25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 17, 2026

Karnival CITEC 2025 sediakan tenaga kerja berkualiti, promosi inovasi dalam sektor agroteknologi

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Karnival Teknologi dan Kreativiti sempena Pertandingan Kreativiti dan Inovasi (CITEC) 2025 anjuran Jabatan Tenaga Manusia (JTM) di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) bakal menjadi platform penting dalam menghasilkan tenaga kerja berkualiti tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri negara.

Karnival yang bakal diadakan pada 12 dan 13 Februari 2025 di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Jerantut, Pahang ini, bertemakan ‘Integrasi Inovasi Ke Arah Kemampanan Agroteknologi’.

Tema ini menekankan konsep inovasi dalam sektor pertanian untuk meningkatkan produktiviti, sekaligus memperkukuh kecekapan dan kemahiran rakyat Malaysia.

JTM dalam satu kenyataan berkata, objektif utama karnival ini adalah untuk menyediakan platform yang menggalakkan pemikiran kreatif, kemahiran, dan kebolehan daya cipta dalam kalangan peserta.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk mempromosikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dijalankan oleh JTM di bawah Kesuma.

Program ini dijangka akan dihadiri oleh kira-kira 3,000 tetamu jemputan, termasuk agensi awam, rakan strategik, serta komuniti setempat.

Acara penutup karnival ini akan berlangsung pada 13 Februari 2025, di Dewan Kuliah Utama ADTEC, dan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Antara acara yang menarik perhatian adalah pertandingan inovasi yang membabitkan sebanyak 272 pasukan dari mahasiswa institusi pengajian tinggi, agensi awam dan swasta.

Beberapa kluster pertandingan yang bakal dilaksanakan termasuk Automasi, Peralatan dan Proses Pembuatan, Elektrik dan Elektronik, ICT, Multimedia dan Telekomunikasi, Sivil dan Bangunan, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, serta Pengajaran dan Pembelajaran.

Selain pertandingan, karnival ini turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung, antaranya seminar teknologi, pameran agensi di bawah Kesuma, Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM), serta Karnival Kerjaya MyFuture Jobs.

Terdapat juga food truck, jualan rahmah, dan e-sukan yang turut menambah keseruan acara ini.

Aktiviti lain yang menarik termasuk servis motosikal, semakan dan bayaran saman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pemeriksaan gigi, serta program kitar semula trash to cash.

Untuk kanak-kanak, pelbagai aktiviti seperti soopa dopa, joy ride, berkuda, memanah, serta permainan giant bubble juga akan diadakan.

Karnival ini diharap menjadi platform penting untuk menghubungkan pelajar, pencari kerja, industri, dan masyarakat, sekaligus mempertemukan bakat, teknologi, serta kreativiti.

Ia juga bakal mengukuhkan reputasi JTM sebagai penyedia tenaga kerja yang berkualiti tinggi.

Dengan pelbagai aktiviti menarik dan peluang pembelajaran yang ditawarkan, Karnival CITEC 2025 pasti menjadi acara yang tidak mahu dilepaskan oleh peserta dan pengunjung.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular