28.8 C
Kuala Lumpur
Sunday, November 16, 2025

Lebih 6,300 peserta meriahkan RHB LEKAS Highway Ride

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Lebih 6,300 pelumba basikal dari 30 negara menyertai acara berbasikal RHB LEKAS Highway Ride 2024 yang berlangsung di Plaza Tol Kajang Selatan.

Penganjuran edisi kesembilan itu berjaya mencipta dua rekod baharu dalam Malaysia Book of Records iaitu penyertaan terbesar dalam perlumbaan berbasikal pada waktu malam di lebuhraya dan kedua, jarak terpanjang perlumbaan berbasikal malam di lebuhraya iaitu sejauh 105 kilometer (km).

Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata, pihaknya cukup teruja menyaksikan sambutan hangat diterima oleh setiap peserta yang bersemangat untuk berkayuh meskipun dalam situasi hujan.

“Kami sangat gembira dengan kehadiran luar biasa pada edisi kali ini. Ia adalah bukti komitmen kami untuk menggalakkan pembabitan semua pihak mengamalkan gaya hidup aktif.

“Kami sangat teruja melihat komuniti berbasikal berkembang setiap tahun.

“Ini bukan kali pertama kita berdepan situasi hujan seperti ini. Pernah juga beberapa kali kita menganjurkan acara ini dalam keadaan hujan tetapi masih dapat berjalan dengan lancar.

“Saya percaya semua pihak akan menanti-nantikan penganjuran edisi ke-10. Jika diperhatikan sepanjang sembilan edisi setakat ini, setiap tahun ada perubahan dan penambahbaikan.

“Apa yang penting bagi kami adalah soal keselamatan perkara paling menjadi keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan.

RHB LEKAS Highway Ride 2024 menawarkan pelbagai kategori untuk memenuhi keperluan peminat sukan berbasikal dari semua peringkat dan usia.

Ia termasuk kategori kompetitif 105km serta 78km manakala kategori Fun Ride sejauh 17km dan 12km memberi peluang kepada pendatang baharu, keluarga dan pelumba basikal muda untuk merasai keseronokan berbasikal di lebuh raya pada waktu malam dalam suasana yang lebih santai.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan & Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Datuk Lee Chun Fai berkata, RHB LEKAS Highway Ride bukan sekadar acara berbasikal, ia adalah perayaan perpaduan, kepelbagaian dan semangat komuniti.

“Dengan lebih 6,300 pelumba basikal dari pelbagai latar belakang, acara yang mencipta dua rekod tahun ini mencerminkan komitmen kami dalam mempromosikan gaya hidup sihat.

“Sebagai penaja tempat acara, kami memastikan lebuh raya ditutup sepenuhnya dengan pencahayaan lampu LED untuk kayuhan di sebelah malam yang selamat,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular