33.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 9, 2025

Maritim Malaysia perkukuh keselamatan perairan negara dengan kapal baharu buatan Turkiye

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bakal menerima kapal induk baharu, yang juga hasil kerjasama dengan Republik Turkiye, bagi memperkukuh keupayaan pertahanan dan penguatkuasaan maritim negara.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, perolehan kapal Multi Purpose Mission Ship (MPMS) ini adalah satu langkah strategik yang tepat oleh Kerajaan Madani dalam menangani cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.

Kapal MPMS ini akan dibina oleh syarikat Desan Shipyard dari Turkiye, yang dipilih berdasarkan kepakaran dan kemampuan global mereka dalam industri pertahanan.

Perjanjian pembinaan kapal ini telah dimeterai melalui Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) yang diadakan di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, semalam.

MoU berkenaan disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar bin Ibrahim, bersama Presiden Turkiye, TYT Recep Tayyip Erdoğan.

Mohd Rosli berkata, kapal MPMS ini akan menjadi aset penting dalam meningkatkan keupayaan operasi Maritim Malaysia.

“Kapal berteknologi tinggi ini dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku pertama tahun 2027 dan akan membantu dalam pengawasan keselamatan di Laut China Selatan, khususnya dalam menghadapi ancaman seperti pencerobohan vesel asing, penangkapan ikan haram, serta jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia.

“Kapal ini dilengkapi dengan spesifikasi canggih, termasuk empat bot pemintas pantas (FIC), dua dron udara tanpa pemandu (UAV), helideck, fasiliti perubatan, dan pusat tahanan.

“Dengan ukuran 99 meter panjang dan kapasiti membawa 70 orang kru serta 30 orang penumpang, MPMS dapat beroperasi tanpa henti selama 30 hari,” katanya.

Perolehan kapal MPMS ini juga mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh keselamatan maritim melalui kerjasama antarabangsa.

Maritim Malaysia berharap hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkiye dalam sektor pertahanan maritim akan terus diperkukuh, memberikan manfaat besar kepada keselamatan dan kestabilan perairan negara.

Dengan kemajuan ini, Malaysia semakin bersedia untuk menghadapi cabaran keselamatan maritim yang semakin mencabar di perairan negara.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular