27.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 10, 2025

Peranan AIM dalam membasmi kemiskinan diangkat pada WEF 2025, berkat sumbangan Anwar Ibrahim

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim memainkan peranan penting dalam penubuhan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), yang pertama kali dilancarkan pada 17 September 1987, ketika beliau menjawat jawatan Menteri Pendidikan.

Keberkesanan AIM kini menarik perhatian global, termasuk dari Prof. Muhammad Yunus, penerima Hadiah Nobel Keamanan yang memperkenalkan konsep mikro-kredit di Bangladesh dan dijadikan model untuk AIM di Malaysia.

Pengiktirafan terhadap peranan penting AIM sebagai platform pemberdayaan ekonomi golongan miskin di Malaysia turut disampaikan dalam sesi plenari di Sidang Kemuncak Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland.

Prof. Yunus, dalam perbincangannya yang bertajuk ‘ASEAN: Even Stronger Together’, secara terbuka mengangkat sumbangan Anwar dalam penubuhan AIM sebagai contoh kejayaan inovatif dalam usaha membasmi kemiskinan di negara-negara membangun.

Kejayaan AIM ini tidak hanya mencerminkan komitmen Malaysia dalam merancang dan melaksanakan inisiatif memanfaatkan potensi komuniti miskin, malah memberi impak positif dalam membasmi kemiskinan.

Ini turut membuktikan betapa Anwar berusaha gigih untuk mengangkat martabat kumpulan rentan miskin di Malaysia hingga menjadi inspirasi kepada negara-negara lain.

AIM ditubuhkan dengan tujuan utama memberikan akses pembiayaan mikro kepada golongan miskin, terutamanya di kawasan pinggir bandar dan luar bandar.

Program ini bertujuan memperbaiki taraf hidup dengan memberi pinjaman tanpa cagaran untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan kecil serta sokongan teknikal dan latihan kemahiran.

Melalui inisiatif ini, ramai penerima manfaat berjaya keluar dari garis kemiskinan dalam tempoh dua tahun.

Anwar, yang juga pernah berjuang dalam isu kemiskinan ketika menjadi pemimpin mahasiswa, memimpin usaha untuk menubuhkan AIM setelah mengarahkan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mengkaji kesesuaian konsep Bank Grameen di Malaysia pada tahun 1987.

Beliau juga pernah mendorong penubuhan Pasar Tani pada 1985 bagi membantu petani miskin, sekali gus mengurangkan penindasan orang tengah.

Di sebalik segala kejayaan ini, Anwar tidak hanya memberi tumpuan kepada permasalahan kemiskinan tetapi juga berpegang teguh pada prinsip ‘ihsan’ perasaan empati yang mendalam terhadap penderitaan orang lain, dan usaha untuk mencari jalan mengubatinya.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali, turut mengakui kejayaan besar Perdana Menteri dalam memulihkan pendapatan negara dan hubungan antarabangsa Malaysia.

Beliau menyatakan, Anwar telah berjaya meningkatkan imej Malaysia serta menghasilkan hubungan lebih erat dengan negara-negara lain, yang seterusnya meningkatkan perdagangan dan pelaburan asing.

Pengiktirafan yang diterima AIM di pentas antarabangsa adalah bukti betapa pentingnya usaha yang digerakkan oleh Anwar dalam membantu masyarakat miskin melalui model mikro-kredit ini, yang kini bukan sahaja memberi impak di Malaysia, malah menjadi rujukan kepada negara-negara lain seperti Bangladesh.

Kejayaan ini turut memberi peluang kepada ribuan wanita untuk keluar dari kemiskinan, mengusahakan perniagaan kecil, dan memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang lebih baik.

Dengan kejayaan ini, AIM kini semakin berkembang, berterusan dalam memberi manfaat kepada rakyat, dan terus diharapkan untuk memainkan peranan penting dalam memerangi kemiskinan di Malaysia, selaras dengan visi Anwar untuk membangun negara dengan lebih inklusif dan mampan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular