editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Malam yang penuh magis dan emosi menyaksikan lebih 3,000 penonton memeriahkan Konsert Harmony Charly Van Houten yang berlangsung di Megastar Arena Kuala Lumpur pada Jumaat, 7 Februari lalu.
Konsert ini bukan sekadar hiburan biasa, tetapi sebuah perayaan muzik yang menghubungkan pelbagai generasi pencinta muzik dari Indonesia dan Malaysia.
Apa yang menjadikan konsert ini lebih istimewa adalah beberapa kolaborasi eksklusif yang hanya dapat disaksikan di Konsert Harmony ini.
Salah satu yang mencuri perhatian adalah Restu, anak kepada vokalis Setia Band, yang tampil menghiburkan penonton dengan lagu viralnya di YouTube, Dan Aku.


Konsert yang bermula kira-kira jam 8.30 malam itu dimulakan dengan persembahan mantap dari Tegar Septian, penyanyi muda berbakat yang terkenal dengan lagu viralnya Aku Yang Dulu Bukan Sekarang.
Suaranya yang merdu dan penghayatan mendalam memukau penonton, apatah lagi ketika beliau mempersembahkan lagu Mengharapkanmu yang penuh emosi.
Seterusnya, Restu mengambil alih pentas dengan dua lagu melankolis, Dan Aku dan Lirih, yang menggambarkan cinta sejati yang mendalam. Penonton terus dibawa ke dalam suasana penuh perasaan.


Angga Chandra pula tampil menghangatkan suasana dengan lagu-lagu pop balada yang menyentuh hati, seperti Sampai Tutup Usia, yang menceritakan kisah cinta sejati yang abadi hingga akhir hayat.
Namun, keseronokan malam itu semakin rancak apabila Happy Asmara, penyanyi dangdut dengan gaya santai dan suara unik, memulakan persembahan dengan lagu Ngopi Masse, yang mengajak penonton untuk bersantai dan menikmati keindahan hidup.
Kemuncak kepada malam yang penuh gempak ini sudah pastinya penampilan Setia Band yang diketuai oleh legenda muzik Indonesia, Charly Van Houten.


Mereka membuka persembahan dengan lagu Rasa Yang Tertinggal sebelum meneruskan dengan lagu-lagu hit seperti Jangan Ngarep, Aku Terjatuh, dan Jangan Pernah Berubah.
Setiap lagu disambut dengan sorakan dan nyanyian serentak dari penonton yang turut merasai kehangatan dan semangat lagu-lagu berkenaan.
Konsert ini menyajikan pelbagai genre muzik, daripada pop, rock, hingga dangdut, memberikan pengalaman yang luar biasa kepada peminat.
Gabungan artis-artis berbakat, setlist yang hebat, dan suasana yang penuh emosi menjadikan Konsert Harmony ini sebagai satu pengalaman yang tidak akan dilupakan oleh peminat yang hadir.

Megastar Arena Kuala Lumpur menjadi saksi kepada kehebatan Setia Band dan rakan-rakan mereka, serta menjadi bukti bahawa muzik adalah bahasa universal yang mampu menyatukan semua tanpa mengira latar belakang.
Dengan sambutan luar biasa ini, peminat pastinya mengharapkan agar Konsert Harmony akan kembali lagi nanti dengan lebih banyak artis terkenal dan persembahan yang lebih memukau.
