editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Stacy kembali mencetus fenomena dalam industri muzik tempatan menerusi pelancaran single baharunya berjudul “Mega Ching!”, sebuah karya bersalut elemen muzik elektro ‘dance’ moden yang penuh tenaga serta menampilkan sisi kreatif penyanyi kelahiran Sabah itu.
Selepas beberapa tahun berehat daripada meriliskan karya solo, kehadirannya kali ini dianggap sebagai ‘comeback’ yang paling dinantikan peminat.
“Mega Ching!” adalah ciptaan sepenuhnya Stacy yang menggunakan nama pena Bunga Cantik, memperlihatkan kemampuan penyanyi ini bukan sahaja sebagai pemilik vokal bertenaga, tetapi juga seorang komposer yang bijak bermain dengan identiti artistiknya.
Lagu ini muncul sebagai simbol ekspresi diri, keyakinan dan jiwa penghibur yang telah lama sinonim dengan dirinya sejak mula dikenali sebagai Ratu Tari Malaysia.
Menurut Stacy, inspirasi utama “Mega Ching!” tercetus daripada personaliti dan karakter yang sering ditunjukkannya di atas pentas.

Katanya, watak ‘mega ching’ membawa maksud “Alamak! Terlebih sudah”, satu frasa yang cukup dekat dengan gaya bersahajanya sejak awal kerjaya.
Jelasnya, lagu itu menjadi medium untuk dirinya menyalurkan rasa gementar dan mengekalkan disiplin ketika menyanyi sambil menari.
“Semua orang ada cerita masing-masing. Lagu ini jambatan untuk meluahkan perasaan, dan bagi saya, apa pun situasinya, lebih mudah untuk saya labelkan sebagai ‘ching’ sahaja.
“Ia cara saya ‘move on’ supaya emosi tidak terperangkap terlalu lama, lebih-lebih lagi kerja ini memerlukan mental yang kuat,” katanya.
Stacy turut berkongsi proses pembikinan lagu ini berlangsung panjang dan sangat teliti.

“Ia sepatutnya dibawakan semasa konsert ‘Aku Stacy’ di Kota Kinabalu pada Jun lalu, tetapi saya memilih untuk tidak tergesa-gesa.
“Kami menukar melodi hampir dua hingga tiga kali sepanjang lima bulan rakaman,” katanya.
Sebagai seorang artis yang dikenali dengan persembahan penuh energi, Stacy mengakui “Mega Ching!” membawa kelainan ketara berbanding karya sebelumnya.
Lagu ini menampilkan eksperimen susunan muzik EDM ala K-pop yang sedang menjadi trend global, digabungkan dengan melodi dan lirik yang masih mengekalkan DNA muziknya.
Lebih menarik, buat pertama kali Stacy memasukkan elemen rap dengan dialek Sabah, menyerlahkan warna unik yang jarang diterokainya sebelum ini.
Mengulas tentang identiti muzik lagu itu, Stacy menggambarkan “Mega Ching!” sebagai karya yang ‘fun’, energetik dan menjadi ‘confidence booster’ kepada sesiapa yang mendengarnya.
Liriknya pula membawa tema persaingan sihat disertai sedikit sindiran manja, namun disampaikan dengan aura positif dan mesej motivasi, iaitu keyakinan diri dan keberanian untuk terus maju.
“Biarpun nak ‘mega ching’, tetaplah berpada-pada,” katanya sambil ketawa, menggambarkan sikap bersahaja yang digemari peminat.
Reaksi awal daripada pasukan produksi serta rakan-rakan terdekat juga sangat positif dan ramai menganggap Stacy telah kembali dengan identiti muzik yang dirindui.
“Alhamdulillah, mereka kata ‘Stacy is Back!’ mungkin kerana sudah lama mereka tidak mendengar genre yang biasa saya bawa dulu.
“Saya harap lagu ini mengubat rindu peminat yang setia mengikuti perjalanan seni saya,” katanya.

Dalam masa sama, Stacy mengesahkan “Mega Ching!” adalah sebahagian daripada projek lebih besar, iaitu album baharu yang kini dalam proses rakaman.
Lagu ini bakal dimuatkan dalam album berkenaan sebagai salah satu karya utama.
Mengenai video muziknya, Stacy sekadar memberikan jawapan ringkas, menyatakan ia sebagai sebuah “surprise” kepada peminat.
Single “Mega Ching!” terbitan Nova Music Malaysia boleh mula distrim di semua platform penstriman bermula 28 November 2025, manakala video lirik rasmi akan ditayangkan di saluran YouTube Rhythm & Rhyme Entertainment pada hari yang sama jam 8 malam.

