editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekali lagi menjadi perhatian apabila bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan sijil berkenaan jelas bertentangan dengan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) serta tidak selari dengan Dasar Pendidikan Nasional (DPN) dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
Menurut beliau, sebarang desakan agar kerajaan mengiktiraf UEC seharusnya berlandaskan pemahaman yang menyeluruh terhadap Akta 550 yang menjadi tunjang sistem pendidikan negara.
Mahdzir berkata, asas kenegaraan perlu diletakkan sebagai prinsip utama dalam membincangkan hal berkaitan pendidikan, khususnya dalam sebuah negara berdaulat seperti Malaysia.
Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap sikap segelintir pihak yang terlalu lantang mengemukakan tuntutan tanpa memahami kerangka perundangan dan dasar sedia ada.
“Tindakan sedemikian mencerminkan ketidakmatangan dan boleh mengelirukan masyarakat, terutamanya apabila tuntutan terbabit bercanggah dengan undang-undang negara,” katanya.
Mahdzir turut menyeru semua pihak, termasuk pemimpin politik daripada DAP serta kumpulan yang memperjuangkan pengiktirafan UEC, agar menghormati Akta Pendidikan 1996 dan mengutamakan kepentingan nasional dalam usaha memartabatkan sistem pendidikan negara.
Sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, beliau berharap isu pengiktirafan UEC tidak sepatutnya terus dibangkitkan sekiranya semua pihak menghormati peruntukan undang-undang yang telah termaktub secara jelas.
Beliau turut mempersoalkan keperluan mendesak untuk mengiktiraf UEC sedangkan negara sudah lama menerima pakai sijil bertaraf antarabangsa seperti O-Level dan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) yang diiktiraf kerajaan dan selaras dengan kerangka pendidikan nasional.
Selain itu, kandungan kurikulum UEC tidak memenuhi keperluan Dasar Pendidikan Kebangsaan, khususnya dari segi silibus subjek Sejarah yang lebih menumpukan kepada sejarah China dan Asia Timur.
Katanya, pendekatan itu tidak menepati standard kurikulum Sejarah Malaysia yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“UEC tidak menggunakan Kurikulum Kebangsaan serta tidak menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama, sebaliknya menggunakan Mandarin.
“Keadaan ini jelas bercanggah dengan prinsip dan keperluan sistem pendidikan nasional yang bertujuan memperkukuh perpaduan dan identiti kebangsaan,” katanya.
Tambahnya, UEC juga tidak berada di bawah pemantauan atau penyelarasan KPM seperti sekolah-sekolah swasta lain di negara ini.
Justeru, beliau mempersoalkan justifikasi kerajaan untuk mengiktiraf UEC apabila terdapat begitu banyak ketidakselarasan dengan Akta 550.
Mahdzir mengingatkan agar isu UEC tidak terus dijadikan modal politik semata-mata untuk meraih sokongan.
Beliau berpandangan memadai UEC dilaksanakan secara tersendiri tanpa campur tangan, namun memberi amaran bahawa sekiranya isu ini terus mencetuskan perpecahan dan menjejaskan keharmonian serta perpaduan rakyat, tindakan lebih tegas boleh dipertimbangkan demi kepentingan negara.

