26.4 C
Kuala Lumpur
Friday, May 1, 2026

Adidas umum kurangkan 500 pekerja, langkah penstrukturan semula operasi

editormaxinfo@gmail.com

FRANKFURT – Syarikat sukan gergasi, Adidas, mengumumkan langkah drastik untuk mengurangkan 500 pekerja sebagai sebahagian daripada usaha menstruktur semula operasinya.

Keputusan ini diambil selepas perpisahan kontroversi dengan penyanyi rap terkenal Amerika Syarikat, Kanye West, yang telah memberi impak besar kepada jenama terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Adidas, Bjorn Gulden berkata, pengurangan tenaga kerja ini akan membabitkan kakitangan di ibu pejabat syarikat di Herzogenaurach, Jerman, dan pelaksanaannya akan dilakukan secara sukarela.

“Langkah ini adalah sebahagian daripada strategi kami untuk meningkatkan kecekapan operasi serta menyesuaikan diri dengan perubahan dinamik pasaran global,” kata Gulden.

Gulden yang mengambil alih kepimpinan Adidas pada tahun 2023, ketika syarikat itu berdepan krisis berikutan penamatan kontrak dengan Kanye West atau Ye susulan kenyataan anti-Semitik yang dikeluarkan oleh artis berkenaan, berkata, syarikatnya kini berusaha untuk mengatasi kesan daripada kontroversi itu.

Sejak itu, Adidas telah mengambil langkah untuk menjual stok kasut Yeezy yang masih ada bagi mengurangkan kerugian yang dialami.

Walau bagaimanapun, Adidas masih berdepan cabaran global, termasuk kemungkinan tarif baharu yang bakal dikenakan oleh Amerika Syarikat, yang boleh memberi kesan kepada operasi syarikat. -Agensi

ARTIKEL BERKAITAN

Popular