32.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 29, 2026

Isu pelanggaran perlembagaan MIPP disahkan ROS, pemilihan Presiden PN berisiko dicabar undang-undang

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Keputusan rasmi Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bertarikh 5 Disember 2025 mengesahkan berlakunya pelanggaran serius terhadap Perlembagaan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Ini sekali gus menimbulkan risiko undang-undang terhadap proses pemilihan Presiden Perikatan Nasional (PN) yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.

Berdasarkan dokumen rasmi ROS yang didedahkan oleh kepimpinan MIPP, siasatan terhadap aduan yang dikemukakan mendapati wujud individu yang terbabit secara aktif dalam urusan parti serta membuat keputusan bagi pihak MIPP walaupun tidak berdaftar sebagai ahli yang sah.

ROS menyifatkan perkara itu sebagai pelanggaran jelas Fasal 4.2 Perlembagaan MIPP yang mengawal selia status dan kelayakan keahlian parti.

Selain isu keahlian, siasatan ROS turut mengesahkan berlakunya salah urus kewangan apabila dana parti tidak diurus melalui akaun bank rasmi MIPP.

Keadaan itu berpunca daripada status Setiausaha Agung parti yang disahkan sebagai bankrap sejak tahun 2016, sekali gus menyebabkan pengurusan kewangan parti tidak mematuhi peruntukan Akta Pertubuhan 1966 serta prinsip ketelusan kewangan yang diwajibkan kepada sesebuah parti politik.

ROS turut mendedahkan berlakunya pelanggaran tatacara keahlian apabila Presiden dan Setiausaha Agung MIPP didapati meluluskan pengecualian bayaran yuran kepada ahli-ahli baharu.

Tindakan berkenaan bercanggah dengan perlembagaan parti dan menimbulkan persoalan serius terhadap kesahihan struktur keahlian, termasuk legitimasi mesyuarat agung tahunan (AGM) yang telah diadakan.

Susulan pelanggaran berterusan itu, ROS telah mengeluarkan Surat Amaran Rasmi kepada MIPP atas kegagalan mematuhi peruntukan perlembagaan parti serta undang-undang pertubuhan yang berkuat kuasa.

Amaran berkenaan turut menegaskan keperluan tindakan pembetulan segera bagi mengelakkan implikasi undang-undang yang lebih serius.

Dalam satu kenyataan media, kepimpinan MIPP memberi amaran bahawa sebarang penglibatan individu yang status keahliannya telah dipertikaikan dan kini disahkan bermasalah oleh ROS dalam urusan rasmi Perikatan Nasional berpotensi mencetuskan cabaran undang-undang.

Keadaan ini termasuk penglibatan dalam proses pengundian atau perwakilan bagi pemilihan Presiden PN, yang boleh menyebabkan keseluruhan proses terbabit dicabar dan diisytiharkan tidak sah pada masa hadapan.

Jurucakap MIPP, Suthan Mookaiah, berkata isu berkenaan tidak boleh dianggap sebagai pertikaian dalaman semata-mata kerana ia membabitkan integriti proses membuat keputusan dalam sebuah gabungan politik di peringkat nasional.

Menurut beliau, Perikatan Nasional tidak seharusnya mengambil risiko membenarkan individu yang status keahliannya dipertikaikan oleh ROS terus mewakili parti dalam struktur dan Majlis Tertinggi gabungan terbabit.

Untuk rekod, isu berkaitan keahlian dan kesahihan kepimpinan MIPP kini turut berada dalam perhatian Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi satu saman interparte, dengan keputusan dijadualkan pada Februari 2026.

Perkembangan ini dijangka memberi kesan langsung terhadap kedudukan MIPP dalam Perikatan Nasional.

Sehubungan itu, MIPP memaklumkan nasihat rasmi telah dikemukakan kepada Sekretariat PN supaya menggantung penyertaan serta hak pengundian wakil-wakil MIPP yang statusnya dipertikaikan, sehingga kedudukan undang-undang mereka diputuskan sepenuhnya oleh mahkamah.

Langkah terbabit disifatkan sebagai penting bagi memelihara integriti, ketelusan dan kesahihan proses pemilihan kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular