27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, May 1, 2026

Haqiem Rusli terima Anugerah Emas RIM untuk kejayaan luar biasa lagu ‘Mimpi’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular tanah air, Haqiem Rusli, sekali lagi membuktikan pengaruh besarnya dalam industri muzik apabila lagu hitnya Mimpi menerima Sijil Pengiktirafan Anugerah Emas daripada Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).

Pengiktirafan berprestij itu diberikan berikutan kejayaan komersial lagu terbabit yang berjaya meraih pendapatan melebihi RM100,000 hasil penstriman digital.

Majlis penganugerahan berlangsung di Ibu Pejabat RIM di Solaris Mont’ Kiara dengan kehadiran wakil industri, pihak pengurusan serta penerbit lagu berkenaan.

Angka pendapatan yang melayakkan Mimpi menerima pensijilan ini telah diaudit secara rasmi oleh RIM berdasarkan jumlah muat turun, strim audio dan video daripada platform digital utama.

Pengiktirafan ini sekaligus membuktikan sokongan berterusan peminat terhadap karya muzik tempatan, bukan sahaja di Malaysia tetapi turut merentasi pasaran serantau.

Mimpi, ciptaan bersama Haqiem Rusli dan penerbit drama terkenal Dato’ A. Aida serta diterbitkan oleh FMC Music, dilancarkan dalam format digital pada 15 Disember 2020.

Video muzik rasmi pula dimuat naik ke YouTube pada 7 Januari 2021 dan mencatat hampir satu juta tontonan hanya dalam beberapa hari selepas diterbitkan, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara single paling berjaya dalam kerjaya Haqiem.

Pengerusi RIM, Rosmin Hashim, berkata pengiktirafan itu diberikan sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan artis tempatan yang berjaya mencapai impak komersial memberangsangkan.

Menurutnya, kejayaan Mimpi membuktikan bahawa karya tempatan terus mendapat tempat yang kukuh di hati pendengar.

“RIM mengucapkan tahniah kepada Haqiem Rusli dan FMC Music atas kreativiti serta dedikasi mereka.

“Penerimaan yang luar biasa ini menjadi bukti bahawa rakaman muzik tempatan mampu menyaingi pasaran global,” katanya.

Sementara itu, Haqiem meluahkan rasa syukur atas penghargaan berkenaan.

“Saya amat terhormat menerima anugerah ini daripada RIM. Mimpi mempunyai makna yang cukup istimewa buat saya, dan saya berterima kasih kepada FMC Music, pasukan saya serta semua peminat yang tidak putus-putus menyokong karya ini,” katanya.

Pengurus PR FMC Music turut menyifatkan pengiktirafan terbabit sebagai pengiktirafan terhadap usaha keras seluruh pasukan.

Mimpi adalah karya yang lahir daripada jiwa Haqiem dan dedikasi semua yang terbabit. Anugerah ini membuktikan bahawa setiap nota dan liriknya benar-benar menyentuh hati pendengar,” katanya.

Sijil Pengiktirafan Anugerah Jualan RIM adalah antara penghormatan tertinggi dalam industri rakaman Malaysia, diberikan kepada single dan album yang mencapai kejayaan jualan luar biasa.

Antara penerima terdahulu termasuk Fazura yang menerima pensijilan Platinum/Emas untuk album pertamanya pada tahun 2017; kumpulan MOJO dengan pensijilan 5X Platinum untuk lagu Andaiku Bercinta Lagi pada 2013; serta Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang menerima pelbagai pengiktirafan Platinum sepanjang era 2000-an.

Pengiktirafan terbaharu ini mengukuhkan lagi kedudukan Haqiem Rusli sebagai antara penyanyi generasi baharu paling berpengaruh, sekaligus membuktikan bahawa karya berkualiti akan terus mendapat tempat walaupun selepas beberapa tahun dilancarkan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular