editormaxinfo@gmail.com
TAIPING – Majlis Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Negeri Perak kini memberi tumpuan utama dalam menangani masalah jenayah siber yang semakin meruncing di kawasan luar bandar.
Ini adalah usaha untuk melindungi golongan emas, khususnya pesara kerajaan dan swasta, daripada menjadi mangsa penipuan siber atau ‘scam’ yang semakin berleluasa.
Pengerusi MCPF Perak, Datuk Zainal Azman Abu Seman berkata, kes-kes penipuan dalam talian dan pelaburan palsu kini semakin meningkat, termasuk di kawasan luar bandar di negeri berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya terkejut apabila mendapati data jenayah siber di Kuala Kangsar menunjukkan angka yang agak tinggi.
“Kami terkejut melihat nilai ambang jenayah siber di Kuala Kangsar yang agak tinggi.
“Nilai ambang ini merujuk kepada jumlah jenayah yang dilaporkan berbanding dengan jumlah penduduk di sesebuah daerah,” katanya.
Zainal Azman berkata, penggunaan teknologi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab semakin meresahkan dan memerlukan perhatian serius.
Beliau menekankan pendidikan dan kesedaran masyarakat menjadi langkah utama dalam menangani jenayah siber ini.
Sebagai langkah yang lebih strategik, MCPF mencadangkan penggunaan data statistik untuk mengenal pasti kawasan-kawasan yang sering berlaku jenayah siber.
Dengan data ini, program pencegahan dapat dilaksanakan secara lebih tepat dan berkesan, termasuk memperkenalkan program simulasi yang meniru senario penipuan dalam talian untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.
Zainal Azman juga berkata, konvensional seperti edaran risalah kini dilihat kurang berkesan.
Oleh itu, MCPF merancang untuk memperkenalkan program simulasi interaktif bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya golongan muda.
“MCPF sedang memperkukuh kerjasama dengan pelbagai agensi, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta institusi pendidikan, untuk memperkasakan usaha mencegah jenayah siber melalui pendidikan dan penguatkuasaan yang lebih berkesan,” katanya lagi.
Dalam usaha itu, statistik jenayah akan digunakan untuk merangka program yang lebih terperinci membabitkan ibu bapa, guru, dan pelajar agar pendidikan tentang jenayah siber dapat disampaikan dengan lebih menyeluruh.
Selain itu, pelbagai program pencegahan jenayah terus dijalankan oleh pihak berkuasa seperti PDRM untuk mengurangkan rasa takut terhadap jenayah atau “fear of crime” dalam masyarakat.
Objektif utama kajian ini adalah untuk menganalisis keberkesanan program-program pencegahan jenayah yang dilaksanakan oleh PDRM Perak.