34.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 25, 2026

Tabung Haji nafi tuduhan zalim terhadap bakal haji musim 2025

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menegaskan tuduhan yang tular di media sosial mengenai penzaliman terhadap bakal haji bagi musim haji 2025/1446H adalah tidak benar sama sekali.

TH dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terbabit dan mereka telah mengambil langkah telus dengan mengkategorikan semula lebih 700 individu daripada golongan M40 seperti suri rumah, pelajar, dan warga emas ke dalam golongan B40 selepas menerima rayuan lengkap bersama bukti yang sah.

TH berkata, sejak tahun 2022, pihaknya telah bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk menyemak silang maklumat bakal haji bagi memastikan kategori B40, M40, dan T20 ditentukan dengan tepat.

“Bakal haji yang menerima bantuan melalui program Sumbangan Tunai Rahmah, misalnya, telah dikategorikan sebagai golongan B40.

“Manakala, mereka yang mempunyai pendapatan melebihi RM15,000 sebulan dimasukkan dalam kategori T20,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, timbul tuduhan bahawa TH menzalimi bakal haji berkaitan proses rayuan kategori tawaran, yang menjadi isu hangat di media sosial.

Sebagai respons, TH mengingatkan bahawa mereka yang tidak termasuk dalam kategori B40 atau T20, akan dikategorikan sebagai golongan M40.

Selain itu, pihak Tabung Haji turut menegaskan bahawa mereka terus menerima rayuan untuk menukar kategori tawaran bagi bakal haji yang berkenaan.

“Kami sangat serius dalam menangani tuduhan tidak benar yang boleh merosakkan reputasi kami dan mencetuskan keresahan dalam kalangan umat Islam.

“Kami juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan maklumat palsu ini,” katanya lagi.

Dengan penjelasan ini, TH berharap agar segala kekeliruan dapat dijernihkan dan memberi keyakinan kepada umat Islam bahawa proses pemilihan bakal haji adalah dijalankan dengan adil dan penuh integriti.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular