26.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 25, 2026

AirAsia pindahkan perkhidmatan domestik ke KLIA T2 bermula 7 April 2025

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – AirAsia mengumumkan pemindahan operasi perkhidmatan domestiknya dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Lapangan Terbang Subang) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA T2), bermula pada 7 April 2025.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata, langkah ini bertujuan untuk mengoptimumkan kecekapan operasi berikutan permintaan perjalanan yang semakin meningkat, serta untuk meningkatkan pengalaman penerbangan secara keseluruhan.

“Walaupun Lapangan Terbang Subang menawarkan kemudahan yang mudah, terutama bagi penduduk bandar, pembangunan semula lapangan terbang ini untuk menyokong pertumbuhan masa depan akan mengambil masa.

“Oleh itu, AirAsia akan menggabungkan semua operasinya di KLIA T2 untuk memaksimumkan kecekapan dan memberi pengalaman yang lebih baik kepada tetamu kami,” kata kenyataan itu.

AirAsia juga berkata, jumlah penumpang antara Kuala Lumpur dan destinasi utama seperti Kota Kinabalu dan Kuching telah meningkat lebih daripada 16 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Oleh itu, pemindahan operasi domestik ke KLIA T2 adalah langkah tepat untuk menampung peningkatan trafik dan memastikan keberkesanan operasi yang lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata, KLIA T2 mempunyai infrastruktur yang lebih sesuai untuk memenuhi keperluan penerbangan sambungan berskala besar, terutamanya pada waktu puncak perjalanan.

“Dengan kapasiti yang lebih besar di KLIA T2, kami akan dapat terus berkembang dan menawarkan lebih banyak penerbangan, khususnya ke Sabah dan Sarawak yang kini mendapat permintaan tinggi,” katanya.

Bagi memastikan peralihan ini berjalan lancar, AirAsia akan terus beroperasi dari Lapangan Terbang Subang sepanjang minggu sambutan Hari Raya untuk memenuhi permintaan sedia ada.

Ini akan membolehkan tetamu yang merancang perjalanan semasa musim perayaan menikmati kemudahan Subang sebelum peralihan sepenuhnya ke KLIA T2.

“Sesi perundingan yang positif dengan konsortium Gateway Development Alliance (GDA) juga memastikan peralihan ini sejajar dengan pembangunan infrastruktur yang lebih baik serta matlamat ketersambungan jangka panjang,” katanya lagi.

Untuk rekod, AirAsia mula beroperasi di Lapangan Terbang Subang pada 30 Ogos 2024, dengan memperkenalkan dua laluan utama iaitu Kuching dan Kota Kinabalu.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular