25.3 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 30, 2026

Guna mural tanpa kebenaran, Ernest Zacharevic tuntut keadilan dan bakal saman AirAsia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Artis mural terkenal dari Lithuania, Ernest Zacharevic, mengambil langkah berani untuk memfailkan saman terhadap syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia.

Tindakan itu diambil susulan dakwaannya mural ikoniknya, ‘Children on Bicycle’, telah digunakan tanpa izin dalam kempen promosi AirAsia.

Zacharevic berkata, dia telah cuba untuk berbincang secara baik dengan pihak AirAsia sejak dua bulan lalu untuk menyelesaikan perkara berkenaan, namun syarikat penerbangan itu gagal memberikan tawaran yang wajar berkenaan penggunaan karya seni beliau.

“Saya berkongsi video tentang pesawat AirAsia yang memaparkan mural saya tanpa kebenaran dua bulan lalu.

“Malangnya, ini bukan kejadian pertama,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Artis terbabit turut mendakwa muralnya telah digunakan dalam pelbagai kempen termasuk e-mel, iklan, majalah dalam penerbangan dan banyak lagi, tanpa diberikan kredit, persetujuan, atau pampasan yang sewajarnya.

“Saya telah berusaha untuk menyelesaikan masalah ini secara profesional, namun respons yang diterima dari AirAsia tidak memuaskan.

“Mereka hanya mengeluarkan kenyataan menafikan pelanggaran dan cuba memanjangkan perbincangan,” katanya.

Zacharevic berkata, tawaran terakhir yang diberikan oleh pihak AirAsia langsung tidak mencerminkan nilai karya seninya, menyebabkan beliau terpaksa mengambil tindakan undang-undang untuk menuntut haknya.

Kisah ini mencuri perhatian banyak pihak, memandangkan isu hak cipta dan penggunaan karya seni tanpa kebenaran semakin mendapat perhatian dalam industri kreatif. Nasib Zacharevic akan ditentukan di mahkamah.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular