editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Dalam usaha untuk terus memperkukuhkan kedudukannya di tahun 2025, Suria FM mengumumkan beberapa perubahan besar yang akan membawa perubahan segar kepada stesen radio popular ini.
DJ Lin, yang sebelum ini memegang dua peranan penting sebagai Pengurus Besar dan pengendali segmen Suria Cinta, akan memberi fokus lebih kepada tugas pengurusan.
Meskipun demikian, DJ Lin akan tetap meneruskan pengendalian Suria Cinta pada hujung minggu (Sabtu dan Ahad, 8 malam hingga 1 pagi) untuk terus memenuhi kehendak peminat setia.
Mulai Mei ini, Nur Imanina Mohd Hisham, lebih dikenali sebagai Iman, akan mengendalikan segmen baru yang akan ke udara dari jam 8 malam hingga 12 malam, Isnin hingga Jumaat.
Dengan konsep yang lebih interaktif dan santai, segmen baru ini bertujuan menarik minat golongan muda dengan mengikut trend terkini.
Bagi memperkukuhkan segmen hujung minggu, Suraya Borhan pula akan diberikan tanggungjawab mengendalikan Suria Hujung Minggu (6 pagi hingga 10 pagi) serta Hello Suria (2 petang hingga 7 malam).
Berbekalkan pengalaman luas sebagai penyampai dan penerbit, Suraya dijangka mampu memberikan nafas baru kepada segmen hujung minggu Suria FM yang semakin mendapat perhatian.
Dalam usaha untuk menarik lebih ramai pendengar muda, Kai Hassan akan digandingkan bersama Ajak dan Dato’ Fizz Fairuz dalam segmen Morning Morning Suria.
Gabungan personaliti yang dinamik dan penuh semangat ini bakal memberikan suasana segar dan kandungan lebih menarik untuk memulakan hari pendengar.
Sementara itu, Cik Piah masih kekal mengendalikan segmen Gaya Suria dan Muzik Top Suria dari 10 pagi hingga 3 petang, manakala Sharifah Shahirah (Rara) dan Chiwan terus mengendalikan Suria Petang dari 3 petang hingga 7 malam setiap Isnin hingga Jumaat.
Perubahan strategik ini dilakukan untuk memastikan Suria FM kekal relevan dan menjadi pilihan utama pendengar, dengan menampilkan kandungan yang lebih segar, dinamik, serta tidak melupakan daya tarikan unik yang dimiliki oleh stesen radio ini.

