29.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 2, 2026
Home Blog Page 119

Karnival CITEC 2025 sediakan tenaga kerja berkualiti, promosi inovasi dalam sektor agroteknologi

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Karnival Teknologi dan Kreativiti sempena Pertandingan Kreativiti dan Inovasi (CITEC) 2025 anjuran Jabatan Tenaga Manusia (JTM) di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) bakal menjadi platform penting dalam menghasilkan tenaga kerja berkualiti tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri negara.

Karnival yang bakal diadakan pada 12 dan 13 Februari 2025 di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Jerantut, Pahang ini, bertemakan ‘Integrasi Inovasi Ke Arah Kemampanan Agroteknologi’.

Tema ini menekankan konsep inovasi dalam sektor pertanian untuk meningkatkan produktiviti, sekaligus memperkukuh kecekapan dan kemahiran rakyat Malaysia.

JTM dalam satu kenyataan berkata, objektif utama karnival ini adalah untuk menyediakan platform yang menggalakkan pemikiran kreatif, kemahiran, dan kebolehan daya cipta dalam kalangan peserta.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk mempromosikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dijalankan oleh JTM di bawah Kesuma.

Program ini dijangka akan dihadiri oleh kira-kira 3,000 tetamu jemputan, termasuk agensi awam, rakan strategik, serta komuniti setempat.

Acara penutup karnival ini akan berlangsung pada 13 Februari 2025, di Dewan Kuliah Utama ADTEC, dan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Antara acara yang menarik perhatian adalah pertandingan inovasi yang membabitkan sebanyak 272 pasukan dari mahasiswa institusi pengajian tinggi, agensi awam dan swasta.

Beberapa kluster pertandingan yang bakal dilaksanakan termasuk Automasi, Peralatan dan Proses Pembuatan, Elektrik dan Elektronik, ICT, Multimedia dan Telekomunikasi, Sivil dan Bangunan, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, serta Pengajaran dan Pembelajaran.

Selain pertandingan, karnival ini turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung, antaranya seminar teknologi, pameran agensi di bawah Kesuma, Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM), serta Karnival Kerjaya MyFuture Jobs.

Terdapat juga food truck, jualan rahmah, dan e-sukan yang turut menambah keseruan acara ini.

Aktiviti lain yang menarik termasuk servis motosikal, semakan dan bayaran saman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pemeriksaan gigi, serta program kitar semula trash to cash.

Untuk kanak-kanak, pelbagai aktiviti seperti soopa dopa, joy ride, berkuda, memanah, serta permainan giant bubble juga akan diadakan.

Karnival ini diharap menjadi platform penting untuk menghubungkan pelajar, pencari kerja, industri, dan masyarakat, sekaligus mempertemukan bakat, teknologi, serta kreativiti.

Ia juga bakal mengukuhkan reputasi JTM sebagai penyedia tenaga kerja yang berkualiti tinggi.

Dengan pelbagai aktiviti menarik dan peluang pembelajaran yang ditawarkan, Karnival CITEC 2025 pasti menjadi acara yang tidak mahu dilepaskan oleh peserta dan pengunjung.

Haos Ek? fokus pasaran eksport, sasar tersenarai di Bursa Malaysia pada 2028

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Haos Bhd, syarikat pengeluar minuman jenama tempatan Haos Ek?, kini sedang mengembangkan sayap ke pasaran eksport dan berhasrat untuk disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun 2028.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Haos Ek?, Anis Permin berkata, pihaknya yakin terhadap perancangan berkenaan, berikutan sokongan berterusan daripada kerajaan kepada usahawan bumiputera, tidak kira dalam sektor industri kecil dan sederhana (IKS) mahupun syarikat besar.

“Kerajaan sentiasa memberikan sokongan penuh kepada kami, termasuk agensi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Johor yang memainkan peranan penting.

“Kami amat berterima kasih kepada agensi seperti Perbadanan Nasional Bhd, Tekun Nasional, SME Corp, SME Bank, Bank Rakyat, dan Amanah Ikhtiar Malaysia, serta Perbadanan Usahawan Johor dan Jabatan Pertanian Johor yang memastikan kami layak menerima pelbagai bantuan dan program sesuai dengan industri makanan dan minuman,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan semasa sesi temu bual ‘Brewing Success’ di Festival Francais Antarabangsa Perbadanan Nasional Bhd 2025, baru-baru ini.

Anis berkata, sokongan ini turut meliputi bantuan berbentuk geran, pembiayaan, latihan, pembangunan perniagaan, dan peluang bimbingan usahawan yang telah membantu meningkatkan keupayaan syarikat, membuka pasaran baru dan mengatasi pelbagai cabaran dengan lebih yakin.

“Haos Ek? telah menikmati banyak inisiatif yang diberikan oleh kerajaan sepanjang empat tahun operasi kami.

“Kami menyeru lebih ramai usahawan PMKS untuk merebut peluang yang tersedia ini,” katanya.

Sebagai syarikat PMKS yang berkomitmen untuk mencipta peluang pekerjaan, memberi sumbangan kepada ekonomi tempatan, dan mendorong inovasi, Haos Ek? berbangga menjadi sebahagian daripada keluarga agensi kerajaan berkenaan.

Anis berkata, syarikatnya akan terus membantu mempromosikan inisiatif-inisiatif agensi kerajaan agar lebih ramai usahawan PMKS berpotensi dapat memanfaatkannya.

Untuk maklumat lanjut mengenai Haos Ek? dan perjalanan mereka sebagai usahawan PMKS, layari www.haos.my.

Haos Ek? adalah syarikat minuman tempatan yang sedang berkembang pesat, fokus pada pembuatan dan pengedaran produk minuman yang mencerminkan identiti Malaysia.

RIM imbas tahun 2024: Pencapaian gemilang dan inisiatif membanggakan bagi industri muzik tempatan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) meluahkan kebanggaan terhadap pencapaian luar biasa yang diraih oleh industri muzik tempatan sepanjang tahun 2024.

Di sebalik cabaran dari pengaruh muzik yang dijana kecerdasan buatan (AI), RIM tetap teguh dalam komitmennya untuk menggalakkan pertumbuhan pasaran muzik, memperkasa hak cipta, serta menyokong semua penggiat industri muzik tempatan.

Pendapatan Industri Muzik Tempatan Pecah Rekod

Tahun 2024 menyaksikan pendapatan industri muzik tempatan mencatatkan rekod tertinggi dalam sejarah, dengan peningkatan sebanyak 11.5 peratus iaitu RM339 juta berbanding RM304 juta pada tahun sebelumnya.

Pencapaian ini melangkaui rekod pendapatan tertinggi yang pernah dicatatkan pada tahun 1996 sebanyak RM315 juta.

Peningkatan luar biasa ini disumbangkan oleh 14 peratus kenaikan hasil pendapatan digital serta 7.6 peratus peningkatan kutipan royalti daripada tiga Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) utama negara.

Menerajui Pembangunan Industri Muzik Tempatan

RIM terus aktif memperkasa industri muzik tempatan sepanjang tahun 2024. Antara langkah yang diambil termasuklah memperkenalkan Carta RIM, program mingguan yang memaparkan lagu-lagu paling banyak distrim di Malaysia dalam tiga bahasa utama melalui stesen radio Astro Radio – ERA, Hitz, dan MY.

Program ini berjaya menarik purata pendengar yang amat besar, dengan ERA mencatatkan 4.8 juta pendengar, HITZ 2.2 juta, dan MY 2.3 juta setiap minggu.

Kejayaan Lagu dan Artis Paling Popular

Antara pencapaian membanggakan dalam industri muzik tempatan pada tahun 2024 adalah:

-Lagu Tempatan Paling Tinggi Distrim: Masing Masing oleh Ernie Zakri dan Ade Govinda

-Lagu Antarabangsa Paling Tinggi Distrim: Die With A Smile oleh Lady Gaga dan Bruno Mars

-Lagu Cina Tempatan Paling Tinggi Distrim: 在加納共和國離婚 oleh DIOR dan Firdhaus

-Artis Tempatan Paling Tinggi Distrim: Insomniacks

-Artis Antarabangsa Paling Tinggi Distrim: Taylor Swift

-Artis Cina Tempatan Paling Tinggi Distrim: Firdhaus

Penyanyi Malaysia Mengharumkan Nama Negara di Luar Negara

Beberapa penyanyi Malaysia berjaya mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa. Ernie Zakri memenangi Anugerah OST Paling Ngetop di Anugerah SCTV Indonesia, manakala Hael Husaini meraih Anugerah Lagu Tema Terbaik di Asia Academy Creative Awards 2024.

Selain itu, Shila Amzah terus mengukir nama di China dengan penyertaan dalam program ‘Singing with Legends’, dan Dolla terpilih mewakili Malaysia dalam ‘Show It All’.

Penyanyi Firdhaus Farmizi pula berjaya mencatat lebih 17 juta aliran di Spotify dengan duet Divorce in Ghana bersama DIOR, manakala Azora Chin mencipta sejarah sebagai pemenang paling muda dalam program ‘Call Me by Fire’ di China.

Kerjasama Rapat dengan Kerajaan dalam Melindungi Hak Cipta

RIM terus berusaha memperkukuh hak cipta industri muzik dengan melakukan perubahan undang-undang bagi melanjutkan perlindungan hak cipta daripada 50 tahun kepada 70 tahun – mengikut piawaian antarabangsa.

Selain itu, RIM turut berkerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menggubal undang-undang bagi mengawal penggunaan AI dalam menghasilkan lagu-lagu berhak cipta.

Tindakan Anti-Cetak Rompak dan Perlindungan Hak Ahli

RIM juga komited dalam memerangi cetak rompak dengan menguatkuasakan undang-undang hak cipta, termasuk penyingkiran penjual yang melanggar hak cipta di platform e-dagang serta serbuan terhadap premis yang memperdagangkan muzik tanpa lesen.

Bantuan untuk Pengamal Industri Muzik

RIM terus memberi sokongan kepada pengamal industri muzik melalui program amal ‘Sumbangan Rahmah Industri Muzik (SRIM)’, yang telah memberi bantuan kepada 48 pengamal industri muzik yang memerlukan. Inisiatif ini, yang dilancarkan oleh Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali pada April 2024, menyediakan bantuan kewangan kepada mereka yang terjejas akibat pandemik dan cabaran lain.

Pengerusi RIM, Rosmin Hashim berkata, inovasi dan pelaburan dalam industri muzik tempatan akan terus diperjuangkan.

“Kami yakin usaha-usaha RIM untuk membangunkan industri muzik tempatan akan terus membuahkan hasil dengan kejayaan yang lebih gemilang pada masa depan.

“Kami mengajak semua pihak untuk terus menyokong industri ini,” katanya.

Dengan pencapaian cemerlang dan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan, RIM akan terus menjadi peneraju dalam membangunkan industri muzik Malaysia, sambil melindungi hak cipta dan memperkasa pengamal industri muzik tempatan.

Anwar terima hadiah kereta elektrik Togg SUV daripada presiden Erdoğan

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA –  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima sebuah kereta elektrik jenama Togg sebagai hadiah daripada Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdoğan.

Hadiah berkenaan, sebuah Togg T10X berwarna putih, diberikan sebagai simbol persahabatan yang erat antara kedua-dua pemimpin yang telah lama memimpin negara masing-masing.

Anwar kemudian memandu SUV elektrik sepenuhnya itu ke Kompleks Seri Perdana bersama Erdoğan, di mana mereka turut menyaksikan pertukaran perjanjian, sidang media bersama, serta beramah mesra dengan delegasi kedua-dua negara.

Togg, yang ditubuhkan pada 2018, adalah pengeluar kereta elektrik pertama yang beroperasi di kilang utama mereka di Gemlik, wilayah Bursa, Turkiye.

Sebelum itu, Erdoğan telah diberi sambutan negara di Kompleks Perdana Putra, diikuti dengan pertemuan empat mata bersama Anwar selama hampir satu jam, serta mesyuarat dua hala.

Lawatan itu diakhiri dengan jamuan makan tengah hari yang dihoskan oleh Anwar, sebagai meraikan kehadiran Presiden Erdoğan buat kali pertama sejak Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022.

Langkah ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Turkiye, tetapi juga menandakan kerjasama erat dalam bidang teknologi dan inovasi, terutamanya dalam penggunaan kenderaan elektrik.

Perkukuh kedudukan untuk tahun 2025, Suria FM lakukan perubahan besar

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dalam usaha untuk terus memperkukuhkan kedudukannya di tahun 2025, Suria FM mengumumkan beberapa perubahan besar yang akan membawa perubahan segar kepada stesen radio popular ini.

DJ Lin, yang sebelum ini memegang dua peranan penting sebagai Pengurus Besar dan pengendali segmen Suria Cinta, akan memberi fokus lebih kepada tugas pengurusan.

Meskipun demikian, DJ Lin akan tetap meneruskan pengendalian Suria Cinta pada hujung minggu (Sabtu dan Ahad, 8 malam hingga 1 pagi) untuk terus memenuhi kehendak peminat setia.

Mulai Mei ini, Nur Imanina Mohd Hisham, lebih dikenali sebagai Iman, akan mengendalikan segmen baru yang akan ke udara dari jam 8 malam hingga 12 malam, Isnin hingga Jumaat.

Dengan konsep yang lebih interaktif dan santai, segmen baru ini bertujuan menarik minat golongan muda dengan mengikut trend terkini.

Bagi memperkukuhkan segmen hujung minggu, Suraya Borhan pula akan diberikan tanggungjawab mengendalikan Suria Hujung Minggu (6 pagi hingga 10 pagi) serta Hello Suria (2 petang hingga 7 malam).

Berbekalkan pengalaman luas sebagai penyampai dan penerbit, Suraya dijangka mampu memberikan nafas baru kepada segmen hujung minggu Suria FM yang semakin mendapat perhatian.

Dalam usaha untuk menarik lebih ramai pendengar muda, Kai Hassan akan digandingkan bersama Ajak dan Dato’ Fizz Fairuz dalam segmen Morning Morning Suria.

Gabungan personaliti yang dinamik dan penuh semangat ini bakal memberikan suasana segar dan kandungan lebih menarik untuk memulakan hari pendengar.

Sementara itu, Cik Piah masih kekal mengendalikan segmen Gaya Suria dan Muzik Top Suria dari 10 pagi hingga 3 petang, manakala Sharifah Shahirah (Rara) dan Chiwan terus mengendalikan Suria Petang dari 3 petang hingga 7 malam setiap Isnin hingga Jumaat.

Perubahan strategik ini dilakukan untuk memastikan Suria FM kekal relevan dan menjadi pilihan utama pendengar, dengan menampilkan kandungan yang lebih segar, dinamik, serta tidak melupakan daya tarikan unik yang dimiliki oleh stesen radio ini.

Konsert Harmony Charly Van Houten pikat hati lebih 3,000 penonton di Megastar Arena Kuala Lumpur

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Malam yang penuh magis dan emosi menyaksikan lebih 3,000 penonton memeriahkan Konsert Harmony Charly Van Houten yang berlangsung di Megastar Arena Kuala Lumpur pada Jumaat, 7 Februari lalu.

Konsert ini bukan sekadar hiburan biasa, tetapi sebuah perayaan muzik yang menghubungkan pelbagai generasi pencinta muzik dari Indonesia dan Malaysia.

Apa yang menjadikan konsert ini lebih istimewa adalah beberapa kolaborasi eksklusif yang hanya dapat disaksikan di Konsert Harmony ini.

Salah satu yang mencuri perhatian adalah Restu, anak kepada vokalis Setia Band, yang tampil menghiburkan penonton dengan lagu viralnya di YouTube, Dan Aku.

Konsert yang bermula kira-kira jam 8.30 malam itu dimulakan dengan persembahan mantap dari Tegar Septian, penyanyi muda berbakat yang terkenal dengan lagu viralnya Aku Yang Dulu Bukan Sekarang.

Suaranya yang merdu dan penghayatan mendalam memukau penonton, apatah lagi ketika beliau mempersembahkan lagu Mengharapkanmu yang penuh emosi.

Seterusnya, Restu mengambil alih pentas dengan dua lagu melankolis, Dan Aku dan Lirih, yang menggambarkan cinta sejati yang mendalam. Penonton terus dibawa ke dalam suasana penuh perasaan.

Angga Chandra pula tampil menghangatkan suasana dengan lagu-lagu pop balada yang menyentuh hati, seperti Sampai Tutup Usia, yang menceritakan kisah cinta sejati yang abadi hingga akhir hayat.

Namun, keseronokan malam itu semakin rancak apabila Happy Asmara, penyanyi dangdut dengan gaya santai dan suara unik, memulakan persembahan dengan lagu Ngopi Masse, yang mengajak penonton untuk bersantai dan menikmati keindahan hidup.

Kemuncak kepada malam yang penuh gempak ini sudah pastinya penampilan Setia Band yang diketuai oleh legenda muzik Indonesia, Charly Van Houten.

Mereka membuka persembahan dengan lagu Rasa Yang Tertinggal sebelum meneruskan dengan lagu-lagu hit seperti Jangan Ngarep, Aku Terjatuh, dan Jangan Pernah Berubah.

Setiap lagu disambut dengan sorakan dan nyanyian serentak dari penonton yang turut merasai kehangatan dan semangat lagu-lagu berkenaan.

Konsert ini menyajikan pelbagai genre muzik, daripada pop, rock, hingga dangdut, memberikan pengalaman yang luar biasa kepada peminat.

Gabungan artis-artis berbakat, setlist yang hebat, dan suasana yang penuh emosi menjadikan Konsert Harmony ini sebagai satu pengalaman yang tidak akan dilupakan oleh peminat yang hadir.

Megastar Arena Kuala Lumpur menjadi saksi kepada kehebatan Setia Band dan rakan-rakan mereka, serta menjadi bukti bahawa muzik adalah bahasa universal yang mampu menyatukan semua tanpa mengira latar belakang.

Dengan sambutan luar biasa ini, peminat pastinya mengharapkan agar Konsert Harmony akan kembali lagi nanti dengan lebih banyak artis terkenal dan persembahan yang lebih memukau.

Labur RM3 juta, SVG Worldwide suntik semangat baru dalam fesyen jalanan Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Detik bersejarah bakal tercipta dalam industri fesyen Malaysia apabila SVG Worldwide mengadakan pertunjukan fesyen ‘solo’ pertamanya, Musim Bunga/Panas 2025, di The Yard, Sentul Depot.

Acara yang dianjurkan oleh Muhammad Ashraf Khairul Anuar (lebih dikenali sebagai Ashraf Anuar) berusia 25 tahun ini bakal menggegarkan dunia streetwear Malaysia, sekali gus membuka lembaran baru dalam penceritaan fesyen yang lebih berani dan kreatif.

Bertemakan “The Journey”, koleksi terbaru Ashraf menggambarkan perjalanan artistiknya yang penuh eksperimen, evolusi, dan ketekunan.

Lebih daripada sekadar pertunjukan fesyen, acara ini menandakan transformasi SVG Worldwide ke dalam era baru, dengan penekanan pada identiti dan kebebasan kreatif jenama berkenaan.

Dengan penglibatan 100 peragawan dan peragawati, pertunjukan ini dijangka mencatat sejarah sebagai pertunjukan fesyen jalanan ‘solo’ terbesar di Malaysia.

Pelaburan RM3 juta telah diperuntukkan untuk produksi, pemasaran, dan reka bentuk, menjadikan pertunjukan ini satu pencapaian luar biasa dalam dunia fesyen tempatan.

Sebagai nilai tambah kepada peminat fesyen, SVG Worldwide juga membuka Pop-up store di Starhill dari 9 hingga 16 Februari, memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan akses eksklusif kepada koleksi edisi terhad.

Selain itu, pertunjukan ini akan disiarkan secara langsung bagi tontonan umum.

Ashraf Anuar: Dari RM50 ke Dunia Fesyen Terkenal

Perjalanan Ashraf dalam industri fesyen bermula dengan langkah yang sederhana.

Pada usia 18 tahun, beliau mula menjual pakaian terpakai dan memilih dengan teliti pakaian unik yang berbeza daripada yang lain.

Dengan hanya RM50 di tangan, Ashraf mengambil risiko dengan mencetak edisi pertama kemeja-T, yang habis terjual dalam beberapa hari. Detik ini menjadi titik permulaan bagi kelahiran SVG Worldwide.

Kini, jenama berkenaan telah berkembang menjadi syarikat bernilai lebih RM5 juta, bukan hanya sebagai jenama fesyen yang berjaya secara komersial, tetapi juga sebagai simbol budaya fesyen jalanan.

Falsafah reka bentuk Ashraf berpusat pada penggabungan streetwear dengan penceritaan, di mana setiap koleksi direka untuk menyampaikan naratif yang unik melalui grafik, ilusi tiga dimensi, dan eksperimen tekstur.

Fesyen Sebagai Platform Perbincangan Sosial dan Budaya

Ashraf juga melihat fesyen sebagai alat untuk memperkasa perbincangan budaya dan kesedaran sosial.

Pada pertunjukan ini, penonton turut disajikan dengan persembahan khas oleh Faizal Tahir sebagai penghormatan kepada Palestin menggambarkan komitmen SVG Worldwide terhadap perjuangan kemanusiaan melalui seni.

Dengan pendekatan yang berani dan inovatif, Ashraf telah memperkenalkan elemen-elemen luar biasa dalam fesyen, seperti mempersembahkan koleksi di Petronas Sepang International Circuit dan mencipta format pertunjukan fesyen yang unik.

Gabungan budaya motorsport, estetika kontemporari, dan fesyen mewah menjadikan Ashraf salah seorang pereka kreatif paling dinamik di Malaysia.

Masa Depan SVG Worldwide: Mengubah Landskap Fesyen Jalanan

Melalui “The Journey”, Ashraf bukan sahaja mengukuhkan statusnya sebagai peneraju dalam industri fesyen Malaysia, tetapi juga menetapkan penanda aras baru bagi jenama streetwear tempatan.

Dengan pelaburan RM3 juta dan penglibatan 100 peragawan serta peragawati, SVG Worldwide membuktikan bahawa jenama Malaysia mampu menyaingi kuasa besar fesyen antarabangsa.

Pertunjukan ini dijangka memberi inspirasi kepada pereka fesyen lain untuk mengadakan pertunjukan fesyen mega, sekali gus mengangkat nama Malaysia di arena fesyen global.

SVG Worldwide bukan hanya sebuah jenama, tetapi juga satu gerakan yang berakar umbi dalam keaslian, inovasi, dan visi artistik yang berani.

Ashraf Anuar terus memecah tradisi dengan menggabungkan streetwear dan fesyen tinggi, mencabar kreativiti melalui persembahan runway yang tidak konvensional, sambil mengangkat tema sosial dan budaya yang kuat.

Dunia fesyen kini menantikan perkembangan SVG Worldwide dan ini baru permulaan bagi transformasi global fesyen ‘streetwear’ oleh Ashraf Anuar.

TODAK jalin kerjasama dengan SRG perkasa e-sukan di Selangor

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Sebagai salah satu peneraju dalam industri e-sukan, TODAK telah mengambil peranan penting dalam merealisasikan usaha Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi dalam memperkasakan e-sukan di peringkat sekolah melalui penganjuran Selangor Future Cup (SFC).

Menerusi kerjasama dengan Selangor Red Giants (SRG), kejohanan ini bertujuan untuk mengembangkan bakat muda yang berpotensi menjadi atlet profesional dalam dunia esukan.

Timbalan Presiden Kelab Sukan Elektronik TODAK, Mohd Ikmal Fareeq Shamsul Bahri berkata, selain daripada menguruskan pertandingan SFC, TODAK turut berperanan sebagai rakan pembangunan atlet.

TODAK menawarkan biasiswa pendidikan penuh kepada pasukan yang menjadi juara sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa bakat-bakat muda di negeri ini.

“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan SRG dalam menyediakan peluang kepada generasi muda, khususnya pelajar sekolah, untuk mengasah bakat mereka dalam bidang esukan,” katanya.

Apa yang menarik dalam kejohanan kali ini adalah penekanan terhadap pendidikan.

TODAK Academy telah menawarkan biasiswa penuh bernilai RM160,000 untuk Diploma Sijil Kemahiran Malaysia (Tahap 4) dalam Creative Content Development kepada kesemua enam ahli pasukan yang berjaya menjadi Juara.

“Kami berharap lebih banyak institusi pendidikan akan turut serta pada masa hadapan untuk menyokong usaha kami dalam memberikan keseimbangan antara pendidikan dan arena e-sukan,” katanya.

Penganjuran kejohanan seperti SFC ini juga menjadi platform penting bagi TODAK untuk mencari bakat-bakat baru di kalangan atlet sekolah.

TODAK berharap dapat menyerap atlet-atlet muda ini ke dalam program pembangunan yang akan memberi pendedahan di peringkat profesional dan di peringkat negeri, seperti SUKMA.

“Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan pihak MSN Negeri Selangor dalam usaha ini.

“Dengan tema utama “Lahirnya Legenda”, kejohanan ini bertujuan melahirkan atlet-atlet yang mampu mengharumkan nama Selangor di pentas sukan negara,” katanya lagi.

SFC bukan hanya bertujuan untuk mencari bakat, tetapi juga untuk mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap industri e-sukan.

TODAK berharap melalui kejohanan ini, masyarakat akan melihat lebih banyak kejayaan atlet-atlet muda di peringkat negeri dan antarabangsa, seterusnya meletakkan e-sukan di landasan yang betul.

SFC 2025 yang akan berlangsung pada 22 dan 23 Februari 2025, akan membabitkan 64 sekolah menengah di seluruh Selangor dalam pertandingan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB). Kejohanan ini juga mendapat sokongan daripada pihak AEON, yang menawarkan AEON Mall Shah Alam sebagai venue rasmi kejohanan.

Kejohanan ini juga membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Selangor untuk menjadikan e-sukan sebagai sukan arus perdana.

Melalui kolaborasi SRG dan TODAK, mereka akan menyediakan bimbingan profesional kepada peserta.

Sokongan daripada rakan-rakan strategik ini diharapkan dapat membantu memperkasa industri e-sukan serta membuka ruang bagi pembangunan ekosistem keusahawanan digital dan industri kreatif di negeri Selangor.

“Terima kasih kepada Najwan, MSN, serta SRG atas kerjasama ini. Kami berharap usaha ini dapat memberi impak positif dalam perkembangan e-sukan di Selangor dan memberi peluang yang lebih luas kepada bakat-bakat muda,” kata Mohd Ikmal.

Kejohanan SFC 2025 bakal menjadi batu loncatan dalam membangunkan bakat e-sukan di Selangor dan mencipta lebih banyak atlet profesional yang mampu bersinar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

MCPF Perak fokus tangani jenayah siber di luar bandar – Zainal Azman

editormaxinfo@gmail.com

TAIPING – Majlis Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Negeri Perak kini memberi tumpuan utama dalam menangani masalah jenayah siber yang semakin meruncing di kawasan luar bandar.

Ini adalah usaha untuk melindungi golongan emas, khususnya pesara kerajaan dan swasta, daripada menjadi mangsa penipuan siber atau ‘scam’ yang semakin berleluasa.

Pengerusi MCPF Perak, Datuk Zainal Azman Abu Seman berkata, kes-kes penipuan dalam talian dan pelaburan palsu kini semakin meningkat, termasuk di kawasan luar bandar di negeri berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya terkejut apabila mendapati data jenayah siber di Kuala Kangsar menunjukkan angka yang agak tinggi.

“Kami terkejut melihat nilai ambang jenayah siber di Kuala Kangsar yang agak tinggi.

“Nilai ambang ini merujuk kepada jumlah jenayah yang dilaporkan berbanding dengan jumlah penduduk di sesebuah daerah,” katanya.

Zainal Azman berkata, penggunaan teknologi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab semakin meresahkan dan memerlukan perhatian serius.

Beliau menekankan pendidikan dan kesedaran masyarakat menjadi langkah utama dalam menangani jenayah siber ini.

Sebagai langkah yang lebih strategik, MCPF mencadangkan penggunaan data statistik untuk mengenal pasti kawasan-kawasan yang sering berlaku jenayah siber.

Dengan data ini, program pencegahan dapat dilaksanakan secara lebih tepat dan berkesan, termasuk memperkenalkan program simulasi yang meniru senario penipuan dalam talian untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.

Zainal Azman juga berkata, konvensional seperti edaran risalah kini dilihat kurang berkesan.

Oleh itu, MCPF merancang untuk memperkenalkan program simulasi interaktif bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya golongan muda.

“MCPF sedang memperkukuh kerjasama dengan pelbagai agensi, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta institusi pendidikan, untuk memperkasakan usaha mencegah jenayah siber melalui pendidikan dan penguatkuasaan yang lebih berkesan,” katanya lagi.

Dalam usaha itu, statistik jenayah akan digunakan untuk merangka program yang lebih terperinci membabitkan ibu bapa, guru, dan pelajar agar pendidikan tentang jenayah siber dapat disampaikan dengan lebih menyeluruh.

Selain itu, pelbagai program pencegahan jenayah terus dijalankan oleh pihak berkuasa seperti PDRM untuk mengurangkan rasa takut terhadap jenayah atau “fear of crime” dalam masyarakat.

Objektif utama kajian ini adalah untuk menganalisis keberkesanan program-program pencegahan jenayah yang dilaksanakan oleh PDRM Perak.