26.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, October 14, 2025

‘Misi Bantuan Banjir Kumpulan FELDA’ peruntuk lebih RM1 juta untuk mangsa banjir

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Lebih RM1 juta diperuntukkan dalam melakukan Misi Bantuan Banjir Kumpulan FELDA yang dilancarkan, semalam.

Program menyaksikan gabungan usaha sembilan anak syarikat dan tiga badan bukan kerajaan (NGO) FELDA itu dilancarkan oleh Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ahmad Shabery ketika ditemui berkata, bantuan berkenaan merangkumi barangan pemberian, dapur masak, pakaian, makanan, kit siap siaga, dan keperluan asas lain akan disalurkan kepada mangsa banjir.

“Peluncuran ini menampilkan penyampaian sumbangan ‘mock cheque’ oleh setiap anak syarikat dan pelepasan kenderaan pacuan 4 roda skuad misi bantuan banjir Kumpulan FELDA.

“FELDA komited dalam memastikan kebajikan peneroka sentiasa diutamakan.

“Inisiatif ini membuktikan kekuatan perpaduan komuniti FELDA dan semua rakan strategiknya dalam menghadapi cabaran bencana alam,” katanya.

Hadir sama, Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman; Pengerusi MSM Malaysia Holdings Berhad, Datuk Syed Hisham Syed Wazir; Ketua Pegawai Eksekutif FGV Holdings Berhad, Fakhrunniam Othman; Setiausaha Agong PeSPA, Leftenan Kernal Bersekutu, Khamarul Ariffin Zainal dan barisan ahli lembaga pengarah.

Antara anak syarikat yang turut menghulurkan sumbangan ialah Felda Plantation Management (FPM) sebanyak RM72,000; Waqaf Felda (RM49,300); FGV (RM60,000); MSM dan Yayasan Felda masing-masing (RM100,000).

Ahmad Shabery berkata, sebaik program dilancarkan, entiti terbabit akan terus bergerak ke kawasan terjejas bagi menyantuni mangsa banjir.

“Apabila bercakap tentang pasca banjir, ia menjadi komitmen kami untuk mengenalpasti kawasan yang memerlukan bantuan pembersihan contohnya sekolah, rumah, masjid atau balai raya.

“Saya percaya di tempat lain pun kerajaan negeri akan turut membantu golongan terjejas banjir.

“Bagaimanapun, saya menganggap banjir kali ini masih di peringkat sederhana. Namun, kita akan cuba selesaikan misi pembersihan sehingga habis,” katanya.

Sehingga 3 Disember 2024, empat negeri yang memiliki rancangan FELDA telah terjejas dengan bencana ini, membabitkan Terengganu (6 rancangan), Wilayah Alor Setar (1 rancangan), Wilayah Raja Alias (8 rancangan), dan Wilayah Trolak (3 rancangan).

Seramai 1,813 ahli keluarga daripada 496 buah rumah di kawasan terbabit kini sedang berdepan cabaran pasca banjir.

Wilayah Raja Alias mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu di Rancangan Jelai 4 dengan 117 rumah keluarga yang terjejas, diikuti oleh Seberang Tayor, Terengganu (107 rumah). Sebanyak 15 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah diaktifkan untuk membantu mereka yang dipindahkan.

Keadaan lebih mencabar apabila beberapa kawasan FELDA seperti di Felda Aring (Wilayah Gua Musang) serta Felda Tersat dan Mengkawang (Wilayah Terengganu) terputus hubungan akibat banjir.

Situasi ini menjadikan misi bantuan FELDA lebih penting dalam memastikan bantuan sampai ke kawasan yang memerlukan.

Misi kali ini bukan sahaja menumpukan kepada bantuan segera, tetapi juga persediaan menghadapi gelombang banjir seterusnya.

Semua wilayah dan negeri telah diarahkan bersiap siaga untuk menghadapi kemungkinan ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular