editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Platform agensi pelancongan dalam talian (OTA) milik Capital A, AirAsia MOVE, telah melantik Manfredi Lefebvre d’Ovidio sebagai Pengerusi Eksekutif baharu berkuat kuasa serta-merta.
Pelantikan ini menyaksikan beliau menggantikan Datuk Kamarudin Meranun yang telah memainkan peranan penting dalam membentuk AirAsia MOVE sebagai peneraju industri pelancongan di rantau ASEAN.
Kamarudin, yang kini akan terus terbabit sebagai Ahli Lembaga Pengarah AirAsia MOVE, turut menyatakan Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, akan berperanan sebagai penasihat strategik untuk syarikat ini.
Kamarudin yang menyambut baik pelantikan Manfredi, menyifatkan beliau sebagai seorang tokoh yang berwawasan dengan pemahaman mendalam tentang ekosistem pelancongan global.
“Perspektif global dan semangat inovasinya akan menjadi aset penting ketika AirAsia MOVE terus menerajui transformasi pelancongan di era digital,” katanya.
Beliau juga mengungkapkan rasa teruja dengan masa depan syarikat di bawah kepimpinan Manfredi.
Manfredi, yang mempunyai pengalaman lebih puluhan tahun dalam industri pelancongan global dan hospitaliti mewah, terkenal dengan kepimpinannya di Abercrombie & Kent Travel Group.
Keupayaannya dalam memimpin sektor pelancongan mewah dan peribadi menjadikan beliau calon ideal untuk menggalas tanggungjawab ini dan memacu pertumbuhan AirAsia MOVE ke tahap yang lebih tinggi.
Bercakap mengenai pelantikan ini, Manfredi menyatakan rasa teruja untuk mengambil peranan baharu di AirAsia MOVE, sebuah platform yang telah merevolusikan cara orang ramai di ASEAN menikmati pengalaman pelancongan.
“Transformasi digital dalam industri pelancongan baru sahaja bermula, dan saya berharap dapat membawa pengalaman saya untuk menerajui platform pelancongan inovatif ini ke fasa seterusnya dalam inovasi dan pertumbuhan,” katanya.
Sebagai Pengerusi Eksekutif, beliau berhasrat untuk memberi fokus kepada peningkatan pengalaman pengguna, mendorong penyelesaian yang diperibadikan, dan memupuk kerjasama baharu untuk memastikan AirAsia MOVE terus berada di barisan hadapan sebagai peneraju inovasi dalam dunia pelancongan.
Sejak penubuhannya, AirAsia MOVE telah berkembang pesat dari sekadar menawarkan penerbangan dan hotel kepada penyelesaian pelancongan yang lebih komprehensif, menjadikannya salah satu platform pelancongan utama di rantau ASEAN.
Pelantikan Manfredi ini menandakan satu fasa baru yang memanfaatkan kepakaran global untuk memperluas penawaran dan meningkatkan jangkauan platform ini.
Dengan langkah baharu ini, AirAsia MOVE dijangka terus berkembang pesat dalam membawa inovasi dan transformasi kepada industri pelancongan ASEAN.

