editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Sekolah Patriotik UMNO adalah visi melahirkan pemimpin masa depan yang bukan sahaja mahir dalam selok-belok politik, tetapi juga mendalami dan menjiwai perjuangan sebenar UMNO.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, sekolah ini bukan sekadar tempat pembelajaran politik tetapi bertujuan membentuk roh dan jiwa perjuangan dalam kalangan generasi muda.
Beliau menekankan pentingnya membina pemimpin yang memiliki daya juang yang tinggi, ketahanan yang kuat, serta kesetiaan yang tidak goyah kepada agama, bangsa, dan negara.
“Kita mahu pemimpin yang bukan hanya pandai berpidato atau menguasai teori, tetapi yang memiliki semangat perjuangan yang tulen.
“Ini adalah langkah strategik bagi memastikan UMNO kekal relevan dan menjadi tunjang politik negara,” katanya ketika melancarkan sekolah berkenaan yang di muat naik dalam hantaran di Facebook.

Sebagai permulaan, 50 peserta perintis telah dipilih untuk mengikuti program ini, dengan modul latihan yang menyeluruh.
Modul terbabit merangkumi pemikiran kritis, kepimpinan strategik, dan pemahaman mendalam terhadap perjuangan UMNO.
Ahmad Zahid berkata, modul ini akan terus diperbaharui dan diperhalusi untuk memastikan keberkesanannya dalam membentuk generasi pemimpin yang cerdas dan berani.
Beliau juga yakin bahawa dengan semangat juang yang tinggi, Sekolah Patriotik UMNO akan menjadi asas penting untuk kebangkitan generasi baharu dalam meneruskan perjuangan parti ke tahap yang lebih gemilang.
“Anak muda hari ini tidak boleh hanya menjadi penonton dalam politik. Mereka perlu bangkit sebagai pemikir dan pelaksana yang mampu mencorakkan masa depan negara,” katanya.
Melalui sekolah ini, Ahmad Zahid berharap dapat memberi peluang kepada generasi muda untuk berbincang, berkongsi idea, serta menjalani latihan kepimpinan yang akan memperkukuh kemahiran mereka untuk memimpin negara di masa hadapan.
Selain itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang juga Menteri Besar Pahang, bersama seluruh pasukan yang telah bertungkus-lumus menjayakan penubuhan Sekolah Patriotik UMNO ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, dalam kenyataan berasingan berkata, kepimpinan utama UMNO akan turun padang untuk memberikan panduan kepada pelajar bagi memastikan program ini mencapai matlamat yang diharapkan.
“Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada peserta kumpulan pertama.
“Semoga mereka menjadi patriot yang mampu mengharumkan nama UMNO dan membawa parti ini ke puncak kejayaan,” katanya.

