25.3 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 29, 2026

Papa Zola The Movie cipta fenomena, kutipan cecah RM59.8 juta di Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Filem animasi tempatan Papa Zola The Movie terus mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya meraih kutipan box office sebanyak RM59.8 juta di Malaysia sahaja, manakala kutipan keseluruhan termasuk Brunei kini mencecah RM60 juta.

Pencapaian ini sekali gus mengukuhkan kedudukan filem terbabit sebagai antara karya animasi tempatan paling berjaya dalam industri perfileman Malaysia.

Kejayaan Papa Zola The Movie turut melengkapkan pencapaian luar biasa industri animasi tempatan sepanjang tahun lalu, apabila dua filem animasi yang ditayangkan mencatatkan jumlah kutipan keseluruhan sebanyak RM118.2 juta.

Selain Papa Zola The Movie dengan kutipan RM59.8 juta, Ejen Ali The Movie 2 turut menyumbang RM58.5 juta, sekali gus membuktikan animasi Malaysia kini menjadi antara pemacu utama pertumbuhan industri filem tempatan.

Sejak hari pertama tayangan, Papa Zola The Movie konsisten menarik kehadiran penonton daripada pelbagai lapisan usia.

Penceritaan yang dekat dengan kehidupan seharian, digabungkan dengan elemen kekeluargaan yang kuat serta humor yang menghiburkan, menjadi antara faktor utama yang membuatkan filem ini terus mendapat sambutan hangat di pawagam.

Lebih membanggakan, filem ini bukan sekadar menawarkan hiburan ringan, sebaliknya sarat dengan nilai murni, mesej kekeluargaan dan identiti tempatan yang dekat di hati masyarakat Malaysia.

Gabungan penceritaan yang tulus, watak yang mudah disukai serta kualiti produksi bertaraf tinggi dilihat menjadi ramuan utama kepada kejayaan luar biasa filem ini di pasaran tempatan.

Pencapaian kutipan RM60 juta ini turut dilihat sebagai pemangkin semangat dan inspirasi kepada penggiat industri kreatif tempatan untuk terus menghasilkan karya animasi yang berani, segar dan mampu bersaing bukan sahaja di peringkat nasional, malah di pasaran antarabangsa.

Papa Zola The Movie mengisahkan Papa Zola, seorang bapa yang bekerja keras demi menyara keluarga kecilnya.

Kehidupannya berubah apabila dia bertemu semula dengan rakan lama yang pernah berkhidmat bersama dalam sebuah organisasi rahsia dikenali sebagai P.A.P.A (Protect and Prevent Agency).

Keadaan menjadi semakin genting apabila anaknya, Pipi, diculik oleh makhluk asing, memaksa Papa Zola dan isterinya, Mama Zila, bertindak pantas untuk menyelamatkan anak mereka serta melindungi dunia daripada ancaman yang tidak dijangka.

Ketika ini, Papa Zola The Movie masih ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.

Filem ini dijadualkan menembusi pasaran Indonesia bermula 23 Januari 2026, sebelum melangkah lebih jauh ke pasaran antarabangsa termasuk India, Vietnam dan negara-negara Timur Tengah seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar serta Turki pada April 2026.

Dengan kejayaan luar biasa ini, Papa Zola The Movie bukan sahaja mengukuhkan jenama animasi tempatan, malah menjadi bukti bahawa karya Malaysia berupaya menawan hati penonton di peringkat global.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular