editormaxinfo@gmail.com
PETALING JAYA – Seramai 49 keluarga miskin bandar di sekitar daerah Petaling disantuni menerusi Program Sinar Kasih Ramadan anjuran Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan Mamee Double Decker (M) Sdn Bhd.
Penyaluran bantuan itu diadakan sempena Ramadan tahun ini yang memberi tumpuan kepada keluarga yang dikenal pasti melalui pangkalan data e-Kasih, dengan sebahagian besar sumbangan telah disampaikan lebih awal oleh pegawai bertugas sebelum lawatan turun padang diadakan.
Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan, Datuk Zainal Abidin Sakom, berkata program berkenaan bukan sekadar mengagihkan bantuan makanan, malah bertujuan melihat sendiri realiti kehidupan keluarga miskin bandar bagi memastikan sokongan yang diberikan benar-benar berkesan.

Menurut beliau, selain 49 penerima di Petaling, bantuan turut diagihkan ke beberapa daerah lain di Selangor sebagai sebahagian daripada gerakan menyeluruh sempena Ramadan.
Beliau turut berkongsi kisah sebuah keluarga dengan 10 orang anak yang menerima bantuan, di mana salah seorang anak mereka kini berada di peringkat akhir pengajian dan dijangka mampu mengubah nasib keluarga keluar daripada kitaran kemiskinan.
Dalam memastikan masa depan anak-anak keluarga terbabit lebih terjamin, YBK menawarkan kemudahan asrama sama ada di sekolah rendah di Tanjung Malim atau sekolah menengah di Serendah, Rawang, dengan keseluruhan kos ditanggung sepenuhnya.

Langkah itu mencerminkan komitmen berterusan yayasan dalam menjadikan pendidikan sebagai jalan keluar jangka panjang daripada belenggu kemiskinan.
Zainal Abidin turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah ICU Selangor, Dato’ Mohd Khidir Majid serta rakan korporat yang komited menyokong agenda pembasmian kemiskinan melalui program tanggungjawab sosial korporat.
Pada tahun ini, pihak ICU memperuntukkan lebih 200 bakul makanan untuk diagihkan kepada keluarga yang memerlukan di seluruh negeri.

Sementara itu, Pengarah Hal Ehwal Islam dan Perhubungan Kerajaan Mamee Double Decker (M) Sdn Bhd, Ahmad Syukry Ibrahim berkata, penglibatan syarikat itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan secara konsisten sejak lebih lima tahun lalu bersama Yayasan Basmi Kemiskinan.
“Pada tahun ini Mamee menyumbang lebih 200 beg bantuan makanan untuk diagihkan kepada penerima yang layak sebagai usaha “memberi kembali kepada masyarakat”,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah ICU JPM Selangor memaklumkan statistik terkini menunjukkan terdapat 19,839 ketua isi rumah miskin di Selangor pada tahun 2026, dengan 76 peratus daripadanya terdiri daripada miskin bandar.
Angka itu memperlihatkan cabaran besar yang memerlukan kerjasama bersepadu antara kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor korporat.
Bagaimanapun, Selangor mencatat satu pencapaian penting apabila kategori miskin tegar berjaya disifarkan pada 20 Februari lalu, sekali gus menandakan keberkesanan pendekatan berfokus yang dilaksanakan.

Kerajaan Madani kini memberi tumpuan kepada empat kluster utama dalam usaha membasmi kemiskinan iaitu pendidikan, kebajikan, perumahan dan peningkatan pendapatan isi rumah.
Beliau berkata, pendidikan adalah kaedah paling berkesan dalam jangka panjang untuk memutuskan rantaian kemiskinan.
Justeru, pelbagai peruntukan disediakan bagi membantu anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah meningkatkan akses kepada pendidikan dan peluang mobiliti sosial.
Program Sinar Kasih Ramadan turut menzahirkan realiti kehidupan golongan B40 di kawasan bandar seperti Petaling Jaya dan kawasan perumahan rakyat (PPR).
Antara penerima bantuan ialah Eddie Irwan Che Rahim, 45, seorang penghantar barang yang menetap di PPR Lembah Subang 1 bersama tujuh ahli keluarga lain.

Dengan pendapatan isi rumah sekitar RM5,603.17 dan pendapatan per kapita RM700.39, beliau dan isteri yang bekerja sambilan menjual makanan perlu menanggung lima anak yang masih bersekolah.
Keluarga ini menerima Sumbangan Tunai Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah, bantuan kewangan serta makanan bulanan daripada Lembaga Zakat Selangor selain bantuan khas Ramadan dan keperluan pendidikan berjumlah RM1,650 tahun ini.
Seorang lagi penerima, Mohamad Nor Malek, 49, pemandu lori yang tinggal di Flat PPR Lembah Subang bersama enam ahli keluarga, memperoleh pendapatan isi rumah sekitar RM2,976.33 dengan pendapatan per kapita RM425.19.
Isterinya turut menjual makanan secara sambilan bagi menampung perbelanjaan lima anak yang masih belajar.
Keluarga ini menerima pelbagai bantuan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah, bantuan bulanan LZS serta bantuan sekali beri bagi keperluan Ramadan, pendidikan dan kos sara hidup berjumlah RM3,520.
Di Taman Medan, Petaling Jaya, Suhaimi Omar, 62, seorang juruteknik yang mempunyai 12 ahli keluarga turut disantuni.
Dengan pendapatan isi rumah sekitar RM7,930.06 dan isteri yang tidak bekerja kerana menguruskan anak-anak, dua orang anaknya bekerja sebagai pembantu kilang bagi membantu keluarga.

Suhaimi menerima Sumbangan Tunai Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah serta bantuan BINGKAS daripada kerajaan negeri Selangor.
Turut menerima bantuan ialah Suaslina Ibrahim, 43, peniaga makanan yang tinggal di Taman Medan bersama suami dan sembilan anak yang masih belajar, termasuk dua di universiti.
Dengan pendapatan sekitar RM2,600 sebulan, keluarga ini menerima Sumbangan Tunai Rahmah, bantuan kanak-kanak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat serta bantuan kewangan dan sewa rumah daripada Lembaga Zakat Selangor.
Kisah-kisah ini menggambarkan realiti kemiskinan bandar yang masih memerlukan intervensi berterusan dan bersepadu.
Program Sinar Kasih Ramadan bukan sekadar penyaluran bakul makanan, tetapi simbol solidariti antara kerajaan, NGO dan sektor korporat dalam memastikan tiada golongan terpinggir menjelang Ramadan dan Aidilfitri.
Usaha berterusan seperti ini diharap dapat memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan membuka lebih banyak peluang mobiliti ekonomi kepada keluarga berpendapatan rendah di Selangor.

