editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Orange International dengan bangganya mengumumkan konsert ‘A Night With Sumandak Stars – Ceritera Hatiku’ yang menampilkan beberapa artis terkenal dari Sabah.
Konsert yang dijadualkan berlangsung pada 30 November 2024, bermula jam 8 malam di Zepp, Kuala Lumpur itu, akan menggabungkan barisan penyanyi popular Malaysia yang berasal dari ‘Negeri di Bawah Bayu’ iaitu Bella Astillah, Marsha Milan, Adira Suhaimi, Nikky Palikat, Wani Kayrie dan Didi Astillah.
Ketua Pegawai Eksekutif Orange International Datuk Mohd Fadzli Idrus, berkata buat julung-julung kalinya mereka himpunkan kesemua penyanyi kelahiran Sabah terkenal tanah air dalam satu pentas untuk hanya semalam buat halwa telinga penggemar muzik tempatan.
“Kami berbangga dapat membawa tujuh artis ‘sumandak’ yang masing-masing mempunyai pencapaian cemerlang dalam industri muzik.
“Ini adalah satu penghormatan untuk memberikan platform kepada mereka dalam sebuah acara yang belum pernah diadakan sebelum ini.

Setelah kejayaan konsert Radja & Ella, Wali Band X Setia, dan terbaharu, Drama Band dengan tiket yang ‘sold-out’ kira-kira dua minggu lalu, pihak Orange International tidak menunggu lama untuk membawa kelainan pada konsert kali dan sentiasa mencari formula istimewa untuk menghiburkan rakyat negara ini dengan persembahan muzik yang luar biasa.
“Pemilihan artis-artis ini adalah berdasarkan pencapaian mereka yang membanggakan, termasuk pengiktirafan di pelbagai anugerah, dengan masing-masing mempunyai repertoir tersendiri dalam bidang seni.

“Sebagai contoh, Bella dinobatkan sebagai ‘Celebrity Of The Year’ di TikTok Awards Malaysia 2024, sementara Marsha, Adira dan Nikky adalah pemenang di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dan juga Anugerah Juara Lagu (AJL),” katanya.
Bagi pelapis baharu seperti Wani dan Didi, Fadzli menekankan pentingnya memberi mereka peluang untuk bersinar.
“Konsert ini adalah platform terbaik untuk mereka menunjukkan bakat yang ada,” katanya.
Pihak Orange International turut mendedahkan bahawa akan ada kejutan menarik bagi penonton pada malam konsert nanti.

“Kami mengalu-alukan semua peminat muzik untuk hadir dan menyaksikan konsert ini. Ia adalah usaha kami untuk membawakan muzik berkualiti kepada semua lapisan masyarakat, tanpa mengira usia atau bangsa,” katanya.
Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket konsert, lawati laman web Ticket2u.com.my/sumandak atau hubungi talian hotline +6012-4949 267, manakala harga-harga tiket adalah seperti berikut: VIP [Special Seating] – RM349, Cat 1 [Normal Seating] – RM239, Cat 2 [Free Standing] – RM139, Cat 3 [Normal Seating] – RM259, Cat 4 [Normal Seating] – RM159, VIP Box-RM6999

