29.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 12, 2025

Pengorbanan terlarang seorang isteri dalam ‘Senyawa’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Mungkin jarang diperkatakan tentang isu tabu ini, perihal ‘ibu tumpang’ di kalangan umat Islam, namun pengorbanan terlarang bakal terungkap dalam drama bersiri terbaharu berjudul ‘Senyawa’ yang akan menemui penonton pada 25 Oktober ini.

Aplikasi penstriman popular Asia, iQIYI sekali lagi mempersembahkan sajian istimewanya melalui barisan pelakon handalan tanah air seperti Trisha Ooi, Shahz Jaszle, Siti Hariesa, Datin Nina Juren, Liang Chia, Aleza Shadan, Heryanto Hassan dan ramai lagi, manakala diarahkan oleh pengarah berpengalaman, Eyra Rahman.

Berkongsi tentang watak Zabrina yang dibawakannya Trisha berkata, bukanlah sesuatu yang mudah kerana cabaran memainkan watak Zabrina sangat banyak disamping perlu membuat pelbagai persiapan demi menjayakan watak berkenaan. 

“Saya banyak berbincang dengan pengarah, Eyra untuk membina dan mencipta watak seberat Zabrina.

“Bayangkan saya perlu bermain dengan emosi dari seorang yang dominan dan pada masa yang sama sangat rapuh hatinya, berlaku pergolakan jiwa di situ.

“Namun, saya puas dapat berikan yang terbaik dan berharap penonton turut merasainya,” katanya.

Bagi Shahz Jaszle, watak suami sering dilakonkannya tetapi apabila membabitkan isu ibu tumpang tidak pernah dilakukan lagi.

“Saya perlu menyelami watak Iskandar yang terlalu menyayangi isterinya sehingga sanggup berkorban melakukan perkara yang dilarang dalam agama.

“Nasihat saya, sebagai khalifah dalam sebuah keluarga, suami harus membimbing rumah tangga kerana kunci utamanya adalah agama, dan sebagai orang Islam kita harus mempertahankan yang halal dan menidakkan yang haram,” katanya.

Eyra Rahman

Membawakan watak Lutfiyah, Siti Hariesa merasakan banyak mesej berguna dalam drama ini.

“Selain lakonan ketiga-tiga watak yang mencabar, banyak pengajaran berguna saya pelajari.

“Dalam sesebuah perhubungan, harus ada ketelusan dan jangan banyak berahsia, terutamanya dengan pasangan kita.

“Beringatlah sebelum bertindak dan jangan terlalu ikutkan perasaan sehingga agama yang tergadai.

Sementara itu, Eyra berkata, isu yang diangkat dalam drama ini sangat berat kerana ianya berkaitan dengan hukum halal dan haram.

“Senyawa adalah sebuah naskhah di mana pendekatan yang diambil adalah menghalalkan hukum yang haram.

“Kerana desakan hidup, fikiran waras seseorang terpesong dengan memilih jalan mudah iaitu menghalalkan perkara yang haram seperti ibu tumpang, semua ini berlaku di atas sifat kepentingan tanpa memikirkan keburukkan yang mendatang,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar iQIYI Malaysia & Singapura Jony Deng berkata, seperti drama-drama bersiri keluaran iQIYI yang terdahulu beliau berharap drama ini mendapat sambutan daripada penonton dan menjadikan ia sebagai pengajaran kepada masyarakat Malaysia.

“Saya juga berharap agar penonton dapat berhibur dengan jalan ceritanya yang asli, barisan pelakon handalan dan pengajaran tentang hukum agama yang dapat dijadikan iktibar,” katanya.

Drama Senyawa mengisahkan tentang Zabrina (lakonan Trisha Ooi), seorang ahli perniagaan wanita berjaya hidup dalam rumah tangga yang bahagia, namun di sebalik kejayaannya, Zabrina berdepan dengan pelbagai konflik.

Setelah mendirikan rumah tangga dengan Iskandar (lakonan Shahz Jaszle), Zabrina mengalami keguguran dan disahkan menghidap ‘cervical insufficiency’.

Tertekan dengan desakan ibu mertuanya, Dato’ Asmida (lakonan Datin Nina Juren) yang mahukan cucu, Zabrina tekad mendapatkan ibu tumpang kerana tidak sanggup dimadukan.

Pertemuan dengan Lutfiyah (lakonan Siti Hariesa), seorang gadis kampung berperwatakan seakan dirinya membuatkan Zabrina merasakan Lutfiyah calon yang sesuai sebagai ibu tumpang.

Saksikan Senyawa pada 25 Oktober 2024, jam 9 malam (setiap Jumaat & Sabtu) yang menjanjikan sebuah pengalaman menarik dengan aspek kekeluargaan, percintaan dan pengorbanan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular