26.4 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 6, 2026

Piala Dunia 2026: RTM & Unifi TV penyiar rasmi, 104 perlawanan untuk rakyat Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV diumumkan sebagai penyiar rasmi Piala Dunia FIFA 2026 di Malaysia, sekali gus memastikan seluruh rakyat dapat menikmati temasya sukan paling berprestij itu secara inklusif, sah dan menyeluruh.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dicapai menerusi kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta bagi menyediakan liputan berkualiti tinggi dengan capaian lebih meluas kepada penonton di seluruh negara.

Menurut beliau yang juga Menteri Komunikasi, siaran kejohanan itu akan ditawarkan melalui pelbagai platform termasuk siaran percuma Free-to-Air menerusi MyTV Broadcasting, selain perkhidmatan over-the-top (OTT) melalui aplikasi RTM Klik dan Unifi TV.

Kejohanan edisi 2026 itu bakal berlangsung di tiga negara tuan rumah iaitu Mexico, Kanada dan Amerika Syarikat.

“Liputan menyeluruh merangkumi kesemua 104 perlawanan akan disiarkan secara langsung di Unifi TV, manakala RTM akan menyiarkan sebahagian besar perlawanan sama ada secara langsung atau tertunda,” katanya dalam sidang media mingguan pasca mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

Tambah beliau, langkah itu memberikan kepelbagaian pilihan tontonan kepada peminat bola sepak tempatan, di samping memperkukuh akses rakyat kepada kandungan sukan bertaraf dunia.

Dalam masa sama, RTM turut merancang penerbitan program khas “Grandstand” yang akan disiarkan dari Angkasapuri Kota Media dengan penyampaian utama dalam Bahasa Melayu serta sebahagian segmen dalam Bahasa Inggeris.

Selain itu, perkembangan terkini kejohanan turut akan dikongsikan menerusi program Selamat Pagi Malaysia bagi memastikan peminat sentiasa mengikuti informasi semasa sepanjang kejohanan berlangsung.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular