editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Lembah Pantai, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menyambut baik pandangan dan cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Jasin, Dr. Akmal Saleh supaya kerjasama Muafakat Nasional dihidupkan semula sebagai langkah strategik demi kesejahteraan bangsa Melayu dan kestabilan negara.
Menurut beliau, pandangan itu yang turut disokong oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadli Shaari, wajar diberikan perhatian serius oleh semua pihak kerana ia mencerminkan pendekatan yang realistik serta berpaksikan kepentingan rakyat.
“Dalam situasi politik semasa yang mencabar, usaha memperkukuh perpaduan politik orang Melayu dilihat semakin mendesak bagi memastikan kestabilan dan keharmonian negara terus terpelihara,” katanya.
Muhamad Muqharabbin, yang lebih dikenali sebagai Qobin, berkata Muafakat Nasional yang pernah menghimpunkan tiga parti utama orang Melayu iaitu UMNO, BERSATU dan PAS suatu ketika dahulu telah terbukti menjadi tunjang kepada kekuatan perpaduan nasional.
“Kerjasama berkenaan bukan sahaja berjaya menjamin kestabilan politik negara, malah memainkan peranan penting dalam mempertahankan kedudukan Islam, institusi Raja-Raja Melayu serta hak dan kepentingan orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Sekiranya ketiga-tiga parti berkenaan dapat kembali mencapai kata sepakat dan duduk semeja atas semangat perpaduan, sebarang usaha mana-mana pihak yang cuba menggugat atau mengambil kesempatan untuk mengubah dasar-dasar asas negara dapat dibendung dengan lebih berkesan.
“Perpaduan yang kukuh juga mampu menjadi benteng penting dalam menghadapi tekanan dalaman dan luaran yang boleh menjejaskan kestabilan negara,” katanya lagi.

Beliau juga menyeru agar semua pemimpin UMNO, BERSATU dan PAS mengetepikan perbezaan, membuang ego serta sengketa lama dan meletakkan kepentingan rakyat serta negara mengatasi segala pertikaian politik.
“Langkah ini bukan sahaja penting untuk memperkukuh perpaduan orang Melayu, malah bagi memastikan seluruh rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dapat hidup dalam suasana aman, sejahtera dan saling menghormati.
“Perpaduan politik yang mantap amat diperlukan bagi memulihkan keyakinan pelabur, merancakkan pertumbuhan ekonomi negara dan menjamin masa depan generasi akan datang.
“Justeru, usaha menghidupkan kembali Muafakat Nasional perlu dilihat sebagai satu keperluan strategik yang mampu menyumbang kepada kestabilan politik dan kemakmuran negara secara menyeluruh,” katanya.
Sebagai seorang tokoh politik berpengalaman, Muhamad Muqharabbin adalah mantan Exco Pemuda UMNO Malaysia bagi penggal 2018 hingga 2022 serta bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai.
Pengalaman luas beliau dalam gerakan politik dan perjuangan perpaduan orang Melayu merentas parti menjadikan pandangannya relevan dalam landskap politik semasa.
Beliau juga mengingatkan bahawa kekuatan bangsa dan negara hanya dapat dipertahankan melalui perpaduan yang tulen, selari dengan pepatah, “Bersatu kita teguh, berpecah bangsa rugi”.

