakej yang bersesuaian mengikut bajet setiap orang kerana kami mahu semua orang mampu melakukan ibadah umrah.

“Pakej paling murah yang kami tawarkan adalah serendah RM4,970 bagi tempoh sembilan hari tujuh malam.

“Selain itu, kami menyediakan pakej umrah transit bernilai RM3,990 untuk enam hari tiga malam.

“Lebih menarik lagi, kami turut menyediakan pakej umrah 32 hari 30 malam bernilai RM7,970 dengan perjalanan dan penggembaraan ke tempat lain seperti Al Ula dan beberapa lagi,” katanya.

Dalam pada itu, agensi travel ini turut menyasarkan lebih 15,000 jemaah dapat diterbangkan pada tahun ini.

Ditubuhkan pada 1 Disember 2014, In Saff Travel & Tours Sdn Bhd kini mempunyai 32 cawangan di seluruh Malaysia.

Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin jadi ‘penguatkuasa’ Maritim Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Kemunculan tiga selebriti tempatan Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin Amir Affendy menjadi ‘penguat kuasa’ Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mendapat perhatian orang ramai apabila ketiga-tiga mereka mengenakan uniform celoreng digital milik Maritim Malaysia sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67, hari ini.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, penyertaan ketiga-ketiga selebriti berkenaan adalah elemen kejutan Maritim Malaysia pada tahun ini bagi menonjolkan peranan Maritim Malaysia sebagai sebuah pasukan keselamatan barisan hadapan di Zon Maritim Malaysia.

Menurutnya, kehadiran ketiga-ketiga selebriti berkenaan diharap menjadi pembakar semangat kepada golongan belia dalam menyemarakkan semangat patrotisme dan cintakan negara selain pesona yang ditampilkan bakal menarik minat golongan berkenaan menjadi penguat kuasa Maritim Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas turut hadir ke Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 yang telah disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah di Dataran Putrajaya.

Hadir sama pada sambutan berkenaan Pengurusan Tertinggi dan Pegawai Kanan Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya.

Terdahulu seawal jam 6.30 pagi Bot Perkasa 35, Bot Benteng 1 dan Bot Petir 83 telah menjadi tarikan orang ramai apabila kelibat ketiga-tiga selebriti berkenaan dilihat berada di atas aset milik Maritim Malaysia itu dengan berpakaian penguatkuasa Maritim Malaysia.

Selain menghasilkan kandungan media sosial sempena Hari Kebangsaan Ke-67, ketiga-tiga selebriti berkenaan juga mengadakan sesi meet and greet bersama peminat di samping mengedarkan cenderahati Maritim Malaysia kepada orang ramai yang hadir ke sambutan berkenaan.

Kemeriahan Hari Kebangsaan Ke-67 tahun ini turut diwarnai dengan penyertaan Mobile Surveillance Unit (MSU) yang juga sistem pengawasan bergerak milik Maritim Malaysia di samping sebuah aset udara iaitu AS365 N3 Dauphin yang turut melakukan flying pass bersama-sama aset udara pasukan keselamatan lain.

Bukan itu sahaja seramai 350 pegawai lelaki, 15 pegawai wanita bersama 39 orang ahli pasukan pancaragam Maritim Malaysia turut menyertai perbarisan bersama lebih 80 kontinjen lain bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 tahun ini.