33.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 1, 2026

Majlis Anugerah Perdana NGO Malaysia 2025 tegaskan peranan NGO sebagai tonggak pembangunan sosial negara

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Majlis Anugerah Perdana NGO Malaysia 2025 yang berlangsung di Sunway Resort Hotel, Bandar Sunway membuktikan komitmen berterusan negara dalam mengiktiraf peranan pertubuhan bukan kerajaan sebagai tonggak penting pembangunan sosial dan kesejahteraan masyarakat.

Majlis ini dianjurkan oleh Gabungan NGO-NGO Malaysia dengan kerjasama strategik Yayasan Generasi Malaysia serta Pusat Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM Press).

Sebagai sebuah platform pengiktirafan nasional, majlis ini menghimpunkan pemimpin NGO, wakil agensi kerajaan, institusi akademik dan sektor swasta bagi meraikan sumbangan luar biasa NGO dalam pelbagai bidang, termasuk kebajikan, pendidikan, kesihatan, kemanusiaan, kesukarelawanan, seni budaya, sukan dan keselamatan komuniti.

Penganjuran ini turut membuka ruang jaringan kerjasama merentas sektor bagi memperkukuh usaha pembangunan masyarakat secara lebih tersusun dan mampan.

Majlis telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Kehadiran beliau menyerlahkan sokongan kepimpinan negara terhadap peranan strategik NGO yang bukan sahaja melaksanakan kerja kemasyarakatan, malah berfungsi sebagai rakan pelaksana kepada dasar kerajaan dalam mendepani cabaran sosial yang semakin kompleks.

Dalam ucapan perasmian, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Anugerah Perdana NGO Malaysia, Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berkata, NGO adalah suara komuniti yang paling hampir dengan rakyat dan memahami realiti sebenar di peringkat akar umbi.

Menurut beliau, NGO sering menjadi pihak terawal turun membantu masyarakat ketika berdepan krisis, serta kekal bersama komuniti sehingga usaha pemulihan selesai dilaksanakan.

“Sumbangan NGO dalam bidang kebajikan, pendidikan, kesihatan, pemerkasaan belia, alam sekitar dan pembangunan komuniti telah memberi kesan jangka panjang kepada pembinaan masyarakat yang seimbang dan berperikemanusiaan.

“Peranan ini melengkapkan usaha kerajaan dan mengukuhkan sistem sokongan sosial negara.

Walau bagaimanapun, ingin saya ingatkan sektor NGO kini berhadapan cabaran besar, termasuk keperluan pembiayaan yang mampan, tadbir urus berintegriti dan tuntutan ketelusan awam.

“Justeru, pendekatan profesional melalui pendokumentasian, penyelidikan dan penerbitan dianggap amat penting bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap peranan NGO,” katanya.

Seiring dengan itu, majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran rasmi Buletin IMPAK NGO MALAYSIA yang diterbitkan dengan sokongan Pusat Penerbit Universiti Putra Malaysia.

Buletin ini berperanan sebagai medium dokumentasi nasional yang merakam impak sosial, cabaran lapangan dan amalan terbaik NGO secara sistematik, berfakta dan berautoriti.

Penerbitan Buletin IMPAK NGO MALAYSIA yang mengangkat tema Suara Komuniti, Inspirasi Negara dilihat sebagai satu usaha strategik dalam membina naratif nasional berkaitan peranan masyarakat sivil.

Pendekatan dwibahasa yang digunakan turut membolehkan pengalaman NGO tempatan dikongsi di peringkat antarabangsa serta mengangkat imej NGO Malaysia sebagai sektor yang profesional dan berdaya saing.

Majlis berkenaan turut mencatat sejarah apabila Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia dinobatkan sebagai NGO Terbaik bagi kategori Persatuan Keluarga dan Kebajikan.

Pengiktirafan ini diberikan atas sumbangan berterusan PERKEP dalam memperkukuh institusi keluarga, menjaga kebajikan warga Polis Diraja Malaysia serta menyokong pembangunan masyarakat secara holistik.

Selain itu, penganugerahan Tokoh NGO Belia: Kepimpinan Rumah Kebajikan kepada Muhammad Syafiq Mohiadin turut mencuri perhatian.

Beliau yang aktif dalam pengurusan rumah kebajikan dan kerja kesukarelawanan menyifatkan pengiktirafan itu sebagai penghargaan kepada seluruh pengusaha pusat kebajikan yang berkhidmat tanpa mengharapkan pengiktirafan.

Muhammad Syafiq yang mengendalikan Pusat Jagaan Warga Emas Mahmudah Malaysia di Semenyih berkata, pusat berkenaan menempatkan puluhan warga emas terabai dan beroperasi sepenuhnya melalui sumbangan awam.

Beliau turut menyeru masyarakat agar terus menyokong pusat kebajikan memandangkan keperluan bantuan sosial semakin meningkat.

Malam anugerah berprestij itu turut mengiktiraf lebih 30 NGO di seluruh Malaysia dan menghimpunkan nama-nama besar lain seperti Yayasan Nurjiwa yang menerima Anugerah Yayasan Terbaik (Kebajikan Komuniti), Datuk Seri Nazeri Omar yang menerima Anugerah Kepimpinan Global (Kategori Rangkaian Perniagaan Dunia) serta beberapa nama besar yang lain.

Secara keseluruhan, Majlis Anugerah Perdana NGO Malaysia 2025 bukan sahaja meraikan kejayaan NGO, malah memperkukuh kesedaran nasional tentang kepentingan kerjasama antara masyarakat sivil, kerajaan, sektor swasta dan institusi akademik.

Penganjuran ini mencerminkan aspirasi bersama untuk membina Malaysia yang lebih inklusif, berdaya tahan dan berteraskan nilai kemanusiaan sejagat.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular