28.8 C
Kuala Lumpur
Friday, February 13, 2026

Healing Nite 2026 jadi pentas terapi emosi bersama Anuar Zain, Ella & Dayang

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penganjuran Healing Nite 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 24 Januari ini bukan sekadar sebuah konsert hiburan, sebaliknya diangkat sebagai medium terapeutik untuk pemulihan emosi dan kesejahteraan diri menjelang permulaan tahun baharu.

Pemilihan frasa kekinian ‘healing’ bukan dibuat secara sembarangan, sebaliknya mencerminkan aspirasi acara ini yang mahu menjadi ruang selamat untuk penonton melepaskan tekanan dan memulakan tahun dengan minda serta emosi yang lebih seimbang.

Menghimpunkan barisan penghibur ternama dari Malaysia seperti Anuar Zain, Ella dan Dayang Nurfaizah, serta diserikan dengan kehadiran artis popular Indonesia iaitu Lyodra dan kumpulan Kangen Band, Healing Nite 2026 dijangka menjadi pengalaman muzik yang menyentuh jiwa dan sarat nilai terapeutik.

Konsert ini dianjurkan oleh Kembar Nusantara Sdn Bhd dengan sokongan Creative Page Sdn Bhd bagi aspek produksi, manakala Yumeca Sdn Bhd bertanggungjawab terhadap strategi, pemasaran, tajaan dan penglibatan pengguna.

Pemilihan Stadium Merdeka Kuala Lumpur sebagai lokasi turut dilihat memberi signifikan tersendiri kepada penganjuran acara ini.

Bagi Anuar Zain, yang sinonim dengan penceritaan emosi dan lantunan vokal lembut, Healing Nite 2026 disifatkan sebagai satu proses ‘reset’ emosi dan minda, khususnya ketika melangkah ke fasa baharu dalam kehidupan.

Menurut pemilik lagu Keabadian Cinta itu, konsep reset emosi boleh diibaratkan sebagai fresh start effect, iaitu melepaskan beban lama dan membina niat baharu dengan lebih segar.

Anuar berpandangan bahawa hiburan, khususnya muzik, mampu menjadi terapi terbaik kerana ia berupaya meningkatkan emosi positif serta membantu mengurangkan tekanan.

Justeru, penganjuran konsert ini yang berlangsung pada awal tahun dianggap sangat bertepatan dengan konsep terapeutik yang ingin diketengahkan.

Jika Anuar Zain membawa pendekatan menenangkan jiwa, Ratu Rock Negara, Ella pula tampil dengan energi berbeza yang membantu peminat melepaskan tekanan secara lebih ekspresif.

Bagi Ella, muzik merupakan saluran terbaik untuk meluahkan emosi terpendam, terutamanya selepas melalui pelbagai cabaran sepanjang tahun lalu.

Menurut Ella, Healing Nite 2026 adalah peluang terbaik untuk memulakan tahun baharu dengan positif, sambil melepaskan segala tekanan, keletihan dan perasaan negatif melalui muzik.

Beliau turut mengajak peminat untuk hadir dan sama-sama ‘melepaskan’ segala beban emosi bersama barisan artis lain yang turut terlibat dalam konsert ini.

Seiring dengan pandangan Anuar dan Ella, Dayang Nurfaizah turut melihat Healing Nite 2026 sebagai pembukaan tahun yang sihat dan bermakna.

Penyanyi lagu Di Pintu Syurga itu menekankan bahawa mendengar muzik bukan sahaja membantu melepaskan tekanan, malah boleh dianggap sebagai satu bentuk aktiviti sihat, seumpama senaman ringan apabila penonton menyanyi dan bergerak mengikut irama.

Dayang menyifatkan Healing Nite 2026 sebagai jawapan kepada mereka yang mencari hiburan lengkap dengan elemen terapeutik, di mana awal tahun adalah waktu terbaik untuk menarik tenaga positif dan membina kesejahteraan emosi.

Lebih daripada sebuah konsert, Healing Nite mengangkat konsep pengalaman gaya hidup yang dikurasi secara menyeluruh, menggabungkan muzik, emosi dan kesejahteraan dalam satu naratif yang halus dan berlapis.

Bermula seawal jam 1 petang di pintu masuk utama Stadium Merdeka, pengunjung akan disambut dengan Healing Tent, sebuah ruang transisi yang direka untuk memperlahankan rentak dan membina ketenangan sebelum konsert bermula.

Ruang ini diperkayakan dengan kolaborasi rakan gaya hidup dan kulinari terpilih seperti LADO dengan sajian Melayu autentik, Cartel Coffeeshop dan Coffee Beans dengan pilihan kopi istimewa, Crackohut yang menawarkan ayam gunting dan kebab shawarma, Peti Dessert dengan pastri unik, Sugar & Fruits yang meraikan kesegaran buah-buahan serta NachosLah dengan variasi nachos kontemporari.

Pengalaman ini diteruskan di dalam stadium apabila Coffee Cartel, Ahmad Fried Chicken dan Teratak Spa memainkan peranan menyantuni pengunjung sepanjang konsert berlangsung.

Keseluruhannya, Healing Nite bukan sekadar acara hiburan, tetapi sebuah perayaan jiwa yang menghubungkan muzik, rasa dan ketenangan dalam satu pengalaman eksklusif.

Bagi mereka yang ingin merasai pengalaman berbeza dalam dunia hiburan, Healing Nite 2026 bakal berlangsung pada 24 Januari 2026 di Stadium Merdeka Kuala Lumpur, bermula jam 8.45 malam.

Tiket dengan pelbagai kategori harga kini boleh didapati menerusi pembelian di platform Ticket2u.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular