28.5 C
Kuala Lumpur
Friday, April 24, 2026

Fenomena kerang terdampar di Pantai Terengganu bukan petanda bencana, selamat dimakan – penyelidik UMT

editormaxinfo@gmail.com

KUALA TERENGGANU – Fenomena kerang terdampar di pesisir pantai Terengganu yang tular baru-baru ini bukanlah petanda bencana alam, sebaliknya adalah kejadian semula jadi yang selamat untuk dimakan.

Pensyarah di Fakulti Perikanan dan Sains Makanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Roslizawati Ab Lah berkata, fenomena ini sering berlaku setiap kali musim monsun timur laut tiba, di mana angin kencang dan ombak besar, bersama struktur geografi pantai yang tertentu, menjadi faktor utama kerang-kerang ini terdampar di pesisir pantai.

“Walaupun fenomena kerang terdampar ini mungkin kelihatan luar biasa, ia sebenarnya adalah kejadian semula jadi yang kerap berlaku. Ia tidak perlu dirisaukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Roslizawati berkata, pergerakan angin yang kuat dan ombak besar membawa kerang-kerang ini ke pantai.

Biasanya, kerang terbabit masih dalam keadaan baik dan boleh dimakan dengan selamat.

Namun, beliau mengingatkan penggemar makanan laut yang ingin mengutip kerang itu perlu berhati-hati kerana kerang yang terdampar mungkin terdedah kepada pencemaran atau bakteria.

Oleh itu, penting untuk membersihkan kerang dengan sempurna sebelum dimasak.

“Fenomena ini juga menyoroti pentingnya ekosistem lautan dan pesisir pantai dalam mengekalkan keseimbangan alam,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat, turut mengesahkan hasil analisis makmal mengklasifikasikan kerang terbabit sebagai Kelas B dan C di bawah piawaian Program Sanitasi Kerang-Kerangan Kebangsaan (NSSP), yang memerlukan kerang-kerang ini dimasak sepenuhnya sebelum dimakan.

Ruzaidi menasihatkan orang ramai supaya memastikan kerang yang dikutip dimasak dengan sempurna bagi mengelakkan risiko pencemaran bakteria.

Beliau juga mengingatkan agar kerang mentah dielakkan, terutama bagi individu yang mempunyai sistem imun yang lemah.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai aktiviti orang ramai yang menggunakan pelbagai cara, termasuk pukat ikan dan baldi, untuk mengutip kerang-kerang yang melimpah setelah terdampar di Pantai Sura, Dungun.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular