28.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 9, 2025

Single Tondu, permulaan langkah baru dalam karier muzik kumpulan Pelawak Zero

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Lebih sedekad mengukir nama dalam dunia seni tanah air, Kumpulan Zero yang dianggotai oleh trio adik-beradik, Sharif Kadir Doli Sharif (Sharif), Mohd Syaiful Doli Sharif (Syaiful), dan Sharif Kunal Doli Sharif (Atu), kini mencatatkan sejarah baru dalam perjalanan seni mereka dengan pelancaran single pertama yang berjudul Tondu.

Meskipun dikenali ramai sebagai pelawak, pelakon dan pengacara, Zero kini ingin memperlihatkan sisi lain mereka sebagai artis serba boleh.

Menurut Atu, judul Tondu yang berasal daripada bahasa Kadazan Dusun bermaksud ‘perempuan’, membabitkan kolaborasi hebat antara komposer Zai Hamzah bersama Hemo, sementara lirik ditulis oleh Achoi Floor 88 dan Ayie Elham Floor 88.

“Lagu ini adalah hasil kerja keras kami bersama penerbit Zai Hamzah, Oja, dan Hemo.

“Sebagai sebuah kumpulan, kami mahu tampil dengan konsep muzik yang mudah diterima oleh masyarakat, yakni sebuah lagu rakyat yang menceritakan kisah seorang lelaki yang ditinggalkan kekasihnya dan harus mengatasi kekecewaan untuk terus melangkah ke hadapan,” kata Atu.

Meskipun lebih dikenali sebagai pelawak, Zero tidak menafikan bakat menyanyi yang dimiliki oleh dua abangnya.

Mereka pernah muncul sebagai juara dalam program Famili Duo 2023, yang menambahkan lagi keyakinan mereka untuk menghasilkan lagu sendiri.

“Lagu ini bukanlah untuk tujuan persaingan atau pertandingan. Kami mahu mencari peluang dan rezeki untuk terus menyokong pengurusan jenazah yang kami tubuhkan, selain komitmen kepada keluarga,” kata Atu lagi.

Zero turut menyerahkan sepenuhnya kepada Nova Music, yang bertanggungjawab dalam promosi dan pengedaran lagu ini.

Mereka percaya pengalaman dan profesionalisme pihak pengurusan akan membawa lagu Tondu ke peringkat yang lebih tinggi.

“Ini adalah lagu yang kami buat dengan penuh dedikasi. Sebelumnya, kami hanya menyanyi secara santai, tetapi kali ini, kami memberi yang terbaik,” kata Atu penuh teruja.

Penerbit Tondu, Zai Hamzah, turut berkongsi rasa bangganya dengan hasil kolaborasi ini.

Menurutnya, lagu ini bukan sahaja unik kerana membabitkan elemen muzik yang berasal dari Sabah, tetapi juga dipengaruhi oleh genre muzik Indonesia, yang mana konsep ‘acara’ digabungkan dengan sentuhan lokal.

“Lagu ini mudah diterima di semua golongan, terutama mereka yang menyukai muzik berunsur ceria.

“Sebagai orang Sabah, saya rasa Zero sangat berbakat dan memiliki karakter nyanyian tersendiri. Ini yang membuatkan mereka sangat istimewa dalam menghasilkan lagu ini,” kata Zai.

Dalam pada itu, Ayie Elham turut menceritakan perubahan yang berlaku dalam perancangan awal lagu ini, di mana ia pada asalnya dirancang untuk dinyanyikan oleh dirinya bersama Achoi.

Namun, mereka memutuskan untuk memberi peluang kepada Zero, kerana mereka percaya kumpulan ini adalah pilihan yang tepat.

Single Tondu kini boleh didengari di semua platform penstriman muzik sejak 24 Januari 2025, dan muzik video rasmi juga boleh ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ pada jam 3 petang pada hari yang sama.

Dengan harapan agar lagu ini diterima baik oleh peminat, Zero optimis bahawa ini adalah langkah pertama yang akan membuka lebih banyak peluang dalam karier seni mereka, sekaligus menyemarakkan tahun 2025 dengan penuh impian.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular