KUALA SELANGOR – Pengarah sensasi, Syamsul Yusof dan Ira Kazar sah bercerai talak satu, hari ini.
Lafaz cerai itu disahkan kira-kira jam 10.30 pagi oleh Hakim Syarie Mohd Faizal Habib di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor.
Peguam Syarie yang mewakili Ira iaitu Afiq Fadhil berkata, mahkamah telah mengesahkan Syamsul dan Ira telah sah bercerai talak satu.
“Mahkamah putuskan penceraian sudah berlaku di luar mahkamah di antara Syamsul dan anak guam saya. Itu sahaja boleh saya katakan.
Manakala Peguam Syarie yang mewakili Syamsul iaitu Azmi Rais, berkata telah berlaku pelanggaran lafaz taklik yang dilakukan Ira membabitkan hantaran di media sosial bermula 14 Ogos lalu.
“Alhamdulillah kes perceraian dan lafaz taklik sudah selesai pada hari ini di mana mahkamah mendapati Ira sudah melanggar taklik.
“Ada pelanggaran taklik yang sudah dilakukan Ira dan mahkamah berpuas hati bahawa memang berlakunya lafaz taklik dan mendapati bahawa Ira melanggar taklik berkenaan sebanyak lima kali yang mana berlaku kali pertama pada 14 Ogos.
“Ia berlaku dalam keadaan rela tanpa paksaan mana-mana pihak. Idah juga bermula pada tarikh yang sama (14 Ogos),” katanya.
Hakim Syarie Mohd Faizal mensabitkan berlakunya perceraian dan memerintahkan Ira untuk menjalani tempoh edah selama tiga bulan bermula 14 Ogos lalu.
Terdahulu, Syamsul mengejutkan orang ramai apabila membuat keputusan memfailkan perceraian terhadap Ira di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor pada 16 Ogos lalu.
Peguam yang mewakili Syamsul, Azmi Mohd Rais berkata, pasangan itu sudah tiada persefahaman.
Untuk rekod, Syamsul dan Ira berkahwin pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand.
Berikutan daripada itu, pelakon Puteri Sarah pada ketika itu sebagai isteri pertama nekad memfailkan penceraian sebelum berpisah secara rasmi pada 14 Jun tahun lalu.
KUALA LUMPUR – Hitman Solutions, bekerjasama dengan penganjur dari Australia, Cinestar Events membawakan penyanyi ‘playback’ terkenal Bollywood, Arijit Singh dalam konsert istimewa ‘Arijit Singh Live In Malaysia’ pada 16 November ini di Axiata Arena Bukit Jalil.
“Ini adalah kali ketiga Arijit Singh datang ke Malaysia untuk membuat persembahan setelah hampir 10 tahun, di mana konsert terakhirnya diadakan pada tahun 2014 yang lalu di Dewan Wawasan Convention & Exhibition Centre dengan sambutan yang luar biasa.
“Ramai peminat dari seluruh dunia terutamanya di Malaysia yang menantikan kepulangan beliau sejak sekian lama, dan saya jangkakan konsert kali ini pasti menjadi sebuah pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” kata Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group Rohit Rampal.
Cinestar Events adalah penganjur konsert Bollywood terkemuka di Australia, terkenal dengan kemahiran mereka dalam menganjurkan acara spektakular yang menampilkan nama-nama besar dalam industri hiburan Bollywood.
Dengan pengalaman lebih daripada 17 tahun dan lebih 100 pertunjukan, senarai acara mereka termasuk bintang-bintang Bollywood seperti Salman Khan, Sonakshi Sinha, dan ramai lagi.
Sementara itu, Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif Cinestar Events Yogesh Sharma berkata, Cinestar Events berjaya menganjurkan lebih daripada seratus acara Bollywood di Australia dan mereka komited untuk membawa keajaiban Bollywood ke kawasan baru.
“Bekerjasama dengan Hitman Solutions, yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam penganjuran acara Bollywood di Malaysia, membuktikan dedikasi kami untuk mencipta acara yang akan menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
“Bersama-sama, kami teruja untuk menggabungkan kepakaran dan semangat kami untuk menghasilkan konsert Bollywood paling spektakular di Malaysia setakat ini,” katanya.
Peminat-peminat filem hit Bollywood seperti ‘Dilwale’, ‘Brahmastra’ dan ‘Jawan’ pasti kenal dengan suara penyanyi lelaki kegemaran mereka melalui lagu ‘Janam Janam’, ‘Kesariya’, ‘Chaleya’ dan banyak lagi kini berpeluang mendengarnya secara langsung.
Berita terkini melalui petikan beberapa berita atas talian mengatakan bahawa Arijit Singh diiktiraf sebagai artis yang mempunyai paling ramai pengikut secara global di Spotify mengalahkan artis antarabangsa seperti Taylor Swift, Ed Sheeran dan Drake.
“Konsert kali ini bakal menjadi konsert Bollywood terbesar di Malaysia buat tahun 2024, dengan menampilkan lagu-lagu klasik dan popular daripada Arijit Singh sejak sedekad lalu.
“Kami ingin memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati setiap aspek konsert ini dari muzik sehingga ke produksi pementasan.
“Kami berharap kesemua peminat Arijit Singh bersedia untuk memenuhi setiap ruangan Axiata Arena demi menyaksikan artis fenomena Bollywood ini buat sekian kalinya dengan himpunan lagu-lagu terbaharunya di lokasi yang lebih besar, dan kami janjikan persembahan yang bertenaga dengan pengalaman yang istimewa,” kata Rohit lagi.
Tiket kini sudah pun dijual di laman web www.hitmanlive.com, dan tiket-tiket tersedia dalam kategori: Silver (RM298), Gold (RM398), Platinum (RM598), Diamond (RM698), VIP (RM788), VVIP (RM988) dan MIP (RM1,188).
Sebarang pertanyaan mengenai konsert ini boleh hubungi 012-2655783.
KUALA LUMPUR – Bintang selebriti, Achey dan Tantari bergabung buat julung kalinya dalam satu karya baru yang amat dinanti-nantikan peminat.
Dilancarkan pada 30 Ogos lalu, lagu kolaborasi pertama mereka berjudul “Biar” sudah pun mendapat sambutan hebat pendengar di seluruh negara.
Baru sahaja dimuat naik ke pelantar YouTube Jumaat lalu, muzik video rasmi lagu “Biar” sudah pun mencapai kedudukan Top 30 Trending untuk muzik di YouTube dengan jumlah tontonan melebihi 60,000 dalam masa hanya 3 hari.
Seorang artis yang versatil, Achey bukan sahaja dikenali sebagai pelawak, pelakon dan pengacara tapi bakat beliau sebagai seorang penyanyi dan penulis lagu turut terserlah.
Lagu-lagu ciptaan dan nyanyiannya sebelum ini seperti “Sakit” (45 juta tontonan di YouTube) dan “Yang Terindah” (35 juta tontonan di YouTube) mendapat sambutan hebat pendengar.
Sementara itu, Tantari atau nama sebenar Naufal Zahirul Azahael Mohd Alfian adalah penyanyi kanak-kanak berusia 7 tahun yang mencipta fenomena menerusi single sulung berjudul “Rindu Hatiku Rindu” yang menduduki tangga #1 Trending untuk muzik di YouTube selama 20 hari berturut-turut dan meraih lebih daripada 8 juta tontonan.
Kerjasama antara kedua-dua artis ini bukan sahaja menggabungkan bakat istimewa mereka tetapi juga menghasilkan satu karya muzik yang luar biasa.
Single “Biar” ditulis sepenuhnya oleh Achey sendiri sama seperti semua lagu-lagu hitnya sebelum ini.
Achey, 38, atau nama sebenar Mohd Nasir Hamzah berkata, single duet pertama dengan Tantari ini mengisahkan mengenai seorang lelaki yang sentiasa berusaha untuk mencapai kesempurnaan dalam hubungannya tetapi hakikatnya, tiada apa yang sempurna dalam hidup ini.
“Menerusi lagu ini, saya dan Tantari cuba menyampaikan pesanan bahawa walaupun kita berusaha untuk mencapai kesempurnaan, kita perlu menerima hakikat bahawa kekurangan adalah sebahagian daripada kehidupan kita.
“Melalui lirik-lirik yang mendalam, lagu ini merangkumi aspek kehidupan yang kompleks di mana kesempurnaan bukanlah matlamat yang realistik.
“Saya mahu melalui lagu ini menyokong fahaman bahawa setiap kelemahan dan kekurangan dalam hubungan, sebenarnya, membawa kita lebih dekat kepada pemahaman tentang kebahagiaan yang sejati,” katanya.
Lagu “Biar” adalah sebuah lagu yang memaparkan tema perpisahan dan ketabahan dalam menghadapi cabaran hidup.
Dengan lirik yang mendalam dan melodi yang menyentuh hati, tidak hairanlah lagu ini mendapat tempat di hati peminat muzik tempatan dalam sekelip mata.
Vokal Achey yang penuh emosi dan gaya nyanyian Tantari yang unik digabungkan dengan sempurna, menjadikan lagu “Biar” sebuah karya yang penuh makna.
Sementara itu, Tantari berkata kerjasama ini amat bermakna baginya kerana dapat berkolaborasi dengan seorang penyanyi dan penulis lagu ternama walaupun baru setahun jagung terlibat dalam industri muzik tempatan.
“Tantari seronok dapat jemputan daripada abang Achey untuk menyanyi bersama dalam sebuah lagu.
“Ramai orang kenal dengan abang Achey. Ramai juga kata yang abang Achey adalah Tantari bila dah besar nanti,” katanya.
Dia juga berterima kasih kepada semua yang menyokong perjalanan kerjaya dia dalam industri muzik tempatan setakat ini.
“Segala sokongan yang diterima daripada peminat memberi Tantari semangat untuk buat yang terbaik dalam setiap persembahan.
“Saya banyak belajar daripada abah bagaimana untuk buat persembahan pentas sebab abah juga selalu buat persembahan dalam majlis-majlis kahwin.
“Saya harap abah dan mak bangga dengan kejayaan Tantari sebagai seorang penyanyi dan saya juga akan ikut nasihat abah untuk belajar baik-baik di sekolah untuk dapat markah tinggi dalam peperiksaan,” katanya.
Single “Biar” terbitan bersama Nova Music dan Seventeen Eleven Music kini boleh distrim di semua pelantar penstriman muzik yang ada di Malaysia.
Muzik video rasmi “Biar” juga boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music di pautan ini https://www.youtube.com/watch?v=d2KLaUi-xq8.
KUALA LUMPUR – Presiden Nambikkai Malaysia, Dato’ Dr. KalaiVanar mendesak polis membuat siasatan semula terhadap kes kematian seorang doktor Oktober tahun lalu.
Dr KalaiVanar berkata, sebanyak 18 laporan polis telah dibuat oleh keluarga mangsa, yang percaya kematian Dr. Shintumathi a/p Mutusamy adalah satu pembunuhan terancang dan bukannya kematian mengejut.
“Saya menyeru Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain melakukan siasatan semula dengan penuh teliti dan mendalam.
“Saya juga meminta pihak berkuasa untuk menangkap suspek yang dipercayai, Dr. Prakash Kumar a/l Jayapalan, untuk membantu siasatan lanjut bagi memastikan keadilan bagi mendiang Dr. Shintumathi dan keluarga,” katanya.
Terdahulu, Dr. Shintumathi telah meninggal dunia pada 8 Oktober 2023 di kediamannya di High Park Suite, Kelana Jaya, Selangor.
Pihak polis mengklasifikasikan kematiannya sebagai “mati mengejut”, namun keluarga mendiang percaya terdapat konspirasi yang menyebabkan mendiang dibunuh.
Mangsa mengendalikan Poliklinik Vista di Petaling Jaya bersama rakan kongsinya, Dr. Prakash Kumar.
Difahamkan, hubungan antara mangsa dan Dr. Prakash dipercayai lebih dari sekadar rakan kongsi, di mana Dr. Prakash didakwa adalah teman lelaki mendiang walaupun beliau sudah berkahwin.
Sementara itu, ibu mangsa, Vijaya Letchimi, dan kakak mangsa, Revathi a/p Mutusamy, percaya bahawa mendiang pernah menjalani pengguguran hasil hubungan dengan Dr. Prakash, yang mungkin diketahui oleh isteri Dr. Prakash.
Beberapa bukti juga menunjukkan Dr. Prakash sering menemani mendiang, termasuk kali terakhir pada 5 Oktober 2023, sebelum mendiang ditemui mati.
KUALA LUMPUR – HONOR teruja untuk mengumumkan kerjasamanya dengan Google Cloud untuk membawakan ciri-ciri AI termaju dalam telefon pintar HONOR Magic V3 yang akan dilancarkan di Malaysia dan IFA 2024 di Berlin, esok.
Kolaborasi ini memperkenalkan ciri-ciri inovatif seperti AI Eraser, Face to Face Translation, dan HONOR Notes.
Sebagai tambahan kepada ciri-ciri yang canggih ini, HONOR Magic V3 menampilkan Magic Portal yang baharu, menawarkan pengalaman mudah dan pintar yang menakrif semula cara pengguna berinteraksi dengan peranti mereka.
Berikut adalah bagaimanakah ciri-ciri AI pada HONOR Magic V3 boleh mengubah kehidupan seharian, meningkatkan kerja, memudahkan perjalanan, dan memberi makna dalam interaksi sosial.
HONOR AI Eraser
Memanfaatkan kuasa teknologi generatif AI yang dimajukan dengan kolaborasi bersama Google Cloud, ciri AI Eraser pada HONOR Magic V3 membolehkan pengguna membuang objek yang tidak dikehendaki daripada gambar mereka dengan mudah.
Sama ada terdapat orang di landskap gambar atau objek yang tidak dikehendaki, AI Eraser boleh mereka semula latar belakang dengan lancar untuk hasil gambar yang amat menarik.
Face to Face Translation
Ciri Face to Face Translation HONOR direka untuk mengurangkan hambatan bahasa dengan menyediakan terjemahan segera semasa perbualan secara langsung. Ciri ini amat berguna semasa bertanyakan arah apabila berkunjung ke luar negara, semasa berbual, atau memahami percakapan dalam bahasa asing.
Pada masa ini, Face to Face Translation menyokong 10 bahasa, termasuk Bahasa Cina, Bahasa Inggeris, Bahasa Perancis, Bahasa Jerman, Bahasa Sepanyol, Bahasa Itali, Bahasa Rusia, Bahasa Turki, Bahasa Arab, dan Bahasa Malaysia.
HONOR Notes
Ciri Voice to Text pada HONOR Notes memanfaatkan teknologi pengenal pasti suara AI bagi mengalih susun sebutan perkataan kepada teks dengan tepat, membolehkan pengguna untuk merakam nota semasa bergerak secara lancar.
Setelah merakam, pengguna boleh mengakses transkrip bertulis dalam aplikasi HONOR Notes dengan mudah pada bila-bila masa. Ciri ini juga mengasingkan bunyi latar belakang dengan menumpukan sepenuhnya pada suara pengguna bagi mengurangkan kesalahan ejaan.
Selain itu, HONOR Notes juga dilengkapi dengan keupayaan penterjemahan yang dikuasakan oleh Google Cloud bagi membolehkan pengguna menterjemah teks atau input suara kepada beberapa bahasa secara langsung dalam aplikasi terbabit.
Ciri Magic Portal – Circle to Do More
Ciri Magic Portal yang baharu ini meningkatkan ciri penugasan berbilang dengan memberikan pengguna kebolehan untuk berkongsi dan mencari maklumat secara serentak. Pengguna hanya bulatkan teks, alamat, atau imej menggunakan sendi jari dan menyeretnya ke aplikasi seperti Google, WhatsApp, Facebook, Instagram, dan TikTok melalui Magic Portal.
Pada HONOR Magic V3, pengguna boleh membuka dua Magic Portal dengan serentak untuk membuat carian seperti perbandingan harga dan kemudahan pelayaran Internet.
HONOR Magic V3, telefon boleh lipat paling nipis dan ringan
HONOR Magic V3 merintis semula pasaran telefon boleh lipat dengan rekaan termaju. Peranti ini bukan sahaja berprestasi cemerlang, ia memiliki perkakasan yang tahan lasak dan jangka hayat bateri lebih lama, menjadikannya lebih baik berbanding telefon berbentuk bar flagship.
Dengan ketebalan 9.2mm apabila dilipat dan hanya 4.35mm dalam keadaan dibuka, selain seberat 226g, HONOR Magic V3 melangkaui pencapaian peranti boleh lipat.
Kunjungi HONOR Magic V3 Roadshow di Pavilion Kuala Lumpur mulai 3 hingga 8 September 2024
Sebelum pelancaran rasmi pada 5 September, HONOR mempelawa orang ramai ke jelajah HONOR Magic V3 Roadshow di Centre Court, Pavilion Kuala Lumpur mulai 3 hingga 8 September 2024. Pengunjung berpeluang untuk mencuba HONOR Magic V3, serta tablet flagship terbaharu HONOR MagicPad 2, dan komputer riba MagicBook Art 14.
Di sana, terdapat zon pengalaman yang membolehkan pengunjung menerokai ciri-ciri pada tiga peranti tersebut. Tambahan pula, mereka yang melengkapkan aktiviti di empat zon pengalaman – AI Eraser, Magic Portal – Circle to do More, Evolution of Foldable Thickness dan Face to Face Translation, boleh menebus minuman percuma.
Mereka juga boleh mencuba sendiri ciri AI Eraser dengan menangkap gambar menggunakan HONOR Magic V3 dan membuang objek latar belakang yang tidak dikehendaki.
Selepas Pavilion Kuala Lumpur, jelajah HONOR Magic V3 Roadshow yang seterusnya akan ke Queensbay Mall, Pulau Pinang. Sertai kami pada 18 hingga 22 September 2024 nanti untuk alami sendiri telefon boleh lipat HONOR yang paling nipis dan ringan.
KUALA LUMPUR – Lahir pada tahun 1997 dan berakhir 2007 dengan sebanyak 167 episod daripada lapan musim, Phua Chu Kang Pte Ltd menjadi sitkom Singapura yang paling ‘mendunia’ pada waktu ia ditayangkan yang turut boleh disaksikan sehingga ke Malaysia.
Watak ikoniknya, Phua Chu Kang dibawa dengan sangat sempurna oleh aktor Gurmit Singh akan selalu terbayang di mata peminat, seorang kontraktor berambut kerinting, bertahi lalat besar memakai but getah kuning dan mempunyai slanga bahasa Inggeris yang cukup pekat bunyi ‘Cinanya’.
Dialog-dialog seperti ‘Don’t Play Play (berbunyi Don’t Pray Pray)’ atau ‘Best in Singapore, JB, and some say Batam’ pula tidak asing dalam kalangan peminat yang sering terpikat dengan aksi komedi bersahaja dari Phua Chua Kang.
Kini 17 tahun setelah sitkom ini berlalu menghiburkan peminat di kaca televisyen, Phua Chu Kang mahu bertemu secara langsung sekaligus membawa nostalgia komedi-komedi licik serta segar yang tidak pernah mengecewakan.
Dengan bangga penganjur Popcorn Studio Sdn Bhd membawa ke panggung Phua Chu Kang: The Greatest Show Man.
Bakal dipentaskan di HGH Convention Centre Sentul, Kuala Lumpur pada 24 dan 25 Oktober ini bermula jam 8 malam, alami persembahan cerdik yang akan menggeletek hati bersama Phua Chu Kang: The Greatest Show Man.
Seperti judul panggungnya, Phua Chu Kang: The Greatest Show Man, ia akan menjadi dua malam persembahan penuh warna dan hiburan yang akan berlangsung secara bersahaja kerana kualiti serta bakat luar biasa yang ada pada pelaku seni Gurmit Singh sebagai Phua Chua Kang.
“Apabila disebut bersahaja itu tidak bermakna Phua Chu Kang: The Greatest Show Man akan berlangsung tanpa persediaan penuh.
“Percayalah Phua Chu Kang: The Greatest Show Man akan melakar sejarah tersendiri apabila dipentaskan di HGH Convention Centre Sentul, Kuala Lumpur pada 24 dan 25 Oktober nanti.
“Selain watak ikonik Phua Chu Kang akan dikembalikan secara langsung dengan baik oleh Gurmit Singh, tentu sahaja plot serta persembahan dalam konsep yang ditonjolkan tidak akan membuat penonton rugi.
“Akan terjadi interaktif dua hala dan penonton bakal terbabit sama sebagai pelakon dan ini akan menjadi dua malam yang luar biasa,” kata Erik Ong mewakili Popcorn Studio Sdn Bhd.
Bagi legendaris Gurmit Singh, 59, Phua Chu Kang: The Greatest Show Man akan menjadi medan dirinya bertemu secara langsung dengan peminat setelah sekian lama tidak bersua.
Paling mengujakan apabila Phua Chu Kang: The Greatest Show Man akan membuatkan Gurmit sepanggung dan sebabak dengan penonton yang hadir.
“Tentu sahaja saya tidak sabar untuk kembali dengan sesuatu yang segar tetapi masih membawa aura klasik Phua Chu Kang menerusi Phua Chu Kang: The Greatest Show Man.
“Bagaimana pementasan ini akan berlangsung dan apa yang akan terjadi, datang dan anda akan mendapatkan sebuah persembahan yang tidak pernah dijangka,” kata Gurmit.
Bukan hanya persembahan komedi ‘kosong’, Russell Curtis dihadirkan untuk menghipnotis peminat dengan bakat muziknya yang hebat.
Dengar dan saksikan bagaimana genre Folk dan Pop mampu menambah suasana hangat pada hari persembahan.
Malah, Russell Curtis tidak keseorangan kerana Rizal Van Geyzel akan membuat dua hari persembahan bertambah kecoh dengan komedi berdiri (stand-up comedy) yang menjadi ‘makanannya’ selama ini.
Gabungan pementasan Phua Chu Kang: The Greatest Show Man, muzik yang mengasikkan dari Russell Curtis dan komedi Rizal Van Geyzel adalah idea terbaik untuk anda habiskan waktu pada 24 dan 25 Oktober ini.
Temujanji anda perlu segera dibuat kerana tiket bermula RM100 yang dijual sudah laris begitu cepat.
PUTRAJAYA – Meraikan sambutan bulan kemerdekaan yang ke-67 baru-baru ini, Rasa Suri sebagai penganjur utama bersama Puteri UMNO Bahagian Putrajaya & Wanita UMNO Bahagian Putrajaya mengadakan Program “Semarak Kemerdekaan” di Perkarangan Dewan Komuniti Fasa 18 R13, Presint 18, Putrajaya pada 17 Ogos yang lalu.
Program kemasyarakatan bertajuk “Jom Masak Dan Menang Bersama Rasa Suri“ ialah sebuah pertandingan memasak yang menggunakan kiub masakan Rasa Suri sebagai bahan utama dalam menu masakan pertandingan seiring dengan usaha untuk memperkenalkan masakan Melayu tradisi kepada khalayak ramai.
Acara ini juga bertujuan untuk memperkenalkan kepada masyarakat mengenai produk Rasa Suri yang terkenal dengan slogan “Macam Mak-Mak Kita Masak” kerana keunikannya yang mudah digunakan, penyediaan yang sangat cepat dan sesuai untuk semua golongan umur.
Tambahan pula, bahan kiub Rasa Suri yang digunakan adalah halal, produk tempatan dan tiada penggunaan MSG.
Selain pertandingan memasak, acara mewarna dan pertandingan busana traditional turut dipertandingkan bagi kategori kanak-kanak serta sukan rakyat seperti congkak dan batu seremban turut diadakan dengan kemeriahan kunjungan daripada pelbagai peringkat umur.
Pelbagai hadiah cabutan bertuah yang ditaja oleh Mamee, Vida, Yobick, Fruit Plus dan juga rakan strategik daripada Puteri UMNO Bahagian Putrajaya, Majlis Perwakilan Peduduk Putrajaya – Sub Zone 1 dan Badan Amal Kasih Ibu Wilayah Persekutuan.
Selain itu, terdapat juga gerai-gerai jualan sepanjang program berlangsung antaranya ialah Kuih Corner, Kopiku, gerai baju, ais-krim pop dan juga booth jualan Rasa Suri.
Berkongsi mengenai anjuran pertandingan “Jom Memasak dan Menang bersama Rasa Suri”, Pengasas dan Pengarah Urusan Rasa Suri Surazi Jais berkata, dengan acara sebegini kita dapat melihat teknik masakan dan kreativiti dari 22 kumpulan yang bertanding untuk menawan hati juri sekaligus memperkenalkan makanan atau lauk warisan tradisi seperti Ayam masak gulai lemak cili api, Ayam Masak merah, Daging masak hitam, dan juga sambal tumis udang.
“Di samping memperkenalkan masakan tradisi Malaysia, program ini juga dapat mencungkil bakat terpendam peserta. Acara seperti ini hendaklah diteruskan dan sasaran Rasa Suri adalah untuk menjelajahi satu Malaysia dengan memperkenalkan masakan tradisi menggunakan produk Rasa Suri,” katanya.
Program ini juga disokong oleh Penasihat, Persatuan Badan Amal Kasih Ibu Wilayah Persekutuan Datin Seri Utama Datuk Anggraini Sentiyaki dan majlis penutupan dirasmikan oleh Naib Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya.
KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan hasil semakan lima premis iaitu Johnny’s Restaurant, Black Canyon, Dolly Dim Sum, Mr Dakgalbi dan Bungkus Kaw Kaw bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
JAKIM dalam satu kenyataan berkata, semakan dibuat oleh pihaknya berdasarkan dalam sistem MYeHALAL JAKIM selepas menjawab pertanyaan mengenai status halal beberapa premis makanan.
“Untuk makluman, pertanyaan itu telah diajukan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) JAKIM.
“Berdasarkan semakan semula yang dibuat melalui Portal Halal Malaysia mendapati premis makanan berangkai jenama Ayam Penyet Best telah mempunyai empat outlet yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang masih sah.
“Jabatan ini sudah mengemukakan semula makluman kepada individu yang bertanya melalui e-mel pada 2 September lalu jam 11.36 malam iaitu hari yang sama diberi maklum balas atas pertanyaan yang diajukan,” katanya.
KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon ALVN, bakal merealisasikan salah satu impiannya yang terbesar apabila beliau melancarkan album studio penuh bertajuk ‘between the lines’.
Pengenalan ini dimulakan dengan sebuah lagu berjudul ‘rescue me’ yang digubah Hyuk Shin dan Seann Bowe bersama lirik nukilan Bowe dan ALVN sendiri.
Lagu ini, yang disusun oleh CUURLEY dan juga diterbitkan oleh Hyuk Shin, menceritakan tentang sesuatu yang sangat peribadi dan dekat dengan hati ALVN.
“Lagu ini berkisar tentang kesedaran bahawa cinta bukan untuk anda, terutamanya ketika melihat orang lain seperti rakan-rakan rapat anda jatuh cinta, berkahwin, dan mempunyai anak.
“Ini kerana setiap kali anda cuba untuk menjalinkan hubungan, ia seakan-akan tidak bertahan lama. Secara peribadi, tiada satu pun hubungan istimewa saya yang lalui, yang bertahan lebih dari setahun.
“Ia biasanya bertahan sama ada tiga, empat atau enam bulan sahaja. Jadi, selepas beberapa pertemuan, saya mula mempersoalkan diri sendiri dan bertanya mengapa ia begitu sukar bagi kita tetapi begitu mudah bagi orang lain untuk mencari cinta.
“Itulah cerita dan inspirasi di sebalik lagu ini,” kata ALVN.
ALVN berkata, situasi-situasi ini jelas digambarkan dalam lirik lagunya, terutama dalam pra-korus dan korus lagu berkenaan.
“People just float by nobody stays, why is it always this way. Yang bermaksud, orang hanya berlalu pergi, tiada siapa yang kekal, mengapa ia selalu begini?.
“I’ve been trapped in this place too long”, “It’s like heaven build a prison for me,” Ini bermakna anda rasa seperti terperangkap di satu tempat terlalu lama.
“Syurga sebenarnya membina penjara untuk anda,” nyanyian korus lagu ini.
“Saya rasa anda akan mula merasa bahawa tidak kira apa yang anda lakukan atau apa cara yang anda cuba untuk mencari cinta atau merasai cinta, ia seakan mustahil.
“Oleh itu, saya rasa ramai orang boleh mengaitkan diri dengan lagu ini atau sekurang-kurangnya saya berharap ramai orang boleh merasai maksud lagu ini,” katanya.
“Saya tahu ramai orang di sekitar saya yang masih bujang dan masih berjuang untuk mencari pasangan mereka, jadi saya yakin ramai orang boleh merasakan perkara yang sama seperti saya.
“Oleh itu, jika mereka boleh merasai maksud cerita ini, harapnya mereka akan menyukai lagu ini,” katanya lagi.
Menurut ALVN, beliau menulis lagu itu bersama Hyuk Shin dan Seann Bowe di Los Angeles.
“Kami bertemu pada hari pertama saya tiba dan kami terus mula menulis dan berbincang. Setelah bertukar-tukar idea dan pengalaman hidup, kami meneruskan rakaman dan menyiapkan lagu terbabit pada hari kedua.
“Kami hanya mengambil masa dua hari untuk menyiapkan keseluruhan lagu,” kata ALVN mengenai proses penulisan.
ALVN menyatakan bahawa beliau menikmati waktu bekerjasama dengan Hyuk Shin dan Bowe kerana mereka adalah pemuzik yang berpengalaman dan sangat seronok untuk bekerja bersama.
Apabila ditanya tentang album dan mengapa ia dipanggil ‘between the lines’, ALVN berkata ia sebenarnya cara untuk pendengar mengenali dirinya dengan lebih baik.
“Saya menulis bersama kebanyakan lagu, dan ada sekitar 5 lagu yang saya terbabit. Saya menulis kebanyakan lagu dan jika anda boleh membaca ‘between the lines’, anda mungkin akan mengenali saya dengan lebih baik.
“Ini kerana dari lagu pertama hingga kelapan, lagu-lagu ini menceritakan kisah jatuh cinta untuk pertama kali, kemudian jatuh cinta dengan rakan baik anda dan ingin bertemu mereka untuk satu malam lagi, kemudian anda ingin melakukannya sekali lagi, dan akhirnya mengalami masalah komunikasi sebelum akhirnya patah hati. Ia adalah satu perjalanan kitaran emosi,” jelas ALVN dengan terperinci.
ALVN berkata, dia tidak mempunyai banyak harapan untuk album ini kerana hanya ingin memperkenalkan muziknya sendiri dan berharap dapat mempersembahkannya di masa depan serta berkongsi pengalaman hidupnya dengan orang-orang yang menyukai muziknya.
Between The Lines kini telahpun dilancarkan di semua platform media digital.